31 Januari 2012

Lubuk pelacur asing diserbu

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KLANG - Hasrat seorang pekerja kilang warga Nepal untuk mendapatkan ‘belaian manja’ wanita berstatus pelacur punah sama sekali apabila premis yang menjadi lokasi kegemaran­ pekerja asing memuaskan nafsu serakah di sebuah kawasan perindustrian, di sini diserbu polis, petang kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang, lelaki berusia 22 tahun itu berjaya ditahan setelah gagal melarikan diri apabila premis yang dijadikan tempat pelacuran sudah dikepung sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan tujuh wanita warga Indonesia berusia 19 hingga 35 tahun dipercayai pelacur.

“Ketika serbuan dilakukan, kesemua wanita terbabit sedang berehat di sofa sambil menunggu pelanggan masuk ke premis bagi mendapatkan khidmat mereka.

“Semua pelacur tidak sempat melarikan diri berikutan kawasan premis sudah dikepung pihak berkuasa sedari awal lagi,” katanya.

Sewaktu premis berkenaan diserbu, polis berkali-kali meminta individu yang menjaga premis terbabit membuka pintu, namun enggan menurut arahan.

Polis terpaksa memanjat pagar dan menggunakan pemotong besi bagi membuka mangga untuk masuk ke premis itu.

Mohamad Shukor berkata, siasatan awal polis mendapati, premis berkenaan dijadikan tempat pelacuran bagi pekerja kilang warga asing di kawasan berkenaan, tetapi keadaan premis itu tidak ubah seperti asrama pekerja bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Tambahnya, semua pelacur dipercayai menawarkan perkhidmatan seks kepada pekerja warga asing di sekitar kawasan perindustrian berkenaan dan dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Mereka yang ditahan dalam serbuan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan (KK) kerana menawarkan khidmat untuk tujuan persundalan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963.

“Kita akan terus memantau dari semasa ke semasa tempat pelacuran di sekitar daerah Klang Utara, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang sebarang aktiviti tidak bermoral diminta menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: