31 Januari 2012

Kehilangan 30 lembu terjawab

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Keadaan yang mencurigakan bagi empat lelaki berada dalam sebuah ladang sawit di Kampung Aring 7, dekat sini, terbongkar apabila mereka sedang menyembelih dua lembu curi selepas menembak haiwan itu dua minggu lalu.

Kejadian itu dikesan seorang anggota Polis Bantuan Felda yang membuat rondaan di kawasan tersebut kira-kira jam 11 pagi pada 20 Januari lalu sebelum melaporkan kepada pemilik lembu terbabit.

Penternak terbabit, Zulkifli Md Zin, 49, yang tinggal di Kampung Aring 6 berkata, beliau yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan telefon dari anggota polis bantuan itu mengesahkan lembu itu miliknya.

Beliau mengakui sebelum ini fikirannya tertanya-tanya mengenai kehilangan 30 daripada 250 lembu peliharaannya dalam tempoh setahun lalu tanpa dapat dikesan sama ada dicuri atau mati disebabkan serangan penyakit.

”Memang saya sebelum ini menganggap lembu ternakan saya itu hilang hanya disyaki serangan penyakit atau mati disebabkan terjatuh dalam telaga tanpa mengambil peduli sangat walaupun kerugian lebih RM70,000.

”Namun, kali ini saya dapat kesan kehilangan lembu saya itu dicuri mereka tidak bertanggungjawab apabila berjaya menemui semula dua ekor yang telah disembelih termasuk seekor daripadanya hampir siap dilapah,” katanya.

Beliau yang pernah dianugerahkan Peladang Jaya Peringkat Negeri Kelantan berkata, bagaimanapun ketika beliau menyerbu ke kawasan itu, empat lelaki yang dipercayai memiliki senjata api kerana menembak lembunya melarikan diri.

Zulkifli berkata, lembunya yang sudah disembelih dan ditinggalkan lelaki tersebut di kawasan ladang sawit berkenaan ada kesan peluru di kepala dipercayai menggunakan pistol.

”Saya turut menemui sebiji kelonsong peluru pistol dipercayai digunakan menembak lembu saya berhampiran haiwan yang disembelih itu dan mungkin mereka telah lama menjalankan kegiatan seperti itu,” katanya.

Katanya, beliau sebelum ini memang ada menerima rungutan daripada penduduk kawasan itu yang menyatakan kekerapan kehilangan lembunya disebabkan ada sindiket mencuri lembu untuk menjual dagingnya.

”Namun, saya tidak mengesyakinya selagi tidak menemui barang bukti walaupun saya mengalami kerugian teruk kerana setiap ekor lembu yang hilang itu bernilai RM2,500. Tetapi, nasib baik juga saya segera bergegas ke tempat kejadian dan sempat melapah dua lembu yang telah disembelih untuk dijual dagingnya kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, kawasan ternakan lembunya itu jauh dari penempatan dan melalui jalan berselut, tetapi mungkin pencuri itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi tujuan memunggah daging lembu yang siap dilapah.

Katanya, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang jam 3.30 petang pada 20 Januari lalu dengan menyerah bersama sebiji kelonsong peluru pistol yang digunakan menembak lembunya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: