01 Februari 2012

Beruang Matahari ditangkap di Jeli

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JELI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kelmarin berjaya menangkap seekor beruang Matahari (Malayan Sun Bear) di Kampung Pasir Dusun di sini yang memusnahkan tanaman penduduk sejak sebulan lalu.

Beruang jantan seberat 48 kilogram dan setinggi kira-kira satu meter itu membinasakan pokok salak di kebun seluas 47.1 hektar yang diusahakan oleh 15 penduduk.

Penolong Pegawai Perhilitan negeri, Cosmas Ngau berkata, pihaknya memasang perangkap selepas menerima aduan daripada pemilik kebun pada awal bulan lalu.

“Setelah sebulan memasang perangkap, kami akhirnya berjaya menangkap binatang tersebut. Haiwan berkenaan dipercayai datang dari Hutan Basor yang terletak berhampiran kampung ini.

“Kami akan terus memasang perangkap kerana dipercayai banyak lagi haiwan itu yang berkeliaran dan mengancam tanaman penduduk,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kampung itu di sini semalam.

kosmo/-

Tiada ulasan: