18 Ogos 2011

Mentega DNA babi masih tidak diasing

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

MENTEGA yang mengandungi DNA babi (paling kanan) masih bercampur dengan mentega halal yang lain di salah sebuah pasar raya di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Walaupun pihak berkuasa meminta agar pengusaha pasar raya dan peruncit mengasingkan segera mentega mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi ke seksyen tidak halal, namun masih ada yang tidak peduli.

Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar raya mendapati mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang disahkan tidak halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Isnin lalu masih diletakkan bersama produk halal lain di pasar raya.

Sebuah pasar raya di Jalan Cheras di sini didapati seolah-olah tidak peka dengan arahan terbabit kerana mempamerkan produk itu bersama mentega halal lain.

Selain hanya mengasingkan produk itu beberapa sentimeter dari produk halal, tiada sebarang notis tidak halal ditampal pada bahagian mentega DNA babi terbabit.

Bagaimanapun, tinjauan di empat lagi pasar raya terkemuka di Ampang, Taman Midah, Jalan Peel dan Jalan Loke Yew di sini tidak menemui produk mentega babi yang dijual pada harga RM7.99 itu.

Kosmo! semalam melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta semua pengusaha pasar raya dan peruncit mengasingkan segera mentega terbabit ke dalam rak seksyen tidak halal.

kosmo/-

Tiada ulasan: