27 Disember 2011

Bina tembok atasi ponteng

2 Safar 1433H. [MOD] -

RAWANG - Pembinaan tembok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rawang dilihat mampu mengurangkan kes ponteng sekolah dalam kalangan pelajarnya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohd Shaufi Shafie berkata, peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membina tembok itu dikeluarkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak dan kerja pembaikan mula dilakukan hujung bulan lalu.

Menurutnya, langkah segera PPD itu dilihat perlu untuk mengelak berlakunya pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab ke sekolah kerana lokasinya berhampiran­ kawasan perumahan.

“Tembok sedia ada runtuh dua bulan yang lalu, dengan inisiatif PPD ini, kita sambut baik kerana dapat mencegah pencerobohan orang luar dalam kawasan sekolah dan risiko kepada kehilangan barangan berharga seperti komputer.

“Tembok ini juga mampu dijadikan pengadang menge­lak berlakunya tanah runtuh memandangkan kawasan sekolah adalah sedikit rendah berbanding kawasan perumahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Shaufi berkata, untuk mengelak kejadian tidak diingini termasuk runtuhan tanah, dia meminta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyegerakan proses pembaikan pagar di kawasan perumahan berkenaan.

“Terdapat dua tembok yang memisahkan sekolah dan kawasan perumahan, masing-masing tanggungjawab PPD dan MPS.

“Tembok sekolah sudah diambil tindakan oleh PPD, tetapi pagar kawasan perumahan masih belum dibaiki menimbulkan kerisauan kerana memberi kesan kepada keselamatan sekolah memandangkan kawasannya lebih rendah dari kawasan perumahan,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan masalah ponteng pelajar sekolah berkenaan dikaitkan dengan masalah pengawasan, keruntuhan tembok pengadang di kawasan belakang sekolah itu dijadikan salah satu punca berlakunya kes berkenaan.

Kerosakan itu memudahkan pelajar keluar masuk pada sesi persekolahan untuk melepak di kawasan perumahan berhampiran hingga menimbulkan aduan penduduk sekitar.

Sinar Harian

Tiada ulasan: