20 Disember 2011

82 kali derma darah

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Keikhlasan hati yang menderma darah sebanyak 82 kali sehingga hari ini untuk menambah tabung darah menjadikan Abu Bakar Ahmad, 58, cukup dikenali dalam kalangan warga Hospital Lati Pasir Mas.

Menceritakan pengalaman pertama menderma darah sejak usia 20-an, dia berkata, sebelum ini, dia sering mengalami masalah kepala sakit dan pening, namun setelah menderma darah, masalah berkenaan dapat diatasi.

“Biasanya saya sakit kepala dalam tempoh yang agak lama, namun setelah menderma, saya rasa lega, hilang sakit di kepala dan selepas itu saya memang menjadi penderma tiga bulan sekali di Hospital Lati.

“Memang saya akui sangat gerun untuk menderma sebab ketika itu saya takut jarum, namun setelah menderma, rupa-rupanya ia tidak sakit dan apa yang penting perlu ikhlas untuk membantu nyawa pesakit lain,” katanya semasa ditemui pada Majlis Penghargaan Penderma
Darah Peringkat Negeri Kelantan 2011, di Dewan Jubli Perak, Panji, di sini.

Dalam majlis berkenaan, beliau adalah antara 300 penerima diberikan sijil penghargaan dan hadiah sagu hati sebagai usaha menjadi penderma darah tetap di hospital.

Abu Bakar berkata, sebelum menjadi penderma tetap, dia pernah berubat dengan pelbagai kaedah untuk mengatasi masalah sakit kepala yang dialaminya, namun semuanya tidak menjadi.

Menurutnya, usaha menderma darah dijalankannya setelah doktor memberitahu mengenai kepekatan darahnya dan menasihatkan supaya menderma darah untuk kaedah pencairan darah dalam badan.

“Setelah setahun menderma darah, saya dapati sakit kepala saya sudah dapat diatasi dan saya akan menderma selagi menepati ciri-ciri untuk menderma darah,” katanya yang tinggal bujang di Kampung Tasik Berangan, Pasir Mas.

Katanya, mereka yang masih muda dan cukup syarat seperti berat badan mencukupi perlu tampil sebagai penderma darah bagi membantu pesakit yang amat memerlukan terutama mangsa kemalangan, ibu bersalin yang kehilangan darah dan pesakit kronik yang lain.

Sinar Harian

ADUN Bukit Gasing Meninggal Dunia

24 Muharram 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, Edward Lee menghembuskan nafas terakhir pada Selasa, lapor pemimpin parti DAP.

Lee, 64, meninggal dunia akibat kanser.

Beliau juga merupakan pembantu kepada Elizabeth Wong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor.

mstar/-

106 wartawan terbunuh di kawasan bergolak tahun ini

24 Muharram 1433H. [MOD] -

GENEVA 20 Dis. - Sekurang-kurangnya 106 wartawan dilaporkan terbunuh ketika menjalankan tugas di kawasan bergolak sepanjang tahun ini dengan 20 orang di antara mereka membuat liputan di kebangkitan Revolusi Arab, jelas satu kumpulan media bebas hari ini.

Pertubuhan bukan kerajaan itu yang dikenali sebagai Press Emblem Campaign (PEC) yang berpejabat di Geneva berkata, lebih 100 wartawan diserang, diugut, ditangkap dan dicederakan di beberapa negara termasuk Mesir, Libya, Syria, Tunisia dan Yaman.

Bagaimanapun, Mexico dan Pakistan dilaporkan dua negara yang paling berbahaya bagi wartawan untuk bekerja di sana. - AFP

Tiga polis terbunuh, kenderaan musnah dalam letupan

24 Muharram 1433H. [MOD] -

GARISSA 20 Dis. - Sekurang-kurangnya tiga pegawai polis terbunuh serta kenderaan mereka musnah dalam satu letupan yang berlaku di kompleks pelarian Dadaab di Kenya berhampiran sempadan Somalia semalam, kata dua saksi.

“Saya melihat ketiga-tiga pegawai polis itu tercampak keluar dari kenderaan mereka ketika letupan itu berlaku,” kata Suado Ali, pemimpin masyarakat pelarian di kem Hagadera yang berada dalam kompleks itu.

Punca sebenar letupan itu tidak diketahui. - REUTERS

Myanmar buka satu lagi lapangan terbang antarabangsa

24 Muharram 1433H. [MOD] -

NAYPYITAW 20 Dis. - Myanmar semalam membuka sebuah lapangan terbang antarabangsa baru di ibu negaranya, Naypyitaw di mana pemimpin-pemimpin tempatan menjadi penumpang pertama untuk menggunakan kemudahan baru itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Naypyitaw akan menjadi lapangan antarabangsa ketiga Myanmar selepas lapangan terbang Mandalay dan Yangon.

Lapangan terbang ini dibina oleh syarikat pembinaan Burma, Asia World dengan bantuan teknikal dari firma kejuruteraan Singapura, CPG Consultants Pte. - REUTERS

'Serang' bahagian: Penjelasan Shahrizat dituntut

24 Muharram 1433H. [MOD] -

Umno Cheras hari ini menuntut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberikan penjelasan berhubung dakwaan kehadiran dua pegawainya bersama kumpulan yang didakwa membuat kecoh di pejabat mereka.

cheras umno deputy chief mahadi abdul shukorTimbalan ketua bahagian Datuk Mahadi Abdul Shukor (kiri) berkata, Shahrizat perlu bertanggungjawab terhadap kejadian pada 15 Disember yang didakwa cuba mencederakan ketua bahagian Datuk Syed Ali Alhabshee.

"(Kami) melahirkan rasa dukacita dengan penglibatan secara langsung dua orang pegawai khas kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang turut serta bersama mereka yang mendakwa kononnya sebagai NGO," kata Mahadi.

Menurutnya, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat khas bahagian dan kesemua sayapnya petang ini.

Syed Ali pada 13 Disember lalu, Syed Ali mengingatkan Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail supaya tidak membebankan Umno dengan tampil menjawab segala tuduhan pembangkang.

Katanya: "Mengapa pula Umno, Najib dan Muhyiddin yang jadi sasaran, takkan kerana isu NFC dan Shahrizat pula pegang jawatan Ketua Wanita Umno, mereka berdua dipaksa memikul biawak hidup, tentulah tidak adil dan kejam persepsi sedemikian."

Syed Ali bagaimanapun kemudiannya menjelaskan bahawa maksud sebenar "seperti memikul biawak hidup" ditujukan kepada isu NFC dan bukannya kepada peribadi Shahrizat atau pun keluarga beliau.

Terpaksa hubungi polis

Dalam kenyataannya petang ini, Mahadi berkata walaupun dikatakan mahu menyerahkan memorandum berhubung kenyataannya dan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), kumpulan itu didakwa membuat kecoh dan mengeluarkan kata-kata kesat.

"Mereka juga tidak mahu mendengar langsung penjelasan Datuk Wira Syed Ali berhubung kenyataan beliau sebelum itu, malah fotokopi kenyataan akhbar dan blog umnobahagiancheras juga mereka koyak.

azlan"Ketegangan mula berlaku apabila salah seorang daripada mereka mula bertindak kurang ajar dengan cuba mencederakan Datuk Wira Syed Ali tetapi dapat dihalang, bagaimanapun butang baju Datuk Wira Syed Ali telah tertanggal kerana ditarik oleh mereka yang tidak dikenali," dakwanya.

Menceritakan semula kejadian pada hari itu, Mahadi berkata, insiden itu menjadi tidak terkawal sehingga memaksa kakitangan pejabat menghubungi pihak polis yang tiba tidak lama kemudian.

Sementara itu, ketetapan lain yang dicapai dalam mesyuarat tergempar Umno Cheras bersama sayapnya hari ini ialah:

(1) Bertegas dan mendesak pengurusan NFC supaya segala isu berbangkit diselesaikan secara telus demi memelihara kredibiliti perdana menteri, timbalannya, serta survival Umno menjelang pilihan raya ke-13.

(2) Umno Cheras tetap menentang apa jua penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan amalan kronisme yang dibimbangi akan menghakis keyakinan rakyat dan dalam masa yang sama tetap memperjuangkan nasib rakyat, terutama diperingkat akar umbi.

(3) Kesal dengan inisden tersebut yang dilihat seperti ada dalang yang merancang untuk melakukan kekecohan di pejabat Umno Cheras. MK/-

19 Disember 2011

Kajian UM di Perak: Video seks Anwar tidak dipercayai

23 Muharram 1433H. [MOD] -
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Dis: Kajian yang dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati majoriti respondan mereka tidak percaya kepada video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

54 peratus respondan pula berkata, PAS mampu menjadi alternatif kepada Umno untuk menjaga kepentingan Melayu.

Kajian itu juga mendapati, tahap kepercayaan yang rendah terhadap media arus perdana dalam membuat laporan tentang politik.

Keputusan ini diperolehi dalam kajian yang dijalankan mereka pada 23 - 30 Oktober 2011 di Perak.

Ia melibatkan responden seramai 1304 orang dengan menggunakan kaedah temubual secara bersemuka menggunakan soalan kaji selidik berstruktur.

Demikian kata Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman, Pengarah UMCEDEL, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dalam satu kenyataannya hari ini.

Kajian itu mendapati, hanya 18 peratus percaya kepada video seks itu, 46 peratus tidak percaya manakala 36 peratus lagi tidak pasti.

Selain keputusan itu, mereka juga mendapati majoriti pengundi di Perak telah membuat keputusan parti yang akan dipilih pada PRU ke 13 nanti.

Persepsi pengundi di Perak terhadap kerajaan BN pula berada pada tahap yang tidak membanggakan.

45 peratus dari respondan tidak menyokong kenyataan BN telah menunjukkan prestasi yang baik di Perak, hanya 38 peratus bersetuju dan 17 peratus tidak pasti.

PAS pula dilihat mampu menjadi alternatif kepada Umno untuk menjaga kepentingan Melayu.

54 peratus dari mereka bersetuju dengannya, manakala hanya 19 peratus kata PAS tidak mampu sementara 27 peratus tidak pasti.

Mereka juga mendapati pendekatan program 1Malaysia masih belum mampu untuk meningkatkan sokongan terhadap BN di Perak.

Kajian ini juga mendapati majoriti etnik Melayu menyokong BN sementara majoriti etnik Cina menyokong Pakatan di negeri itu.


Melaka Meriah Dengan Maksiat?



23 Muharram 1433H. [MOD] -

Selain terkenal dengan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Melaka juga terkenal dengan kelab-kelab malam yang terlalu banyak dan berleluasa di negeri ini

Ditambah pula dengan lelulusan Kerajaan Negeri Melaka yang melanjutkan waktu hiburan sehigga jam 3 pagi menjelang bulan Ramadhan yang lepas merancakkan lagi industri arak dan pelacuran yang menyebabkan gejala sosial yang lebih parah lagi seperti penzinaan, penggunaan dadah, pembuangan bayi dan lain-lain lagi.

Kerajaan melalui program ETP ingin mengangkat aktiviti hiburan seperti ini sebagai punca pendapatan negara kearah negara berpendapatan tinggi ini dilihat menggadaikan nilai-nilai Islam dan budaya masyarakat timur.

Apakah nilai dan seni budaya masyarakat Malaysia tidak lagi dapat menarik pelancong datang ke negeri Melaka ini. Apakah kita kekurangan produk perlancongan sehinggan perlu mempromosikan hiburan ala-barat sebegini?

Dengan kewujudan kelab malam yang banyak ini ditambah pula dengan melanjutkan waktu operasi, mampukah kerajaan Ali Rustam menyediakan penguatkuasa untuk membenteras aktiviti-aktiviti maksiat perjudian dan aktiviti pelacuran yang berlaku?

Waktu operasi bertambah, bertambahkah juga penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi memantau aktiviti-aktiviti maksiat yang dilakukan oleh orang Islam?

Hasil tinjauan mendapati begitu banyak kelab-kelab malam yang wujud disekitar kawasan Melaka Raya sahaja, tidak termasuk tempat-tempat yang lain lagi.

selatan online/-

Berdepan penjara 7 hari

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Akibat mengikut emosi, seorang remaja yang gagal mengawal sikap baran berdepan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Hanafi Abdul Wahab, 18, didakwa melakukan kesalahan itu pada 12 Disember lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Zaki Ab Jalil, 25, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada 12 Disember lalu kira-kira jam 11.30 malam semasa pengadu berada di rumahnya di Kampung Banggol Lalang, Serada, di sini, tertuduh telah datang berjumpa dengan abang pengadu.

Tertuduh tidak berpuas hati dengan abang pengadu, mengenai pembinaan kotak pembentung di hadapan rumah pengadu milik abang pengadu, Che Mohd Zainun.

Semasa pertengkaran, ibu pengadu datang untuk meleraikan dan selepas itu pengadu datang untuk selesaikan masalah itu dengan cara baik, tetapi tertuduh telah naik angin dan terus menumbuk muka pengadu menyebabkan hidungnya berdarah, manakala pipi dan mulutnya luka.

Pada 14 Disember kira-kira jam 12.05 tengah hari, pihak polis telah berjaya menangkap suspek di hadapan Pejabat Jenayah IPD Kuala Terengganu.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim yang memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun boleh dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda yang telah ditetapkan.

Sinar Harian

Obama elak 'cerita keluarga' dihebah

23 Muharram 1433H. [MOD] -

OBAMA bersama anaknya, Malia.
Presiden Amerika perjelas sebab larang anak guna Facebook

LONDON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melarang anak perempuannya menggunakan Facebook kerana beliau tidak mahu 'orang luar mengetahui hal ehwal keluarga mereka.'

Obama berkata, adalah tidak munasabah untuk meletakkan semua maklumat peribadi keluarga untuk tatapan umum. Anak sulungnya, Malia, 13, sudah layak menggunakan Facebook tetapi tidak adiknya, Sasha, 10, lapor Daily Mail.

Mengapa kita perlu ramai orang yang kita tidak kenali tahu urusan kita? Ia langsung tidak masuk akal. - Obama

Obama berkata, beliau tidak benarkan mereka menyertai laman sosial terbabit sehingga kedua-duanya lebih matang dan itu bermakna sekurang-kurangnya empat tahun lagi.

Facebook menetapkan usia 13 tahun sebagai usia layak bagi seseorang untuk mempunyai akaun dalam web sosial itu.

Pengakuan Obama mungkin tidak kena dengan tempatnya kerana beliau sendiri menggunakan Facebook dan laman web lain untuk menggalakkan golongan muda mengundinya dalam pilihan raya selain menarik berjuta dolar bagi kempen beliau.

Atas sebab yang sama, Obama dikenali sebagai ‘Presiden Media Sosial Pertama’, lapor akhbar itu. Laman Facebook Obama mendapat tanda ‘I Like’ kira-kira 24 juta orang dan masih penting dalam usaha bertanding semula bagi terus tinggal di Rumah Putih.

Satu gambar di Facebook menunjukkan Obama berenang di laut bersama seorang anak perempuannya. Dalam satu temubual, Obama menerangkan mengapa beliau melarang anaknya menggunakan Facebook:

“Mengapa kita perlu ramai orang yang kita tidak kenali tahu urusan kita? Ia langsung tidak masuk akal. Kita lihat apa rasa mereka, empat tahun lagi.” – Agensi

Amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan

23 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU 19 Dis. – Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga dan Ribut Tropika “Washi” yang terbentuk kira-kira 420km ke barat laut Palawan, Filipina pada 5.45 pagi ini dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zukifili Abu Bakar berkata, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60kmsj serta ketinggian ombak melebihi 5.5 meter, dan disertakan dengan ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Mersing, Tanjung Sedili, Desaru, Sungai Rengit dan sepanjang pantai Timur Johor dijangka berterusan sehingga 29 Disember.

Kawasan pantai Timur Johor juga dijangka terdedah kepada kenaikan paras air laut.

Beliau berkata, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai, nelayan-nelayan kecil dan laut dalam dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak sepanjang pantai Johor Timur.

Dimaklumkan juga ribut petir akan berlaku di perairan Johor Timur dan keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50kmsj serta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil, katanya.

Katanya lagi, dalam masa seminggu sahaja berlaku dua kejadian mati lemas melibatkan seorang remaja berumur 19 tahun di pantai peranginan Tanjung Balau pada 14 Disember lalu dan semalam melibatkan dua remaja lagi berumur 14 tahun dan 21 tahun di pantai Desaru ketika mandi di pantai berkenaan.

“Ketika ini mangsa pertama pertama yang berumur 14 tahun telah ditemui semalam pada jam 1 petang, sementara usaha mengesan remaja berusia 21 tahun masih dilakukan yang melibat pelbagai agensi keselamatan.

“Kejadian dimaklumkan berpunca daripada pengunjung yang melanggar amaran bahaya mandi laut melalui bendera merah yang dikibarkan.

“Kita mengingatkan ibu bapa atau penjaga tidak membawa anak-anak mereka berkelah dan mandi manda atau apa-apa kegiatan rekreasi di pantai memandang ketika ini musim tengkujuh sedang melanda perairan pantai Timur Johor,” katanya. – BERNAMA

Turun gambar Najib simbolik hilang percaya

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Dis: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini menjelaskan tindakan spontan seorang peserta protes Auku yang menurunkan gambar Datuk Seri Najib di hadapan ibu pejabat Umno di PWTC, Sabtu lalu adalah kerana terlalu kecewa dengan kepimpinan perdana menteri itu.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab. Razab berkata, tindakan itu juga sebagai simbolik hilangnya kepercayaan anak muda khususnya mahasiswa terhadap Najib selaku ketua kerajaan yang gagal melaksanakan transformasi yang dijanjikan.

"Tindakan tersebut sebagai simbolik hilang percaya mahasiswa kepada kepimpinan negara khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

"Segala agenda yang dicanang perdana menteri gagal diimplimentasi secara telus dan dilihat hanya sebagai gimik politik," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan China KL Selangor hari ini.

Beliau mengulas insiden gambar Najib di PWTC yang diturunkan beberapa minit ketika ratusan mahasiswa berhimpun di situ bagi menyerahkan memorandum menuntut kebebasan akademik kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Dalam insiden itu, seorang mahasiswa didakwa bertindak spontan menurunkan gambar Najib dan menggantikannya dengan bendera 'Kebebasan Akademik' selama beberapa minit sebelum menaikkan semula gambar Najib.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang kritikan hebat khususnya oleh pimpinan dan ahli Umno.

Terbaru, sekumpulan pemuda Umno Petaling Jaya Utara mengeluarkan kenyataan di Youtube yang mengugut mahu 'meludah muka' dan 'menampar' mahasiswa yang menurunkan bendera tersebut.

"Ia diturunkan dan dinaikkan semula secara normal, tak ada lipat-lipat tak ada conteng-conteng.

"Tak ada isu pun sebenarnya. Itu respons spontan mahasiswa," kata Ahmad Syukri.

Turut serta pada sidang media itu termasuklah mantan Pengerusi SMM Shazni Munir Mohd Ithnin.

Mengulas ugutan pemuda Umno itu, Shazni berkata pemuda Umno tersebut sepatutnya melihat perkara yang menjadi tuntutan mahasiswa bukannya mengalihkan isu terhadap gambar Najib itu.

Beliau juga turut mempelawa pemuda Umno itu berbincang secara matang dengan mahasiswa.

Sementara itu, mahasiswa akan membuat laporan di Ibu pejabat Polis Bukit Aman jam 2 petang ini berhubung ugutan Pemuda Umno itu.

Dalam pada itu, sempena himpunan bersejarah Sabtu lalu, SMM juga akan mengisytiharkan setiap 17 Disember adalah Hari Kebebasan Akademik di negara ini.

harakahdaily/-

Makin ramai ahli tinggalkan Umno di Jeli

23 Muharram 1433H. [MOD] -

JELI, 19 Dis: Hasrat Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu terus mempertahankan parlimen ini buat penggal ketiga pada pilihan raya umum ke-13 kini makin tergugat.

Majoriti undi yang diraih iaitu sebanyak 4,436 pada pilihan raya umum Mac 2008 sekarang semakin mengecil apabila ramai ahli dan penyokong Umno menyertai PAS.

Malam tadi seramai 113 lagi ahli dan penyokong Umno diketuai Mohd Yusof Abdullah, 62 menyerah borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Program itu diadakan di Dun Air Lanas, yang menyaksikan kehadiran orang ramai luar jangka biar pun hujan pada sebelah siang.

Malah selepas ini banyak lagi siri ceramah Selamat Tinggal Umno akan diadakan di dua Dun di Jeli iaitu Kuala Balah dan Bukit Bunga.

Mat Yusof yang tinggal di Blok Machang, Air Lanas berkata, kesedaran yang berputik dalam dirinya sendiri menjadi punca beliau meninggalkan Umno.

Katanya, beliau dan isteri serta rakan-rakan memilih berhijrah sempena tahun baru Islam dan berazam mahu membantu PAS merampas semula parlimen Jeli.

“Selepas ini ada lagi rakan-rakan saya dalam Umno yang akan mengikut jejak langkah saya,” katanya yang berpeluang berucap di hadapan ribuan yang hadir.

Menurutnya biar pun sudah lama berjuang dalam Umno, namun kesedaran mulai berputik dalam jiwanya bagi memilih haluan Islam bagi meneruskan sisa-sisa perjuangan.

Rakannya Tuan Hassan Tuan Mat, 50 memberitahu sudah lama kesedaran berputik dalam jiwanya untuk memilih Islam sebagai medan perjuangan.

Katanya, beberapa tahun lalu beliau pernah bermimpi bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Beliau hairan bagaimana wajah Menteri Besar Kelantan boleh muncul dalam mimpinya biar pun bukan penyokong PAS.

“Bermula dari situlah mulai lahir satu kesedaran baru dan saya tekad meninggalkan perjuangan lama yang tidak lagi memberi apa-apa makna.

“Lagi pun anak saya sudah lama meminta saya meninggalkan Umno,” ujarnya.

Hadir sama di majlis ceramah itu Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, Yang Dipertua PAS Jeli, Apandi Mohamad, Adun Air Lanas, Abdullah Ya’kob dan Penyelia Dun Bukit Bunga, Suply Abdul Razak.

Harakah Daily

Nelayan usah ke laut

23 Muharram 1433H. [MOD] -

RHU SEPULUH – Nelayan diingatkan untuk tidak turun ke laut dalam keadaan laut bergelora dan angin kencang kerana boleh mengancam keselamatan diri sehingga cuaca kembali pulih.


Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu, Tengku Anwar Tengku Mat berkata, sepanjang tempoh ini nelayan digalakkan untuk membuat kerja-kerja membaiki pukat yang rosak atau melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

“Saya mendapat maklumat nelayan bot kecil sudah tidak dapat turun ke laut sejak dua minggu lalu kerana keadaan angin kencang dan dijangkakan berterusan sehingga penghujung Disember,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai stok ikan sepanjang musim tengkujuh ini, Tengku Anwar berkata setakat ini bekalan ikan masih mencukupi untuk menampung keperluan pengguna.

“Ini sebab, kita telah membuat persediaan awal dengan mengimport ikan dari Pantai Barat dan Utara Semenanjung kerana sudah menjangkakan permintaan ikan akan meningkat pada waktu ini.

“Antara stok ikan yang dibawa masuk sejak awal adalah selayang dan selar kerana kedua-dua jenis ikan itu mendapat permintaan tinggi terutama kepada pembuat keropok dan pengguna,” katanya.

Sinar Harian

Skandal NFC: PKR edar risalah sebar maklumat

23 Muharram 1433H. [MOD] -

KLUANG - PKR bertindak mengedarkan risalah ‘Tolak Kerajaan 1Malaysia Lembu’ berkaitan skandal projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) di sekitar kawasan Simpang Renggam, petang kelmarin.

Risalah tersebut diedar susulan skandal projek berkenaan yang dikatakan ada kaitan dengan Menteri Pem­bangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan PKR mahu kerajaan menjelaskan isu tersebut.

Ketua Wanita Keadilan ne­geri, Natrah Ismail berkata, tujuan utama risalah itu diedarkan adalah menyentuh wang bernilai RM250 juta yang dikatakan telah disa­lahgunakan oleh Shahrizat.

“Kita difahamkan wang RM250 juta adalah wang pinjaman, tetapi masalahnya di sini siapa yang beri pinjaman kepada beliau (Shahrizat) sedangkan nilainya terlalu banyak.

“Kalau bukan wang rakyat, wang itu dari mana? Dan saya mahu tanya kepada Shahrizat RM250 juta itu wang siapa? Itu yang saya mahu beliau jawab,” katanya kepada Sinar Harian.

Natrah yang mewakili PKR Johor berkata, dalam isu tersebut, Shahrizat sentiasa mengecam Ahli Parlimen Am­pang, Zuraida Kamaruddin dan PKR sendiri kerana menceritakan kegunaan wang RM250 juta yang disalahgunakan oleh beliau.

“Walaupun pada asalnya wang tersebut bagi penternakan lembu untuk dibekalkan ke seluruh negara, tetapi apa jadi sekarang? Apabila perkara ini dibangkitkan dan Laporan Au­dit Negara ada menyatakan ten­­tang penyelewengan itu maka kami Pakatan Rakyat (PR) mahu menimbulkannya bagi mendapatkan penjelasan.

“Walau bagaimanapun, Umno dilihat seolah-olah mahu mempertahankan isu RM250 juta ini,” katanya.

Natrah berkata, mewakili Wanita Johor beliau ingin memaklumkan bahawa teluslah dalam pemberian RM250 juta dan projek apa sebenarnya yang dilakukan.

“Kita di Malaysia ada penternak dan petani oleh yang demikian kenapa wang tersebut tidak disalurkan kepada mereka. Ini tidak, mereka beri wang tersebut kepada satu kumpulan dan untung tidak ada, tetapi semakin rugi,” katanya.

Sementara itu, apabila diminta mengulas mengenai bantahan yang dilakukan oleh anak-anak muda Simpang Renggam terhadap pengedaran risalah yang dilakukan oleh PR, Natrah menjawab, anak-anak muda tersebut tidak tahu apa yang dilakukan mereka kerana ada pihak yang menyuruh mereka melakukan sedemikian.

Beliau berkata, jika tanya kepada anak-anak muda itu apakah NFC? Mungkin mereka tidak tahu dan mereka hanya tahu memprotes dan membawa motosikal mengelilingi Pekan Simpang Renggam bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.

“Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Ampang tidak hadir dan mereka tidak sepatutnya berbuat demikian kerana kami datang dan menyebarkan risalah secara aman tanpa menyusahkan orang lain.

“Jadi mereka tidak sepatutnya melakukan seperti itu malah, anggota polis harus bertindak terhadap mereka kerana menyusahkan orang ramai dengan perhimpunan yang diadakan itu. Walau bagaimanapun, laporan polis telah kami buat di Balai Polis Simpang Renggam.

Dalam pada itu, penyebaran risalah ini juga akan sentiasa berterusan sehingga tahun hadapan bagi menyampaikan maklumat tersebut kepada rakyat,” katanya.

Sinar Harian