27 Disember 2011

Wanita berzina dihukum gantung

2 Safar 1433H. [MOD] -

TEHERAN - Pihak berkuasa Iran, kelmarin, dilaporkan akan meneruskan rancangan menjalankan hukuman mati ke atas seorang wanita atas kesalahan berzina dalam kes yang dicemari campur tangan masyarakat antarabangsa.

Namun, Iran mungkin akan menjalankan hukuman itu melalui tali gantung berbanding hukuman awal iaitu rejam sampai mati.

Tertuduh, Sakineh Mohammadi Ashtiani kini sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan berasingan iaitu bersubahat untuk membunuh suaminya.

Iran menangguhkan hukuman rejam ke atas Sakineh, Julai tahun lalu selepas kes wanita itu mendapat perhatian media antarabangsa dan mencetuskan kritikan oleh negara Barat.

Jabatan kehakiman dan undang-undang Islam negara itu sedang mengkaji sama ada hukuman rejam sampai mati yang sepatutnya dikenakan ke atas Sakineh boleh diubah kepada hukuman gantung bagi mengelakkan salah anggap mengenai undang-undang Islam.

Sakineh disabit bersalah atas dakwaan berzina pada 2006 selepas pembunuhan suaminya dan wanita itu kemudian didapati turut bersubahat dalam pembunuhan itu.

Sinar Harian

Pasar makin uzur

2 Safar 1433H. [MOD] -

SENTUL - Kemudahan rosak di Pasar Bandar Baru Sentul, di sini perlu dibaik pulih segera demi keselesaan peniaga dan orang ramai yang berkunjung ke pasar itu.

Tinjauan Sinar Harian, semalam menemui peniaga yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan masalah yang berlaku membabitkan kerosakan­ kemudahan yang disediakan.

Peniaga A Rahman Abdul Hamid, 71, berkata, masalah kebocoran sistem saluran air buangan di tingkat satu telah merosakkan siling kedainya.

“Masalah ini sudah diadukan sejak setahun lalu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun sehingga kini saliran yang bocor masih tidak dibaiki menyebabkan peniaga mengalami kesukaran untuk berniaga,” katanya.

Dia yang berniaga di kawasan itu sejak dua tahun lalu berkata, keadaan itu tambah menyesakkan apabila cecair kesan dari kebocoran menimbulkan bau kurang enak.

Masalah sama turut dihadapi peniaga roti, Kua Poh Woke, 49, apabila kedai yang disewanya mengalami masalah kebocoran saliran.

“Kami semua bayar sewa RM270 sebulan dan terbaru kami dengar sewa akan dinaikkan sehingga RM380 untuk seunit kedai,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jika masalah itu tidak selesai, kenaikan sewa yang dikenakan dianggap tidak berbaloi.

Bagi peniaga kedai makan, Ah Kit, 50, pula mahu kerusi dan meja yang rosak di medan selera itu perlu diberi perhatian segera kerana kebanyakannya sudah tercabut.

“Apa yang dapat dilihat kemudahan yang disediakan kurang kualitinya serta tidak tahan lasak menyebabkan ia mudah rosak,” katanya.

Menurutnya, peniaga terpaksa mengambil inisiatif menggunakan meja dan kerusi sendiri bagi menggantikan peralatan yang rosak.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai yang turut hadir melawat pasar itu berkata, pihaknya akan membantu peniaga menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Kita akan aturkan pertemuan bersama DBKL bagi menyelesaikan masalah pasar pagi di kawasan ini,” katanya.

Sinar Harian

Lentuk atas paha teman lelaki

2 Safar 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang remaja perempuan menggunakan alasan sakit kepala ketika dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

Dia dicekup akibat berkelakuan tidak sopan di tempat awam dengan baring di atas paha teman lelakinya.

“Kami tidak buat apa-apa ustaz, saya hanya baring di pahanya kerana sakit kepala,” katanya memberi alasan ketika ditanya penguat kuasa.

Kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an itu dicekup ketika bermesra-mesraan di sebuah hentian rehat di negeri ini.

Ketika menjalankan pemeriksaan, mendapati kereta pasangan berkenaan diletakkan di bahagian bahu jalan dengan keadaan yang agak gelap walaupun terdapat lampu beberapa meter dari kawasan itu.

Agak lama juga kenderaan JAIPP berada bersebelahan dengan kereta itu bagi memerhatikan gelagat pasangan muda berkenaan.

Lebih teruk apabila sebuah lagi kereta yang dimiliki sepasang kekasih lain berada di hadapan kereta pasangan yang dicekup JAIPP itu masih tidak berganjak walaupun terlihat anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan.

Lelaki yang ditahan JAIPP itu turut memberikan alasan duduk di tempat yang cerah bukannya gelap gelita.

Namun, penguat kuasa memberitahu ia tetap satu kesalahan kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua remaja itu turut diarahkan keluar dari kenderaan mereka bagi membuat pemeriksaan.

Hairannya setelah ditanya kali kedua, si gadis menafikan pula dia sakit kepala sehingga ditegur penguat kuasa kerana memberikan kenyataan berbeza.

Si lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia sudah bertunang dengan teman wanitanya itu.

“Saya sudah bertunang dan sedang merancang untuk berkahwin,” katanya.

Namun, Ketua Operasi dan Penguat kuasa JAIPP, Khairul Azman Azizan menasihatkan supaya kedua-duanya segera melangsungkan pernikahan bagi mengelakkan sebarang perkara maksiat.

“Jika sekarang sudah bertunang, cepat-cepatlah melangsungkan perkara yang wajib bagi mengelak maksiat,” katanya.

Sinar Harian

Keselamatan penduduk terancam

2 Safar 1433H. [MOD] -

KEPONG - Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, di sini mendakwa terpaksa berhadapan risiko keselamatan apabila laluan di kediaman itu dijadikan jalan alternatif ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Keadaan itu dikatakan berlaku sejak 2006 apabila jalan yang sepatutnya dibina mengikut pelan asal tidak dilaksanakan.

Lebih menerima kesan adalah kira-kira 1,000 penduduk di blok A kerana jalan keluar menuju ke MRR2 perlu melalui hadapan blok berkenaan yang mana dilalui kenderaan dari kedua-dua arah.

Penduduk, Yuniza Yusof, 33, berkata, dia sudah lima tahun menetap di blok A mengakui keadaan itu membahayakan penduduk terutamanya kanak-kanak.

Menurutnya, ruang jalan yang ada di hadapan blok mereka agak terhad apabila kenderaan milik penduduk terpaksa diletakkan di bahu jalan.

“Bila kereta kerap lalu di sini, ia memang membahayakan kanak-kanak terutama yang nak ke sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Diri Marsadi, 40, berkata, pelbagai jenis kenderaan yang melalui kawasan itu menyebabkan keselamatan penduduk terancam dengan bahaya, keadaan itu turut menyebabkan berlakunya kemalangan.
“Kenderaan berat seperti lori juga menjadikan laluan ini sebagai laluan singkat ke kilang terdekat,” katanya.

Setiausaha Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri, Shahrudin Mohd Yusof berkata, kenderaan yang berasak-asak melalui jalan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga menyukarkan kenderaan penduduk yang diletakkan di petak parkir untuk keluar.

Katanya, situasi menjadi lebih teruk apabila tiba waktu puncak, penduduk dari Taman Intan Baiduri menggunakan laluan tepi blok B dan hadapan blok A.

“Masalah ini sudah diajukan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui borang permasalahan PPR yang diedarkan, namun sehingga kini belum ada tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian ke PPR mendapati, kenderaan yang memalui jalan di blok A tidak putus selama kira-kira tiga jam.

Jumlah kenderaan dipercayai bertambah apabila tiba musim persekolahan dan waktu puncak pergi dan balik kerja.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri, Mohd Alim Ibrahim berkata, pelan asal laluan jalan raya bagi kawasan PPR Intan Baiduri sepatutnya tidak melalui hadapan blok A, tetapi terus ke Jalan Taman Intan Baiduri dari jalan masuk MRR2.

Keadaan itu menurutnya, sama seperti mana yang dirangka dalam pelan asal yang diperoleh pihaknya.

Jelas beliau, sejak memegang jawatan sejak lebih setahun lalu, sudah acap kali aduan diajukan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tetapi belum ada sebarang tindakan diambil.

“Perkara ini menyusahkan kerana kira-kira 8,000 penduduk dari enam blok akan melalui jalan di hadapan blok A apabila mereka masuk daripada MMR2.

“Penduduk blok B hingga H pula menghadapi masalah kerana bertembung di persimpangan jalan keluar di blok B apabila kenderaan lain dari Jalan Taman Intan Baiduri melalui jalan sama untuk MMR2,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu perlu diatasi segera, sudah beberapa kemalangan berlaku dan ada yang membawa maut.

Katanya, sekiranya jalan mengi­kut pelan asal dibina, kenderaan dari luar dan juga penduduk sendiri tidak perlu melalui jalan di hadapan blok A, apabila semua akan menggunakan jalan sama.

“Kami berharap agar perkara ini dapat diselesaikan segera kerana ia mengancam keselamatan penduduk dan menyusahkan warga PPR,” katanya.

Sinar Harian

Operasi buru geng curi motor

2 Safar 1433H. [MOD] -

KLUANG - Dalam masa dua minggu sahaja polis daerah ini berjaya menangkap 14 lelaki yang terlibat dalam kes curi motosikal di kawasan sarang penagih dadah, rumah kosong dan ladang di sekitar Simpang Renggam, Layang-Layang, Kluang dan Sri Lalang.

Operasi berkenaan telah dijalankan di semua balai yang berada di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang berikutan jenayah mencuri motosikal semakin berleluasa di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamed berkata, operasi berkenaan dijalankan sejak 1 November hingga 16 Disember lalu dan akan diteruskan sehingga hujung bulan ini.

“Hasil operasi yang dijalankan telah menangkap seramai 14 lelaki terdiri daripada 12 lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing yang berjaya ditangkap di lokasi berlainan.

“Anggaran umur kesemua suspek dalam lingkungan 24 hingga 45 tahun dan beberapa orang suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah seperti lain-lain kes curi,” katanya kepada media di IPD Kluang, baru-baru ini.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan juga mendapati beberapa suspek positif dadah setelah ujian air kencing dijalankan ke atas mereka.

Mohd Noor berkata, dengan tertangkapnya suspek berkenaan, polis berjaya merampas 11 motosikal melibatkan tujuh kes bagi Kluang, satu kes di Ayer Bemban, Kulai; satu kes di Ayer Hitam, Batu Pahat; satu kes di Masai, Seri Alam dan satu kes di Bukit Indah, Nusajaya.

“Kesemua suspek telah direman di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan (KK) dan beberapa suspek telah dituduh di bawah Seksyen 379(A) KK dan Seksyen 411 KK kerana memiliki barang curi.

“Manakala, suspek yang masih lagi dalam reman akan terus disoal siasat dan bagi tangkapan luar daerah Kluang akan dirujuk kepada pihak IPD masing-masing,” katanya.

Sinar Harian

Bina tembok atasi ponteng

2 Safar 1433H. [MOD] -

RAWANG - Pembinaan tembok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rawang dilihat mampu mengurangkan kes ponteng sekolah dalam kalangan pelajarnya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohd Shaufi Shafie berkata, peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membina tembok itu dikeluarkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak dan kerja pembaikan mula dilakukan hujung bulan lalu.

Menurutnya, langkah segera PPD itu dilihat perlu untuk mengelak berlakunya pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab ke sekolah kerana lokasinya berhampiran­ kawasan perumahan.

“Tembok sedia ada runtuh dua bulan yang lalu, dengan inisiatif PPD ini, kita sambut baik kerana dapat mencegah pencerobohan orang luar dalam kawasan sekolah dan risiko kepada kehilangan barangan berharga seperti komputer.

“Tembok ini juga mampu dijadikan pengadang menge­lak berlakunya tanah runtuh memandangkan kawasan sekolah adalah sedikit rendah berbanding kawasan perumahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Shaufi berkata, untuk mengelak kejadian tidak diingini termasuk runtuhan tanah, dia meminta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyegerakan proses pembaikan pagar di kawasan perumahan berkenaan.

“Terdapat dua tembok yang memisahkan sekolah dan kawasan perumahan, masing-masing tanggungjawab PPD dan MPS.

“Tembok sekolah sudah diambil tindakan oleh PPD, tetapi pagar kawasan perumahan masih belum dibaiki menimbulkan kerisauan kerana memberi kesan kepada keselamatan sekolah memandangkan kawasannya lebih rendah dari kawasan perumahan,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan masalah ponteng pelajar sekolah berkenaan dikaitkan dengan masalah pengawasan, keruntuhan tembok pengadang di kawasan belakang sekolah itu dijadikan salah satu punca berlakunya kes berkenaan.

Kerosakan itu memudahkan pelajar keluar masuk pada sesi persekolahan untuk melepak di kawasan perumahan berhampiran hingga menimbulkan aduan penduduk sekitar.

Sinar Harian

Isteri harap pembelaan

2 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - “Saya hanya mampu berdoa agar mereka (penjenayah) menerima balasan daripada tuhan dunia dan akhirat,” kata Mariam Hussin, 42, isteri Abbas Abu Baka yang mati ditetak tiga lelaki bertopeng di Taman Puteri Wangsa, di sini, semalam.

Mariam berkata, pada hari kejadian, suaminya yang biasanya keluar awal ke tempat kerja seperti sengaja melengahkan masa.

“Selalunya dia amat menepati masa tetapi sejak kebelakangan ini, lain pula sikapnya. Dia seperti sengaja berlengah sejak beberapa hari sebelum itu,” katanya.

Menurut Mariam, hatinya sedikit terusik melihat perubahan sikap Abbas namun tidaklah sampai hendak menjangka perkara itu yang begitu buruk.

“Namun saya dapat rasakan dia seperti ada masalah. Ini ditambah dengan keadaannya yang tiba-tiba jadi murung dan lebih banyak berdiam diri. Apabila saya tanya, dia kata tak ada apa-apa,” katanya.

Abbas, 45, pegawai perhubungan awam (PRO) di sebuah firma di sini, mati di tempat kejadian kira-kira jam 2 pagi kelmarin akibat tetakan di bahagian kepala dan badan. Dia diserang tiga lelaki ketika sedang minum teh tarik di sebuah restoran di Taman Puteri Wangsa.

Mariam percaya, pembunuhan suaminya mungkin dirancang kerana Allahyarham sememangnya sering singgah di restoran itu untuk minum teh tarik dalam perjalanan balik dari kerja.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Ismail berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian itu.

“Kita minta jika keluarga mangsa menerima ugutan, segera laporkan kepada polis bagi membantu siasatan.

“Kami juga merayu orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tidak pernah insaf

2 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Tindakan nekad seorang lelaki untuk masuk menghadapi perbicaraan kesalahan jenayah dadah tetapi masih berani membawa bekalan dadah bersamanya masuk ke dalam Mahkamah Majistret, di sini, Khamis lalu, akhirnya membawa padah.

Tertuduh, Mohd Tolaha Jaafar, 41, menyorokkan dadah di dalam poket seluar dipakainya dan dikesan berbuat demikian semasa pemeriksaan ke atas badannya.

Pemeriksaan rutin itu dibuat bagi semua pesalah, sebelum dimasukkan ke dalam lokap mahkamah sementara menunggu untuk dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman yang diperintahkan oleh mahkamah, setelah dia didapati bersalah atas dakwaan jenayah dadah yang dilakukan sebelumnya.

Perbuatan tertuduh yang dilihat tidak pernah insaf itu akhirnya memakan diri sendiri setelah dia sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta sama.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang berasal dari Jalan Sultan Mahmud, di sini, didakwa ada dalam milikan dadah jenis Heroin seberat 1.4 gram (berat kasar) pada 22 Disember lalu jam 10.15 pagi di tingkat dua, Mahkamah Kuala Terengganu.

Manakala, bagi pertudu-han kedua, dia didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.35 gram (berat kasar) pada tarikh, waktu dan tempat sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V. Ravi di hadapan Majistret Nor Azizah Jusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nor Azizah seterusnya menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Berdasarkan kes, pada 22 Disember lalu kira-kira jam 10.15 pagi, tertuduh diserahkan kepada anggota polis cawangan pengiring yang bertugas untuk dimasukkan ke dalam lokap mahkamah setelah gagal menjelaskan denda yang dikenakan ke atasnya selepas disabitkan kesalahan dadah.

Sebelum dia dimasukkan ke dalam lokap berkenaan, anggota polis bertugas, Koperal Alias Abdullah telah membuat pemeriksaan ke atas tubuh badannya dan ketika itulah berjaya menjumpai bungkusan plastik cerah lut sinar yang disorokkan di dalam poket seluar bahagian hadapan sebelah kanan seluar jeans dipakainya.

Hasil pemeriksaan menjumpai dua tiub straw yang setiap satunya diletakkan dadah berkenaan.

Harakah Daily

Kuah pun rasa ayam juga, lauk untuk pemimpin kita

2 Safar 1433H. [MOD] -

Pilihanraya sudah hampir tiba. Dalil-dalilnya semakin jelas. Pembahagian-pembahagian duit ratus-ratus ringgit seorang sudah mula dibayar. Walaupun pembayaran itu terlalu rendah untuk berkuasa dan mendapat pulangan yang berbillion bagi pemimpin-pemimpin yang berkuasa, itulah caranya UMNO hendak selamat kali ini. Walau bagaimana pun itu hanyalah usaha tetapi yang menentukan tetap rakyat.

Kalau dikaji dari jumlah yang dibayar kepada rakyat, dengan jumlah sebanyak 1 trillion ringgit yang dilarikan oleh setengah pihak yang berkuasa atau pun kroni pihak yang berkuasa jumlah itu terlalu kecil: ibarat sebesar tahi gigi sahaja.

Lagi pun yang dibahagi itu adalah duit rakyat sendiri, duit pembayar cukai dan bukannya duit UMNO atau pun BN. Yang dibawa lari sebanyak 1 trillion ringgit keluar negara sejak 10 tahun dahulu pun adalah wang yang di curi dari rakyat. Semuanya rakyat yang punya.

Saya sempat berjumpa dengan ramai orang yang bertanya tentang RM500 dan bantuan sekolah RM100 yang dihebohkan oleh media setiap malam melalui TV3 itu. Rata-rata memberikan pandangan yang itu merupakan satu pembelian undi dan sokongan. Rupa-rupanya rakyat kita ini adalah terlalu murah pada pandangan pimpinan kita.

Ada juga yang mengatakan yang mereka hanya mendapat kuah sahaja tetapi ayam dan dagingnya di belasah oleh mereka yang berkuasa dan kroninya. Ada yang mengatakan kepada saya yang mereka hanya mendapat kuah kerana mereka menilai kita hanya setakat nilai kuah ayam sahaja.

Tetapi saya mengatakan, tak apalah dapat kuah sahaja. Selama ini pun tuan-tuan makan kuah sahaja. Biarlah lauk ayamnya mereka yang sental. Dah kita ini layaknya hanya setakat menghirup kuah sahaja, nak buat macam mana.

Mereka (pemimpin) hanya mahukan kita makan kuah sahaja dan tak lebih dari itu. Mereka mengatakan kalau makan dan menghirup kuah ayam, kuah itu rasa ayam juga. Asalkan dapat rasa ayam itu cukuplah. Kalau kita hirup soup kambing sahaja, soup itu pun ada rasa kambingnya. Cukuplah setakat itu.

Ayam dan kambing serta lauknya bukannya untuk kita. Itu untuk pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni mereka sahaja. Rakyat mesti sedar kenyataan ini. Kita mesti sedar yang rakyat hanya mendapat kuah ini adalah kehendak rakyat sendiri. Bukankah rakyat yang membiarkan mereka makan lauk dan kita semua makan kuah. Itu pilihan rakyat juga selama ini.

Kalau rakyat hendak makan lauk selepas ini, usaha itu mesti dilakukan oleh rakyat sendiri. Rakyat terpaksa ketepikan mereka yang ‘kuat makan’ ini. Cara untuk mengenepikan mereka yang ‘kuat makan’ ini rakyat sendirilah yang patut berfikir. Pilihannya luas terbentang. Tepuk dada tanyalah selera.

Tetapi kalau rakyat tidak berbuat sesuatu, itu sahajalah yang kita dapat selalu…..RM500 semasa undi rakyat diperlukan.Mereka (pemimpin) masih berfikir yang rakyat sudah selesa dengan makan kuah sahaja.

Kok tak dapek makan isi (lauk) dapek kuah pun cukuplah…..kuah ayam pun rasa ayam jugak kan!! Lauk yang sedap-sedap tu biar pemimpin-pemimpin kita makan, kerana mereka 'kuat makan'.

Harakah Daily

Siasat segera dakwaan Shahrizat - Pemuda Sabah

2 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 27 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mendesak Polis dan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera membersihkan kepimpinan negara daripada sebarang salah laku rasuah, korupsi dan salah guna kuasa.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, pendedahan terbaru yang dibuat oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil telah mengundang pelbagai andaian negatif rakyat terhadap integriti pemimpin kerajaan sedia ada.

“Jika benar dakwaan Shahrizat, polis dan SPRM perlu segera membuat siasatan rapi terhadap sebarang salahlaku tidak kira kepimpinan peringkat negara mahupun negeri.

"Sangat malang jika wujud pemimpin yang makan rasuah, hipokrit dalam memimpin, salah guna kuasa dan kedudukannya,” jelasnya.

Beliau mengulas kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu pada 25 Disember lalu yang mempersoalkan “siapakah pemimpin Umno yang tiada masalah”, yang dilihat seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Shahrizat berkata demikian bagi membela dirinya yang sedang ditekan ekoran skandal Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC).

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berpendapat, bukan Shahrizat sahaja yang salah dalam hal ini tetapi yang lebih bersalah adalah bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika projek itu diberikan, Tan Sri Muhyidin Yassin.

“Seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh beliau.

“Maklumlah, beliau sedang terpalit dengan ‘projek lembu kondo’ dan ramai rakan-rakannya yang mendesak beliau meletak jawatan. Takkan beliau seorang yang ada masalah,” kata Lahirul lagi.

Sementara itu, rakyat juga ujarnya tidak perlu berasa senang hati dengan tindakan ke atas Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd Khir Toyo yang didapati bersalah baru-baru ini oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Baginya, itu hanya kes terpencil malah yakin banyak lagi kes yang lebih besar yang sepatutnya diambil tindakan.

"Banyak lagi skandal Menteri Besar, Ketua Menteri, Bekas Menteri dan sebagainya.

"Ini perlu dibersihkan dan dihadap ke muka pengadilan dengan kadar segera,” ujarnya.

Harakah Daily

Pantun Seloka: Panglima Ludah Vs Mahasiswa

2 Safar 1433H. [MOD] -

Mahkamah dah sound Gerombolan durjana,
AUKU bercanggah Perlembagaan negara,
Pokjib dah gabra umum dipinda,
Mansuh sahaja… kan habis cerita

KL Sentral & PWTC medan ujian,
Minda merdeka dizahir perjuangan,
Ditangkap dihalau jadi cabaran,
Pantang undur mengalah jangan.

Beraninya Siswa bak Harimau muda,
Bendera diturun tanda protesnya,
Panglima marah meroyan gila,
Nak ludah tampar muka siswa,

Ludah & tampar ancaman Panglima,
Tidak bertamadun dangkal pula,
Diskusi ilmiah membuka minda,
Baru matang 1Malaysia.

Si kaki ludah membuka bicara,
Konco-konco dh siap siaga,
Senjatanya tangan bukan bicara,
Otaknya dilutut bukan dikepala

Panglima & konco berbaris sedia,
Nak masok Youtube hentam siswa,
Akhirnya diejek seantero maya,
Buat malu Pokjib 1Malaysia.

1Malaysia TV dilancar maya,
Nak lawan fitnah PR katanya,
Kalau berat sebelah macam TV3,
Jangan tengok… buang masa saja…

Adapun Pokjib tiada bicara,
Diam membisu komen tiada,
Bendera diturun dipasang semula,
Tak buleh dakwa jenayah tiada,

Adab sopan pekerti mulia,
Disanjung tinggi serata dunia,
Andai biadap perbuatan siswa,
Hadiah ‘Kek Tahi’ bagaimana pula?

Mual & loya video si polan,
Ludah & tampar jadi siulan,
Rantai dileher silau gemerlapan,
Mulut bertakbir menghalal perbuatan,

Mulanya serius dh jadi ceria,
Gelak ketawa memecah suasana,
Tak kering gusi lawak Panglima,
Calon ML Mega musim seterusnya.

Siswa pro-A pun nak demo sama,
Nak ucap sayang Pokjib 1Malaysia,
Belakang Pudin korang sound selamba,
Pudin nak jumpa korang enggan pula?

Ugutan bacul mainan Panglima,
Dijaja fitnah Utusex Meloya,
Kebebasan akademik intipati cerita,
Kenapa persepsi ‘biadap’ disensasi Media?

Siswa dikongkong berzaman lamanya,
Disekat suara dijumudkan minda,
Panglima machai tau angguk saja,
Macam lembu-lembu yg kak Jat bela,

Kuasa perubah ditangan Siswa,
Merubah landskap politik Malaysia,
Kuatkan tekad perjuanganmu anak muda,
Ayuh! PRU13 hancurkan Gerombolan durjana

Ptuih… ptuih… ptuih…

Harakah Daily

Razak Baginda sudah dekati Islam

2 Safar 1433H. [MOD] -

KATA Tan Sri Abdullah Kok Lanas dalam tulisannya bahawa Dr. Abd Razak Baginda mengaku bahawa dia sedang mendekati politik Islam dan agama Islam.
Alhamdulillah.

Ia mengingatkan saya kepada Almarhum Tan Sri Nordin Saufee, pengasas dan pengarah ISIS yang pertama.

Dalam satu majlis Hari Kemerdekaan Amerika, Tan Sri Nordin sengaja memberitahu saya bahawa dia sedang mempelajari dan mendalami Islam.

Suatu yang baik, penghargaan saya kepadanya.

Dia tidak sekadar menyampaikan maklumat itu saja, bahkan cuba meyakinkan saya bahawa dia beliau bersungguh mendekati Islam. Saya tidak tahu mengapa dia sampaikan perkara itu kepada saya dan adakah dia buat begitu juga dengan orang lain.

Saya gembira dengan perkembangannya itu. Tetapi saya tidak bertanya, siapa gurunya? Guru amat penting bagi setiap penuntut Islam. Mestilah guru itu ulama yang diakui masyarakat tentang ilmunya, ibadatnya dan muamalatnya. Bukan saja dia mesti berguru kepada tok guru yang betul tetapi ilmu yang dipelajarinya itu mesti diredai oleh tok guru itu.

Tidak sempurna mengajinya sekadar membuat penyelidikan dan kajian tanpa guru kerana mengaji tanpa guru sama seperti mengaji pada seteru Adam a.s.

Kalau guru itu sekadar ulama muda UMNO, ia seperti tidak mengaji.

Kalau orang bertanya, siapa pula saya? Guru saya ialah Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang dan sekalian ulama PAS.

Maka kita boleh menghargai perkembangan Dr. Razak Baginda itu tanpa melupakan namanya telah dikaitkan dalam skandal seks dan pembunuhan Altantuya. Dia telah dibebaskan oleh mahkamah, tetapi mahkamah Malaysia adalah tidak berwibawa.

Apakah maklumat baru tentangnya akan dapat membebaskannya dari pembabitannya dengan pembelian kapal selam dan pesawat pejuang Sukoi dari Rusia dengan keuntungan sekitar setengah bilion dan hubungannya dengan kes Altantuya?

Jika dia bukan seorang Islam sebelum pembabitannya itu, apabila dia memeluk Islam maka dia adalah ibarat bayi yang baru lahir bebas dari sebarang dosa. Itu dari segi Islam tetapi dari sudut undang-undang dunia, entahlah. Apabila dia dibabitkan sebagai seorang Islam, maka pembabitan barunya dalam Islam tidak menjadikan dia sesuci bayi yang baru lahir.

Tetapi langkahnya mendalami ilmu Islam sebagai addin dan menghayatinya boleh membawanya menjadi seorang yang soleh dan dapat membersihkan dirinya dari sebarang keterlanjurannya. Syaratnya dia mesti melalui syarat taubat yang ditentukan oleh Islam yang sedang dipelajarinya itu.

Setiap orang Islam mesti mengalu-alu dan menggalakkannya untuk membuat kerja yang baik itu. Jangan pula ada prasangka kepadanya kerana dia sedang dan hendak membuat kerja yang baik.

Insya Allah ilmu Islam yang diperolehinya nanti dapat memberinya jalan yang betul bagi menyelesaikan segala masalah yang berlalu bagi menjalani hidup yang baru.

Cabarannya adalah besar. Dia mesti bersedia menjadi saksi seperti yang dikehendaki oleh Islam dalam skandal besar yang ada sekarang. Tanpa ilmu Islam yang secukupnya tiada sesiapa sedia menjadi saksi yang jujur.

Razak Baginda dipercaya sudah berada di landasan yang betul, apabila dia mula mempelajari ilmu Islam termasuk politiknya.

Politik Islam yang paling releven sepanjang seabad lalu ialah yang diasaskan oleh Imam Hassan Al-Banna. Beliau pula telah memahami segala yang disarankan oleh Jamaluddin Al-Afghani, Muhamad Abduh dan lain-lain. Razak kena dekati semua rangkaian gerakan Islam di seluruh dunia sekarang yang asas masing-masing bertolak dari Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan oleh Hassan al-Banna itu.

Mengkaji dan mempelajari saja tidak cukup tanpa menyertai dan melibatkan diri. Para orientalis juga mempelajari Islam dari guru-gurunya sendiri. Bila ilmunya tidak menjadikannya Islam, maka ilmu Islamnya menjadi mereka bertambah sesat. Sebelum orientalis mempelajari Islam, ia sudah sesat. Apabila ia menguasai ilmu Islam, ia bertambah sesat dan menyesatkan.

Justeru itu Dr. Razak cari jalan berguru dengan tokoh seperti Yusuf Qardawi dan sekutu-sekutunya yang ramai di England, di Mesir dan lain-lain.

Kalau balik ke Malaysia bagi mendalami politik Islam, Dr. Razak wajar berdamping dengan Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Hadi. Mereka sendiri adalah sebahagian dari politik Islam kerana mereka terlibat secara langsang. Mereka tua dalam politik Islam.

Tetapi kalau berguru dengan ulama muda UMNO, politik Islak tidak mengiktraf mereka terlibat dalam politik Islam. Pertama mereka bukan pemimpin, bahkan pegawai penyelidik Islam. Mereka tidak dapat mentransformai Najib dan UMNO, tetapi mereka pula ditransformasi oleh Najib.

Saya boleh bersangka baik kepada Razak.

Harakah Daily

BN kalah jika Ahmad Said kekal MB - Idris

2 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU, 27 Dis: Ketika yakin Terengganu akan kekal di bawah BN namun bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh bimbang BN akan kalah jika Datuk Seri Ahmad Said terus kekal sebagai Menteri Besar.

Perkara ini dinyatakan beliau kepada teman-teman rapat beliau dalam Umno.

"Kita masih dahului PAS tetapi kalau hok j**g**g tu masih jadi MB, kita kalah," kata Idris kepada teman-temannya dalam Umno.

Kenyataan ini diceritakan semula rakan-rakan Idris kepada pemimpin PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa menceritakan hal ini dalam majlis makan malam PAS Dun Ladang baru-baru ini.

Kenyataan Idris membayangkan beliau masih menjadi faktor penting dalam politik Umno Terengganu.

Namun begitu, sikap beliau telah menyebabkannya terketepi dari arus utama politik Terengganu kerana tidak disenangi oleh pihak istana.

Walaupun dibawa ke pusat, ia juga tidak menyelesaikan masalah Idris. Beliau sekadar dilantik menjadi Pengerusi MARA sahaja.

Ahmad Said dilantik sebagai MB selepas pilihan raya umum 2008 lalu. Namun perpecahan dalam Umno Terengganu terus ketara.

Mereka berpecah kepada dua kumpulan. Satu dipimpin oleh Ahmad Said manakala satu lagi masih yakin dengan kepimpinan Idris.

Salah seorang penyokong Idris adalah Adun Alor Limbat, Alias Mohamad. Sejak sekian lama Alias tidak bergerak selaku Adun kerana pertentangannya dengan kumpulan Ahmad Said.

Kini, menurut sumber, Alias tidak tersenarai sebagai calon Umno dalam pilihan raya akan datang.

Beliau akan digantikan oleh Saiful Bahri Baharudin, Ketua Pemuda Umno Terengganu.

Namun ramai yakin pemilihan Saiful akan memudahkan laluan PAS untuk merampas kembali Dun ini.

Ini kerana Saiful lebih berminat untuk mendapat keuntungan dari projek pembangunan dari politik.

Pemilihan beliau sebagai Ketua Pemuda pula dibuat oleh Khairy Jamaludin bukannya akar umbi Umno Terengganu.

Hasilnya, nama bekas Adun Umno di situ, Yusof Musa naik kembali. Alias sedar mengenai hal ini dan mula bergerak.

Namun beliau juga mula sedar, Idris Jusoh sudah tidak ada tempat dalam politik Terengganu.

"Orang-orang Idris kini mula mendekati Ahmad Said kerana sedar idris tidak akan naik semula di Terengganu," kata satu sumber dalam tinjauan Harakahdaily.

Sebelum ini, Harakahdaily pernah melaporkan Umno akan memilih Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Chek sebagai MB Terengganu selepas pilihan raya umum akan datang.

Beliau dilaporkan dipilih bagi mengimbangi pertembungan politik antara Idris dan Ahmad Said. Namun hubungan istimewa beliau dengan PAS dan Tengku Razaleigh Hamzah menyebabkan sesetengah pihak dalam Umno sangat bimbang dengan pendekatan ini.

"Pendek kata, politik Umno Terengganu belum jauh dari stabil dan PAS mempunyai mempunyai peluang yang ceraha untuk merampas kembali Terengganu," kata seorang pemimpin PAS.

Kenyataan beliau disokong oleh seorang bekas pemimpin PKR Terengganu.

"Bagi saya ciri-ciri untuk menang di Terengganu ada tetapi PAS dan Pakatan Rakyat perlukan 'bom' untuk menyedarkan rakyat tentang semua ini," kata beliau.

Harakah Daily

Segenggam pasir menjadi gunung?

2 Safar 1433H. [MOD] -

Biarpun isu dalaman parti dianggap kecil dan lumrah dalam perjuangan panjang PAS, namun dengan perkembangan mutakhir ini, ia begitu menggamit keprihatinan anggota jamaah dan masyarakat umum. Ia petanda ahli-ahli PAS begitu sayang parti atau jamaah yang disertainya. Benar, PAS pernah mendepani "keretakan" yang jauh lebih besar dan sukar, tetapi kebanyakan ahli parti tidak mahu sebarang episod gelap berulang.

"Saya ingat hanya Umno dan parti komponen BN, atau mungkin KeADILan dan DAP sahaja, yang ada masalah dalaman. Rupanya PAS juga tidak terkecuali," kata jiran saya, seorang Tionghua, yang kerap memuji "dua tok guru" Mursyidul Am dan Presiden. "PAS bukan parti malaikat," pintas saya, sambil ketawa kecil, "tapi jangan risaulah, itu masalah kecik aja. Segenggam pasir yang digambarkan seperti bukit."

Rata-rata, sama ada dalam sessi perbincangan serius atau sembang-sembang santai, yang dahulunya terarah kepada krisis Umno-BN -- seperti isu "calon boleh menang" -- kini tertumpu pula kepada "ribut dalam cawan kopi". Mulanya seolah-olah tergambar pada sesetengah orang bahawa isu calon pilihan raya pun sudah menjadi masalah besar dalam PAS, seperti menimpa Umno, sedangkan realitinya tidaklah sebegitu rupa.

Saya sendiri dihujani pelbagai pertanyaan dan persoalan. Tidak kurang yang mengkritik keras laporan Harakah. Sesama ahli atau aktivis parti, mungkin tidak sedikit yang dapat mengikuti salur-galur konflik ini sejak awal dan dapat memahami kedudukan sebenar. PAS bermula tarikh penubuhannya 60 tahun dulu, seperti juga pertubuhan siasah lain, tidak pernah sunyi daripada masalah dalaman. Malah, yang keluar parti, bukan sekadar ahli biasa tetapi pimpinan tertinggi, termasuk presidennya.

"Apa pun, agak tidak manis jika kita sering menyandarkan rekod bahawa ramai pernah keluar parti bagi menjustifikasikan kemungkinan ada pemimpin yang bakal menuruti jejak itu. Benar, kadang-kadang kita perlu potong kaki bagi mengelak diabetis merebak, tetapi mengapa diabaikan rawatan lebih awal," kata seorang pemerhati politik, yang mengakui PAS merupakan parti politik paling unik dan cukup berpotensi di Malaysia.

"Orang ramai selama ini menyanjung tinggi PAS berdasarkan idealisme perjuangan Islamnya, komitmen tinggi pemimpin dan gaya hidup sederhana mereka meskipun selepas berkuasa, serta kesetiaan ahli-ahli parti yang tahan uji," tambahnya.

"Saya perhatikan, orang PAS walaupun ditekan, dipenjara, dilayan bagai warganegara kelas dua, mereka tetap istiqamah dengan perjuangan Islam, malah tidak pula memilih jalan atau pendekatan militan seperti yang berlaku kepada sesetengah gerakan Islam luar negara," kata seorang sarjana sains politik. "Tapi saya nak tengok juga keupayaan PAS hadapi cabaran dan dugaan apabila berkuasa dalam kerajaan," ujarnya lagi.

Justeru, saya kira, ramai yang berminat bukan sahaja untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di antara Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali dengan Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, tetapi mereka juga begitu teruja untuk melihat bagaimana PAS mencari jalan keluar terhadap "kemelut kecil" ini.

Bukan sahaja aktivis parti yang risau dengan "perang di media" yang bagaikan tiada kesudahan (tetapi kini seperti melalui era "gencatan senjata), namun masyarakat umum akan membuat penilaian terhadap apa yang berlaku itu, dan sekali gus mungkin membentuk persepsi baru terhadap PAS, sebuah parti yang dianggap paling kritikal tetapi cukup penting dalam PRU13 nanti.

"Masalah dalaman bukannya pelik bagi mana-mana parti politik, terutama jika babitkan perbedaan pendekatan politik. Yang menarik perhatian adalah bagaimana konflik dalaman itu diselesaikan secara harmoni. Orang mahu melihat cara PAS, sebagai parti Islam, menangani perselisihan yang timbul, dan tentulah ia berbeda dengan Umno, 'kan?" lontaran pandangan seorang penggerak PAS, yang dahulunya aktivis Umno.

Selain melalui proses disiplin parti, beliau menekankan agar ia diuruskan secara Islami. Apabila saya bertanyakan lebih lanjut bentuk penyelesaian Islami itu, beliau tidak dapat menghuraikannya, sebaliknya mahu PAS sendiri menunjukkan model teladannya.

"Bukan sekadar terletak kepada kewibawaan Tok-Tok Guru untuk menanganinya, tetapi formula penyelesaian masalah dalaman harus terpahat dalam struktur dan budaya parti. Usah cepat melatah, isu seumpama ini memang mudah mencuit emosi, apatah lagi apabila berlaku perang mulut secara terbuka," tegasnya.

Beliau segera merujuk kepada kenyataan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat: "Selesaikan perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh. Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-Allah."

Lebih mengejutkan saya apabila seorang aktivis PAS, dalam usia 60-an, menangis di hujung talian selepas meluahkan rasa bimbang terhadap konflik dalaman. "Benar, parti mesti tegas dan segera bertindak, tapi saya amat takut jika kita sendiri terjebak dalam perangkap fitnah dan adu domba," ujarnya tersangkut-sangkut.

Semua maklum bahawa Najib Razak hanya mengintai tarikh paling sesuai untuk mencadangkan pembubaran Parlimen. Kontroversi berterusan yang membabitkan pimpinan partinya memang menggusarkan tetapi Najib juga melihat peluang yang boleh diraih daripada kekeliruan yang timbul dalam parti lawan.

Di atas kertas seolah-olah setiap parti Pakatan Rakyat menempuh "konflik" dalaman. KeADILan bakal melalui saat getir keputusan penghakiman Anwar Ibrahim, DAP belum reda pertembungan Dr P Ramasamy dengan Karpal Singh, dan terkini, PAS turut diuji. Membaca laporan dan siaran media yang dikawal mutlak Umno tentulah berbeda dengan realiti di akar umbi.

Tentulah masalah kecil yang menimpa PAS sekarang sukar untuk dieksploit Najib, namun saya masih memegang kata-kata seorang rakan: "Dalam PRU13, pemenangnya bukanlah pihak yang paling kuat, tetapi yang paling sedikit melakukan kesilapan."


(Ketika tulisan ini disiarkan Harakahdaily, nampak petunjuk memberangsangkan, "perang media" seakan reda. Apabila pimpinan tertinggi memberi nasihat dan teguran, insya-Allah, segalanya terkawal dan patuh).

Harakah Daily

Fitnah dan kempen perkauman

2 Safar 1433H. [MOD] -

Bermula dari keputusan PRU Ke-12 yang menghantar tsunami politik di mana Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan besar, Umno/BN memperhebat kempen perkauman terhadap PAS dan DAP.

Secara tidak benar mereka menggambarkan bahawa DAP adalah dominan dalam Pakatan Rakyat, sementara PAS kononnya hanya mengikut kehendak DAP.

Ini suatu fitnah besar terhadap PAS. Analogi palsu ini dijaja bertahun-tahun oleh Umno/BN dan ditiupkan kembali dengan hangatnya menjelang PRU Ke-13 untuk mengekalkan kepentingan kuasa Umn/BN yang bergelumang dengan rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi.

Mereka menjaja premis ini terurtama di luar bandar, kerana mereka yakin dakwaan ini mudah diterima oleh orang Melayu di kampung disebabkan sekian lama digambarkan oleh Umno/BN ini bahawa DAP adalah parti perkauman Cina dan berbahaya kepada orang Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Apabila PAS melancarkan ‘Negara Berkebajikan’, parti perkauman itu menuduh pula PAS menukar perjuangan dari negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Ia dijaja oleh pemimpin parti itu di mana saja.

Lebih malang, tuduhan ini disambut oleh segelintir umat Islam yang menganggap mereka bijak, tetapi terperangkap dengan kekeliruan, lebih-lebih lagi mereka tidak mengerti akan perbezaan antara dasar dan strategi parti.

Adapun ‘Negara Berkebajikan’ ialah pengisian sahaja. Ini bermakna PAS sudah sampai kepada marhalah pengisian terhadap konsep asalnya dan ini tidak difahami oleh sesetengah pihak yang tidak sedar kejahilan mereka.

Betapapun penjelasan yang diberi berulang kali oleh pimpinan PAS di pelbagai forum dan majlis penerangan, namun isu ini terus dimanipulasi oleh musuh PAS dan mereka yang keliru bahawa kononnya PAS tidak lagi memperjuangkan Negara Islam, tetapi sudah beralih kepada Negara Berkebajikan’. Ini adalah fitnah besar yang diduga akan diperhebat oleh mereka menjelang PRU Ke-13. Inilah cabaran yang dihadapi oleh PAS.

Adalah mustahil untuk mengharapkan musuh politik PAS atau pihak yang sehaluan dengannya melihat premis Negara Berkebajikan ini dengan pemikiran rasional, tenang, terbuka dan berlapang dada. Lebih-lebih lagi tidak mungkin mereka hendak melihat persoalan ini dari sudut ilmu, merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah serta ulama muktabar.

Mereka yang tidak ada kepentingan politik kepartaian dan tidak juga disalut oleh kebencian, nescaya akan melihat Negara Berkebajikan ini secara ilmu dan rasional dan menghargai usaha PAS.

Adapun konsep Negara Berkebajikan adalah pelaksanaan kepada Konsep Negara Islam yang menekankan kepada pemerintahan yang adil dan baik, saksama, memberi perlindungan kepada rakyat, hak mereka dan kerajaan.

Ia dalah manifestasi dari konsep negara yang disebut oleh al-Quran iaitu Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (Negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan Yang Maha Pengampunan) di mana tunggaknya ialah ubudiah iaitu pengabdian diri kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mencipta, Pengasih dan Penyayang.

Negara Berkebajikan ditakrifkan sebagai kerajaan beramanah dalam seluruh sistem pemerintahan, termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.

Negara Kebajikan juga, menurut ulama, membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (Istibaq al Khayrat) dan saling bekerjasama (at-Ta'awun) ke arah kejayaan (al Falah) pemerintah dan rakyat di dunia dan di akhirat.

Adapun dokumen Negara Berkebajikan yang diutarakan oleh PAS ini telah dibahas dan diluluskan oleh pimpinan tertinggi dan Majlis Syura Ulama PAS, setelah dibincangkan secara terperinci dengan rujukan Al-Quran dan dan Sunnah serta pandangan ulama muktabar.

Saya sendiri turut hadir sebagai pemerhati di beberapa majlis perbincangan di antara pimpinan PAS dan beberapa tokoh ekonomi dari Perancis, Indonesia, Scandinavia dan beberapa tokoh ekonomi dalam negeri. Mereka berbincang secara mendalam perbezaan konsep ‘Negara Kebajikan’ (Walfare State) yang diamalkan oleh negara Barat dengan ‘Negara Berkebajikan’ (Caraing Society) yang ada di dalam Islam.

Ini bermakna perkara Negara Berkebajikan telah dibincangkan secara mendalam dari aspek fiqh, politik dan kepentingan ummah serta rakyat perlbagai kaum. Oleh itu adalah tidak benar sama sekali untuk mengatakan bahawa PAS sudah menukar haluan perjuangannya dari Negara Islam kepada Negara Berkebajikan.

Dalam hal ini saya merakamkan kembali sebahagian petikan kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat mengenai hal ini di mana beliau memberi jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak.

Justeru, kata Tuan Guru, adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini dan pelancarannya bulan lalu tersasar dari perjuangan asal PAS. Dakwaan ini, katanya, adalah tidak berasas.

Di pihak Majlis Syura, tambahnya, menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan.

Dalam hal ini, kata Tuan Guru Nik Abd Aziz lagi, negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS ini.

Dalam hubungan ini juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Haji Awang tampil mempertahankan dasar-dasar PAS termasuk konsep Negara Berkebajikan. Tegasnya, pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh.

"Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara, dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, serta hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan," tambahnya.

Beliau mengingatkan mereka yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan halatujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

Harakah Daily