18 Ramadhan 1432H. [MOD] -
NANNING (Guangxi, China): Pertikaian mengenai Laut China Selatan antara China dengan negara Asean tidak memberikan kesan kepada perdagangan dua hala dan kerjasama ekonomi dalam Kerjasama Ekonomi Seluruh Teluk Beibu (PBGEC).
Timbalan Ketua Pengarah Suruhanjaya Perancangan, Pembinaan dan Pentadbiran Zon Ekonomi Teluk Beibu Guangxi, Chen Ruixian, berkata perbincangan dan rundingan antara negara-negara terbabit diadakan secara berterusan untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul.
"Pertikaian Laut China Selatan tidak akan menjejaskan kerjasama antara Asean dengan negara-negara PBG.
"Penyertaan pegawai-pegawai peringkat tinggi dalam Forum PBGEC Ke-6 menunjukkan negara-negara PBG berhasrat meningkatkan kerjasama bagi hubungan dua hala, memperluas kerjasama untuk saling mempercayai dengan prinsip memelihara kepentingan bersama semua pihak dan merealisasikan pembangunan sama menang.
"Kami amat yakin bahawa dengan usaha bersepadu kerajaan China, negara-negara anggota Asean dan negara-negara anggota PBG, Forum PBGEC akan membuahkan hasil dan akan lebih berjaya," katanya pada satu sidang media di sini semalam.
Forum PBGEC yang diadakan setiap tahun itu bermula di sini hari ini.
Kira-kira 200 peserta termasuk pegawai, pakar, cendekiawan dari institusi penyelidikan dan wakil-wakil dari institusi kewangan serta pertubuhan antarabangsa dari China dan Asean telah berhimpun bagi forum dua hari itu di ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhang Barat Daya China.
Chen berkata Forum PBGEC itu semakin meraih momentum kukuh sejak kali pertama diadakan pada 2006.
Tahun lalu, katanya, jumlah perdagangan China dengan negara-negara PBG lain mencecah US$285.835 bilion dan daripada jumlah itu, 97.63 peratus adalah antara China dengan negara Asean.
"Sebagai peneraju dalam kerjasama Asean-China, perdagangan Guangxi dengan negara-negara PBG lain menguasai 99.51 peratus daripada keseluruhan perdagangan dengan negara Asean tahun lalu," katanya.
Justeru kata Chen yang juga Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjur Forum PBGEC Ke-6, berkata forum itu akan bertindak sebagai platform menyempurnakan tugas berat untuk menginstitusikan dan memajukan kerjasama PBG dengan mengadakan projek-projek baharu dalam bidang-bidang khusus.
"Forum ini akan memperluas lagi kerjasama dan perdagangan Asean-China, terutamanya dalam Kawasan Perdagangan Bebas China-Asean (CAFTA)," katanya, sambil menambah Forum PBGEC Keenam itu akan lebih pragmatik, dan perbincangan yang lebih mendalam akan diadakan mengenai sektor dan projek utama.
Tahun ini adalah ulang tahun kedua CAFTA. Sejak pelaksanaan CAFTA, perdagangan dua hala antara Asean dengan China telah berkembang dengan pesat.
"Perangkaan menunjukkan bahawa pada 1991, perdagangan dua hala antara Asean dengan China bernilai hanya US$7.96 bilion; bagaimanapun ia melonjak kepada AS$292.78 bilion tahun lalu.
"Bagi enam bulan pertama tahun ini, perdagangan dua hala meningkat sebanyak 25 peratus kepada AS$171.12 bilion. Menjelang akhir Jun tahun ini, pelaburan dua hala berjumlah hampir AS$80 bilion," katanya.
Chen berkata China adalah rakan dagang terbesar bagi Asean, manakala Asean menjadi rakan dagang ketiga terbesar bagi China, sekali gus mengatasi Jepun.
"Ini menunjukkan permulaan yang baik bagi CAFTA. Kerjasama ekonomi dan perdagangan Asean-China telah mencapai tahap baharu dan ini menjanjikan prospek yang lebih luas," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan