31 Januari 2012

Nyaris dirodok pisau rambo

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KEMAMAN – “Rasa bagaikan bermimpi bila terjaga dari tidur saya lihat tiga penyamun di depan mata, dua daripadanya cuba menghunus pisau rambo ke dada saya sambil menunjukkan isyarat tangan agar saya diam,” katanya mangsa samun, Ahmad Mohamad, 43.

Mengimbas detik mencemaskan itu, rumahnya yang dihuni bersama isteri dan empat anak dimasuki pencuri dalam kejadian di Jalan Sena, dekat sini, kira-kira jam 4.30 pagi semalam hingga mengakibatkan keluarganya mengalami kerugian kira-kira RM14,000,

Ahmad berkata, panik dan khuatir keselamatan isteri dan anak, dia terpaksa menurut kehendak tiga penyamun yang menutup separuh muka dengan sapu tangan itu.

Bagaikan nyawa dihujung tanduk, pekerja swasta itu berkata, dadanya nyaris ditikam saat dia membuka mata namun tindakan spontannya yang terdiam dan tidak melawan mengelakkan ketiga-tiga penyamun itu bertindak agresif.

“Ketika mengacu pisau, dua penyamun itu meminta saya keluarkan barang berharga dan serahkan kepada mereka, manakala seorang lagi mundar-mandir di hada­pan pintu bilik tidur saya dan mengawasi keadaan rumah.

“Waktu itu, isteri tidur di bilik sebelah bersama anak, selepas menyerahkan barang berharga dalam bilik tidur, penyamun itu masuk ke bilik sebelah lalu merampas semua barang kemas yang dipakai isteri. Turut diambil dua telefon bimbit,” katanya yang masih trauma ketika dikunjungi Sinar Harian pagi semalam.

Ahmad percaya, ketiga-tiga penyamun itu warga Indonesia berdasarkan dialek percakapan ketiga-tiga mereka yang bertubuh kecil tetapi sasa.


Tangan Ahmad dan isteri diikat, anak menggigil

Kejadian menakutkan itu berlaku selama kira-kira 10 minit, malah Ahmad dan isterinya turut diikat tangan dengan wayar elektrik dan kain langsir, sementara empat anak mereka yang berusia lingkungan 14 hingga 4 tahun menggigil ketakutan.

Menurut Ahmad yang mula menetap di rumah itu sejak setahun lalu, selepas memperoleh apa yang dimahukan ketiga-tiga penyamun itu, mereka melarikan diri melalui pintu jeriji besi dan pintu gelongsor di bahagian ruang tamu rumah sebelum laporan polis dibuat kira-kira jam 6 pagi.

Katanya yang turut meluahkan syukur kerana tiada ahli keluarganya yang dicederakan, terdapat kesan umpil di pintu jeriji besi dan pintu gelongsor di ruang tamu rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes terbabit berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata secara berkumpulan.

Kisah yang menimpa enam beranak itu turut mendapat perhatian Pengarah Pas Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, Hanafiah Mat yang meluangkan masa menziarah keluarga terbabit.

Sehubungan itu, Hanafiah berharap rondaan di kawasan itu diadakan lebih kerap, agar kejadian sama tidak berulang selain meminta kerajaan mengawal kebanjiran pendatang asing di negara ini memandangkan banyak kes jenayah dan sosial yang berpunca daripada kemasukan ramai pendatang asing di negara ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: