26 Januari 2012

Pesawat AS ubah laluan kerana ribut solar matahari

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) – Radiasi solar daripada ribut matahari terbesar dalam tempoh sedekad bertembung dengan atmosfera Bumi kelmarin dengan menyebabkan beberapa buah pesawat sebuah syarikat penerbangan terpaksa mengubah laluan.

Syarikat penerbangan AS, Delta Air Lines menyatakan, ia mengubah laluan penerbangan rentas kutub antara Asia dan AS untuk mengelakkan masalah akibat radiasi ribut matahari berkenaan.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) mengesahkan radiasi yang dikenali sebagai Letusan Besar Korona (CME) mula bertembung dengan medan magnetik Bumi sekitar pukul 10 pagi (waktu AS) kelmarin.

Menurut NASA, ribut matahari kali ini dianggap yang terbesar sejak Oktober 2003.

Radiasi ribut matahari tidak membahayakan manusia di Bumi tetapi ia berupaya menjejaskan operasi satelit dan perkhidmatan radio gelombang pendek.

Letusan radiasi itu diramal terus menghentam atmosfera Bumi hingga hari ini.

Seorang ahli fizik AS, Doug Biesecker berkata, ribut matahari itu bermula lewat Ahad lalu dengan letusan api meledak berhampiran pusat matahari. – AFP

Lepas pelukan setelah dipujuk

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ANGGOTA polis memerhatikan seorang lelaki memeluk mayat Kah Kah selepas dia tidak dapat menerima hakikat wanita itu telah mati setelah terjatuh dari tingkat 17 Flat Taman Utara, Batu Uban, George Town semalam.

GEORGE TOWN – Penduduk di Flat Taman Utara di Batu Uban di sini semalam menyaksikan satu kejadian ngeri bercampur sayu apabila mendapati seorang lelaki bertindak memeluk mayat kekasihnya yang terbujur selepas terjatuh dari tingkat 17 selama satu jam sebelum dia mengalah dengan pujukan polis.

Sebelum itu, sepasukan polis telah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan mengatakan terdapat dua mayat yang terjatuh dari flat tersebut pada pukul 1.20 pagi.

Bagaimanapun, selepas diteliti, polis kemudian mendapati hanya wanita itu sahaja yang mati manakala lelaki berusia 21 tahun itu berbaring di sebelah mangsa sambil memeluk mayat kekasihnya itu.

Dia yang enggan menerima hakikat kematian wanita itu bagaimanapun akur dengan pujukan polis supaya melepaskan mayat kekasihnya kira-kira sejam kemudian.

Difahamkan, wanita itu, Lau Kah Kah, 22, terjatuh selepas dia dikatakan telah berselisih faham dengan kekasihnya menerusi telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada pukul 12.30 malam.

Kosmo

Simbah kakak air panas

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menyimbah air panas pada kakaknya dalam kejadian di Salor di sini, Julai tahun lalu.

Tuduhan terhadap A’ariful Bakhrie Mohd Nor, 29, dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mencederakan Leeza Watee Mohd Nor, 43, dengan menyimbah air panas pada mangsa di sebuah rumah di Kampung Telok Kandis di sini, pada jam 11 pagi, 8 Julai 2011.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah.

Susulan pengakuan itu, Mohd Fazaly Ali menetapkan sebutan semula pada 22 Februari depan sementara tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan bersyarat.

“Kamu tidak dibenarkan mendekati mangsa. Sekiranya mahkamah mendapat aduan kamu mendekatinya, maka jaminan kamu akan ditarik balik atas faktor keselamatan mangsa,” katanya.

Sinar Harian

Jumpa mayat berulat

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI BULOH - Mayat seorang lelaki tidak berbaju dan sudah berulat ditemui orang awam terperosok di dalam semak berhampiran landasan kereta api Rawang-Kuala Lumpur di kawasan Perindustrian SB Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mayat berkenaan ditemui orang awam kira-kira jam 7 malam semalam dalam keadaan terlentang.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal polis mendapati, mayat tanpa dokumen itu berketurunan India dikenali sebagai Devadas berusia lingkungan 40-an dan menetap di kuil berhampiran.

“Mangsa tercampak dan meninggal dunia selepas bergesel dengan kereta api sewaktu melalui landasan ini, ia berdasarkan kecederaan pada bahagian kepalanya,” katanya.

Setakat ini waris mangsa sudah dipanggil untuk melakukan pengecaman di Hospital Sungai Buloh.

Abdul Rahim berkata, siasatan polis juga, mendapati mangsa dilihat merayau di sekitar kawasan itu mencari besi buruk untuk dijual.

“Dia juga pernah dilihat mengemis di kawasan kilang berhampiran,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, polis sudah merakam keterangan saksi yang pernah melihat mangsa di kawasan itu untuk tujuan pengecaman.

Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut, mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Abang Bangladesh dicekup khalwat

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

AMPANG - Berperwatakan menarik, hidung pula mancung bak pelakon ternama Bollywood! Mungkin itulah persona dimiliki seorang lelaki warga Bangladesh sehingga membuatkan wanita tidak keruan.

Berbekalkan kelebihan yang ada, daya penarik itulah digunakan untuk memikat kaum hawa tanpa mengira status mangsa sama ada bujang atau isteri orang.

Malangnya, hubungan terlarang pastinya tidak berpanjangan dan itulah yang berlaku kepada pasangan kekasih di sebuah hotel bajet di sini, awal pagi semalam.

Hubungan intim seorang wanita warga Indonesia berstatus isteri orang dengan seorang warga Bangladesh sejak enam bulan lalu hingga terlanjur ke bilir tidur berakhir selepas dicekup penguat kuasa agama.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, wanita berusia 34 tahun dan teman lelakinya berusia 30 tahun itu hanya memakai tuala ketika penguat kuasa Jabatan Agama Islam (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah menyerbu bilik hotel berkenaan.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah itu berkenalan dengan lelaki terbabit yang bekerja sebagai kontraktor mengubah suai rumah majikan wanita berkenaan.

“Difahamkan wanita yang mempunyai empat anak itu lari daripada majikannya, manakala suaminya tinggal di Indonesia bersama anak mereka,” katanya.

Di hotel berasingan, seorang ahli perniagaan dicekup bersama seorang pelajar yang menuntut di salah sebuah kolej di Ipoh, Perak.

Ahmad Nawi berkata, duda berusia 42 tahun bersama wanita yang berusia 28 tahun itu berpakaian lengkap ketika ditahan.

Kedua-dua pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh di denda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Usung keranda tanda protes dihenti kerja

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NILAI - Jawatankuasa Tenaga Kerja (JTK) diminta mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan nasib dihadapi 161 pekerja tempatan sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Nilai, di sini yang diberhentikan.

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Negeri Sembilan, Mohamed Dauzkaply Nor Ghazali berkata, sehingga kini, JTK seolah-olah mengambil sikap tunggu dan lihat.

Sedangkan, katanya, mengikut undang-undang, mereka mempunyai kuasa untuk membuat keputusan atau tindakan dalam menyelesaikan masalah itu.

“Sebelum ini, MTUC bersama pihak JTK dan wakil daripada kilang sudah pun mengadakan perbincangan tetapi saya kecewa kerana apa yang kita tuntut bagi membela nasib pekerja tempatan tidak dipersetujui.

“JTK seolah-olah tidak menggunakan kuasa yang ada untuk menyelesaikan masalah ini yang dianggap mereka remeh. Masalah ini melibatkan nasib pekerja tempatan bukannya pekerja asing dan kemana lagi pekerja mahu mengadu kalau bukan dengan JTK,” katanya kepada Sinar Harian selepas pekerja terbabit sekali lagi membuat piket, semalam selepas tindakan sama dilakukan pada 20 Januari lalu.

Semalam, mereka berjalan kaki sambil mengusung keranda sejauh 500 meter sehingga depan pintu utama kilang sambil mela­ungkan ‘di mana keadilan kami’ sebagai tanda protes .

Mereka berbuat demikian selepas beberapa tuntutan dibuat kepada pihak pengurusan syarikat, terutama menggesa supaya menghentikan pekerja asing dan mengambil pekerja tempatan.

Menurut mereka, isu mereka mahu mengecilkan operasi tidak timbul kerana syarikat masih mampu membayar pekerja asing berbanding tempatan.

Sementara itu, seorang bekas pekerja, Ahmad kamal Affendi Shaari, 47, berkata, pekerja yang diberhentikan itu akan mengadakan piket secara berterusan, sehinggalah pihak pengurusan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita akan adakan piket lagi bagi menunjukkan betapa seriusnya kami dalam menentang syarikat yang hanya mengutamakan pekerja asing berbanding tempatan.

“Sepatutnya syarikat perlu mengutamakan kami kerana kami ini adalah rakyat negara ini. Malah, sebahagian besar sudah bekerja lebih 10 tahun, tetapi malangnya syarikat membuat aniaya pula,” katanya.

Sinar Harian

Ribut: Bumbung 12 unit PPR di KL terbang

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Bumbung 12 unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka di Lembah Pantai dekat sini diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang semalam.

Bagaimanapun, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 6 petang itu kerana tingkat atas flat berkenaan tidak berpenghuni.

Ketua Operasi yang juga Ketua Balai Bomba Pantai Hamid Daud berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.05 petang dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.

"Kita dibantu lapan anggota dari Balai Bomba Damansara. Kita dapati zink tercabut semasa hujan petang tadi. Pada masa ini, kita sedang mengalihkan zink yang jatuh itu," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Dalam kejadian itu, kira-kira 30 motosikal dan 10 kereta musnah dihempap zink.

Sementara itu, bumbung tingkat 17 Pangsapuri Muhibbah di Taman Desa, yang terletak berhampiran PPR Seri Cempaka, turut diterbangkan angin.

Ketua Bomba Taman Desa Saparisan Ramli berkata walaupun terdapat penghuni di tingkat itu, tidak ada kecederaan dilaporkan.

Seorang penghuni PPR Seri Cempaka, Ahmad Yusof, 58, berkata kejadian bermula dengan hujan renyai, diikuti angin kencang selang lima minit.

"Pada masa itu, kanak-kanak yang sedang bermain di bawah bangunan, menjerit dan lari bertempiaran apabila zink bumbung jatuh secara tiba-tiba. Beberapa kenderaan turut musnah dan nasib baik tidak ada penduduk yang cedera," katanya kepada Bernama.

Sejumlah 26 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba Pantai, Hang Tuah dan Sri Hartamas terlibat dalam operasi menyelamat berkenaan.

Seorang lagi penghuni, Mohd Izwan Abd Rahmad, 24, berkata dia hanya menyedari bahagian depan keretanya remuk dihempap zink apabila menjenguk melalui tingkap rumahnya di tingkat 14.

"Selepas petir, saya dengar bunyi kuat. Saya jenguk ke bawah... nampak zink berterbangan dan dapati kereta saya remuk dihempap zink," katanya.

Sinar Harian

Budak maut dihempap van

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – “Keadaan masa itu kelam-kabut. Kami memanggil antara satu sama lain,” kata Suhana Sofia Omar, 27, salah seorang mangsa kemalangan membabitkan sebuah van terbalik di Kilometer 254.1 Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, semalam.

Menurut Suhana, sebaik sahaja van dinaikinya terbalik, dalam keadaan panik serta gelap, dia cuba memanggil anak saudaranya, Danish Abdul Latif, 6, yang tidak kelihatan pada masa itu.

“Saya memanggil satu persatu penumpang dalam van, termasuklah memanggil Danish.

“Namun, saya tidak mendengar sebarang sahutan daripada Danish sehinggalah saya berjaya merangkak keluar menerusi tingkap van yang pecah dan mendapati Danish sudah pun terkulai layu terhimpit di bawah van,” katanya ketika menceritakan detik cemas kemalangan berkenaan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, van dinaiki sembilan sekeluarga terbalik selepas terbabas menyebabkan kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat tercampak keluar dan dihempap van terbabit.

Kemalangan itu turut menyebabkan ibu mangsa, Zurina Omar, 36, yang sedang hamil serta bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38, bersama enam lagi ahli keluarga lain, termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia satu dan 10 tahun cedera.

Suhana Sofia berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di bahagian belakang van berkenaan.

“Saya mula tersedar apabila secara tiba-tiba terasa van yang kami naiki sudah terbalik di sebelah kiri jalan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini semalam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, Danish meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala lapan lagi penumpang van berkenaan hanya cedera ringan.

“Sewaktu kejadian, van jenis Joylong yang dipandu bapa mangsa dikatakan terbabas, sebelum terbalik di tepi longkang di lebuh raya berkenaan,” katanya.

Sinar Harian

Neeson mahu peluk Islam

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LAS VEGAS: Bintang Hollywood, Liam Neeson, bercadang meninggalkan kepercayaan Katoliknya untuk memeluk Islam.

Laporan media semalam menyatakan, Neeson, 59, mengaku dia “diresapi semangat” itu selepas mendengar laungan azan ketika menjalani penggambaran filem di Istanbul, Turki.

Kata Neeson, azan dilaungkan lima kali sehari dan untuk minggu pertama, dia “gila” mendengarnya.

“Tiba-tiba seruan itu meresapi jiwa dan ia menjadi sesuatu yang paling indah,” katanya.

Neeson berkata, ada kira-kira 4,000 masjid di Istanbul dan sesetengahnya begitu indah.

“Ia menyebabkan saya benar-benar berfikir untuk menganut Islam,” katanya.

Neeson dibesarkan di Ireland Utara sebagai penganut Katolik yang taat.

Bagaimanapun, dia beberapa kali mempertikaikan keyakinannya.

“Saya diajar mengenai Katolik, tetapi saya tertanya-tanya setiap hari secara tidak sedar - apa yang kita lakukan di dunia ini sebenarnya? “Saya sentiasa membaca buku mengenai Tuhan dan fahaman atheis,” katanya. - TS

11 Maut Dalam Runtuhan Bangunan

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya 11 maut setakat ini apabila bangunan 20 tingkat di tengah bandar raya Rio de Janeiro runtuh dipercayai akibat letupan, awal pagi Khamis.

Jurucakap pegawai pertahanan awam berkata, setakat ini 11 orang maut atau cedera dan jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan.

Bangunan terbabit yang berletak berdekatan panggung teater bandar raya di Dataran Cinelandia, dikatakan tumbang akibat letupan kuat sehingga mencetuskan panik di sekitar kawasan itu.

Sebelum ini, pasukan penyelamat berkata, beberapa pekerja binaan yang berada di dalam bangunan kini dipercayai masih terperangkap.

Setakat ini 30 orang dilaporkan sudah dikeluarkan dari bangunan berkenaan dan mereka dilaporkan selamat.

mstar/-

Obama umum tingkat infrastruktur

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BARACK OBAMA (dalam bulatan) berucap di Kongres Amerika Syarikat, Washington D.C kelmarin.

WASHINGTON Amerika Syarikat (AS) - Presiden Barack Obama mencadang menggunakan separuh daripada wang yang dijimatkan ekoran tamatnya perang AS di Iraq dan Afghanistan untuk membina landasan kereta api berkelajuan tinggi dan bagi membaiki jalan raya serta infrastruktur negara yang uzur.

Pelan tersebut dijangka berdepan halangan anggota-anggota Kongres daripada Parti Republikan yang berulangkali menyatakan pembinaan landasan itu sebagai satu pembaziran, apatah lagi ketika AS berdepan bajet ketat.

"Masih banyak yang perlu dibina semula di AS," kata Obama dalam ucapan negara tahunannya kelmarin sambil menambah, AS memiliki jalan raya dan jambatan yang uzur.

Obama tidak mendedahkan jumlah wang yang diperlukan bagi menjayakan misi tersebut.

Namun, Pejabat Bajet Kongres AS menganggarkan penjimatan belanja perang sekitar AS$440 bilion (RM1.35 trilion) dalam tempoh 2012 hingga 2021.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, AS menjunam dalam senarai penarafan sistem infrastruktur negara oleh Forum Ekonomi Dunia.

Dalam laporan forum berkenaan untuk tahun 2007 hingga 2008, infrastruktur AS berada di tempat keenam terbaik di dunia.

Laporan tahun 2011-2012 pula mendapati AS berada pada kedudukan ke-16 dunia. Kualiti jalan raya di AS kini setara dengan jalan raya di Malaysia. - Reuters

Liverpool layak ke akhir Piala Liga Inggeris dengan agregat 3-2


2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - PEMAIN tengah Manchester City, Samir Nasri (kiri) cuba mengawal bola dari pertahanan Liverpool, Glen Johnson dalam peringkat separuh akhir kedua saingan Piala Liga Inggeris , pagi ini. Keputusan terikat 2-2. Liverpool layak ke akhir dengan agregat 3-2. - Foto AF

Banduan Kyrgyzstan mogok lapar, jahit mulut

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BISHKEK, Kyrgyzstan 26 Jan. – Lebih 1,000 banduan di penjara Bishkek, Kyrgyzstan menjahit mulut mereka dalam satu protes yang diadakan di situ semalam.

Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 7,000 banduan yang mengadakan mogok lapar sebagai membantah keadaan di penjara berkenaan.

“Seramai 1,197 banduan menjahit mulut mereka sebagai sokongan kepada mogok lapar sementara 6,600 yang lain enggan menjamah sebarang makanan yang disediakan pihak penjara,” kata Ketua Timbalan Penjara, Kuanyshbek Kenebayev. – AFP

Ketua Bulan Sabit Merah Syria ditembak mati

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GENEVA 26 Jan. – Ketua Bulan Sabit Merah Syria ditembak mati di utara bandar Idlib, Syria kelmarin, lapor Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), semalam.

“Abdulrazak Jbero ditembak mati ketika dalam perjalanan dari Damsyik ke Idlib dan motif pembunuhan sedang disiasat.

“ICRC mengutuk pembunuhan itu di mana ia menunjukkan Syria masih tidak menghormati pasukan perubatan,” kata Ketua Operasi ICRC Asia Barat, Beatrice Megevand-Roggo. – REUTERS

Mesir tahan penerbangan Libya Airlines

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KAHERAH 26 Jan. – Penemuan satu objek yang disyaki bom mengakibatkan penerbangan sebuah pesawat Libya Airlines dibatalkan, semalam.

‘Objek besi’ itu ditemui beberapa minit sebelum pesawat 203 ke Tripoli berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir.

“Selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, sepasukan pakar bom dan pengawal keselamatan di bawa ke dalam pesawat untuk melakukan pemeriksaan.

“Namun, tiada apa yang ditemui dan pihak berkuasa kini sedang menyoal siasat kesemua 75 penumpang pesawat tersebut,” kata pegawai lapangan terbang.

Menurut beliau, pesawat tersebut ketika ini ditahan di Kaherah sehingga siasatan selesai. – AFP