Mati lemas ketika cuba selamatkan rakan



7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang murid Tahun Enam mati lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya yang hampir lemas ketika mandi di Pantai Batu Hitam, di sini petang semalam.

Dalam kejadian itu, Mohd Sharul Hafiz Ramli, 12, murid Sekolah Kebangsaan Balok ke pantai berkenaan untuk mandi bersama dua rakannya, Mohd Nor Faiz Rolzami, 10, dan Mohd Taufik Firdaus Omar, 12, kira-kira pukul 4 petang.

Menceritakan pengalamannya kepada pemberita, Mohd Taufik berkata pada mulanya mereka hanya mandi di tepi pantai sebelum Mohd Shahrul dan Nor Faiz berenang ke tengah sedikit.

"Tiba-tiba saya ternampak Nor Faiz terkapai-kapai dan mangsa cuba menyelamatkannya namun dia turut lemas dan saya cuba untuk menyelamatkan mereka tetapi gagal sebab air agak tinggi lalu saya pergi meminta pertolongan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata anggota penyelamat yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menyelamatkan mangsa kira-kira pukul 7.05 petang dan diberikan rawatan bantuan pernafasan.

Katanya mangsa dan Nor Faiz dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas manakala Nor Faiz dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, bapa tiri mangsa, Razali Rahim, 31, yang ditemui di bilik mayat berkata dia reda dengan kejadian itu.

"Mangsa tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh sebelum ini tetapi sebelum kejadian dia ada meminta duit 20 sen untuk membeli gula-gula di kedai berhampiran," katanya. - BERNAMA

Sinar Harian


Responses

0 Respones to "Mati lemas ketika cuba selamatkan rakan"

Catat Ulasan

 

cina islam 2011

Foto Saya
PARIT BUNTAR, PERAK, AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI TITI SERONG, PERAK., Malaysia
Memuatkan ...
Return to top of page Copyright © 2010 | Platinum Theme Converted into Blogger Template by HackTutors