01 Februari 2012

Polis tumpas geng penyamun

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sekumpulan penyamun yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah serta curi kereta di sekitar kawasan Cheras, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan sejak lapan bulan lalu.

Seramai tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk dua adik-beradik berusia lingkungan 25 hingga 31 tahun ditangkap sejak 14 Januari lalu hingga kelmarin dalam lima tangkapan berbeza di beberapa lokasi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan penjenayah terbabit,

Menurutnya, suspek pertama iaitu seorang lelaki diberkas polis di kawasan berhampiran sebuah hotel di Cheras pada 14 Januari lalu.

“Suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Perdana V6 dipercayai hasil samun bertindak merempuh anggota polis untuk melarikan diri, tetapi berjaya ditangkap selepas tayar kenderaannya ditembak polis.

“Polis menemui sebuah televisyen plasma jenama LG 42 inci dalam kereta Perdana V6 yang dirampas,” katanya dalam satu sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini semalam.

Menurutnya, dua rakan suspek yang menaiki sebuah lagi kereta yang dipercayai dicuri jenis Perdana V6 berjaya melarikan diri,

Mohan Singh berkata, polis membuat serbuan kedua di Damansara, Petaling Jaya pada 19 Januari lalu dan menahan dua beradik lelaki diikuti tangkapan dua lelaki serta seorang wanita di sebuah restoran di Kepong pada keesokan harinya.

“Dua hari selepas tangkapan itu, polis menemui sebuah kereta jenis Toyota Frontier dan Mitsubishi Evo yang disamun kumpulan itu di Perak dan Negeri Sembilan.

“Sebuah lagi kereta disamun kumpulan penjenayah terbabit iaitu jenis Kia Citra yang dilaporkan hilang di Perak, berjaya ditemui selang dua hari kemudian,” katanya.

Beliau berkata, hasil bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan, seorang lagi anggota sindiket diberkas pada 15 Januari lalu dan lelaki terbabit yang diberkas bersama Perdana V6 merupakan suspek yang melarikan diri dalam serbuan pertama di Cheras.

“Suspek terakhir yang ditahan ialah seorang lelaki pada 26 Januari lalu dan hasil tangkapan itu membawa kepada rampasan dua komputer riba dan sebuah lagi televisyen jenama Samsung.

“Polis juga menemui sebuah lagi kereta jenis Kia Citra di Damansara yang dilaporkan hilang di Kajang sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, selain merampas enam kereta, televisyen dan dua komputer riba, barang-barang lain turut dirampas termasuk enam utas jam tangan, pelbagai jenis aksesori wanita serta alat pembesar suara kesemuanya bernilai RM260,000.

Katanya, modus operandi yang dilakukan oleh kumpulan itu adalah menggunakan kereta curi untuk melakukan jenayah pecah rumah pada waktu pagi dan malam.

“Penahanan kumpulan penjenayah ini dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah samun kereta dan pecah rumah.

“Kesemua suspek termasuk empat daripada mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau direman sehingga Khamis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: