27 Disember 2011

Bayangan rumput panjang

2 Safar 1433H. [MOD] -

TELUK BAGAN - Pengguna jalan di Kampung Perenggam, Jalan Teluk Bagan sering dihantui bayangan rumput panjang yang memenuhi kawasan jalan dan kejadian misteri itu kerap berlaku pada waktu malam.

Lebih pelik lagi kejadian yang yang berlaku itu tidak hanya tertumpu di satu kawasan malah seringkali berlaku di kawasan berhampiran dan lebih membimbangkan kejadian itu menjadi punca kemalangan.

Surirumah, Rohani Shaari, 52, berkata, dia pernah berdepan dengan situasi itu beberapa bulan lalu sewaktu dalam perjalanan ke rumah ibunya yang terletak di Tebengau.

“Sewaktu kejadian saya sedang menunggang motosikal, dalam perjalanan saya terlihat rumput panjang memenuhi ruang di hadapan jalan yang menyebabkan saya memperlahankan motosikal.

“Apabila saya memasang lampu tinggi sambil membaca ayat Kursi, barulah timbunan rumput itu berkurangan dan hilang terus daripada penglihatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Rohani mendakwa, kejadian bayangan rumput tinggi itu bukan sahaja pernah berlaku kepada dirinya malah pengguna lain yang kerap menggunakan jalan itu.

Kawasan jalan yang tidak disediakan kemudahan lampu jalan itu juga sering mengundang kemalangan sehingga meragut nyawa.

“Bagi pengguna yang sering menggunakan jalan ini mereka mungkin sudah biasa dengan kejadian pelik atau aneh berkenaan namun bagi yang belum mereka perlu lebih berhati-hati terutama pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Nadhirah Nazri, 20, berkata, keadaan jalan berselekoh dan gelap juga merupakan faktor lain mengundang kepada kemalangan di kawasan itu.

Dia berkata, lebih lima tahun penduduk di kawasan itu terpaksa berhati-hati pada waktu malam ketika menggunakan jalan berkenaan kerana keadaan yang gelap dan sering dikaitkan dengan kisah misteri.

“Kemudahan lampu hanya disediakan di hadapan jalan besar sahaja manakala sepanjang jalan ini gelap dan pemandu hanya mengharapkan cahaya lampu kenderaan lain .

“Saya juga mohon pihak yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan lampu jalan bagi mengurangkan kejadian kemalangan dan kemudahan kepada pengguna,” katanya.

Pada 7 Disember lalu satu kemalangan di kawasan terbabit telah berlaku sehingga meragut nyawa pemandunya, selepas kenderaan jenis Proton Wira yang dipandu terbakar.

Sinar Harian

Tiada ulasan: