01 Februari 2012

Gelaran Profesor Ditarik Balik Tidak Jejas Kredibiliti – Aziz Bari

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Dr Abdul Aziz Bari. Foto UU BAN.

PETALING JAYA: Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari berkata, gelaran profesornya yang digugurkan oleh universiti itu langsung tidak menjejaskan kredibilitinya.

“Gelaran profesional itu kerana ilmu saya dan bukannya pangkat di universiti. Jika UIAM mahu gugurkan gelaran itu, saya tidak kisah.

“Ia sedikitpun tidak menjejaskan kredibiliti saya sebagai seorang yang berilmu untuk terus memberi pendapat dan pandangan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa.

Dr Abdul Aziz mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia pada Selasa yang memetik kenyataan Pengarah Bahagian Komunikasi UIAM, Abdul Rahim Ahmad bahawa beliau tidak boleh lagi menggunakan status profesor kerana ia gugur secara automatik setelah beliau menamatkan perkhidmatan dengan institusi pengajian tinggi itu baru-baru ini.

Menurut Dr Abdul Aziz, beliau merasakan tindakan UIAM merupakan sesuatu yang lucu kerana pengumuman pengguguran gelaran itu tidak pernah berlaku di negara ini.

“Kenapa saya? Saya bukannya ahli politik atau hero untuk digugurkan gelaran itu. Ramai lagi profesor dari UIAM yang sudah pencen dan tidak lagi memegang sebarang jawatan, adakah mereka juga digugurkan gelaran profesor,” soal Dr Abdul Aziz.

Dr Abdul Aziz berkata, gelaran itu tidak dimohonnya namun sebaliknya pihak universiti sendiri yang meminta beliau untuk memohonnya pada akhir 2002.

“Saya diminta (berbuat demikian) kerana ilmu dan kepakaran saya. Jika gelaran profesor digugurkan pun, ilmu dan kepakaran saya masih sama.

“Yang penting adalah ilmu. Bukan semua yang bergelar profesor itu benar-benar berkelayakan dan bukan semua yang memberi pandangan itu baik (boleh diterima).

“Orang ramai terus meminta pandangan dan pendapat saya maka saya tidak peduli ada gelaran profesor atau tidak.

"Tetapi janganlah menyusahkan dan mengelirukan mereka hanya kerana gelaran itu digugurkan,” katanya lagi.

Abdul Rahim dalam satu kenyataan mengulas pertanyaan pembaca Utusan Malaysia melalui ruang forum akhbar itu pada Jumaat lalu yang ingin mengetahui bidang pengkhususan dan siapakah yang memberikan pengiktirafan kepada Abdul Aziz sebagai pakar undang-undang dan perlembagaan.

Abdul Rahim berkata, Dr Abdul Aziz masih boleh menggunakan status profesor jika ada universiti lain melantiknya ke jawatan itu.

“Pensyarah yang tamat perkhidmatan dari mana-mana institusi pengajian tinggi awam, tidak boleh menggunakan status profesor kerana ia gugur secara automatik.

“Dengan penjelasan ini, saya harap, semua pihak dapat mengetahui gambaran sebenar tentang Abdul Aziz dan berharap sebarang aktiviti beliau selepas ini tiada kaitan dengan UIAM," katanya.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz turut mempersoalkan adakah tindakan UIAM mengumumkan pengguguran gelaran profesornya hanya disebabkan oleh surat pembaca Utusan Malaysia?

“Jika benar, saya melihatnya sebagai sesuatu yang lucu dan tidak logik. Saya sendiri tidak mendapat sebarang surat (mengenai pengguguran tersebut).

“Siapa dia (pembaca) sampai UIAM memaklumkannya terus secara terbuka. UIAM sepatutnya boleh melakukannya dengan cara lebih profesional,” katanya.

Dr Abdul Aziz meninggalkan UIAM pada 31 Disember lalu.

Sebelum ini, beliau menerima surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh unit undang-undang universiti tersebut pada 19 Oktober lalu ekoran kenyataan beliau yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Pihak UIAM yang dihubungi mStar Online pada Selasa bagaimanapun enggan mengulas lanjut terhadap sebarang maklum balas Dr Abdul Aziz berhubung isu pengguguran gelaran profesor itu.

mstar/-

2 unit berkembar hangus, 2 terselamat

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Tindakan pantas anak pemilik sebuah chalet peranginan di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot dekat sini, berjaya menyelamatkan dua tetamu apabila bilik chalet bersebelahan dengan yang disewa mereka terbakar.

Dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam itu, Shahir Zufairy Mohd Zakeri, 18 bertindak mengejutkan dua tetamu setelah mendapati bilik tidak berpenghuni itu terbakar.

Tindakannya itu juga berjaya menyelamatkan 16 lagi bilik chalet milik keluarganya daripada turut musnah.

Menceritakan detik kejadian berlaku, Shahir Zufairy berkata, ketika itu dia berada di kaunter pertanyaan dan terhidu bau asap sebelum bertindak memeriksa seluruh kawasan tersebut.

“Pada mulanya ternampak asap, saya ingat ada orang buat `BBQ’, tapi bila sampai dekat kawasan itu baru saya nampak sebuah bilik terbakar.

“Saya segera mengejutkan dua penyewa di bilik bersebelahan sebelum beritahu ayah dan terus hubungi pihak bomba,” katanya ketika ditemui dilokasi kejadian malam semalam.

Dalam pada itu, pemiliknya Mohd Zakeri Embong, 49, berkata, ketika kejadian dia tidak ada di chalet itu kerana ada urusan di bandar dan bergegas pulang selepas dimaklumkan oleh anaknya.


Dipercayai akibat litar pintas

Menurutnya, akibat kejadian kebakaran itu dia menganggarkan mengalami kerugian sebanyak RM100,000 setelah dua unit berkembar chaletnya hangus seratus peratus termasuk kelengkapan kemudahan penginapan.

“Kami akan tunggu laporan daripada bahagian forensik bomba berhubung punca kejadian bomba sebelum kerja-kerja membaik pulih dilakukan.

“Bagaimanapun berkemungkinan kejadian kebakaran ini berpunca daripada litar pintas,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Negeri, Abdullah Zawawi Mohamad ketika dihubungi ketika dihubungi mengesahkan mengenai kebakaran tersebut.

Menurutnya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 9.50 malam dan bergegas ke lokasi kejadian dengan tiga jentera bersama kekuatan 18 anggota.

“Jentera yang dikejarkan ke tempat kejadian masing-masing dari Balai Bomba Jalan Kota, Balai Bomba Kuala Terengganu dan Balai Bomba Wakaf Tapai bagi membantu memadamkan kebakaran.

“Kebakaran chalet berkembar ini memusnahkan seratus peratus dua unit chalet berkembar, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Mayat berulat disangka patung

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PUCHONG – “Mulanya saya sangkakan objek dilihat tergantung di pokok itu adalah patung, tetapi setelah diamati saya terkejut apabila mendapati ia adalah mayat yang sudah berulat,” kata KS Sathasivam, pekerja penyelenggaraan padang kriket Bandar Kinrara, ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Sathasivam berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, dia menemui mayat berkenaan ketika sedang menyelenggara padang permainan milik Persatuan Kriket Malaysia di Bandar Kinrara 5A.

“Ketika hendak membuang sampah di satu kawasan terletak di hujung padang berdekatan gelanggang bermain kriket, saya terlihat satu objek pelik tergantung di atas pokok.

“Mulanya saya ingat ia adalah patung tetapi apabila menghampiri, saya terkejut mendapati ia adalah mayat yang wajahnya sudah dipenuhi ulat,” katanya yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada pejabat pengurusan sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 3.05 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati, mangsa yang ditemui tergantung pada sebatang pokok itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat.

Katanya, mangsa memakai t-shirt biru mempunyai tulisan TNB dan seluar jeans berwarna gelap ketika ditemui di kawasan semak berdekatan Lebuhraya Bukit Jalil itu.

“Mangsa, warganegara Pakistan dikenali sebagai Fahmeed Ali, 34, ditemui dalam keadaan melutut dan lehernya digantung menggunakan tali nilon.

“Setakat ini kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

Sinar Harian

Hampir 100 maut di Syria

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GAMBAR diperoleh semalam menunjukkan askar-askar Syria yang belot dan menyertai Tentera Pembebasan Syria yang dianggotai penduduk awam bagi menentang pemerintahan Presiden Syria, Bashar Al-Assad di Idlib, Syria.

DAMSYIK - Pihak penentang di Syria mengisytiharkan "hari perkabungan dan kemarahan" selepas hampir 100 orang kebanyakannya penduduk awam dilaporkan terkorban dalam tindakan ketenteraan pemerintah Syria menjelang resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lewat semalam.

Mereka yang terkorban itu adalah akibat pertempuran antara penduduk tempatan yang bangkit menentang pemerintah Syria dengan tentera negara ini.

Majlis Kebangsaan Syria (SNC) dalam satu kenyataan di muka surat Facebooknya menyelar masyarakat antarabangsa kerana lambat bertindak bagi melindungi orang awam dengan "apa jua cara".

Ia meminta "hari perkabungan dan kemarahan" diadakan semalam untuk memperingati mangsa pembunuhan beramai-ramai dan menggesa pihak masjid dan gereja menyokong perjuangan rakyat dengan mengadakan solat dan membunyikan loceng.

Rayuan tersebut dibuat ketika Setiausaha PBB, Ban Ki-moon berada di Jordan untuk berbincang tentang pelan damai Asia Barat.

Ki-moon dalam satu kenyataan memberitahu, beliau berharap persidangan Majlis Keselamatan berhubung krisis Syria akan membuahkan hasil supaya badan tersebut dapat memenuhi harapan masyarakat antarabangsa.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton mengetuai kuasa Barat untuk memberi tekanan kepada Rusia supaya menyokong tindakan Majlis Keselamatan untuk menghentikan operasi tentera Syria terhadap orang awam yang menyebabkan 5,400 orang terbunuh sejak 10 bulan lalu.

Draf resolusi itu meminta Presiden Syria, Bashar Al-Assad menyerahkan kepimpinannya kepada timbalannya. - Agensi

Bilangan haiwan kurang kerana ular sawa

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BEBERAPA penyelidik Universiti Florida memegang seekor ular sawa seberat 73.6 kilogram di Taman Negara Everglades, Florida pada 14 November 2009.

WEST PALM BEACH, Amerika Syarikat (AS) - Hasil satu kajian kelmarin mendapati populasi rakun, oposum, kucing hutan dan mamalia lain hampir pupus di Taman Negara Everglades, Florida dan kawasan sekitarnya kerana dibaham ular sawa bersaiz besar terutamanya ular sawa Burma.

Kajian tersebut yang disiarkan dalam Pembentangan Akademi Sains Kebangsaan kelmarin mendapati terdapat pengurangan drastik hingga 99 peratus dalam bilangan mamalia bersaiz sederhana di Everglades yang banyak dihuni ular sawa.

Menurut laporan berkenaan, kebanyakan ular sawa itu merupakan haiwan peliharaan yang dibuang kerana menjadi terlalu besar.

Saintis-saintis bimbang ular-ular sawa itu akan menjejaskan rantaian makanan di Everglades, negeri Florida sekali gus merosakkan imbangan alam sekitar dalam bentuk yang sukar untuk diramalkan.

"Kesan kemerosotan populasi mamalia ke atas keseluruhan ekosistem Everglades yang melangkaui sempadan taman negara adalah mendalam," kata seorang pengarang bersama kajian berkenaan dari Universiti Virginia Tech, John Willson.

Puluhan ribu ekor ular sawa Burma yang berasal dari Asia Tenggara, dipercayai hidup dan membiak dengan cepat kerana iklim panas lembap di Everglades.

Ular sawa Burma boleh membesar hingga 8 meter panjang dan berat lebih 90 kilogram dengan ia mampu membaham haiwan bersaiz besar termasuk buaya.

Perkhidmatan Taman Negara AS merekodkan sebanyak 1,825 ular sawa itu telah ditangkap di sekitar Taman Negara Everglades sejak tahun 2000.

Antara yang terbesar setakat ini adalah seekor ular sawa Burma sepanjang lima meter dengan berat sekitar 70kg dan sepanjang lima meter yang ditangkap pada awal bulan ini. - Agensi

Beruang Matahari ditangkap di Jeli

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JELI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kelmarin berjaya menangkap seekor beruang Matahari (Malayan Sun Bear) di Kampung Pasir Dusun di sini yang memusnahkan tanaman penduduk sejak sebulan lalu.

Beruang jantan seberat 48 kilogram dan setinggi kira-kira satu meter itu membinasakan pokok salak di kebun seluas 47.1 hektar yang diusahakan oleh 15 penduduk.

Penolong Pegawai Perhilitan negeri, Cosmas Ngau berkata, pihaknya memasang perangkap selepas menerima aduan daripada pemilik kebun pada awal bulan lalu.

“Setelah sebulan memasang perangkap, kami akhirnya berjaya menangkap binatang tersebut. Haiwan berkenaan dipercayai datang dari Hutan Basor yang terletak berhampiran kampung ini.

“Kami akan terus memasang perangkap kerana dipercayai banyak lagi haiwan itu yang berkeliaran dan mengancam tanaman penduduk,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kampung itu di sini semalam.

kosmo/-

Askar ghaib di kubur Cina

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MELAKA: Seorang anggota tentera yang dijadual melangsungkan perkahwinan Mac depan hilang di jirat Cina, di sini, ketika dalam perjalanan mendapat rawatan tradisional akibat masalah kemurungan.

Ketika kejadian pada kira-kira jam 8 malam Ahad lalu, Lans Koperal Mohd Khairul Nizam Majid, 29, yang bertugas di Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Bukit Beruang, dekat sini, dikatakan dalam keadaan separuh sedar ketika dibawa menaiki kereta oleh tiga rakannya.

Abangnya, Zamri Majid, 43, berkata, dia diberitahu oleh seorang daripada rakan Mohd Khairul Nizam, adiknya itu kelihatan murung dan gelisah kebelakangan ini.

“Pada petang hari kejadian, adik saya dibawa ke Telok Mas untuk mendapatkan rawatan perubatan Islam, namun selepas tiba di kem pada waktu Maghrib, dia kelihatan semakin gelisah dan resah.

“Tiga rakannya mahu membawa dia mendapatkan rawatan tradisional dan kira-kira jam 8 malam ketika dalam perjalanan, Nizam meminta kenderaan berhenti di stesen minyak di Sungai Putat untuk membuang air,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zamri, adiknya yang ketika itu memakai pakaian seragam tentera terus mengambil wuduk dan kembali menuju ke kereta, tetapi tidak memasuki kenderaan itu, sebaliknya terus berjalan ke arah jalan raya.

“Rakan yang menyedari tindakan pelik Nizam cuba mengejarnya, namun dia terus menuju ke arah jirat Cina terletak kira-kira 500 meter dari stesen minyak itu sebelum gagal dikesan,” katanya.

Ibunya, Jamilah Mahadi, 66, berkata, dia dan suami, Majid Jadi, 74, dimaklumkan mengenai kehilangan anak bongsu daripada lapan beradik itu selepas empat anggota tentera terbabit datang ke rumahnya di Felda Sungai Kelamah, Negeri Sembilan, jam 5 petang kelmarin.

“Seorang daripada mereka bertanya sama ada anak saya ada pulang ke rumah sebelum saya terus menangis dan menghubungi anak lain apabila anggota berkenaan mengatakan Nizam hilang ketika dibawa menerima rawatan akibat kemurungan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, dia hairan apabila dimaklumkan anak bongsunya gelisah dan menghadapi tekanan perasaan memandangkan sebelum ini tiada perubahan sikap ditunjukkannya ketika kali terakhir pulang ke kampung pada cuti Tahun Baru Cina, minggu lalu.

“Ketika itu dia kelihatan gembira, malah sempat membawa tunangnya membeli barang hantaran dan menempah pakaian perkahwinan.

“Dia memang pendiam, tetapi jika ada masalah pasti akan memberitahu saya.

“Malah, dia sempat menghadiri majlis tahlil di rumah tunangnya pada 23 Januari lalu sebelum pulang ke Kem Bukit Beruang pada keesokan hari,” katanya.

Jamilah berkata, kali terakhir anaknya itu menghubunginya pada 24 Januari lalu menyatakan selamat tiba di kem, namun mulai bimbang apabila sejak hari itu tiada khabar berita dan panggilan telefon juga tidak dijawab.

Sementara itu, Pegawai Ops Bantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Melaka, Mohd Kamil Hassan berkata, operasi mencari Mohd Khairul Nizam mula dilakukan jam 8.45 malam kelmarin membabitkan 60 anggota dan sehingga jam 9 malam tadi, dia masih belum ditemui.

Harian Metro

Bekas ketua perisik didakwa

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LONDON: Dua warga Libya menyaman bekas pengarah agensi perisikan MI6 Britain yang dituduh memainkan peranan utama dalam penyerahan mereka kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, kata peguam mereka semalam.

Abdelhakim Belhaj, yang juga komander tentera Tripoli selepas pemimpin Libya digulingkan dalam revolusi tahun lalu dan rakannya, Sami al Saadi menuduh Britain bersubahat dalam penangkapan dan seterusnya penderaan mereka.

Mereka mengambil tindakan terhadap ketua unit anti pengganas MI6 pada ketika itu, Mark Allen selepas ada dokumen menunjukkan beliau terbabit secara langsung.

“Kami mengambil langkah luar biasa mengemukakan tindakan undang-undang diambil individu berkenaan berdasarkan dokumen dalam simpanan kami yang menyarankan Sir Mark terbabit secara langsung dalam penyerahan anak guam kami dan keluarga mereka secara tidak sah,” kata peguam firma Leigh and Co, Sapna Malik.

“Dokumen itu mengemukakan persoalan serius yang perlu dijawab terutama layanan dahsyat terhadap anak guam kami. Perlu ada pihak bertanggungjawab dalam perkara ini,” katanya.

Bulan lalu, polis Britain mengumumkan mereka akan menyiasat dakwaan rakyat Libya itu dan Pengarah MI6, Mark Sawers berkata agensi itu akan memberi kerjasama penuh.

Fail yang didapati daripada simpanan arkib Gaddafi tahun lalu mendedahkan Belhaj ditawan oleh ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Bangkok pada 2004 dan dengan bantuan ejen Britain dipaksa kembali ke Libya dan dipenjara dalam penjara Abu Salim.
Dalam surat kepada ketua perisikan Gaddafi, Moussa Koussa, bertarikh 18 Mac 2004, Allen menulis:

“Saya mengucapkan tahniah kepada anda atas ketibaan Abu Abd Allah Sadiq (Belhaj) dengan selamat. Hanya ini yang mampu kami bantu dan untuk Libya bagi menunjukkan hubungan luar biasa yang kita bina sejak bertahun-tahun lamanya,”.

Sementara itu, Saadi menuduh ada ejen Britain turut terbabit apabila dia ditahan di Hong Kong pada 2004 menyebabkan dia dihantar pulang dan didera selama beberapa tahun.

“Sir Mark sudah dimaklumkan oleh dua lelaki Libya itu bahawa mereka berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” kata badan kebajikan perundangan yang membantu warga Libya itu, Reprieve.

Allen meninggalkan MI6 pada 2004 untuk bekerja dengan syarikat petroleum, BP, kata Reprieve. – AFP

Kereta curi ditemui dibakar

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Polis Kelantan menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui motif sebenar kejadian samun dan tembak seorang wanita di rumahnya di Kampung Slow Machang, dekat Pasir Mas, kelmarin.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, itu adalah berikutan penemuan kereta jenis Honda Jazz yang dibakar di Kampung Gu, Demit, Kubang Kerian awal pagi semalam dan kenderaan terbabit dilarikan suspek ketika samun.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian samun dan tembak seorang wanita, Che Hasmah Che Awang, 50, kira-kira jam 5 pagi kelmarin, mempunyai motif lain.

“Berdasarkan senario rompakan ia tidak berbaloi dengan jumlah barangan yang diperoleh daripada keluarga mangsa ketika mereka melakukan samun. Akhirnya ibu yang menjadi mangsa,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, semalam.

Jalaluddin turut meluangkan masa melawat Che Hasmah di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan mangsa kini dilaporkan stabil.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berdekatan atau menerusi talian 09-7450999.

Berhubung penemuan kereta terbabit, seorang penduduk dikenali sebagai Soh, 41, berkata, kira-kira jam 12.30 pagi semalam, keluarganya mendapati kereta Honda Jazz dan sebuah Proton Iswara dipandu laju ketika melalui kawasan rumahnya.

“Kami terkejut kerana sejurus kemudian, terdengar beberapa letupan tidak jauh dari rumah sebelum melihat api marak membakar sebuah kereta,” katanya. Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu kemudian menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk memadam kebakaran terbabit.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Che Hasmah cedera parah selepas terkenan tembakan di perut kanan dalam kejadian samun di rumahnya dan empat suspek turut melarikan sebuah kereta Honda Jazz, barang kemas serta wang tunai RM5,000.

Sinar Harian

Mangsa serakah sepupu 15 kali dirogol

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KEMAMAN – Gara-gara berajakan nafsu binatang, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun tergamak menjadikan sepupunya yang masih bersekolah rendah sebagai hamba seks dengan merogolnya sebanyak 15 kali sejak dua tahun lalu dalam kejadian di sebuah kawasan Felda di Air Putih, dekat sini.

Dalam tempoh dua tahun itu juga lantai rumah bahagian dapur bersebelahan meja makan menjadi tempat remaja terbabit melampiaskan nafsunya ketika bapa, nenek dan ahli keluarga lain nyenyak tidur diulit mimpi.

Namun perbuatan terkutuk remaja itu akhirnya terbongkar apabila bapa suspek sendiri melihatnya anaknya itu sedang memperkosa anak saudaranya yang berusia 12 tahun ketika dia mahu ke dapur dan membuka lampu dapur dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Ahad lalu.

Berang dan terkejut dengan perlakuan itu, bapa suspek memukul suspek dan sejurus berita buruk itu diberitahu ibu mangsa berumur 42 tahun menetap di Johor, ibu mangsa segera pulang sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Air Putih pada jam 1.06 tengah hari kelmarin dan melakukan pemeriksaan di Hospital Kemaman.

Difahamkan, mangsa dan suspek dijaga nenek kandung mereka berusia 60 tahun dan tinggal di rumah itu bersama bapa suspek dan seorang lagi bapa saudara.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, berdasarkan hasil soal siasat mangsa mengakui dalam kejadian malam Ahad lalu dia yang sedang mengemas buku di dalam bilik secara tiba-tiba didatangi sepupunya yang kemudian mengajaknya ke bahagian dapur lantas lampu dapur ditutup lalu mengajak mangsa melakukan seks sebelum perbuatan terkutuk itu disedari bapa suspek sendiri.

Hasil soal siasat, mangsa mengakui telah dirogol oleh sepupunya sebanyak 15 kali sejak dia berusia 10 tahun hingga menyebabkannya ketagihan seks dan perkara itu tidak diketahui sesiapa.

Menurutnya, bertindak daripada laporan dibuat, polis menyerbu rumah berkenaan tetapi gagal menangkapnya kerana suspek terlebih dahulu melarikan diri bersama pakaian mangsa iaitu seluar dalam, seluar dan baju dipakai ketika mangsa dirogol kali terakhir.

Katanya, sehubungan itu suspek kini sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat,” katanya.

Sinar Harian

Padah sertai skim piramid

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS - Orang ramai di sekitar daerah ini diminta lebih berhati-hati dengan tawaran menyertai sebuah syarikat jualan langsung kerana ia merupakan satu perangkap untuk menipu mereka melalui wang deposit yang dikenakan sebagai yuran keahlian.

Biarpun baru dua kes dikesan berlaku, namun jika dibiarkan tidak mustahil lebih ramai akan menjadi mangsanya kerana terpengaruh bakal memperoleh wang yang banyak yang ditawarkan melalui skim piramid itu.

Seorang mangsa, Mohd Jais Mohamad, 44, berkata, dia tampil mendedahkan kegiatan itu bagi mengelak orang ramai tertipu selepas kerugian RM1,500 hampir sebulan lalu.

“Saya terpedaya selepas dipujuk rayu menyertai skim berkenaan yang menawarkan ganjaran wang tunai tinggi secara mingguan selepas menyerahkan wang deposit keahlian yang ditetapkan.

“Selepas puas menunggu selama empat minggu, bukan kata wang ganjaran yang dijanjikan gagal diterima malah, dua lelaki yang mengaku wakil syarikat terkenal itu gagal dikesan,” katanya.

Menurutnya, lebih menyulitkan talian telefon bimbit mereka juga gagal dihubungi hingga menyukarkan dia mendapatkan kembali wang deposit yang dilaburkan itu.

Malah kunjungannya ke pejabat syarikat yang dimaksudkan yang terletak di Seberang Jaya itu juga tidak berhasil apabila dimaklumkan bahawa syarikat itu sebenarnya tidak wujud di situ.

Mohd Jais berkata, disebabkan malu dia hanya mendiamkan diri dan tidak membuat laporan polis, tambahan lagi selepas mendapati dokumen yang diberikan lelaki berkenaan sebenarnya palsu.

Menurutnya, modus operandi dua lelaki berkenaan mudah iaitu mendekati orang ramai di sekitar kedai makan dan restoran di sini sebelum berusaha menawarkan mereka cara mudah memperoleh wang.

“Jika mangsa dilihat boleh ‘dimakan’, dua lelaki terbabit akan mula berusaha memujuk menyerahkan wang deposit berkenaan dengan janji bakal menerima wang yang banyak secara mingguan.

“Mereka akan terus berhubung dengan mangsa biarpun memerlukan masa berhari-hari dan selepas berjaya memperoleh wang berkenaan mereka menghilangkan diri,” katanya.

Mohd Jais berkata, biarpun pada peringkat awal menyedari skim yang ditawarkan itu seakan-akan skim labu peram yang diharamkan namun, disebabkan terpengaruh dengan pujukan lelaki berkenaan dia menyertainya.

“Tambahan pula, ketika itu saya sememangnya memerlukan duit yang banyak untuk menjelaskan hutang membuatkan sanggup meminjam daripada kawan untuk menyertai skim berkenaan.

“Kini, saya rugi berganda kerana selain hilang wang yang ada, keselesaan hidup terganggu kerana didesak menjelaskan wang oleh peminjam berkenaan,” katanya.

Mohd Jais mengingatkan orang ramai supaya menolak pelawaan dua lelaki yang berpakaian kemas apabila didekati kerana semua tawaran mereka sebenarnya untuk mengaburi mata bagi memudahkan ditipu.

Sinar Harian

Safee Sali sertai Johor?

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ITU teka-teki yang timbul mengenai penyerang prolifik Negara, Safee Sali yang dikhabarkan bakal disunting pasukan Johor.
Malah lebih hebat lagi Safee juga dikatakan turut ditawarkan gaji bulanan bernilai AS$15,000 (RM45,752) oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Pengurus Safee Sali, Zakaria Ibrahim ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan ada menerima tawaran untuk bermain dengan PNBJ, yang kini dibawah kepimpinan baru kendalian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

"Safee sendiri akan mengumumkan keputusannya berhubung perkara tersebut esok (hari ini) di Cilandak Square, Jakarta Selatan, pada pukul 11 pagi.

Apa sahaja yang akan diumumkan atau diputuskan oleh Safee, diharap semua pihak menerimanya dengan berlapang dada dan seadanya," katanya.

Sekiranya Safee memilih untuk bersama skuad Johor, pemain sensasi negara itu bukan sahaja mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi pemain termahal yang pernah di beli PBNJ tetapi sekali gus menjadi pemain termahal dalam arena bola sepak Malaysia.

Difahamkan, proses perundingan dan perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat bersama pihak PBNJ bagi membolehkan Safee beraksi bersama pasukan Jengking dalam perlawanan akan datang.

Pemilihan penyerang berusia 28 tahun itu di jangka dapat memberi suntikan buat pasukan Jengking yang kini dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri itu selaras dengan tampuk kepimpinan baru dibawah kendalian Tunku Mahkota Johor.

Dalam perkembangan lain, melalui laman Facebook rasmi Safee semalam, pengumuman yang berlangsung pagi ini akan merungkaikan segala spekulasi dan ramalan banyak pihak kebelakangan ini.

Safee sebelum ini menerima tempias dan berkemungkinan tidak boleh mewakili pasukan kebangsaan Malaysia berikutan kemelut bola sepak Indonesia kerana pengharaman Liga Super Indonesia (ISL) oleh FIFA menyebabkan semua pemain, jurulatih dan pegawai yang terlibat dalam liga profesional Indonesia itu, turut berstatus haram.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin sebelum ini pernah memberi peringatan kepada Safee agar peka dengan keadaan semasa yang berlaku dalam ISL demi masa depan kariernya.

Sinar Harian

Tentera Thai mohon maaf tembak empat penduduk awam Islam

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BANGKOK 1 Feb. – Tentera Thailand mengaku empat penduduk awam Islam yang ditembak mati oleh pasukan Renjer di selatan negara ini kerana disangka pemberontak tidak mempunyai kaitan dengan pergerakan pemisah.

Ketua Tentera Thailand, Prayuth Chan-ocha memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa yang terbunuh di wilayah Pattani itu, pada malam Ahad lalu.

Beliau berkata, anggota Renjer ketika itu berada dalam keadaan tertekan selepas sebuah pangkalan tentera berhampiran diserang kumpulan pemberontak. – REUTERS

25 warga China dijadikan tebusan kumpulan bersenjata

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

EL-ARISH 1 Feb. – Sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai rangkaian al-Qaeda menjadikan 25 pekerja kilang warga China sebagai tebusan mereka di utara semenanjung Sinai, Mesir, semalam.

Menurut pegawai perisikan Mesir, kumpulan bersenjata itu telah menahan sebuah bas kilang yang dalam perjalanan pulang untuk dijadikan tebusan.

Mereka menuntut pembebasan anggota mereka yang dipenjara pada 2005 kerana terlibat dengan pengeboman di Sharm el-Sheikh. – AGENSI

Istihar harta : Rakyat lebih percaya kepada pemimpin

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KENYATAAN MEDIA
ADUN TITI SERONG

Saya menyokong cadangan pengisytiharan harta pemimpin Negara dan usul ini adalah salah satu daripada pembaharuan ke arah kebaikan Negara dan kearah membebaskan rasuah.

Saya merasa pelik mengapa usul sebegitu baik tidak disetujui oleh kabinet Umno-Bn, walhal cadangan tersebut semata untuk kepetingan rakyat, sekurang-kurangnya jika ini berlaku, rakyat akan terus menaruh harapan dan kepercayaan yang tinggi kepada pucuk pimpinan negara.

Rakyat pasti akan menjadi lebih yakin apabila dapat mengetahui harta pemimpin mereka, sedikit atau banyak itu subjektif.

Isunya kenapakah semacam ada yang takut untuk mengistiharkan hartanya sekiranya semuanya mereka dapat dari jalan yang benar. Malah ini sudah menjadi amalan kebanyakan negara di dunia, namun masih dipertikaikan di Malaysia. Pengisytiharan harta pemimpin telah berlaku di Negara jiran kita, Indonesia.

Usul yang dikemuka oleh Majlis Peguam ini mendapat respon positif oleh SPRM, malah usul ini telah pun disuarakan sendiri oleh mantan perdana menteri Tun Abdullah badawi pada 2008.

Pada saya ada beberapa faktor mengapa ada pihak yang tidak bersetuju ia dihebahkan kepada SPRM dan seterusnya ke pengetahuan rakyat.

Pertama mungkin terlalu banyak, secara jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz apabila diaju soalan, katanya akan ada “bahaya” jika cadangan ini dilaksanakan.

Menteri ini seolah-olah menggambarkan bahawa aset atau harta mereka yang terbabit sememangnya banyak bahkan mungkin melimpah ruah?

Adalah agak pelik mengatakan “Bahaya” jika diumumkan butiran peribadi dan aset kepada rakyat, bagi saya misteri sebegini perlu didedahkan, jika tidak sampai bila pun rakyat tidak akan mengetahui perkara ini.

Walaupun isu ini telah lama diperkatakan, tetapi selagi belum dilaksana, maka rakyat perlulah selalu diingatkan supaya tidak dilupai dan rakyat perlu tahu usul ini ialah untuk kebaikan Negara.

Pada pengamatan saya, pimpinan Umno-Bn terlalu takut kepada banyang-bayang longgokan wang simpanan mereka sendiri, itulah sebabnya usul ini menemui jalan buntu apabila mahu dilaksanakan secara rasmi.

Saya yakin, usul ini akan dilaksanakan sepenuhnya jika Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya menjelang PRU 13 nanti.

Perkembangan terkini dengan reaksi pimpinan Negara dalam isu ini belum mencapai kata sepakat, dan kita tidak menolak kemungkinan bahawa sememangnya wujud pemimpin yang cenderung untuk mengaut keuntungan milik rakyat untuk dijadikan wang peribadi mereka, demi perut mereka, bukannya demi rakyat yang sperti yang dilaungkan. Kerana mereka takut untuk mengistiharkan harta mereka kepada umum.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 1 Februari 2012.