31 Januari 2012

29 pekerja China diculik di Sudan masih belum dibebaskan

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BEIJING: Seramai 29 pekerja China yang diculik selepas serangan di wilayah bergolak di Sudan masih belum dibebaskan walaupun laporan akhbar menyebut sebahagian daripada mereka sudah dilepaskan.

Agensi berita Xinhua berkata, 29 pekerja yang mengendalikan projek jalan raya masih ditahan dan 18 orang berjaya melarikan diri dan 17 yang lain diselamatkan manakala seorang masih hilang.

Terdahulu, sekumpulan pekerja China diculik kumpulan militan di wilayah terpencil di selatan Sudan dan semalam, kerajaan Sudan mengeluarkan kenyataan bahawa seramai 14 daripada mereka sudah dibebaskan. - AP

Iran cipta peluru artileri laser berteknologi tinggi

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TAHERAN 31 Jan. - Iran semalam dilapor berjaya menghasilkan peluru artileri yang berpandukan laser yang berkemampuan mengesan dan mengenai sasaran bergerak dengan kadar ketepatan yang tinggi.

Menteri Pertahanan Iran, Ahmad Vahidi berkata, peluru pintar itu merupakan pembaharuan dalam kelengkapan senjata dan ketenteraan negara ini.

"Selain Amerika Syarikat dan Rusia, hanya tiga negara lain yang mempunyai teknologi seperti ini," katanya. - REUTERS

Majlis Kebangsaan Syria tolak rundingan damai

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NICOSIA 31 Jan. - Majlis Kebangsaan Syria semalam menolak sebarang tawaran rundingan dengan Damsyik selagi Presiden Bashar al-Assad tidak meletak jawatan.

Ketua majlis itu, Burhan Ghalioun berkata, peletakan jawatan Bashar merupakan syarat untuk rundingan dalam membentuk kerajaan yang lebih demokratik.

Kerajaan Syria semalam bersetuju tawaran Rusia yang menjadi tuan rumah dalam rundingan damai yang diadakan di Moscow.

Moscow, merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, menawarkan rundingan itu dengan harapan dapat menamatkan krisis berdarah yang berlaku di Syria. - AFP

Pengebom Berani Mati Bunuh Empat Yang Lain Di Pakistan - Polis

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PENSHAWAR (Pakistan): Seorang pengebom berani mati yang sebelum ini berjaya melepaskan diri daripada dua cubaan membunuh dan tiga yang lain mati di barat laut Pakistan, kata polis.

Serangan yang berlaku merosakkan rumah Akhunzada di Pakha Ghulam di bandar Pashawar bersempadan dengan kubu kuat Taliban dan Al-Qaeda yang berhampiran dengan sempadan Afghanistan.

Beliau dianggap sebagai satu kuasa penting Ansar ul-Islam, iaitu sebuah kumpulan tempatan yang berpangkalan di daerah Khyber selepas melarikan diri daripada dau serangan gagal sebelum ini.

"Ia adalah serangan bunuh diri, empat orang telah di bunuh. Akhunzada adalah antara yang mati," kata Imtiaz Shah, seorang pegawai polis kanan kepada AFP.

Seorang pakar bom berkata ia adalah serangan berani mati.

"Menerusi keterangan yang dikumpul, ia menunjukkan bahawa pengebom berani mati terlibat," kata Hukum Khan kepada AFP.

Dalam pada itu, Siraj Ahmad, pegawai tinggi kerajaan di Peshawar memberitahu AFP bahawa Akhunzada dan menantu lelakinya adalah antara yang mati.

mstar/-

Jangan biar Najib ‘terlalu selesa’

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PASCA Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan daripada Umno dan kerajaan 1998, pertarungan dilihathttp://tvsnews.net/v1/images/news_images_upload/datuk-seri-anwar-ibrahimmmm.jpg lebih bertumpu kepada persaingan karektor antara Anwar dan Dr Mahathir. Imej Anwar cuba dihancurkan menggunakan semua media utama oleh BN juga menggunakan seluruh instrument kerajaan, terutamanya melalui proses mahkamah

Kebetulan ledakan maklumat melalui teknologi internet mula menguasai masyarakat, maka itu saja medium terbaik pihak pembangkang melakukan serangan balas; menghancurkan karektor Dr Mahathir pula habishabisan.

Segala perkara negatif mengenai Mahathir dikorek dan didedah semahunya. Imej Presiden Umno itu menjadi lebih teruk dari partinya sendiri.

Apabila prestasi Umno merosot teruk pada pilihan raya umum 1999, sehingga hilang dua negeri Melayu (Kelantan dan Terengganu) dan pembangkang Parlimen dikuasai PAS dengan 27 kerusi; Dr Mahathir didakwa sebagai penyebab. Dalam satu mesyuarat majlis kerja tertinggi Umno selepas PRU 1999, Presiden Umno itu dibelasah teruk oleh AJK Umno sehingga ke peringkat mendesak beliau meletak jawatan.

Dr Mahathir menjadi liabiliti kepada Umno dibuktikan melalui PRU 2004. Tanpa beliau Umno dan BN mampu menang besar. Mahathir sendiri mengakui bahawa faktor kemenangan besar BN PRU11 ialah kerana dirinya tidak lagi memimpin Umno dan kerajaan.

Menjelang PRU12 pemusnahan imej terhadap Dato’ Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri pula dilakukan. Imej ‘Pak Lah lena’ dan pelbagai skandal menantunya, Khairy Jamaluddin, dijadikan modal serangan. Sehinggakan puisi ‘Al-Ghazali’ ciptaan Pak Lah pun digubah dalam pelbagai versi oleh pembangkang. Kemerosotan teruk BN PRU12 dikaitkan dengan imej buruk Pak Lah. Ia berlarutan dalam Umno sehingga akhirnya beliau sendiri tersingkir dari kepimpinan Umno akibat imejnya itu.

Sejak zaman PRU 1999, cabaran besar bagi BN ialah Anwar. Justeru pemusnahan imej Anwar dilakukan oleh BN dengan penuh istiqomah, berperancangan, pelbagai, saban hari dan tidak pernah putus asa; persis syaitan yang tidak pernah berhenti dari menyesatkan manusia. Adakah ia langsung tidak berhasil? Penyokong PR jangan syok sendiri untuk berkata imej Anwar tidak terjejas. Ia menjejaskan! Secara peribadi saya tidak yakin Anwar dapat mempertahankan majoriti lumayannya di Permatang pauh yang diperolehi dalam pilihan raya kecil lalu.

Beberapa kajian yang dibuat oleh badan-badan profesional menunjukkan sokongan terhadap Najib meningkat mutakhir ini. Perkara besar yang harus disedari oleh semua aktivis, pendokong dan penyokong PR bahawa sejak mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan dari Pak Lah, Najib dibiarkan berada dalam keadaan yang agak selesa; tiada ‘pembunuhan’ imej dan serangan peribadi secara bersungguh-sungguh yang dilakukan. Najib tidak diserang seperti Mahathir dan Pak Lah di zamannya.

Apakah Najib seorang yang sangat bersih? Mustahil, tiada seorang pemimpin Umno yang bersih. Kalaupun dilihat bersih, terdapat unsur persekitaran yang mengotorinya. Seperti Pak Lah yang ‘dikotorkan’ oleh menantunya Khairy dan anaknya yang menjadi jutawan segera. Semua setuju bahawa Rosmah adalah objek terdekat Najib yang boleh digunakan untuk memusnahkan imejnya, tetapi sejauh mana ia digunakan?

Aspek kekuatan dan kelemahan pemimpin sangat penting dalam melonjak atau menjahanamkan imej parti atau kerajaan. Usaha merosakkan imej pakatan pihak pembangkang di negara ini dilakukan dengan menjahanamkan karektor Anwar kerana dia dianggap bakal Perdana Menteri. Beliau yang memimpin Pakatan Rakyat.

Mereka tidak menumpukan serangan peribadi terhadap Dato’ Seri Abdul Hadi Awang atau Lim Kit Siang.

Modus operandinya, apa juga aspek negatif dalam PR semua dikaitkan dengan Anwar atau apa-apa saja perkara yang dibuat oleh PR dinegatifkan dengan alasan ‘penglibatan’ Anwar.

Pertelingkahan dalam KeADILan, tumpuan PAS terhadap negara berkebajikan, keputusan pemilihan dalam muktamar PAS, pemecatan dan pelantikan dalam PAS; semua dikaitkan dengan Anwar seolah-olah kepimpinan PAS tidak kenal Quran, Hadis dan Ijmak Ulama dalam membuat keputusan. Bayangkan setiap hari sekurang-kurangnya satu tuduhan baru yang berbeza terhadap Anwar dibuat oleh media talibarut Umno. Sehingga kini sudah beribu tuduhan liar yang dikenakan kepada beliau.

Berbeza dengan pembangkang, yang lebih menumpu kepada isu tetapi tidak kepada Najib. Najib langsung tidak terkena najis lembu peliharaan keluarga Shahrizat. Jika Shahrizat meletakkan jawatan, maka imej Najib tidak akan terjejas. Isu-isu besar yang pernah dikaitkan dengan Najib seperti Altantuya, kapal selam Scorpene, penasihat Yahudi APCO, kehilangan RM888 bilion wang negara menjadi serangan hangat-hangat taik ayam terhadap Najib.

Beribu-ribu laporan polis terhadap Anwar dalam pelbagai isu, beratus demonstrasi haram terhadap beliau tetapi tidak ada pula tindakan serupa untuk Najib dan Rosmah. Menteri Besar Selangor dihadapkan dengan demonstrasi dan ugutan oleh segelintir rakyat Selangor dalam isu remeh sekecil sampah, pengangkutan awam dan pasir tetapi tiada demonstrasi seumpama itu (picisan dan merata) terhadap Najib dalam pelbagai isu besar negara. Apa ilmu yang Najib pakai sehingga beliau menjadi begitu selesa bermaharajalela menggilap imej di mata rakyat?

Dalam perlawanan bola sepak pemain yang paling handal seperti Pele, Maradona, Zidane dan sebagainya adalah yang paling kuat dikekangi kawalan pihak lawan supaya ia tidak dibiar terlalu bebas melakukan serangan.

Malaysia selari dengan era politik dunia yang meletakkan ketokohan individu sebagai faktor yang penting. Lebih dua dekad lalu orang lebih melihat parti sebab itu BN mampu menang walau calon yang bertanding ialah penyapu. PRU 13 membuktikan bahawa calon peringkat DUN boleh kalah kesemuanya dalam satu kawasan Parlimen walaupun calon parlimennya menang, begitu juga sebaliknya.

Maka imej pemimpin nombor satu parti sangat penting untuk dimusnahkan sama seperti pentingnya membunuh imej parti lawan. Jadi, pastikan Najib senasib dengan Mahathir dan Pak Lah. Jangan terlepas pandang.

detikdaily/-

AS tak berani serang Iran

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEHERAN: Panglima Tentera Darat Iran semalam berkata, Amerika Syarikat tidak berani untuk melancarkan serangan ketenteraan terhadap Republik Islam itu.

“Meskipun Washington mengerahkan kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson ke Teluk Parsi dan Amerika Syarikat memiliki senjata canggih, negara itu dan sekutunya tidak akan berani untuk melancarkan serangan terhadap Iran,” kata Brigadier Jeneral Ahmad Reza Pourdastan.

Menurutnya, mereka gentar terhadap tentera dan negara Iran.

Awal Januari lalu, Pentagon mendakwa USS Carl Vinson yang membawa bersama-samanya 80 kapal terbang dan helikopter tiba di ‘kawasan tanggungawab’ (AOR). Menurut tanggapan Amerika Syarikat, kawasan itu membabitkan Teluk Parsi, Laut Merah, Teluk Oman dan sebahagian Lautan Hindi.

Pemerintah kanan tentera Iran itu berkata, Amerika Syarikat dan Barat meningkatkan ancaman dan mengenakan sekatan demi sekatan terhadap Iran yang semuanya terbukti tidak berkesan.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, pada 5 Januari lalu mengumumkan perubahan strategi pertahanan negara itu bagi mengurangkan perbelanjaan ketenteraan.

Dokumen lapan muka surat itu bagaimanapun tidak mengandungi butir mengenai bagaimana perubahan itu akan memberi kesan kepada pengurangan tentera atau senjata, termasuk sama ada ia akan memberi lebih banyak tumpuan terhadap Asia dan mengurangkan tumpuannya di Eropah.

Pegawai Iran sudah memberi amaran, sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran akan menerima tindak balas serta-merta dan ia tidak akan terhad di rantau Asia Barat saja. - Agensi

PAS kesal pihak sebar khabar angin KPN mati

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar perbuatan sesetengah pihak yang secara amat tidak beretika menyebarkan berita khabar angin Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah meninggal dunia awal pagi semalam di London.

Dalam kenyataan yang diterima Harakahdaily lewat petang semalam, Mohamad menegaskan bahawa soal sakit, kematian dan kemalangan tidak boleh dijadikan bahan mainan walaupun pada musuh.

Senda gurau sedemikian, katanya tidak perlu dimainkan oleh golongan sivil.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menegaskan menyebarkan berita palsu kematian seseorang adalah bertentangan dengan nilai budaya timur dan ajaran Islam.

“Berita kematian bukanlah bahan senda gurau kerana sebagaimana juga qazaf, ia meninggalkan kesan langsung kepada keluarga. Cuma Qazaf lebih terkesan dan lama kerana itu Islam menetapkan hukum hudud bagi kesalahan qazaf,” terang beliau.

Mengambil firman Allah yang bermaksud “Wahai orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu orang fasik membawa berita, hendaklah kamu menyelidiknya terlebih dahulu, agar kamu tidak bertindak di atas kejahilan kamu maka kerana itu nanti kamu menyesal”, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengingatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan sesuatu berita sehingga kesahihannya disahkan.

“Ini adalah kerana dibimbangi seseorang itu akan menanggung dosa berpanjangan di atas penyebaran berita palsu itu,” terang beliau.

Mengulas perkara yang sama, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sepatutnya mendoakan kepada seseorang yang sakit supaya sembuh, bukannya menyebarkan berita palsu kematian seseorang.

Khabar angin berhubung kematian Ismail tersebar pukul 3 pagi semalam melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telahpun mengeluarkan kenyataan bagi menafikan khabar angin tersebut.

Turut memberikan reaksi dalam hal ini ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi yang menegaskan bahawa berita kematian bukan satu bahan gurauan, apalagi jika dibuat bahan fitnah.

“Ia melukakan perasaan ahli keluarganya dan mengganggu keselesaan hidupnya. Selayaknya kita doakan kebaikan buatnya. Sungguhpun banyak perkara yang kita tidak puas hati namun kita harapkan KPN sejahtera,” tegas beliau, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Harakah Daily

Petronas dipandang tinggi jika bayar royalti Kelantan

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Petronas sepatutnya mengutamakan tanggungjawabnya di segi perundangan dahulu sebelum melaksanakan tanggungjawab sosialnya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, walaupun pembinaan laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang adalah sumbangan yang sangat dialu-alukan, tetapi lebih penting lagi Petronas mengutamakan perlaksanaan tanggungjawabnya di sisi undang-undang.

"Sehingga kini Peronas tidak melaksanakan legal responsibiliti atau tanggungjawabnya di sisi undang-undang dan membayar royalti minyak kepada Kelantan," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin, jika Petronas melaksanakan tanggungjawab perundangannya itu dan membayar royalti minyak kepada Kelantan dan negeri lain yang berhak mendapat royalti tersebut, syarikat minyak nasional itu akan dipandang tinggi sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.

Sehingga kini, kerajaan negeri Kelantan terus disekat dan dinafikannya haknya untuk menerima royalti yang termaktub dalam Akta Petroleum itu.

Menurut The Star, laluan pejalan kaki berhawa dingin bernilai RM100 juta itu dibiayai oleh Petronas di bawah program sumbangan sosialnya.

Bagaimanapun, harga RM100 juta untuk laluan berhawa dingin sepanjang 562 meter dan selebar lima meter itu dipertikaikan oleh blogger pro-Umno sendiri.

Blogger itu menyifatkan harga laluan pejalan kaki itu, iaitu RM3,307 sekaki persegi terlalu mahal.

Menurut blogger itu, harga RM3,307 sekaki persegi untuk laluan pejalan kaki itu enam kali ganda lebih mahal dari harga kondominium enam bintang di Mont Kiara.

Kos sedemikian, katanya, "lebih teruk dari kondo lembu".

Laluan pejalan kaki berhawa dingin yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merentasi kawasan sibuk di Jalan Pinang, Jalan Perak dan Jalan Raja Chulan dengan pintu masuk bereskalator dan bertangga serta pintu keluar di lokasi strategik dan selesa.

Bahagian lainnya terdiri daripada sebuah terowong pejalan kaki dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur yang sekarang bersambung dengan terowong sedia ada ke kompleks beli-belah Suria KLCC.

Harakah Daily

Gempa bumi 5.2 magnitud landa Sumatera Utara

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Ritcher melanda Sumatera Utara, Indonesia pada jam 9.20 malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan melaporkan gempa itu berpusat di 105 kilometer tenggara Simeulue, Indonesia dan 484 kilometer tenggara Kampar, Perak.
Bagaimanapun, gempa itu tidak mendatangkan sebarang ancaman tsunami. - BERNAMA

Tubuh kerajaan Cina, Soi Lek diberi tempoh 24 jam tarik balik kenyataan

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Dakwaan kononnya pembangkang mahu menubuhkan ‘Kerajaan Cina’ di Perak jika memenangi pilihan raya akan datang adalah fitnah selain cuba memainkan sentimen perkauman.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, DAP mahupun Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah bercadang untuk menubuhkan Kerajaan Cina seperti yang didakwa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam sebuah akhbar arus perdana semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pembohongan yang dibuat Soi Lek itu amat berbahaya kerana boleh menimbulkan kebencian dan mengelirukan rakyat.

“Kami langsung tidak pernah bercadang mahu menubuhkan Kerajaan Cina mahupun kerajaan apa-apa bangsa sekalipun seperti yang didakwa Soi Lek. Apa yang kami mahu tubuh adalah kerajaan berjiwa rakyat.

“Saya menggesa agar dia menarik balik kenyataan itu atau buktikan bila pemimpin PR mengatakan mahu menubuhkan Kerajaan Cina. Jika dia gagal berbuat demikian saya akan mengarahkan pemimpin saya di Perak untuk membuat laporan polis terhadapnya,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, tidak timbul isu menubuhkan Kerajaan Cina di Perak sekiranya PR berjaya menakluki semula negeri itu kerana sebelum ini pimpinan PR negeri itu sebulat suara memilih Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, tindakan Soi Lek itu bukan sahaja menunjukkannya hilang modal politik malah amat memalukan apabila sanggup menipu rakyat dengan memfitnah parti lawan hanya untuk menarik perhatian pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, Guan Eng memberi tempoh 24 jam kepada Soi Lek untuk menarik balik kenyataan itu atau bakal dikenakan tindakan undang-undang.

Sinar Harian

Bekalan air campur pasir

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SELARU – Penduduk Taman Rasa Sayang, di sini, gusar apabila tangki yang menyalurkan air bersih ke kawasan mereka terjejas akibat limpahan tanah dari tebing berhampiran hingga menyebabkan bekalan air yang diterima kotor dan berpasir.

Yang Dipertua Persatuan Taman Rasa Sa­yang, Mohd Rudzi Mat Deris, 49, berkata, hujan lebat beberapa hari lalu menyebabkan tanah liat berpasir memasuki saluran tangki berkenaan.

“Ini berikutan longkang yang dibina sudah tidak berfungsi kerana dipenuhi tanah.

“Bukit ini mengotorkan air tangki kerana tanah memasuki saluran berkenaan hingga menyebabkan air di rumah seperti berpasir,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dua hari lalu, masalah lain pula timbul apabila air mencurah keluar dari tangki berikutan pelampung yang digunakan tidak berfungsi.

“Saya difahamkan beka­lan elektrik yang disalurkan ke tangki ini tidak dihidupkan, menyebabkan pelampung tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Air melimpah selama dua hari, sekali gus menyebabkan pembaziran,” katanya.

Sementara itu, katanya, tangki itu membekalkan air kepada 68 penduduk di taman berkenaan.

“Sebelum ini, taman ini belum pernah mengalami gangguan air. Jadi, saya harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera sebelum perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Muhd Rudzi berkata, beliau juga berharap pihak berkenaan dapat memasang lampu di kawasan tangki berkenaan.

“Saya sering lihat anak-anak muda melepak di sini pada waktu malam. Walaupun sudah ditegah tetapi mereka masih berdegil,” katanya.

Sinar Harian

Artis seni rancang hantar batu tahi bintang 4,000 tahun

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GAMBAR fail menunjukkan sebongkah batu tahi bintang berusia 4,000 tahun yang dipamerkan di Gancedo, wilayah Chaco, Argentina.

GANCEDO, Aregentina - Seorang artis seni Argentina, Nicolas Goldberg dan Guillermo Faivovich dari Perancis merancang satu projek untuk membawa sebongkah batu tahi bintang gergasi untuk dipamerkan di Kassel, Jerman pada September depan.

Batu tahi bintang itu kini dipamerkan di Gancedo, wilayah Chaco, Argentina.

Kedua-dua artis seni tersebut mahu membawa batu tahi bintang yang seberat 37 tan itu dari tempat ia dipamerkan kini.

Batu tahi bintang itu jatuh kira-kira 4,000 tahun lalu dan dikeluarkan dari lokasi tempat ia jatuh pada 8 Julai 1980 di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Piguen Nonralta. - AFP

Rampasan VCD/DVD meningkat

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Jumlah kes yang membabitkan rampasan video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) cetak rompak di negeri ini bagi tahun 2011 meningkat sebanyak 3.8 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Asisten Komisioner Rosman Omar berkata, seramai 459 orang ditangkap menerusi 424 serbuan yang dilakukan dari Januari hingga Disember 2011.

Katanya, sebanyak 119,653 unit pelbagai VCD dan DVD cetak rompak tidak memiliki sijil B dan 4,893 keping DVD/VCD lucah dirampas melibatkan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM600,000.

”Kenaikan ini menunjukkan polis serius memerangi kumpulan menjual DVD/VCD haram ini, dan polis memohon masyarakat menyalurkan maklumat agar kegiatan ini boleh dilumpuhkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, dekat sini, semalam.

Mengikut rekod bagi tahun 2010 sebanyak 458 serbuan dilakukan membabitkan tangkapan 438 individu dan rampasan VCD/DVD tanpa lesen B ialah 11,688 keping dan VCD/DVD lucah 4,715.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, seramai 17 ah long ditahan sepanjang tahun lalu.

Rosman berkata, daripada jumlah itu, seramai 12 peminjam tanpa lesen ini telah didakwa dan lima lagi kes kini dalam proses pendakwaan.

“Beberapa langkah pencegahan telah diambil dengan menurunkan poster-poster yang mengiklankan pinjaman tanpa lesen ini.

“Polis juga menerima kerjasama baik dari pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Sinar Harian

Nyaris dirodok pisau rambo

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KEMAMAN – “Rasa bagaikan bermimpi bila terjaga dari tidur saya lihat tiga penyamun di depan mata, dua daripadanya cuba menghunus pisau rambo ke dada saya sambil menunjukkan isyarat tangan agar saya diam,” katanya mangsa samun, Ahmad Mohamad, 43.

Mengimbas detik mencemaskan itu, rumahnya yang dihuni bersama isteri dan empat anak dimasuki pencuri dalam kejadian di Jalan Sena, dekat sini, kira-kira jam 4.30 pagi semalam hingga mengakibatkan keluarganya mengalami kerugian kira-kira RM14,000,

Ahmad berkata, panik dan khuatir keselamatan isteri dan anak, dia terpaksa menurut kehendak tiga penyamun yang menutup separuh muka dengan sapu tangan itu.

Bagaikan nyawa dihujung tanduk, pekerja swasta itu berkata, dadanya nyaris ditikam saat dia membuka mata namun tindakan spontannya yang terdiam dan tidak melawan mengelakkan ketiga-tiga penyamun itu bertindak agresif.

“Ketika mengacu pisau, dua penyamun itu meminta saya keluarkan barang berharga dan serahkan kepada mereka, manakala seorang lagi mundar-mandir di hada­pan pintu bilik tidur saya dan mengawasi keadaan rumah.

“Waktu itu, isteri tidur di bilik sebelah bersama anak, selepas menyerahkan barang berharga dalam bilik tidur, penyamun itu masuk ke bilik sebelah lalu merampas semua barang kemas yang dipakai isteri. Turut diambil dua telefon bimbit,” katanya yang masih trauma ketika dikunjungi Sinar Harian pagi semalam.

Ahmad percaya, ketiga-tiga penyamun itu warga Indonesia berdasarkan dialek percakapan ketiga-tiga mereka yang bertubuh kecil tetapi sasa.


Tangan Ahmad dan isteri diikat, anak menggigil

Kejadian menakutkan itu berlaku selama kira-kira 10 minit, malah Ahmad dan isterinya turut diikat tangan dengan wayar elektrik dan kain langsir, sementara empat anak mereka yang berusia lingkungan 14 hingga 4 tahun menggigil ketakutan.

Menurut Ahmad yang mula menetap di rumah itu sejak setahun lalu, selepas memperoleh apa yang dimahukan ketiga-tiga penyamun itu, mereka melarikan diri melalui pintu jeriji besi dan pintu gelongsor di bahagian ruang tamu rumah sebelum laporan polis dibuat kira-kira jam 6 pagi.

Katanya yang turut meluahkan syukur kerana tiada ahli keluarganya yang dicederakan, terdapat kesan umpil di pintu jeriji besi dan pintu gelongsor di ruang tamu rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes terbabit berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata secara berkumpulan.

Kisah yang menimpa enam beranak itu turut mendapat perhatian Pengarah Pas Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, Hanafiah Mat yang meluangkan masa menziarah keluarga terbabit.

Sehubungan itu, Hanafiah berharap rondaan di kawasan itu diadakan lebih kerap, agar kejadian sama tidak berulang selain meminta kerajaan mengawal kebanjiran pendatang asing di negara ini memandangkan banyak kes jenayah dan sosial yang berpunca daripada kemasukan ramai pendatang asing di negara ini.

Sinar Harian

Kehilangan 30 lembu terjawab

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Keadaan yang mencurigakan bagi empat lelaki berada dalam sebuah ladang sawit di Kampung Aring 7, dekat sini, terbongkar apabila mereka sedang menyembelih dua lembu curi selepas menembak haiwan itu dua minggu lalu.

Kejadian itu dikesan seorang anggota Polis Bantuan Felda yang membuat rondaan di kawasan tersebut kira-kira jam 11 pagi pada 20 Januari lalu sebelum melaporkan kepada pemilik lembu terbabit.

Penternak terbabit, Zulkifli Md Zin, 49, yang tinggal di Kampung Aring 6 berkata, beliau yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan telefon dari anggota polis bantuan itu mengesahkan lembu itu miliknya.

Beliau mengakui sebelum ini fikirannya tertanya-tanya mengenai kehilangan 30 daripada 250 lembu peliharaannya dalam tempoh setahun lalu tanpa dapat dikesan sama ada dicuri atau mati disebabkan serangan penyakit.

”Memang saya sebelum ini menganggap lembu ternakan saya itu hilang hanya disyaki serangan penyakit atau mati disebabkan terjatuh dalam telaga tanpa mengambil peduli sangat walaupun kerugian lebih RM70,000.

”Namun, kali ini saya dapat kesan kehilangan lembu saya itu dicuri mereka tidak bertanggungjawab apabila berjaya menemui semula dua ekor yang telah disembelih termasuk seekor daripadanya hampir siap dilapah,” katanya.

Beliau yang pernah dianugerahkan Peladang Jaya Peringkat Negeri Kelantan berkata, bagaimanapun ketika beliau menyerbu ke kawasan itu, empat lelaki yang dipercayai memiliki senjata api kerana menembak lembunya melarikan diri.

Zulkifli berkata, lembunya yang sudah disembelih dan ditinggalkan lelaki tersebut di kawasan ladang sawit berkenaan ada kesan peluru di kepala dipercayai menggunakan pistol.

”Saya turut menemui sebiji kelonsong peluru pistol dipercayai digunakan menembak lembu saya berhampiran haiwan yang disembelih itu dan mungkin mereka telah lama menjalankan kegiatan seperti itu,” katanya.

Katanya, beliau sebelum ini memang ada menerima rungutan daripada penduduk kawasan itu yang menyatakan kekerapan kehilangan lembunya disebabkan ada sindiket mencuri lembu untuk menjual dagingnya.

”Namun, saya tidak mengesyakinya selagi tidak menemui barang bukti walaupun saya mengalami kerugian teruk kerana setiap ekor lembu yang hilang itu bernilai RM2,500. Tetapi, nasib baik juga saya segera bergegas ke tempat kejadian dan sempat melapah dua lembu yang telah disembelih untuk dijual dagingnya kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, kawasan ternakan lembunya itu jauh dari penempatan dan melalui jalan berselut, tetapi mungkin pencuri itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi tujuan memunggah daging lembu yang siap dilapah.

Katanya, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang jam 3.30 petang pada 20 Januari lalu dengan menyerah bersama sebiji kelonsong peluru pistol yang digunakan menembak lembunya.

Sinar Harian