31 Januari 2012

Tubuh kerajaan Cina, Soi Lek diberi tempoh 24 jam tarik balik kenyataan

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Dakwaan kononnya pembangkang mahu menubuhkan ‘Kerajaan Cina’ di Perak jika memenangi pilihan raya akan datang adalah fitnah selain cuba memainkan sentimen perkauman.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, DAP mahupun Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah bercadang untuk menubuhkan Kerajaan Cina seperti yang didakwa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam sebuah akhbar arus perdana semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pembohongan yang dibuat Soi Lek itu amat berbahaya kerana boleh menimbulkan kebencian dan mengelirukan rakyat.

“Kami langsung tidak pernah bercadang mahu menubuhkan Kerajaan Cina mahupun kerajaan apa-apa bangsa sekalipun seperti yang didakwa Soi Lek. Apa yang kami mahu tubuh adalah kerajaan berjiwa rakyat.

“Saya menggesa agar dia menarik balik kenyataan itu atau buktikan bila pemimpin PR mengatakan mahu menubuhkan Kerajaan Cina. Jika dia gagal berbuat demikian saya akan mengarahkan pemimpin saya di Perak untuk membuat laporan polis terhadapnya,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, tidak timbul isu menubuhkan Kerajaan Cina di Perak sekiranya PR berjaya menakluki semula negeri itu kerana sebelum ini pimpinan PR negeri itu sebulat suara memilih Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, tindakan Soi Lek itu bukan sahaja menunjukkannya hilang modal politik malah amat memalukan apabila sanggup menipu rakyat dengan memfitnah parti lawan hanya untuk menarik perhatian pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, Guan Eng memberi tempoh 24 jam kepada Soi Lek untuk menarik balik kenyataan itu atau bakal dikenakan tindakan undang-undang.

Sinar Harian

Bekalan air campur pasir

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SELARU – Penduduk Taman Rasa Sayang, di sini, gusar apabila tangki yang menyalurkan air bersih ke kawasan mereka terjejas akibat limpahan tanah dari tebing berhampiran hingga menyebabkan bekalan air yang diterima kotor dan berpasir.

Yang Dipertua Persatuan Taman Rasa Sa­yang, Mohd Rudzi Mat Deris, 49, berkata, hujan lebat beberapa hari lalu menyebabkan tanah liat berpasir memasuki saluran tangki berkenaan.

“Ini berikutan longkang yang dibina sudah tidak berfungsi kerana dipenuhi tanah.

“Bukit ini mengotorkan air tangki kerana tanah memasuki saluran berkenaan hingga menyebabkan air di rumah seperti berpasir,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dua hari lalu, masalah lain pula timbul apabila air mencurah keluar dari tangki berikutan pelampung yang digunakan tidak berfungsi.

“Saya difahamkan beka­lan elektrik yang disalurkan ke tangki ini tidak dihidupkan, menyebabkan pelampung tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Air melimpah selama dua hari, sekali gus menyebabkan pembaziran,” katanya.

Sementara itu, katanya, tangki itu membekalkan air kepada 68 penduduk di taman berkenaan.

“Sebelum ini, taman ini belum pernah mengalami gangguan air. Jadi, saya harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera sebelum perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Muhd Rudzi berkata, beliau juga berharap pihak berkenaan dapat memasang lampu di kawasan tangki berkenaan.

“Saya sering lihat anak-anak muda melepak di sini pada waktu malam. Walaupun sudah ditegah tetapi mereka masih berdegil,” katanya.

Sinar Harian

Artis seni rancang hantar batu tahi bintang 4,000 tahun

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GAMBAR fail menunjukkan sebongkah batu tahi bintang berusia 4,000 tahun yang dipamerkan di Gancedo, wilayah Chaco, Argentina.

GANCEDO, Aregentina - Seorang artis seni Argentina, Nicolas Goldberg dan Guillermo Faivovich dari Perancis merancang satu projek untuk membawa sebongkah batu tahi bintang gergasi untuk dipamerkan di Kassel, Jerman pada September depan.

Batu tahi bintang itu kini dipamerkan di Gancedo, wilayah Chaco, Argentina.

Kedua-dua artis seni tersebut mahu membawa batu tahi bintang yang seberat 37 tan itu dari tempat ia dipamerkan kini.

Batu tahi bintang itu jatuh kira-kira 4,000 tahun lalu dan dikeluarkan dari lokasi tempat ia jatuh pada 8 Julai 1980 di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Piguen Nonralta. - AFP

Rampasan VCD/DVD meningkat

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Jumlah kes yang membabitkan rampasan video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) cetak rompak di negeri ini bagi tahun 2011 meningkat sebanyak 3.8 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Asisten Komisioner Rosman Omar berkata, seramai 459 orang ditangkap menerusi 424 serbuan yang dilakukan dari Januari hingga Disember 2011.

Katanya, sebanyak 119,653 unit pelbagai VCD dan DVD cetak rompak tidak memiliki sijil B dan 4,893 keping DVD/VCD lucah dirampas melibatkan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM600,000.

”Kenaikan ini menunjukkan polis serius memerangi kumpulan menjual DVD/VCD haram ini, dan polis memohon masyarakat menyalurkan maklumat agar kegiatan ini boleh dilumpuhkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, dekat sini, semalam.

Mengikut rekod bagi tahun 2010 sebanyak 458 serbuan dilakukan membabitkan tangkapan 438 individu dan rampasan VCD/DVD tanpa lesen B ialah 11,688 keping dan VCD/DVD lucah 4,715.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, seramai 17 ah long ditahan sepanjang tahun lalu.

Rosman berkata, daripada jumlah itu, seramai 12 peminjam tanpa lesen ini telah didakwa dan lima lagi kes kini dalam proses pendakwaan.

“Beberapa langkah pencegahan telah diambil dengan menurunkan poster-poster yang mengiklankan pinjaman tanpa lesen ini.

“Polis juga menerima kerjasama baik dari pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Sinar Harian

Nyaris dirodok pisau rambo

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KEMAMAN – “Rasa bagaikan bermimpi bila terjaga dari tidur saya lihat tiga penyamun di depan mata, dua daripadanya cuba menghunus pisau rambo ke dada saya sambil menunjukkan isyarat tangan agar saya diam,” katanya mangsa samun, Ahmad Mohamad, 43.

Mengimbas detik mencemaskan itu, rumahnya yang dihuni bersama isteri dan empat anak dimasuki pencuri dalam kejadian di Jalan Sena, dekat sini, kira-kira jam 4.30 pagi semalam hingga mengakibatkan keluarganya mengalami kerugian kira-kira RM14,000,

Ahmad berkata, panik dan khuatir keselamatan isteri dan anak, dia terpaksa menurut kehendak tiga penyamun yang menutup separuh muka dengan sapu tangan itu.

Bagaikan nyawa dihujung tanduk, pekerja swasta itu berkata, dadanya nyaris ditikam saat dia membuka mata namun tindakan spontannya yang terdiam dan tidak melawan mengelakkan ketiga-tiga penyamun itu bertindak agresif.

“Ketika mengacu pisau, dua penyamun itu meminta saya keluarkan barang berharga dan serahkan kepada mereka, manakala seorang lagi mundar-mandir di hada­pan pintu bilik tidur saya dan mengawasi keadaan rumah.

“Waktu itu, isteri tidur di bilik sebelah bersama anak, selepas menyerahkan barang berharga dalam bilik tidur, penyamun itu masuk ke bilik sebelah lalu merampas semua barang kemas yang dipakai isteri. Turut diambil dua telefon bimbit,” katanya yang masih trauma ketika dikunjungi Sinar Harian pagi semalam.

Ahmad percaya, ketiga-tiga penyamun itu warga Indonesia berdasarkan dialek percakapan ketiga-tiga mereka yang bertubuh kecil tetapi sasa.


Tangan Ahmad dan isteri diikat, anak menggigil

Kejadian menakutkan itu berlaku selama kira-kira 10 minit, malah Ahmad dan isterinya turut diikat tangan dengan wayar elektrik dan kain langsir, sementara empat anak mereka yang berusia lingkungan 14 hingga 4 tahun menggigil ketakutan.

Menurut Ahmad yang mula menetap di rumah itu sejak setahun lalu, selepas memperoleh apa yang dimahukan ketiga-tiga penyamun itu, mereka melarikan diri melalui pintu jeriji besi dan pintu gelongsor di bahagian ruang tamu rumah sebelum laporan polis dibuat kira-kira jam 6 pagi.

Katanya yang turut meluahkan syukur kerana tiada ahli keluarganya yang dicederakan, terdapat kesan umpil di pintu jeriji besi dan pintu gelongsor di ruang tamu rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes terbabit berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata secara berkumpulan.

Kisah yang menimpa enam beranak itu turut mendapat perhatian Pengarah Pas Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, Hanafiah Mat yang meluangkan masa menziarah keluarga terbabit.

Sehubungan itu, Hanafiah berharap rondaan di kawasan itu diadakan lebih kerap, agar kejadian sama tidak berulang selain meminta kerajaan mengawal kebanjiran pendatang asing di negara ini memandangkan banyak kes jenayah dan sosial yang berpunca daripada kemasukan ramai pendatang asing di negara ini.

Sinar Harian

Kehilangan 30 lembu terjawab

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Keadaan yang mencurigakan bagi empat lelaki berada dalam sebuah ladang sawit di Kampung Aring 7, dekat sini, terbongkar apabila mereka sedang menyembelih dua lembu curi selepas menembak haiwan itu dua minggu lalu.

Kejadian itu dikesan seorang anggota Polis Bantuan Felda yang membuat rondaan di kawasan tersebut kira-kira jam 11 pagi pada 20 Januari lalu sebelum melaporkan kepada pemilik lembu terbabit.

Penternak terbabit, Zulkifli Md Zin, 49, yang tinggal di Kampung Aring 6 berkata, beliau yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan telefon dari anggota polis bantuan itu mengesahkan lembu itu miliknya.

Beliau mengakui sebelum ini fikirannya tertanya-tanya mengenai kehilangan 30 daripada 250 lembu peliharaannya dalam tempoh setahun lalu tanpa dapat dikesan sama ada dicuri atau mati disebabkan serangan penyakit.

”Memang saya sebelum ini menganggap lembu ternakan saya itu hilang hanya disyaki serangan penyakit atau mati disebabkan terjatuh dalam telaga tanpa mengambil peduli sangat walaupun kerugian lebih RM70,000.

”Namun, kali ini saya dapat kesan kehilangan lembu saya itu dicuri mereka tidak bertanggungjawab apabila berjaya menemui semula dua ekor yang telah disembelih termasuk seekor daripadanya hampir siap dilapah,” katanya.

Beliau yang pernah dianugerahkan Peladang Jaya Peringkat Negeri Kelantan berkata, bagaimanapun ketika beliau menyerbu ke kawasan itu, empat lelaki yang dipercayai memiliki senjata api kerana menembak lembunya melarikan diri.

Zulkifli berkata, lembunya yang sudah disembelih dan ditinggalkan lelaki tersebut di kawasan ladang sawit berkenaan ada kesan peluru di kepala dipercayai menggunakan pistol.

”Saya turut menemui sebiji kelonsong peluru pistol dipercayai digunakan menembak lembu saya berhampiran haiwan yang disembelih itu dan mungkin mereka telah lama menjalankan kegiatan seperti itu,” katanya.

Katanya, beliau sebelum ini memang ada menerima rungutan daripada penduduk kawasan itu yang menyatakan kekerapan kehilangan lembunya disebabkan ada sindiket mencuri lembu untuk menjual dagingnya.

”Namun, saya tidak mengesyakinya selagi tidak menemui barang bukti walaupun saya mengalami kerugian teruk kerana setiap ekor lembu yang hilang itu bernilai RM2,500. Tetapi, nasib baik juga saya segera bergegas ke tempat kejadian dan sempat melapah dua lembu yang telah disembelih untuk dijual dagingnya kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, kawasan ternakan lembunya itu jauh dari penempatan dan melalui jalan berselut, tetapi mungkin pencuri itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi tujuan memunggah daging lembu yang siap dilapah.

Katanya, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang jam 3.30 petang pada 20 Januari lalu dengan menyerah bersama sebiji kelonsong peluru pistol yang digunakan menembak lembunya.

Sinar Harian

Penganggur dituduh ugut bunuh bapa saudara

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap bapa saudaranya di Dewan Beta di sini, seminggu lalu.

Tuduhan terhadap Saaroni Abdullah, 21, dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan itu, Saaroni mengugut Abdullah Said, 81, dengan berkata hendak membunuhnya sehingga menyebabkan ketakutan yang boleh mendatangkan kecederaan dan kematian kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Atas Pengget Dewan Beta di sini, pada jam 5 petang, 22 Januari lalu.

Tertuduh bagaimanapun merekodkan pengakuan tidak bersalah.

Susulan itu, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menetapkan sebutan semula pada 20 Februari depan untuk serahan dokumen kepada peguam bela tertuduh.

Sementara itu, tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sinar Harian

Tauke bengkel 'garu kepala'

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN- Seorang pengusaha bengkel kereta terpaksa mengeluarkan kos kira-kira RM20,000 untuk mengecat kembali 13 kereta milik pelanggan yang sedang dibaiki di premisnya di Taman Indera Sempurna, Jalan Kuantan-Pekan dekat sini apabila semua kenderaan itu disembur cat merah oleh individu tidak dikenali, malam kelmarin.

Zarin Mohd Taib, 34, berkata, dia percaya kejadian itu akibat perbuatan khianat individu tertentu walaupun dia tidak mempunyai musuh atau pernah berdendam dengan sesiapa.

Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku setelah empat tahun bengkelnya beroperasi.

Malah dia percaya, kejadian itu dirancang rapi oleh individu yang dengki dengannya kerana hanya kenderaan yang sedang dalam proses dan sudah dibaik pulih sahaja menjadi mangsa khianat.

“Malam sebelum kejadian, saya bersama tiga pekerja sibuk menyiapkan kereta pelanggan dan menutup bengkel kira-kira jam 4.30 pagi, 28Januari lalu.

“Kejadian hanya disedarinya keesokan harinya apabila seorang pelanggan datang ke bengkel kira-kira jam 8 pagi untuk mengambil keretanya dan ternampak semua kereta di situ termasuk keretanya terkena semburan cat,” katanya ketika ditemui di bengkelnya dekat sini, semalam.

Zarin berkata, kejadian itu dimaklumkan kepadanya lalu dia segera ke bengkel dan melihat 12 kereta serta sebuah lori dalam premis itu terdapat kesan semburan cat.

Menurutnya, kejadian dilaporkan kepada polis untuk tindakan bagaimanapun selepas peristiwa itu, dia bimbang perkara yang sama akan berulang.

“Saya menjadi takut untuk meninggalkan bengkel kerana bimbang kejadian ini akan berulang dan berapa lagi kerugian terpaksa saya tanggung untuk membaiki kereta pelanggan yang mungkin dirosakkan.

“Sebuah kereta menelan kos sehingga RM1,000 untuk dicat kembali jika melibatkan seluruh bahagian,” katanya.

Dia berkata, kejadian itu juga boleh menjejaskan perniagaannya kerana pelanggan mungkin takut dan serik untuk membaiki kereta di situ bimbang perkara sama akan berulang.

Ketika ditanya adakah motif kejadian berpunca daripada persaingan perniagaan, Zarin tidak mahu membuat sebarang andaian sebaliknya menyerahkan kes kepada polis untuk menyiasatnya.

“Saya serahkan kejadian ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengesan individu terlibat namun pada masa yang sama, kami juga akan memantau bengkel ini setiap masa selepas ditutup,” katanya.

Dia juga bercadang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan bengkelnya itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan dan Perundangan) Superintendan Mohd Haris Daud ketika ditemui mengesahkan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, pengadu ada membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading berhubung kejadian yang diklasifikasikan sebagai perbuatan khianat dan disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Hotel bajet di Batu Feringghi jadi sarang maksiat

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BATU FERINGGHI – Sebuah hotel bajet di Batu Feringghi dipercayai menjadi tumpuan golongan remaja membuat maksiat namun kegiatan berkenaan dihidu beberapa penduduk setempat dan segelintir peniaga berhampiran.

Pekerja kedai runcit, Yahya Hasan, 55, berkata, kegiatan terbabit sudah lama berlaku namun semakin rancak sejak tahun ini.

Menurutnya, terdapat sekumpulan remaja berusia belasan tahun secara berpasangan datang ke kedainya dan membeli barang.

“Apabila mendengar loghat mereka bukan orang Pulau Pinang, saya bertanya datang dari mana, dan masing-masing menjawab Kuala Lumpur dan Ipoh, saya kemudiannya bertanya datang melancong ke, dan dengan selamba mereka menjawab mereka sudah di sini dua malam dan duduk di sebuah hotel bajet.

“Mereka memang ada menyebut nama hotel berkenaan, yang saya hairankan ialah semuanya baru sahaja berusia lingkungan dalam 17 hingga 20 tahun tapi sudah pandai jauh dari ibu bapa dan melakukan perkara maksiat sebegini,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke hotel berkenaan mendapati bayaran yang dikenakan begitu rendah bermula dari RM50 sehingga RM100 sahaja.

Perbuatan mereka yang ingin melakukan maksiat juga lebih mudah kerana kedudukan hotel yang terletak di bahagian belakang bangunan.

Seorang pekerja hotel yang tidak mahu dikenali berkata, mereka tidak mempunyai hak untuk menghalang remaja terbabit dengan menginap di tempat mereka.

“Kami pun dapat duit, kalau kami marah-marah pasti pelanggan lari, kalau penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP)) datang, kami bagi saja mereka masuk buat pemeriksaan,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian telah melaporkan hotel berkenaan menjadi sarang maksiat malam tahun baru berikutan penangkapan beberapa pasangan remaja di situ.

Ketua Operasi JAIPP Tanjong, Muadz Md Nazan berkata, pihaknya menahan 14 remaja berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun di hotel berkenaan.

Menurutnya, serbuan dilakukan sekitar jam 2 pagi mendapati tujuh pasangan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 iaitu berkhalwat.

Sinar Harian

Wanita cedera ditembak

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Seorang wanita cedera parah selepas ditembak lelaki yang bersenjatakan pistol Revolver jenis .38 dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Slow Machang, Pasir Mas, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa, Che Asmah Che Awang, 50, mengalami cedera parah selepas terkena tembakan di perut kanan, kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian itu, empat suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu yang melarikan sebuah kereta jenis Honda Jazz, barang kemas dan wang tunai bernilai RM5,000.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat lagi ahli keluarganya sedang tidur sebelum didatangi empat lelaki bertopeng.

Kejadian disedari anak mangsa Mohd Khairul Azani Mohd Lawi, 26, selepas terdengar bunyi tembakan serta pintu ditendang.

Jalaluddin berkata, sebaik Mohd Khairul keluar dari bilik, dia mendapati empat lelaki bertopeng di dalam rumah lalu mengheretnya keluar.

”Keempat-empat lelaki terbabit kemudian menggeledah di dalam bilik anak mangsa sebelum melarikan barangan berharga. Suspek melarikan empat telefon bimbit, tiga utas rantai leher, wang tunai RM5,000, tiga bentuk cincin dan sepasang subang serta sebuah kereta Honda Jazz milik anak mangsa,” katanya.

Mangsa yang mengalami cedera di perut kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) oleh suaminya Mohd Lawi Dollah, 53, sebaik penyamun terbabit melarikan diri.

Beliau berkata, polis melancarkan gerakan memburu suspek dan mengesan kereta mangsa untuk siasatan lanjut. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan menggunakan senjata api.

Sementara itu, Mohd Lawi ketika ditemui di rumahnya berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi orang mengetuk pintu dan memberi salam.

“Saya kemudian bergegas membuka pintu dan terkejut apabila melihat tiga lelaki bertopeng menyerbu masuk dan seorang lagi menendang pintu belakang rumah. Saya kemudian diarah duduk dan salah seorang daripadanya mengacukan sepucuk pistol,” katanya.

Mohd Lawi berkata, beberapa minit kemudian dia diarah membuka suis lampu dan secara tiba-tiba, satu das tembakan dilepaskan ke arah isterinya.

Menurutnya, selepas empat lelaki terbabit melarikan diri, dia terus membawa isterinya yang cedera parah ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan.

Sinar Harian

BMW dirempuh, RM200,000 lesap di lebuh raya

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NILAI – Seorang pemilik stesen minyak mengalami keadaan cemas apabila keretanya dirempuh kenderaan penyamun bersenjata yang melarikan RM200,000 di Kilometer 287, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Bukit Mahkota, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa, yang memandu kereta jenis BMW dari Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), dalam perjalanan ke Bangi, apabila disamun di tepi lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusoff Awang berkata, mangsa sedang membawa wang hasil perniagaannya itu mahu ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi.

“Mangsa yang memandu sendi­rian dilanggar oleh sebuah kereta jenis Lexus berwarna putih, dinaiki dua lelaki di kawasan Rehat dan Rawat Nilai.

“Mangsa, bagaimanapun, tidak memberhentikan kereta, sebaliknya meneruskan perjalanan.

“Sejurus tiba di Bukit Mahkota, sekali lagi kereta mangsa dilanggar oleh kereta yang sama dan kali ini mangsa memberhentikan kenderaannya,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa yang berusia awal 40-an, terus keluar dari kenderaan dan melarikan diri selepas melihat kedua-dua orang itu yang bertopeng, menuju ke arah kenderaannya dengan seorang daripada mereka membawa sebilah parang.

“Mereka terus mengambil wang yang dari dalam but kereta.

“Kemudian, sebuah kereta Honda Accord yang dinaiki dua lelaki bertopeng tiba dan membawa kedua penyamun bersama wang tersebut dan meninggalkan kereta Lexus di situ,” katanya.

Yusoff berkata, semua penyamun itu dipercayai dalam lingkungan 30-an.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa menyedari diekori lebih daripada dua kenderaan dalam kejadian itu,” katanya.

Sinar Harian

Penyamun minta hidang nasi selepas pecah rumah

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - "Hidang aku nasi" itulah permintaan seorang penyamun selepas memecah masuk ke dalam rumah seorang pembantu veterinar di Kampung Bukit Payung, Besut di sini, pagi kelmarin.

Bagaimanapun ketika penyamun itu sedang asyik menjamu selera, anak perempuan pemilik rumah itu sempat melarikan diri ke rumah jiran berdekatan dan menelefon bapanya bagi memaklumkan kejadian tersebut dan seterusnya membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, suspek yang bersenjatakan sebilah parang telah memecah masuk ke rumah berkenaan dan mengugut anak perempuan pemilik rumah yang ketika itu tinggal berseorangan supaya menyerahkan semua barang berharga.

"Mangsa 21 tahun yang dalam keadaan ketakutan kemudian terus menyerahkan dua utas gelang emas yang dipakainya.

"Selepas mendapat barang kemas itu suspek kemudian meminta mangsa menghidangkannya nasi, namun mangsa menyuruh suspek mengambil sendiri nasi di dapur sebelum mengambil peluang melarikan diri ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Menurut Manoharan, tidak lama selepas itu bapa mangsa tiba bersama beberapa anggota polis, namun suspek bersama seorang rakannya yang menunggu di dalam kereta berjaya melarikan diri.

Katanya, hasil siasatan yang dijalankan, polis telah menahan seorang lelaki berusia 21 tahun kira-kira jam 8 malam hari yang sama di Jalan Pasir Akar dan hasil soal siasat, seorang lagi suspek berjaya ditahan.

"Kita berjaya menahan suspek utama yang berusia 29 tahun kira-kira sejam kemudian di Kampung Bukit Payung dan hasil penahanan kedua-dua suspek itu polis berjaya merampas parang yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Bagaimanapun dua utas gelang emas yang disamun itu telah diserahkan kepada rakan wanitanya untuk dijual.

"Kita telah menelefon keluarga wanita berkenaan memaklumkan kejadian itu sebelum wanita berusia 28 tahun itu tampil menyerahkan diri di Balai Polis Jerteh kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan hasil siasatan yang dijalankan wanita itu mengakui telah menjual gelang emas yang bernilai RM800 itu di sebuah kedai emas di Jerteh.

"Polis telah pergi ke kedai emas berkenaan pagi tadi dan menahan seorang jurujual yang berusia 31 tahun bagi membantu siasatan, bagaimanapun jurujual berkenaan memaklumkan barang kemas itu telah diserahkan kepada pemilik kedai dan kita akan membuat tangkapan ke atas pemilik kedai berkenaan," katanya.

Manoharan berkata, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis methamfetamine itu direman selama seminggu dari semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana merompak menggunakan senjata. - Bernama

Sinar Harian

Rakyat Pakistan cuba seludup dadah dipancung

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi menjalankan hukuman pancung ke atas seorang lelaki rakyat Pakistan yang ditahan kerana cuba menyeludup dadah ke negara itu, kata menteri dalam negeri, semalam.

“Suspek, Salman Khan Taj Mohammed dari Pakistan ditahan ketika cuba menyeludup sejumlah besar heroin ke negara ini,” kata menteri terbabit dalam satu kenyataan dipetik daripada agensi berita kerajaan, SPA.

Hasil siasatan mendapati dia terbabit dengan kegiatan penyeludupan dadah dan dijatuhkan hukuman mati mengikut undang-undang Arab Saudi.

Suspek dipancung di Damman di timur negara itu, lapor SPA menjadikan angka hukuman mati di Arab Saudi untuk tahun ini kepada lima setakat ini. - AFP

Larian paling mencabar di dunia

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEJUMLAH orang menyaksikan peserta menyertai larian paling mencabar di dunia di Perton kelmarin.

PERTON, England - Seramai 6,000 orang menyertai larian paling mencabar di dunia di sini kelmarin dengan peserta dikehendaki menandatangani perjanjian bahawa pihak penganjur tidak bertanggungjawab terhadap kematian mereka.

Acara mencari lelaki paling berdaya tahan itu bermula sejak 1986 dan ia memerlukan para peserta berlari menempuh pelbagai halangan antaranya meredah api, berenang dalam lumpur, mendaki, berlari sambil membawa batang kayu dan meniarap di bawah kawat berdiri. - Agensi

China bantah Jepun untuk namakan pulau terbiar

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BEIJING 31 Jan. - China semalam membantah rancangan Jepun untuk menamakan berpuluh-puluh pulau berhampiran gugusan pulau di tengah kawasan pertikaian kedua-dua negara terbabit.

Agensi berita Xinhua berkata, perancangan itu termasuk menambah 39 pulau yang tidak berpenghuni di dalam peta Jepun pada hujung Mac ini, serta beberapa "pulau kecil di sekitarnya" di Kepulauan Diaoyu, pulau yang dikenali di China.

Pulau-pulau di Laut China Timur, dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan juga dituntut oleh Taiwan, terletak di kawasan yang kaya dengan sumber perikanan, minyak dan gas. - AFP