18 Ogos 2011

Pemuda Pas Adakan Himpunan Bantah Syria Esok

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 18 OGOS : Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan himpunan bagi membantah kekejaman tentera Regim Bashar Al Asaad terhadap rakyat Syria esok selepas solat Jumaat esok di hadapan pintu masuk Kedutaan Syiria (baru) di Jalan U Thant, Kuala Lumpur.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, beliau sendiri akan meyerahkan satu memorandum kepada kedutaan itu bagi mendesak tindakan membunuh rakyat di negara itu dihentikan segera.

Pada masa yang sama, beliau juga mendesak kerajaan Malaysia memberi tekanan kepada negara itu dengan memutuskan hubungan diplomatik dan menghantar pulang Duta Besar Syria ke Malaysia kembali ke negaranya.

Penderitaan dan kesengsaraan rakyat Syria masih berlarutan meskipun memasuki bulan Ramadhan al Mubarak.

Regim Bashar Al Asaad masih mengganas dan membunuh ribuan rakyatnya yang bangkit mendesak beliau meletakkan jawatan.

Menggunakan kekuatan pasukan tentera dan peralatan perang seperti kereta kebal dan helikopter, Regim Bashar al Asaad kata Nasrudin seperti dirasuk syaithan, membedil dan meletupkan rakyat sendiri di bumi Syam itu.

"Saya menyeru agar semua warga prihatin agar hadir mengiringi Dewan Pemuda PAS Malaysia menyerahkan memorundum bantahan tersebut," katanya.

tv selangor/-

Tiada ulasan: