31 Januari 2012

Lubuk pelacur asing diserbu

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KLANG - Hasrat seorang pekerja kilang warga Nepal untuk mendapatkan ‘belaian manja’ wanita berstatus pelacur punah sama sekali apabila premis yang menjadi lokasi kegemaran­ pekerja asing memuaskan nafsu serakah di sebuah kawasan perindustrian, di sini diserbu polis, petang kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang, lelaki berusia 22 tahun itu berjaya ditahan setelah gagal melarikan diri apabila premis yang dijadikan tempat pelacuran sudah dikepung sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan tujuh wanita warga Indonesia berusia 19 hingga 35 tahun dipercayai pelacur.

“Ketika serbuan dilakukan, kesemua wanita terbabit sedang berehat di sofa sambil menunggu pelanggan masuk ke premis bagi mendapatkan khidmat mereka.

“Semua pelacur tidak sempat melarikan diri berikutan kawasan premis sudah dikepung pihak berkuasa sedari awal lagi,” katanya.

Sewaktu premis berkenaan diserbu, polis berkali-kali meminta individu yang menjaga premis terbabit membuka pintu, namun enggan menurut arahan.

Polis terpaksa memanjat pagar dan menggunakan pemotong besi bagi membuka mangga untuk masuk ke premis itu.

Mohamad Shukor berkata, siasatan awal polis mendapati, premis berkenaan dijadikan tempat pelacuran bagi pekerja kilang warga asing di kawasan berkenaan, tetapi keadaan premis itu tidak ubah seperti asrama pekerja bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Tambahnya, semua pelacur dipercayai menawarkan perkhidmatan seks kepada pekerja warga asing di sekitar kawasan perindustrian berkenaan dan dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Mereka yang ditahan dalam serbuan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan (KK) kerana menawarkan khidmat untuk tujuan persundalan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963.

“Kita akan terus memantau dari semasa ke semasa tempat pelacuran di sekitar daerah Klang Utara, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang sebarang aktiviti tidak bermoral diminta menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sinar Harian

Rumah jadi port penagih

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BALAKONG - Penduduk di Taman Harmoni, Balakong bimbang apabila sebuah rumah kosong yang ditinggalkan lebih dua tahun lalu kini dijadikan sarang mengumpul barangan terpakai oleh beberapa mat gian.

Penduduk, Ikhzal, 37, berkata, sebelum ini rumah itu diduduki penyewa, namun diarahkan keluar oleh tuan rumah kerana ingin menjalankan pengubahsuaian.

Bagaimanapun menurutnya, dalam tempoh lebih dua tahun ini, kerja pengubahsuaian terhenti dan kini mengundang masalah baru kepada penghuni di kawasan berhampiran apabila ‘rumah tinggal’ itu dijadikan markas mengumpul barang terpakai oleh sesetengah individu dipercayai penagih.

“Ada kalangan mereka seperti penagih dan kami bimbangkan keselamatan apabila rumah itu mungkin akan menjadi lokasi penagih melepak dan mengumpul barangan­ terpakai, apatah lagi kawasan rumah hampir dengan pusat membeli dan mengumpul barangan­ terpakai,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, sebelum ini berlaku dua kejadian pecah rumah bersebelahan rumah kosong itu menyebabkan penyewa berkenaan serik dan berpindah ke kawasan lain.

Ikhzal berkata, dia pernah cuba menghubungi tuan rumah berkenaan, namun gagal kerana dikatakan telah menukar nombor telefon.

Keadaan itu katanya, menyebabkan penduduk terpaksa memohon tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar masalah dapat diselesaikan segera.

“Sebelum membuat pengu­bahsuaian, pihak mereka ada meminta izin untuk membuka bumbung rumah, namun selepas kerja pengubahsuaian terhenti, bumbung ditinggalkan terbuka menyebabkan air memasuki rumah bersebelahan.

“Dua basikal saya sebelum ini turut dicuri, malah penduduk di kawasan ini beberapa kali bertindak menghalau beberapa lelaki yang memasuki rumah tinggal ini disyaki sebagai penagih kerana bimbang akan mengundang gejala negatif,” katanya.

Ikhzal berkata, pihaknya memohon agar PBT dapat mengenal pasti pemilik rumah berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya mandangkan keadaan rumah yang ditinggalkan mengundang ketidakselesaan kepada penduduk.

Sinar Harian

Mati lemas ketika cuba selamatkan rakan

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang murid Tahun Enam mati lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya yang hampir lemas ketika mandi di Pantai Batu Hitam, di sini petang semalam.

Dalam kejadian itu, Mohd Sharul Hafiz Ramli, 12, murid Sekolah Kebangsaan Balok ke pantai berkenaan untuk mandi bersama dua rakannya, Mohd Nor Faiz Rolzami, 10, dan Mohd Taufik Firdaus Omar, 12, kira-kira pukul 4 petang.

Menceritakan pengalamannya kepada pemberita, Mohd Taufik berkata pada mulanya mereka hanya mandi di tepi pantai sebelum Mohd Shahrul dan Nor Faiz berenang ke tengah sedikit.

"Tiba-tiba saya ternampak Nor Faiz terkapai-kapai dan mangsa cuba menyelamatkannya namun dia turut lemas dan saya cuba untuk menyelamatkan mereka tetapi gagal sebab air agak tinggi lalu saya pergi meminta pertolongan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata anggota penyelamat yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menyelamatkan mangsa kira-kira pukul 7.05 petang dan diberikan rawatan bantuan pernafasan.

Katanya mangsa dan Nor Faiz dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas manakala Nor Faiz dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, bapa tiri mangsa, Razali Rahim, 31, yang ditemui di bilik mayat berkata dia reda dengan kejadian itu.

"Mangsa tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh sebelum ini tetapi sebelum kejadian dia ada meminta duit 20 sen untuk membeli gula-gula di kedai berhampiran," katanya. - BERNAMA

Sinar Harian

Tahanan pemberontak Sudan dibebaskan

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KHARTOUM - Seramai 14 pekerja China yang diculik pemberontak Sudan di Kordofan Selatan, berjaya dibebaskan tentera Sudan, semalam.

Gabenor negeri, Ahmad Harun memberitahu, kesemua mangsa berjaya dibebaskan dan berada dalam keadaan baik.

14 mangsa itu kini dibawa ke kawasan berhampiran el Obeid di kejiranan Kordofan Utara.

Dalam pada itu, Harun menjelaskan, masih ada lagi mangsa culik yang belum dibebaskan dan nasib mereka agak kabur.

China mengesahkan sebilangan warganegaranya telah hilang selepas pemberontak menyerang kem sebuah syarikat China, Sabtu lalu, dan senarai nama yang dikeluarkan majikan Sya­rikat Power China Construction Corp, menyatakan lebih 20 pekerjanya telah hilang.

Dalam pada itu, kumpulan pemberontak Gera­kan Pembebasan Rakyat Sudan Utara (SPLM-N) sendiri mengesahkan seramai 29 warga China telah diculik.

sinar harian/-

Selamat Hari Wilayah Persekutuan 2012

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR telah diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya pada 1 Februari 1974. Sempena merayakan Hari Wilayah yang ke-37 pada 1hb Februari 2012, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Sesungguhnya, di bumi Wilayah Persekutuan inilah kita bersama-sama menuai jasa bakti bagi membangunkan sebuah negeri yang menjadi mercu tanda kemegahan rakyat Malaysia.

Umum mengetahui bahawa Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia. Sebagai ibu negara di sebuah negara maju, ia menjadi tumpuan baik rakyat Malaysia sendiri mahupun pelancong dari luar. Wilayah Persekutuan adalah model kepesatan kemajuan negara lambang kemodenan Malaysia.

DPPWP mengucapkan takziah dan jutaan terima kasih ke atas keluarga Allahyarhamuha YB Dr Lo’ Lo’ Hj Ghazali ahli Parlimen PAS di Titiwangsa juga merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat juga AJK di dalam PAS Pusat. Jasa yang telah beliau curahkan di dalam PAS menyebabkan pemergiannya pada 17 Julai yang lalu amat dirasai oleh warga PAS dan juga rakyat Titiwangsa.

Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' pernah menyatakan masalah yang besar sekali di hari wilayah pada tahun yang lalu iaitu masalah pendatang haram. Untuk menangani masalah ini, Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' telah banyak kali menulis surat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membawa perhatian pihak berkuasa kepada masalah ini yang kini telah bertambah teruk.

Kebanyakan pendatang haram ini telah membuka gerai perniagaan tanpa lesen di kaki lima Jalan Chow Kit. Di Pasar Chow Kit pun mereka membuka gerai perniagaan yang tidak berlesen di mana kebanyakan dari mereka menjual buah-buahan. Perbuatan membuka gerai perniagaan di kaki lima adalah salah di sisi undang-undang tetapi tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa untuk menyita gerai-gerai yang tidak berlesen ini.

DPPWP juga mendapati selain maslah kesesakan lalu lintas, masalah jenayah juga semakin berleluasa di sekitar Kuala Lumpur. Di Bukit Bintang sebagai contoh merupakan tumpuan para pelancong dan ahli perniagaan dan usahawan negara asing memandangkan lokasi Golden Triangle adalah ‘business district’ yang terkenal sekali di Kuala Lumpur. Kes ragut dan rompak kerap berlaku menyebabkan seolah-olah bandaraya Kuala Lumpur ini merupakan bandaraya yang tidak selamat. Ini menjejaskan imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang selamat dimana para pelancong boleh berjalan-jalan makan angin dengan selamatnya pada waktu malam.

DPPWP amat mengharapkan pihak Kementerian agar segera mensejahterakan penduduk di ibu kota daripada pelbagai masalah jenayah serta gejala sosial yang menimpa anak-anak muda. DPPWP bersedia duduk semeja dengan pihak Kementerian dan agensi kerajaan bagi merundingkan pelbagai bentuk pendekatan supaya masalah ini dapat di bendung serta memperbanyakan aktiviti bermanfaat dan pengisian rohani bagi mengisi masa anak-anak muda.

Sempena Sambutan Hari Wilayah ini, DPPWP mengharapkan sokongan rakyat terhadap PAS dan PR terus meningkat menjelang PRU-13 dan kita menawarkan pakej Negara Berkebajikan sebagai alternatif rakyat dalam menolak Umno-BN. Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Melihat pentadbiran kerajaan sekarang hanya berkonsepkan 'kekayaan negara berpusing kepada orang tertentu sahaja' sedangkan rakyat terus terseksa. Sepatutnya harta kekayaan negara disalurkan kepada rakyat selain digunakan untuk pembangunan negara, malah jika kerajaan ingin mencari sumber pendapatan maka cukai perlu dikenakan tetapi tidak semua rakyat perlu membayar cukai. Oleh sebab itulah Pakatan Rakyat ingin memansuhkan terus tol kerana rakyat yang tidak sepatutnya dikenakan cukai juga turut terbeban pembayaran tol, inilah yang dijanjikan di dalam Buku Jingga serta konsep negara berkebajikan PAS.

10 agenda yang ditawarkan PAS menyentuh aspek kerajaan beramanah, adil dan bersih, masyarakat penyayang, aman dan bersatu, serta ekonomi mampan, seimbang dan saksama. Selain itu, Konsep Negara Berkebajikan juga menyentuh mengenai pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkualiti, kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat serta keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.

Akhir sekali saya mendoakan kesejahteraan dan kebaikan buat semua warga Wilayah Persekutuan yang menyambut Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2012. Semoga kita terus hidup dengan budaya dan suasana yang tenteram, sihat dan aman di Malaysia ini. DPPWP mengharapkan supaya rakyat Wilayah Persekutuan terus menolak BN dan pilih PAS-Pakatan Rakyat pada PRU-13 nanti.

Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Pemuda PAS Perak serah bantuan kepada Kaum Tionghoa yang miskin

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

(TELUK INTAN) - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melalui Lajnah Perpaduan Nasionalnya telah mengadakan program berbentuk kebajikan bersempena Sambutan Tahun Baru Cina kali ini.

Program khas kepada golongan miskin Kaum Tionghoa tersebut bagi menerima beras dan sedikit sumbangan angpau khas daripada Pemuda PAS Perak yang disampaikan oleh Setiausahanya, Salman Saleh.

Hadir sama di dalam program yang meriah tersebut adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Haji Abu Bakar Hussien dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Negeri Perak, Beh Heng Ken.

Program yang dikendalikan oleh Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS Perak ini telah mendapat sambutan luas biasa dan Pengerusinya, Mohd Syamsul Alauddin yakin akan meneruskan program seumpama ini di masa akan datang kelak.

SAFARIZAL SALEH
Penolong Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

29 pekerja China diculik di Sudan masih belum dibebaskan

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BEIJING: Seramai 29 pekerja China yang diculik selepas serangan di wilayah bergolak di Sudan masih belum dibebaskan walaupun laporan akhbar menyebut sebahagian daripada mereka sudah dilepaskan.

Agensi berita Xinhua berkata, 29 pekerja yang mengendalikan projek jalan raya masih ditahan dan 18 orang berjaya melarikan diri dan 17 yang lain diselamatkan manakala seorang masih hilang.

Terdahulu, sekumpulan pekerja China diculik kumpulan militan di wilayah terpencil di selatan Sudan dan semalam, kerajaan Sudan mengeluarkan kenyataan bahawa seramai 14 daripada mereka sudah dibebaskan. - AP

Iran cipta peluru artileri laser berteknologi tinggi

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TAHERAN 31 Jan. - Iran semalam dilapor berjaya menghasilkan peluru artileri yang berpandukan laser yang berkemampuan mengesan dan mengenai sasaran bergerak dengan kadar ketepatan yang tinggi.

Menteri Pertahanan Iran, Ahmad Vahidi berkata, peluru pintar itu merupakan pembaharuan dalam kelengkapan senjata dan ketenteraan negara ini.

"Selain Amerika Syarikat dan Rusia, hanya tiga negara lain yang mempunyai teknologi seperti ini," katanya. - REUTERS

Majlis Kebangsaan Syria tolak rundingan damai

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NICOSIA 31 Jan. - Majlis Kebangsaan Syria semalam menolak sebarang tawaran rundingan dengan Damsyik selagi Presiden Bashar al-Assad tidak meletak jawatan.

Ketua majlis itu, Burhan Ghalioun berkata, peletakan jawatan Bashar merupakan syarat untuk rundingan dalam membentuk kerajaan yang lebih demokratik.

Kerajaan Syria semalam bersetuju tawaran Rusia yang menjadi tuan rumah dalam rundingan damai yang diadakan di Moscow.

Moscow, merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, menawarkan rundingan itu dengan harapan dapat menamatkan krisis berdarah yang berlaku di Syria. - AFP

Pengebom Berani Mati Bunuh Empat Yang Lain Di Pakistan - Polis

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PENSHAWAR (Pakistan): Seorang pengebom berani mati yang sebelum ini berjaya melepaskan diri daripada dua cubaan membunuh dan tiga yang lain mati di barat laut Pakistan, kata polis.

Serangan yang berlaku merosakkan rumah Akhunzada di Pakha Ghulam di bandar Pashawar bersempadan dengan kubu kuat Taliban dan Al-Qaeda yang berhampiran dengan sempadan Afghanistan.

Beliau dianggap sebagai satu kuasa penting Ansar ul-Islam, iaitu sebuah kumpulan tempatan yang berpangkalan di daerah Khyber selepas melarikan diri daripada dau serangan gagal sebelum ini.

"Ia adalah serangan bunuh diri, empat orang telah di bunuh. Akhunzada adalah antara yang mati," kata Imtiaz Shah, seorang pegawai polis kanan kepada AFP.

Seorang pakar bom berkata ia adalah serangan berani mati.

"Menerusi keterangan yang dikumpul, ia menunjukkan bahawa pengebom berani mati terlibat," kata Hukum Khan kepada AFP.

Dalam pada itu, Siraj Ahmad, pegawai tinggi kerajaan di Peshawar memberitahu AFP bahawa Akhunzada dan menantu lelakinya adalah antara yang mati.

mstar/-

Jangan biar Najib ‘terlalu selesa’

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PASCA Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan daripada Umno dan kerajaan 1998, pertarungan dilihathttp://tvsnews.net/v1/images/news_images_upload/datuk-seri-anwar-ibrahimmmm.jpg lebih bertumpu kepada persaingan karektor antara Anwar dan Dr Mahathir. Imej Anwar cuba dihancurkan menggunakan semua media utama oleh BN juga menggunakan seluruh instrument kerajaan, terutamanya melalui proses mahkamah

Kebetulan ledakan maklumat melalui teknologi internet mula menguasai masyarakat, maka itu saja medium terbaik pihak pembangkang melakukan serangan balas; menghancurkan karektor Dr Mahathir pula habishabisan.

Segala perkara negatif mengenai Mahathir dikorek dan didedah semahunya. Imej Presiden Umno itu menjadi lebih teruk dari partinya sendiri.

Apabila prestasi Umno merosot teruk pada pilihan raya umum 1999, sehingga hilang dua negeri Melayu (Kelantan dan Terengganu) dan pembangkang Parlimen dikuasai PAS dengan 27 kerusi; Dr Mahathir didakwa sebagai penyebab. Dalam satu mesyuarat majlis kerja tertinggi Umno selepas PRU 1999, Presiden Umno itu dibelasah teruk oleh AJK Umno sehingga ke peringkat mendesak beliau meletak jawatan.

Dr Mahathir menjadi liabiliti kepada Umno dibuktikan melalui PRU 2004. Tanpa beliau Umno dan BN mampu menang besar. Mahathir sendiri mengakui bahawa faktor kemenangan besar BN PRU11 ialah kerana dirinya tidak lagi memimpin Umno dan kerajaan.

Menjelang PRU12 pemusnahan imej terhadap Dato’ Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri pula dilakukan. Imej ‘Pak Lah lena’ dan pelbagai skandal menantunya, Khairy Jamaluddin, dijadikan modal serangan. Sehinggakan puisi ‘Al-Ghazali’ ciptaan Pak Lah pun digubah dalam pelbagai versi oleh pembangkang. Kemerosotan teruk BN PRU12 dikaitkan dengan imej buruk Pak Lah. Ia berlarutan dalam Umno sehingga akhirnya beliau sendiri tersingkir dari kepimpinan Umno akibat imejnya itu.

Sejak zaman PRU 1999, cabaran besar bagi BN ialah Anwar. Justeru pemusnahan imej Anwar dilakukan oleh BN dengan penuh istiqomah, berperancangan, pelbagai, saban hari dan tidak pernah putus asa; persis syaitan yang tidak pernah berhenti dari menyesatkan manusia. Adakah ia langsung tidak berhasil? Penyokong PR jangan syok sendiri untuk berkata imej Anwar tidak terjejas. Ia menjejaskan! Secara peribadi saya tidak yakin Anwar dapat mempertahankan majoriti lumayannya di Permatang pauh yang diperolehi dalam pilihan raya kecil lalu.

Beberapa kajian yang dibuat oleh badan-badan profesional menunjukkan sokongan terhadap Najib meningkat mutakhir ini. Perkara besar yang harus disedari oleh semua aktivis, pendokong dan penyokong PR bahawa sejak mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan dari Pak Lah, Najib dibiarkan berada dalam keadaan yang agak selesa; tiada ‘pembunuhan’ imej dan serangan peribadi secara bersungguh-sungguh yang dilakukan. Najib tidak diserang seperti Mahathir dan Pak Lah di zamannya.

Apakah Najib seorang yang sangat bersih? Mustahil, tiada seorang pemimpin Umno yang bersih. Kalaupun dilihat bersih, terdapat unsur persekitaran yang mengotorinya. Seperti Pak Lah yang ‘dikotorkan’ oleh menantunya Khairy dan anaknya yang menjadi jutawan segera. Semua setuju bahawa Rosmah adalah objek terdekat Najib yang boleh digunakan untuk memusnahkan imejnya, tetapi sejauh mana ia digunakan?

Aspek kekuatan dan kelemahan pemimpin sangat penting dalam melonjak atau menjahanamkan imej parti atau kerajaan. Usaha merosakkan imej pakatan pihak pembangkang di negara ini dilakukan dengan menjahanamkan karektor Anwar kerana dia dianggap bakal Perdana Menteri. Beliau yang memimpin Pakatan Rakyat.

Mereka tidak menumpukan serangan peribadi terhadap Dato’ Seri Abdul Hadi Awang atau Lim Kit Siang.

Modus operandinya, apa juga aspek negatif dalam PR semua dikaitkan dengan Anwar atau apa-apa saja perkara yang dibuat oleh PR dinegatifkan dengan alasan ‘penglibatan’ Anwar.

Pertelingkahan dalam KeADILan, tumpuan PAS terhadap negara berkebajikan, keputusan pemilihan dalam muktamar PAS, pemecatan dan pelantikan dalam PAS; semua dikaitkan dengan Anwar seolah-olah kepimpinan PAS tidak kenal Quran, Hadis dan Ijmak Ulama dalam membuat keputusan. Bayangkan setiap hari sekurang-kurangnya satu tuduhan baru yang berbeza terhadap Anwar dibuat oleh media talibarut Umno. Sehingga kini sudah beribu tuduhan liar yang dikenakan kepada beliau.

Berbeza dengan pembangkang, yang lebih menumpu kepada isu tetapi tidak kepada Najib. Najib langsung tidak terkena najis lembu peliharaan keluarga Shahrizat. Jika Shahrizat meletakkan jawatan, maka imej Najib tidak akan terjejas. Isu-isu besar yang pernah dikaitkan dengan Najib seperti Altantuya, kapal selam Scorpene, penasihat Yahudi APCO, kehilangan RM888 bilion wang negara menjadi serangan hangat-hangat taik ayam terhadap Najib.

Beribu-ribu laporan polis terhadap Anwar dalam pelbagai isu, beratus demonstrasi haram terhadap beliau tetapi tidak ada pula tindakan serupa untuk Najib dan Rosmah. Menteri Besar Selangor dihadapkan dengan demonstrasi dan ugutan oleh segelintir rakyat Selangor dalam isu remeh sekecil sampah, pengangkutan awam dan pasir tetapi tiada demonstrasi seumpama itu (picisan dan merata) terhadap Najib dalam pelbagai isu besar negara. Apa ilmu yang Najib pakai sehingga beliau menjadi begitu selesa bermaharajalela menggilap imej di mata rakyat?

Dalam perlawanan bola sepak pemain yang paling handal seperti Pele, Maradona, Zidane dan sebagainya adalah yang paling kuat dikekangi kawalan pihak lawan supaya ia tidak dibiar terlalu bebas melakukan serangan.

Malaysia selari dengan era politik dunia yang meletakkan ketokohan individu sebagai faktor yang penting. Lebih dua dekad lalu orang lebih melihat parti sebab itu BN mampu menang walau calon yang bertanding ialah penyapu. PRU 13 membuktikan bahawa calon peringkat DUN boleh kalah kesemuanya dalam satu kawasan Parlimen walaupun calon parlimennya menang, begitu juga sebaliknya.

Maka imej pemimpin nombor satu parti sangat penting untuk dimusnahkan sama seperti pentingnya membunuh imej parti lawan. Jadi, pastikan Najib senasib dengan Mahathir dan Pak Lah. Jangan terlepas pandang.

detikdaily/-

AS tak berani serang Iran

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEHERAN: Panglima Tentera Darat Iran semalam berkata, Amerika Syarikat tidak berani untuk melancarkan serangan ketenteraan terhadap Republik Islam itu.

“Meskipun Washington mengerahkan kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson ke Teluk Parsi dan Amerika Syarikat memiliki senjata canggih, negara itu dan sekutunya tidak akan berani untuk melancarkan serangan terhadap Iran,” kata Brigadier Jeneral Ahmad Reza Pourdastan.

Menurutnya, mereka gentar terhadap tentera dan negara Iran.

Awal Januari lalu, Pentagon mendakwa USS Carl Vinson yang membawa bersama-samanya 80 kapal terbang dan helikopter tiba di ‘kawasan tanggungawab’ (AOR). Menurut tanggapan Amerika Syarikat, kawasan itu membabitkan Teluk Parsi, Laut Merah, Teluk Oman dan sebahagian Lautan Hindi.

Pemerintah kanan tentera Iran itu berkata, Amerika Syarikat dan Barat meningkatkan ancaman dan mengenakan sekatan demi sekatan terhadap Iran yang semuanya terbukti tidak berkesan.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, pada 5 Januari lalu mengumumkan perubahan strategi pertahanan negara itu bagi mengurangkan perbelanjaan ketenteraan.

Dokumen lapan muka surat itu bagaimanapun tidak mengandungi butir mengenai bagaimana perubahan itu akan memberi kesan kepada pengurangan tentera atau senjata, termasuk sama ada ia akan memberi lebih banyak tumpuan terhadap Asia dan mengurangkan tumpuannya di Eropah.

Pegawai Iran sudah memberi amaran, sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran akan menerima tindak balas serta-merta dan ia tidak akan terhad di rantau Asia Barat saja. - Agensi

PAS kesal pihak sebar khabar angin KPN mati

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar perbuatan sesetengah pihak yang secara amat tidak beretika menyebarkan berita khabar angin Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah meninggal dunia awal pagi semalam di London.

Dalam kenyataan yang diterima Harakahdaily lewat petang semalam, Mohamad menegaskan bahawa soal sakit, kematian dan kemalangan tidak boleh dijadikan bahan mainan walaupun pada musuh.

Senda gurau sedemikian, katanya tidak perlu dimainkan oleh golongan sivil.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menegaskan menyebarkan berita palsu kematian seseorang adalah bertentangan dengan nilai budaya timur dan ajaran Islam.

“Berita kematian bukanlah bahan senda gurau kerana sebagaimana juga qazaf, ia meninggalkan kesan langsung kepada keluarga. Cuma Qazaf lebih terkesan dan lama kerana itu Islam menetapkan hukum hudud bagi kesalahan qazaf,” terang beliau.

Mengambil firman Allah yang bermaksud “Wahai orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu orang fasik membawa berita, hendaklah kamu menyelidiknya terlebih dahulu, agar kamu tidak bertindak di atas kejahilan kamu maka kerana itu nanti kamu menyesal”, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengingatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan sesuatu berita sehingga kesahihannya disahkan.

“Ini adalah kerana dibimbangi seseorang itu akan menanggung dosa berpanjangan di atas penyebaran berita palsu itu,” terang beliau.

Mengulas perkara yang sama, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sepatutnya mendoakan kepada seseorang yang sakit supaya sembuh, bukannya menyebarkan berita palsu kematian seseorang.

Khabar angin berhubung kematian Ismail tersebar pukul 3 pagi semalam melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telahpun mengeluarkan kenyataan bagi menafikan khabar angin tersebut.

Turut memberikan reaksi dalam hal ini ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi yang menegaskan bahawa berita kematian bukan satu bahan gurauan, apalagi jika dibuat bahan fitnah.

“Ia melukakan perasaan ahli keluarganya dan mengganggu keselesaan hidupnya. Selayaknya kita doakan kebaikan buatnya. Sungguhpun banyak perkara yang kita tidak puas hati namun kita harapkan KPN sejahtera,” tegas beliau, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Harakah Daily

Petronas dipandang tinggi jika bayar royalti Kelantan

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Petronas sepatutnya mengutamakan tanggungjawabnya di segi perundangan dahulu sebelum melaksanakan tanggungjawab sosialnya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, walaupun pembinaan laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang adalah sumbangan yang sangat dialu-alukan, tetapi lebih penting lagi Petronas mengutamakan perlaksanaan tanggungjawabnya di sisi undang-undang.

"Sehingga kini Peronas tidak melaksanakan legal responsibiliti atau tanggungjawabnya di sisi undang-undang dan membayar royalti minyak kepada Kelantan," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin, jika Petronas melaksanakan tanggungjawab perundangannya itu dan membayar royalti minyak kepada Kelantan dan negeri lain yang berhak mendapat royalti tersebut, syarikat minyak nasional itu akan dipandang tinggi sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.

Sehingga kini, kerajaan negeri Kelantan terus disekat dan dinafikannya haknya untuk menerima royalti yang termaktub dalam Akta Petroleum itu.

Menurut The Star, laluan pejalan kaki berhawa dingin bernilai RM100 juta itu dibiayai oleh Petronas di bawah program sumbangan sosialnya.

Bagaimanapun, harga RM100 juta untuk laluan berhawa dingin sepanjang 562 meter dan selebar lima meter itu dipertikaikan oleh blogger pro-Umno sendiri.

Blogger itu menyifatkan harga laluan pejalan kaki itu, iaitu RM3,307 sekaki persegi terlalu mahal.

Menurut blogger itu, harga RM3,307 sekaki persegi untuk laluan pejalan kaki itu enam kali ganda lebih mahal dari harga kondominium enam bintang di Mont Kiara.

Kos sedemikian, katanya, "lebih teruk dari kondo lembu".

Laluan pejalan kaki berhawa dingin yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merentasi kawasan sibuk di Jalan Pinang, Jalan Perak dan Jalan Raja Chulan dengan pintu masuk bereskalator dan bertangga serta pintu keluar di lokasi strategik dan selesa.

Bahagian lainnya terdiri daripada sebuah terowong pejalan kaki dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur yang sekarang bersambung dengan terowong sedia ada ke kompleks beli-belah Suria KLCC.

Harakah Daily

Gempa bumi 5.2 magnitud landa Sumatera Utara

7 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Ritcher melanda Sumatera Utara, Indonesia pada jam 9.20 malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan melaporkan gempa itu berpusat di 105 kilometer tenggara Simeulue, Indonesia dan 484 kilometer tenggara Kampar, Perak.
Bagaimanapun, gempa itu tidak mendatangkan sebarang ancaman tsunami. - BERNAMA