01 Februari 2012

Geng Mat Kaha lumpuh

8 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PEKAN – Kumpulan pencuri motosikal atau lebih dikenali sebagai Geng Mat Kaha yang licik melakukan aktiviti jenayah di beberapa daerah termasuk daerah ini dan Kuantan berjaya dilumpuhkan selepas lima anggota kumpulan itu diberkas.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, seorang anggota kumpulan itu yang berjaya ditahan di Kuantan dan empat lagi di daerah ini merupakan remaja lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 22 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan awal polis menemui lima rangka motosikal dipercayai jenis Yamaha RXZ, Honda Wave dan Honda EX5 yang dibuang ke dalam aliran Sungai Pahang melalui Sungai Pulau Tambun.

“Sejak awal Januari lalu, sepasukan anggota polis dari cawangan Jenayah IPD giat mengesan suspek utama kes ini dan penahanannya membawa kepada maklumat mengenai empat lagi anggota kumpulan itu yang berjaya diberkas.

“Tangkapan itu juga berjaya meleraikan 15 kes berkaitan curi motosikal di daerah ini yang berlaku di sekitar kawasan Peramu sepanjang 2010 membabitkan kerugian sebanyak RM50,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Yahaya berkata, kelima-lima suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Menurutnya, polis kini giat mengesan lima lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas namun sudah dikenal pasti melalui siasatan dijalankan.

“Kelima-lima suspek ditahan merupakan bekas pelatih sebuah institut kemahiran di daerah ini dan mereka mempunyai pengetahuan serta kemahiran berkaitan yang memudahkan perlakuan jenayah.

“Modus operandi kumpulan ini ialah mencuri motosikal ditinggalkan pemilik di sekitar kawasan sasaran sebelum meleraikan enjin dan komponen berkaitan,” katanya.

Katanya, barangan itu dijual kepada mat rempit yang gemar membeli barangan gantian dan terpakai utnuk pengubahsuaian motosikal serta kegiatan lumba haram.

“Polis berjaya mengesan taktik kumpulan ini dan beberapa penjenayah berkaitan di mana mereka aktif mencuri sekitar jam 12 malam hingga jam 6.30 pagi. Manakala motosikal yang diletakkan di kawasan gelap kerap menjadi sasaran.

“Semua suspek masih ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun,” katanya.

Yahaya turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati, tidak meninggalkan motosikal masing-masing di kawasan sunyi serta terpencil, selain menguncinya dengan teliti.

“Pantauan dan siasatan mendapati kebanyakan motosikal yang hilang tidak dikunci dengan baik. Ada di antara mangsa gemar meninggalkan motosikal di kawasan sunyi seperti berhampiran sungai untuk memancing dan sebagainya,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: