31 Januari 2012

NFC: SPRM digesa siasat polis elak rasuah

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 31 Jan: PKR hari ini menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan institusi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bebas dari unsur rasuah bagi menjamin ketelusan siasatan terhadap skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Jelas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pada sidang media di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, pihaknya menerima salinan laporan polis yang telah dibuat oleh Datuk Samsubahrin Ismail pada 27 Januari yang lepas terhadap Pengerusi NFC Datuk Seri Dr. Salleh Ismail.

"Kita telah menerima salinan laporan polis tersebut dan kita dapati bahawa dalam laporan polis itu, Shamsubahrin didakwa berkata beliau menerima mesej dan tekanan dari Salleh yang memintanya supaya kes NFC dengan pihak polis ditutup.

"Salleh, melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS), mendesak saya untuk memberi rasuah kepada polis untuk menutup kes itu," jelasnya yangmemetik kandungan sms itu.

Zuraida juga memberitahu melihat kepada apa yang dilaporkan itu jelas wujud arahan rasuah yang dilakukan oleh Salleh bagi memastikan skandal tersebut dapat dilindungi serta tiada tindakkan diambil.

"Kita mahu siasatan dilakukan oleh SPRM berhubung dengan laporan tersebut dan saya pasti pihak SPRM di Putrajaya juga mengetahui kandungan SMS itu kerana salah satu telefon milik Samsubahrin telah disimpan di sana sebagai bahan bukti.

"Apa yang kita kesalkan mereka yang mengarahkan rasuah masih lagi terlepas manakala yang Samsubahrin pula diambil tindakan segera malah juga telah didakwa," sambungnya.

Tambahnya yang juga Ketua Wanita PKR, SPRM perlu bertindak keatas Ismail yang jelas mengarah agar membayar (rasuah) kepada pihak polis bagi menutup kes skandal NFC.

Sementara itu, R Sivarasa memberitahu perkara itu amat serius malah ia merupakan satu jenayah rasuah yang perlu diambil tindakan segera oleh SPRM.

"Saya tegaskan kepada pegawai SPRM tadi bahawa tuduhan tersebut amat serius iaitu ada arahan dilakukan oleh Salleh kepada Samsubahrin yang mengarah agar merasuah pihak polis, dalam selain SMS dari Salleh terdapat juga SMS yang dihantar oleh pegawai NFC mengarahkan Samsubahrin merasuah pihak polis.

"Kita tidak nyata ini satu fitnah kerana beliau berani serta cakap mempunyai bukti dan sanggup hadapi tuduhan tersebut, SPRM perlu segera siasat Salleh yang bertindak mengarah beliau (Samsubahrin) merasuah pihak polis," katanya.

Ahli Parlimen Subang itu juga menyatakan kekesalan bagaimana Salleh sehingga sekarang tidak dikenakan apa-apa tindakan tetapi tindakan sebaliknya pula berlaku.

"Mereka yang mengarah terlepas tepati yang tidak pula sebaliknya, keadaan ini seolah-olah SPRM mahu memberi perlindungan kepada NFC.

"Kita mahukan Salleh ditahan serta dibawa ke mahkamah dengan segera bukannya lepas begitu sahaja, jika SPRM tidak bertindak dalam masa dua minggu, kita akan mendesak agar Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh," jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Zuraida dan juga Sivarasa berharap jika kes itu disiasat di bawah SPRM soal keselamatan Samsubahrin perlu diperketatkan agar apa yang berlaku kepada mendiang Teo Beng Hock dan juga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamad tidak akan berulang.

Sebelum ini, dalam laporan polis Shamsubahrin mendakwa beliau telah dilantik oleh NFC sebagai penasihat korporat dan perunding untuk "membersihkan" masalah dalaman NFC.

Beliau menambah bahawa telah bertemu dengan pihak polis untuk membantu siasatan mereka tetapi memaklumkan kepada Salleh bahawa beliau tidak akan memberi rasuah.

Pegawai SPRM yang menerima laporan daripada Zuraida dan Sivarasa ialah Penolong Kanan Penguasa, Norshimah Abd Ghani dan juga Ketua Unit Siasatan, Maznah Che Muda.

Harakah Daily

Tiada ulasan: