01 Februari 2012

Makmal UMT terbakar

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Sebuah makmal untuk bidang pengajian alam sekitar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) musnah dalam satu kebakaran yang berlaku pada jam 9.30 malam semalam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku memandangkan ketika kejadian tiada seorang penuntut mahupun kakitangan universiti tersebut berada dalam makmal itu.

Menurut seorang saksi, Muhammad Hafizuddin Md Amin, 19, berkata, kejadian itu disedari ketika dia sedang memberi makanan kepada ikan yang dibela di dalam sangkar berhadapan makmal tersebut.

Menurutnya, dia tiba-tiba terbau asap menyangkakan ada orang membakar sampah dan ketika menghampiri kawasan bangunan itu dia ternampak api mulai marak dari bilik makmal yang berada di tingkat dua bangunan itu.


Cuba padam api

“Saya kemudiannya segera menelefon kawan untuk meminta nombor telefon kakitangan universiti sambil cuba memadamkan api dengan menggunakan hos bomba berhampiran bersama dua lagi senior yang baru tiba.

“Bagaimanapun, tekanan air mulai rendah dan saya terus hubungi bomba untuk bantu padamkan kebakaran itu,” kata penuntut jurusan Diploma Perikanan itu ketika ditemui di tempat kejadian, malam semalam.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Aziz Deraman yang turut berada di tempat kejadian ketika ditemui bersyukur kerana kebakaran itu hanya melibatkan sebuah makmal yang jarang digunakan pelajar.

Katanya, kebakaran itu tidak menjejaskan pembelajaran pelajar memandangkan makmal itu bukan makmal utama dan pihak universiti akan membaik pulih makmal itu pada kadar segera.

“Saya percaya kejadian ini akan beri kesan yang besar kepada perjalanan kuliah dan eksperimen pelajar untuk semester ini.

“Namun kita bersyukur kerana kejadian ini tidak melibatkan kemalangan yang lebih besar kerana sebelum kejadian ada pelajar meminta kebenaran untuk menggunakan makmal berkenaan,” katanya.


Bomba khuatir ada bahan kimia berbahaya

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.36 malam dan tiba di lokasi kejadian dengan tiga jentera yang disertai 15 anggota.

Menurutnya, bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran itu dan anggota yang bertugas juga terpaksa memakai alat pernafasan kerana khuatir ada bahan kimia membahayakan dalam makmal tersebut.

“Kita mengalami sedikit kesukaran untuk memadamkan api kerana selain berkunci, pelbagai gas dan bahan kimia di dalam makmal tersebut juga bocor, malah bekalan elektrik juga terputus pada masa itu.

“Alhamdulillah, kita berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak, namun punca dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: