18 Ogos 2011

Kes Qazaf : Anwar Tolak Zainul Rijal Sebagai Pendakwa

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 18 OGOS: Campurtangan politik dalam urustadbir mahkamah Syariah merupakan faktor utama kepada penangguhan kes Qazaf yang melibatkan Saiful Bukhari Adzlan dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjangkau lebih daripada tiga tahun.

Malah hak Ketua Umum PKR itu terus diketepikan apabila peguam syarie Zainul Rijal yang mewakili kerajaan sering menggunakan pelbagai alasan teknikal bagi mengelak kes tersebut daripada didengari sejak 2008.

Sehubungan itu, Anwar bersama peguamnya Kamar Ainiah Kamaruzaman hari ini menfailkan permohonan kepada Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi menolak Zainul daripada mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Jabatan Pendakwaan Jawi dan Pengarah Jawi.

Malah, menurut Anwar gesaan itu dibuat berdasarkan reaksi Zainul yang dilihat seolah-olah menjadi agen menghalang perlaksanaan Mahkamah Syariah dengan memberi alasan teknikal melibatkan Mahkamah sivil.

"Kita bangkit ialah menuntut supaya prosiding mahkamah syariah berjalan. Itu yang paling penting. Berulang kali diminta untuk dimulakan (prosiding). Tiga tahun belum mula kes dan orang yang pergi ke Suhakam termasuk Persatuan Peguam Muslim ini tidak peduli mahkamah Syariah. Dia guna tiket persatuan.

"Jadi mereka bercakap tentang keperluan menghormati Islam dan mahkamah syariah tapi mereka mengabaikan proses (Syariah) kerana alasan politik. Ia adalah arahan jelas daripada ketua politik. Dalam kes ini apa yang paling buruk adalah penyalahgunaan wang zakat," kata beliau kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Zainul yang juga Presiden Persatuan Peguam Muslim pernah dikaitkan dengan pembayaran yuran guaman menggunakan wang zakat.

Malah perkara tersebut turut diakui oleh Timbalan Menteri pada sidang Parlimen Jun lalu.

Anwar kemudian menjelaskan beliau tetap dengan pendirianya untuk menolak amalan 'sumpah laknat' yang dilakukan sesetengah pihak.

Sebaliknya, Anwar tetap merujuk Mahkamah Syariah bersabit perintah Al-Quran dan Syariat.

Dalam pada itu, peguam Kamar yang ditemui turut menyifatkan tuntutan tersebut berpatutan memandangkan beberapa kenyataan Zainul kepada media sebelum ini didakwa telah menjejaskan kewibawaan dan sistem Mahkamah Syariah selain berlawanan dengan etika peguam syarie.

Malah, beliau turut menyifatkan tindakan Zainul tidak profesional selain wujudnya konflik berkepentingan terhadap responden.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mendedahkan lanjutan butiran kod etika peguam yang telah dilanggar Zainul.

Namun Kamar yakin kedua-dua pihak boleh dipanggil ke sesi pendengaran pada bulan Oktober nanti.

"Saya tidak dapat memberitahu butiran terperinci kerana saya kena sampaikan dulu permohonan tersebut tapi antaranya beliau telah melanggar etika peguam syarie dalam perwakilan di mahkamah syariah,"

Anwar sebentar tadi ditemani isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan rakan.

tv selangor/-

Tiada ulasan: