18 Ramadhan 1432H. [MOD] -
GEORGETOWN, 18 Ogos: DAP Pulau Pinang hari ini mengutuk tindakan kejam kumpulan atau individu yang membakar ibu pejabat DAP Pulau Pinang di sini pada jam 3 pagi tadi.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menganggap perbuatan keji itu dilakukan oleh pengecut memandangkan pejabat yang sama telah disimbah cat merah empat hari lalu, lapor Roketkini.
“Serangan pengecut, cuba bakar Ibu Pejabat DAP awal pagi ini. Hanya selepas empat hari cat merah disimbah ke atas pejabat itu. Tolak keganasan!” katanya melalui mesej Twitter pagi ini.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula menyatakan rasa terkejut dan meluat dengan insiden itu yang disifatkannya sebagai perbuatan jahat bermotifkan politik.
Katanya jika ada mana-mana pihak tidak puas hati dengan DAP atau kerajaan negeri Pakatan Rakyat, mereka dipersilakan untuk membantah atau mengkritik melalui saluran yang sah.
“Kita sedia berdepan dengan rakyat yang mempunyai rasa prihatin, kita terbuka untuk dikritik dan kita sedia memberi jawapan kepada sebarang kritikan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, media kawalan Kerajaan Pusat dan parti pemerintah tidak pernah menyiarkan penjelasan DAP dan Pakatan, sebaliknya digambarkan sebagai rasis dan pembuli walau pun DAP dan Pakatan menolak keganasan.
“Ibu pejabat kami pula bukanlah banglo atau menara, kami berjiran dengan rakyat di kawasan perumahan. Percubaan melulu pagi tadi membakar pejabat kami boleh mengancam nyawa orang lain yang tinggal di unit berdekatan.
“Jika tidak kerana jiran-jiran berdekatan bertindak cepat, kebakaran ini mungkin akan membawa kepada kesan buruk,” katanya.
Chow yang juga Ahli Parlimen Tanjong, mengucapkan terima kasih kepada penduduk di kawasan tersebut yang bertungkus lumus membantu menyelamatkan keadaan.
Beliau juga dimaklumkan bahawa ibu pejabat Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) juga disimbah cat merah, di antara lewat malam tadi atau awal pagi ini.
Sementara itu, Setiausaha DAP Pulau Pinang, Ng Wei Aik berkata, sebiji botol, dipercayai digunakan sebagai molotov cocktail atau bom api, telah dijumpai di tempat kejadian.
Bomba yang tiba di tempat kejadian 15 minit setelah penduduk di kawasan itu menghubungi mereka dikatakan telah mengambil botol tersebut untuk diuji sama ada suspek menggunakan botol itu sebagai senjata.
Ng yang juga Adun Komtar berkata, laporan polis sudah dibuat dan sedang menunggu siasatan dari pihak berkuasa berkenaan.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan