01 November 2011

Penduduk terima hak milik kekal

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

TANAH MERAH, 31 Okt: Seramai 112 dari 315 masyarakat kampung dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Bunga dan Dun Kemahang, menerima sijil hak milik tanah masing-masing tengah hari tadi.

Sumbangan berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, pada majlis penyampaian hak milik tanah dan bantuan sosial peringkat Jajahan Tanah Merah.

Seramai 100 orang penerima sumbangan, manakala 20 orang lagi penerima cek skim Takaful Kifaalah.

Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata, kerajaan negeri tidak menaikkan kadar cukai tanah sejak mentadbir negeri ini 21 tahun lalu walaupun berhadapan dengan kos keperluan yang berkaitan semakin meningkat.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak ingin membebankan mereka dengan kenaikan kos tersebut walaupun terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos lain.

“Apa yang penting kita mahu rakyat dapat membayarnya dengan baik demi untuk faedah bersama,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata tanah merupakan keperluan penting pada masyarakat apa lagi pada mereka yang langsung tidak bertanah.

Kerana itu, katanya ada pihak luar bertelagah dengan pihak lain untuk berebut tanah kerajaan negeri.

“Kita sedang memerhatikan perkara ini sebelum kerajaan negeri mengambil sebarang tindakan,”ujarnya.

harakahdaily/-

Gempa landa Semenanjung Minahassa, Indonesia

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Gempa bumi sederhana dengan magnitud 5.6 pada skala Richter berlaku di Semenanjung Minahassa, Indonesia, pada 9.27 pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Kenyataan jabatan itu di sini menyebut pusat gempa itu berada di 229 kilometer barat daya Manado, Indonesia, dan 774 tenggara Tawau, Sabah. - Bernama

Nahas keretapi tembung lori tangki, lapan cedera

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Tiada kematian dilaporkan, namun lapan orang cedera dalam letupan besar akibat pelanggaran antara keretapi dengan sebuah lori tangki minyak di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib memberitahu pemberita di tempat kejadian penumpang-penumpang lain dalam keretapi itu sama ada berjaya menyelamatkan diri ketika pelanggaran berlaku kira-kira 5.30 petang atau mereka diselamatkan bila anggota bomba tiba.

Mangsa-mangsa segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan, kata beliau.

Menurut Hamza, lori tangki itu sedang melintasi trek keretapi untuk menghantar minyak ke sebuah stesen minyak, tetapi pergerakannya agak perlahan menyebabkan keretapi berkenaan melanggarnya.

Beliau berkata pemandu lori berusia 41-tahun dibawa oleh polis untuk siasatan, sementara pemandu keretapi berusia 51-tahun mengalami luka-luka di kaki.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Fauzi memberitahu Bernama lima kereta bomba ditugaskan dari balai bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas.

Beliau berkata mereka juga dibantu dengan sebuah kereta tangki air dan dua kereta bomba dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat lapangan terbang itu.

Sementara itu, seorang staf Penerbangan Malaysia Busri Asad, 39, berkata beliau nampak beberapa orang penumpang keluar melalui tingkap keretapi sejurus selepas pelanggaran berlaku.

"Saya juga melihat orang-orang berlari ke bahagian belakang keretapi. Kira-kira 10 minit selepas pelanggaran, satu letupan berlaku dan api naik dengan marak," kata beliau.

Busri berada di seberang jalan dari tempat kemalangan selepas habis kerja.

Seorang setiausaha akhbar kepada menteri negeri, Arshad Hussin berkata beliau berada pada jarak kira-kira 700 meter ketika kemalangan berlaku.

"Saya dalam perjalanan pulang dan hendak mengisi minyak di stesen. Tetapi saya membuat keputusan menghentikan kereta di tepi jalan kerana saya ternampak dari stesen itu kebakaran besar dan asap tebal.

"Lalu lintas di jalan tiga lorong terhenti di depan tempat kemalangan dan kenderaan lain bergerak jauh menuju ke lorong sebelah kanan, mengelakkan lorong sebelah kiri," katanya, dan menambah beliau turut mendengar dua letupan.

Beliau juga nampak orang-orang dalam gerabak berlari ke bahagian belakang keretapi.

- Bernama

Dua gempa sederhana gegar China

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BEIJING: Dua gempa bumi berskala sederhana menggegarkan wilayah barat laut dan barat daya China, awal hari ini.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi 6.0 magnitud melanda melanda Wilayah Xinjiang, kira-kira 100 kilometer dari bandar Yining jam 8.20 pagi tadi manakala satu lagi gempa melanda kawasan bersempadan dengan Wilayah Sichuan dan Gansu pada 6 pagi dengan kekuatan 5.5 magitud.
Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan akibat gempa berkenaan.

Gempa bumi di Xinjiang berlaku di kedalaman 27 kilometer (km) manakala di kawasan kedua di kedalaman 16km.

Gempa terburuk berlaku di China dengan magnitud 7.9 skala Richter di Wilayah Sichuan pada Mei 2008 lalu dengan mengorbankan hampir 90,000 orang. - AP

Kemelut PPSMI bukti kerajaan BN lemah

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Kemelut dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah memperlihatkan kepada rakyat betapa lemahnya kerajaan Barisan Nasional dalam membuat sesuatu keputusan penting bagi masa depan negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata kemelut PPSMI berpunca dari dasar pendidikan yang bercelaru dan tidak konsisten dalam pentadbiran BN sehinggakan sebuah badan NGO, Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Malaysia (Page) membuat ugutan kepada kerajaan.

“Sebelumnya, NGO Perkasa membuat ugutan dalam pelbagai transformasi yang dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Bahkan, dalam isu novel Interlok pun, ianya jadi satu polemik. Rakyat melihat bila mana bertukar seorang Menteri Pelajaran, maka pelbagai dasar baru pendidikan diperkenalkan sehingga ia mengganggu kelancaran Dasar Pendidikan Negara.

"Dasar yang sentiasa berubah ini mencerminkan sikap kerajaan Barisan Nasional yang suka menjalankan sesuatu dasar tanpa satu kajian yang mantap dan tersusun,” selar beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Kecelaruan dasar BN, kata beliau telah mengakibatkan negara negara bukan sahaja berhadapan kerugian pembinaan generasi negara selaras dengan keperluan, bahkan ia turut membawa kesan kepada kewangan negara.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan pandai berfikir panjang, sepatutnya perkara ini tidak berlaku,” kata beliau.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan rakyat bahawa keputusan terbaru kerajaan untuk memansuhkan PPSMI masih boleh berubah.

“Rakyat jangan terkejut seandainya kerajaan BN akan membuat U-turn lagi dalam hal ini kerana kerajaan yang ada sangat lemah dan menunggu untuk tumbang,” sindir beliau.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sistem pendidikan negara ini akan kucar-kacir jika kerajaan membenarkan pemilihan bahasa pengantar sama ada Bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata terdapat satu kajian oleh Unesco bahawa untuk menjadi sebuah negara maju dalam bidang industri teknologi sains, maka mata pelajaran perlu diajar dalam bahasa ibunda.

"Negara maju seperti Jepun, Korea dan Jerman juga tidak mengajar teknikal subjek dalam inggeris malah mempertahankan bahasa ibunda mereka," tegas beliau.

harakahdaily/-

Audit: Melaka River Cruise pernah guna bot tak daftar

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Pihak pengurusan Melaka River Cruise (MRC) didapati telah membayar syarikat pembekal aksesori untuk dua botnya sebanyak dua kali, dedah Laporan Ketua Audit Negara 2010.

"Semakan semula audit ke atas baucar bayaran penyelenggaraan bot MRC pada tahun 2009 mendapati bahawa pembekal aksesori bagi bot Puteri Hang Li Po dan Hang Lekir telah menerima bayaran berganda berjumlah RM12,312 pada tahun 2009," petik laporan itu.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mencadangkan supaya siasatan dilakukan ke atas Perbadanan Pemabngunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur-unsur "kecuaian atau penyelewengan dalam hal pembayaran dua kali".

MRC mula beroperasi pada Februari 2006 dan menjelang Disember 2010, ia telah memiliki 40 buah bot pada kos sebanyak RM3.87 juta.

Menurut laporan audit itu, pengurusan MRC pada keseluruhannya adalah kurang daripada memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan seperti bot-bot yang tidak berdaftar dan tidak berlesen serta bayaran berganda untuk penyelenggaraan bot.

Laporan itu juga menyatakan bahawa PPSPM sedar pertindihan bayaran dan telah menghantar notis kepada pembekal pada 16 April, 2010.

Pembekal telah mengakui kesilapan berkenaan dan mengurangkan jumlah yuran penyelenggaraan pada invois seterusnya. Walau bagaimanapun, juruaudit tidak dapat mengesahkan pengurangan jumlah bayaran itu kerana tiada dokumen sokongan yang disediakan.

Semakan audit juga mendapati bahawa sembilan bot yang dibeli sepanjang Mei 2009 hingga September 2009 masih belum berdaftar dan berlesen.

"Bot-bot telah beroperasi tanpa lesen untuk tempoh 13 hingga 17 bulan," petik laporan itu.

Namun PPSPM kemudian memperbetulkan keadaan dan menjelang 1 November, 2010 semua sembilan bot telah didaftarkan dan mempunyai lesen yang sah.

Selain itu, semakan audit juga mendapati bahawa PPSPM telah memperbaharui insurans bagi bot yang dinamakan Tun Teja, bagi tempoh 8 Julai, 2009 hingga 29 Julai, 2011 pada premium sebanyak RM3,464 sedangkan bot berkenaan sebenarnya tidak boleh digunakan sejak awal 2009.

malaysiakini/-

31 Oktober 2011

Hina hudud: Laporan polis terhadap Soi Lek

3 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini mengemukakan laporan polis berhubung kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dikatakan menghina hukum hudud.

Chua dalam kenyataan dipetik akhbar The Star 29 Oktober lalu berkata hukum hudud akan menjadikan negara ini mundur dan menakutkan pelabur asing.

Menyifatkannya sebagai biadap, Koordinator Jingga 13 Fariz Musa berkata kenyataan itu mengguris perasaan apabila seorang rakyat bukan Islam dengan mudahnya mempersoalkan pelaksanaan hukum hudud di sebuah negara yang majoritinya Islam dan mengaku menjadi model negara Islam.

Katanya, kenyataan Presiden MCA itu juga mampu menghasut masyarakat bukan Islam lainnya untuk membenci hudud.

Malah kedudukannya sebagai presiden parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) dikhuatiri akan menyebabkan salah faham besar antara agama dan kaum.

Rusuhan kaum, agama

“Kami khuatir kenyataan Chua itu akan menimbulkan kebencian agama dan kaum, selain menggugat dan mengancam keharmonian negara.

“Chua juga perlu serta merta memohon maaf atas kebiadapan itu kepada seluruh umat Islam di negara ini,” katanya.

Laporan itu dibuat wakil Jingga 13 Mohd Khairul Zaman Khairan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Beliau turut mendesak supaya akhbar The Star digantung lesen penerbitannya mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atas sifat melulu dan tidak profesional ketua pengarangnya menyiarkan artikel sedemikian tanpa usul periksa.

“Kami mendesak Chua supaya mohon maaf secara terbuka kerana telah menghina Islam sebagai agama rasmi dan Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua agama,” katanya.

Katanya, masa 48 jam diberikan kepada Chua sebelum pihaknya mengemukakan memorandum di hadapan Pejabat MCA di sini Rabu depan.

Sementara itu, Fariz turut menyelar Umno yang selama ini bersikap diam diri apabila Chua mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kalau mereka boleh adakan Himpunan Sejuta Umat (Himpun) untuk mempertahan akidah umat Islam dari murtad saya minta mereka jangan bersikap pilih kasih dalam hal ini,” katanya.

freemalaysiatoday

Masyarakat non-muslim terima PAS Setelah Mereka Tahu Umno/BN Menipu!!!

3 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
PAS Miri

Miri - Forum Rakyat dengan tema “Membina Malaysia Sejahtera” di sebuah Hotel Miri yang dianjurkan oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Miri mendapat sambutan yang baik dari masyarakat Cina dan bukan Islam di Bandaraya Miri. Antara panelis yang hadir pada hari tersebut ialah Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat Hu Pang Chaw, YB Alan Ling Sie Khiong (DAP), Dr Micheal Teo (PKR) dan moderator dari NGO stadio Mualaf sdr Robby. Turut hadir dalam forum tersebut ialah pimpinan Pakatan Rakyat dan juga masyarakat setempat dari berbagai bangsa dan agama.

Diantara isu yang dibangkit pada forum tersebut ialah berkenaan dengan Hudud. Isu Hudud yang di politik oleh pihak tertentu telah dapat ditangani dengan baik oleh Pengerusi DHPP Pusat Sdr Hu Pang Chaw, dimana kata beliau isu Hudud ini bukan perkara yang perlu ditakuti oleh masyarakat Cina dan bukan Islam kerana katanya Hudud adalah sebahagian daripada perundangan Islam. Masyarakat Cina dan bukan Islam tidak perlu takut dengan Hudud sebab Hudud hanya dikenakan kepada umat Islam yang melanggar perintah Allah dan yang bukan Islam tidak akan dikenakan hukuman tersebut secara paksa kecuali yang bukan Islam sedia menerimanya sebagai perundangan. Lagi pun sekarang Perlembagaan Malaysia juga membenarkan sistem kehakiman berganda yang unik, iaitu undang-undang sekular (jenayah dan sivil) dan undang-undang syariah.

Dengan kedatangan pengerusi DHPP Pusat ke Miri sekurang-kurangnya dapat meredakan keadaan yang boleh mencetuskan kontrovasi diantara kaum dan agama di Miri sebab apabila masyarakat Cina dan bukan Islam mendengar sendiri penerangan dan penjelasan dari pimpinan pusat mereka rasa lega dan yakin PAS bukanlah parti yang bersifat perkauman dan exterismis seperti yang digambarkan oleh Umno/BN selama ini.

Menurut Hu Pang Chaw lagi Hudud bukanlah suatu masalah bagi yang bukan Islam tetapi oleh kerana ianya di politikkan oleh pihak tertentu maka ianya sudah semacam suatu perkara yang menakutkan orang bukan Islam terhadap PAS. Seperti yang berlaku di Semananjung Malaysia, Umno membiarkan MCA memburuk-burukkan hukum Islam seperti Hudud sebab mereka tahu kalau mereka yang menentang Hudud secara terang-terangan sudah pasti orang Melayu Islam marah jadi mereka biarkan rakan parti komponen mereka seperti MCA mengecam Hudud demi survival parti mereka. Tujuan utama mereka membuat demikian hanya untuk menjauhkan PAS dengan masyarakat bukan Islam. Sebab mereka tahu kalau PAS berjaya menarik pengundi bukan Islam menyokong dan menyertai PAS sudah pasti Umno/BN mudah dikalahkan dalam PRU 13 nanti.

Apabila PAS berjaya menubuhkan Kelab Penyokong PAS maka PAS sudah dapat sokongan dari masyarakat Cina dan bukan Islam dan inilah yang menakutkan Umno/BN. Tidak mustahil PAS Sarawak juga boleh diterima dalam masyarakat Cina dan bukan Islam di Bandar sekiranya PAS dan DHPP dapat menyakinkan masyarakat Cina dan bukan Islam bahawa PAS sesuai untuk semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama.

Dalam pada itu YB Alan Ling (DAP) juga memuji PAS Miri kerana sentiasa aktif menjalankan aktiviti bersama rakyat di Miri dan begitu juga Dr Micheal Teo (PKR) juga mengatakan betapa perlunya kerjasama yang kukuh agar Pakatan dapat menawan Putrajaya dalam PRU 13 nanti.

Kita yakin kalau masyarakat Cina dan bukan Islam dapat gambaran yang jelas tentang Hudud tiada masalah untuk mereka menerima PAS sebagai wakil mereka dalam Pakatan. PKR, DAP dan PAS akan mencapai kejayaan yang besar kiranya mereka terus bersatu dan bekerjasama dengan satu maklamat menuju dan membina Malaysia sejahtera.

PAS Miri
Jofri Jaraiee

Chua hina Islam : Rakyat Perak perlu suarakan

3 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
Safarizal Saleh

Kenyataan Media (31 Oktober 2011)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak kesal kenyataan yang dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek yang menjadikan politik isu Hukum Hudud sebagai pentas untuk terus menghina agama Islam secara langsung. Datuk Chua yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Negeri Perak juga jelas memperpolitikkan apa yang termaktud di dalam kitab suci Al-Quran yang menyatakan bab Hudud yang telah digunakan kini oleh Kerajaan Islam Luar Negara.

Kami terpanggil menyatakan bantah keras di atas kenyataan yang merendahkan perundangan Islam dan mengaitkan pelaksanaan Hukum Hudud sebagai polimek cacatnya sistem Negara. Jesteru kami mendesak agar 'orang nombor satu' MCA Perak ini memohon maaf kepada umat Islam dan Raja Melayu sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam di seluruh Negara. Kami merasakan kenyataan Datuk Chua yang cuba untuk merendahkan martabat Islam adalah terlalu terlampau dan seharusnya diberikan peringatan.

Kami juga ingin mendapatkan respon daripada Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir di atas kenyataan Datuk Chua tersebut sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan tersebut. Dan kami juga memohon Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria agar menasihatkan Datuk Chua oleh kerana beliau adalah Ketua MCA Perak memandangkan dengan kenyataan beliau tersebut adalah tidak sepatutnya dikeluarkan.

Kami juga merasakan bahawa Datuk Chua adalah tidak layak untuk memberi komen tentang hukum agama Islam sedangkan beliau sendiri tidak mempunyai moral dari segi agama kerana melakukan salahlaku moral yang bertentangan dengan semua agama yang diamalkan di Negara kita.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Aziz Bari: Peluru tak patahkan semangat saya

3 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari hadir di ibu pejabat Polis Daerah Gombak di Kuala Lumpur bagi memberi keterangan berhubung sebutir peluru dan nota ugutan yang diterimanya pagi semalam.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi semalam peluru dengan nota ugutan yang tertulis "Jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti" itu, dihantar melalui pos ketika beliau mahu pulang ke rumah mertuanya di Taiping Perak.

NONE"Saya telah membuat laporan semalam di Balai Polis Taiping dan hari ini saya datang untuk memberi keterangan lanjut...pihak polis telah mengambil peluru tersebut untuk siasatan," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan itu hari ini.

Abdul Aziz berkata ugutan yang diterima tidak akan mematahkan semangatnya untuk meneruskan tugas seperti biasa dan beliau yakin mungkin ada segelintir pihak yang kurang berpuas hati dengan komen beliau terhadap titah Sultan Selangor baru-baru ini.

Tindakan Abdul Aziz mempertikai titah Sultan Selangor dibantah beberapa pihak, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan keengganan pensyarah itu meminta maaf sebagai 'kurang ajar'.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan polis Abdul Aziz pada pukul 7 petang semalam dan kes disiasat mengikut seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah.

Beliau berkata motif ugutan masih lagi disiasat dan mengesahkan jenis peluru yang digunakan ialah jenis caliber 9mm.

- Bernama

PAS kecam Soi Lek cetus polemik agama

3 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

| Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Okt: PAS mengecam tindakan melampau Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek (gambar kecil) yang cuba mencetuskan polemik dan sikap benci-membenci dan mencurigai antara agama dalam kenyataannya memburukkan undang-undang Islam, terutamanya hudud.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, Chua akhir-akhir ini telah banyak mencerobah dasar-dasar Islam dalam komentarnya yang melampaui batas susila bermasyarakat yang menjamin kebebasan beragama dan saling menghormati antara agama.

Lebih malang kini, kata Tuan Ibrahim ialah sikap Umno yang menjadi tulang belakang BN yang diam membisu terhadap beberapa kritikan melampau parti-parti dalam komponen BN terhadap ajaran Islam.

“Sikap lepas tangan Perdana Menteri dan para pemimpin Umno menggambarkan Umno hanya berminat menjaja isu agama sebagai modal politik daripada menjamin sikap hak beragama dilaksanakan,” kata beliau.

PAS, katanya menyangkal keras kenyataan Chua bahawa dengan pelaksanaan hukum hudud menyebabkan pelabur tidak akan datang dan menakutkan masyarakat bukan Islam.

Tambahnya, sedangkan Arab Saudi yang melaksanakan sistem perundangan Islam menjadi rakan pelabur utama China dan negara Barat.

“Para pelabur sangat mengharapkan satu jaminan keselamatan terhadap pelaburan mereka dan ini dibuktikan dengan kejayaan pelaburan mereka di negara yang melaksanakan syariat Islam.

“Sikap hormat terhadap agama lain untuk mempraktik ajaran masing-masing tidak pernah dibantah oleh umat Islam dan inilah intipati kepada teras perpaduan negara. Namun PAS kesal sikap campurtangan melampau beliau akan mencetuskan polemik dan sikap benci-membenci dan mencurigai antara agama,” terang Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga menyelar kejahilan Chua dengan memberikan contoh kemajuan negara Iran yang turut melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbirannya.

"Kita ambil Iran sebagai contoh. Walaupun melaksanakan undang-undang Islam, negara itu menerima pelaburan langsung asing (FDI) sehingga US$3.6 bilion tahun lalu.

"Jika kuasa-kuasa besar tidak memaksakan sekatan atau sanction ke atas Iran, adalah diyakini jauh lebih banyak FDI melimpah masuk ke negara itu," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, apa yang mendukacitakan dalam kenyataan Chua ialah kebimbangan beliau kepada pelaksanaan hukum Islam yang hanya akan dikenakan kepada umat Islam sahaja; yang bertujuan menyelamatkan masyarakat dan negara dari kejahatan penjenayah samada terhadap harta atau nyawa dan keselamatan masyarakat.

“Kejahilan akibat berkawan dengan Umno menyebabkan beliau yang gagal menyelesaikan masalah dalaman MCA, beliau kini cuba menyembunyikan kelemahan pentadbirannya dan menarik sokongan masyarakat Cina dengan menyerang hukum Islam,” kata beliau.

Tuan Ibrahim juga menambah tindakan bacul Chua hanya menambah kebencian masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap MCA.

“Sebab sebahagian rakyat sudah tidak terkejut kerana umum mengetahui ia datang daripada seseorang yang mempunyai latar belakang yang tidak melayakkan seseorang menjadi pemimpin berwibawa,” terang beliau.

Facebook Pro-M UIAM digodam

3 Zulhijjah 1432H. [MOD] -


GOMBAK, 31 Okt: Akaun facebook milik Pro-Mahasiswa (WUFI) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kejadian itu telah disedari oleh salah seorang anggota kumpulan yang berjuang bagi menegakkan hak-hak mahasiswa di UIAM, petang semalam.

Menurut Pengerusi WUFI UIAM, Muhammad Hafizuddin, motif sebenar penggodaman tersebut disyaki untuk menyekat kebangkitan mahasiswa dan cuba untuk memecah belahkan gerakan mahasiswa.

Tambahnya, tindakan itu dilihat mahu memberi tekanan kepada Pro-M daripada terus memperjuangkan isu Prof Abd Aziz Bari.

"Kami tetap serius dan istiqamah dalam memperjuangkan isu kebebasan akademik walau apa ancaman sekalipun yang pihak kami terima.

“Kami berharap mahasiswa dan masyarakat seluruhnya tidak termakan dengan sebarang provokasi dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Menurutnya lagi, tindakan itu juga dipercayai ada kaitan dengan 'tangan jahat' yang sering mengganggu bermula daripada isu Ustaz Azhar Idrus, penafian Presiden MPP dalam rancangan Hujah TV9 dan Prof Abd Aziz Bari.

Ugut Aziz Bari

Dalam masa yang sama, ujarnya berita penghantaran peluru ke rumah Prof Aziz agak mengejutkan mahasiswa UIAM khususnya.

Katanya, tindakan sedemikian sangat bercanggah dengan norma kehidupan manusia.

Menurutnya, mahasiswa UIAM tetap menyokong sepenuhnya perjuangan kebebasan akademik yang dibawa oleh Prof Aziz.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menghantar peluru tersebut seolah-olah mahu menakutkan Prof Aziz dalam masa ini," katanya.

Sehingga hari ini, pihak UIAM masih belum mengeluarkan sebarang respons selepas menarik balik penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari.

Harakahdaily/-

Serangan terbaru Israel bunuh pejuang Gaza

3 Dzulhijjah 1432H. [MOD] -

BANDARAYA GAZA: Serangan udara Israel membunuh seorang pejuang Gaza beberapa jam selepas kumpulan Islamic Jihad berikrar akan mematuhi gencatan senjata yang dirundingkan Mesir sehari selepas pertempuran yang meragut 10 nyawa.

Ketenangan bertahan selama lapan jam sebelum Israel melancarkan serangan baru terhadap apa yang disifatkan pihak tentera sebagai "skuad pengganas yanng bersiap sedia untuk menembak roket" dan membunuh seorang pejuang dan mencederakan seorang yang lain.

Kematian terbaru itu menjadikan angka korban di pihak Palestin berikutan serangan udara Israel itu meningkat kepada 10 pejuang. - AFP

30 Oktober 2011


2 Zulhijjah 1432H. [MOD] -Bergambar kenangan bersama Prof Dr.Aziz Bari di tempat kenduri khawin rakan seperjuangan di Kepong Selangor.Sempat bertanya khabar mengenai ugutan berupa kiriman sebutir peluru. Katanya petang ini satu sidang media mengenai isu tersebut akan diadakan.

TIMBALAN SPEAKER DUN PERAK GAGAL RAYU: JAWATANKUASA HAK DAN KEBEBASAN DUN PERLU HUKUM!

2 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Aulong, Yew Tian Hoe berhubung serangan yang dilakukan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Hee Yit Foong yang menggunakan alat semburan serbuk lada pada sidang DUN Perak, 7 Mei 2009 yang telah memenangi kes berikutan Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie yang bersidang pada 27 Oktober yang lalu bersama Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Clement Allan Skinner menolak rayuan Datuk Hee selepas berpuas hati bahawa mahkamah itu tiada sebab untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah membuat keputusan pada 14 Jun 2011 yang lalu.

Pertamanya, dengan kemenangan Yew jelas mengesahkan bahawa Datuk Hee terbukti bersalah membawa alat serbuk semburan lada di dalam Dewan pada 7 Mei 2009 yang lalu. Ianya adalah satu kesalahan kerana Datuk Hee dengan niat ingin mencederakan ADUN pada Sidang DUN tersebut dan juga jelas adalah satu kesalahan membawa senjata di dalam Dewan yang mulia. Kami mendesak agar Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak memanggil Datuk Hee untuk memperjelaskan perkara tersebut dan Jawatankuasa perlu mengusulkan pada Sidang DUN, 21 Oktober 2011 ini agar mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan dalam Perintah Tetap DUN Perak.

Keduanya, jelas juga bahawa Datuk Hee telah berbohong menafikan alat semburan serbuk lada yang telah digunakan dan hilang integriti sebagai penyandang Timbalan Speaker DUN Perak selama ini. Ini kerana seseorang Speaker atau Timbalannya perlu berkata jujur dan tidak bercakap bohong, kami juga mendesak agar Datuk Hee meletakkan jawatanya bagi memelihara kesucian DUN Perak kerana tercemar dengan seorang yang tidak bertanggungjawab. Jika Datuk Hee gagal meletakkan jawatanya, sudah tentu institusi DUN Perak akan dipandang rendah oleh seluruh masyarakat umumnya.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.