13 Februari 2012

Kumpulan samseng bertempur

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Ibarat babak pergaduhan dalam filem, penduduk Flat Taman Desa Ria, Taman Medan, Petaling Jaya, cemas apabila dua kumpulan dipercayai samseng bertempur di pekarangan Blok L, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad berkata, pada kejadian tersebut, seorang lelaki cedera di rusuk kiri dipercayai dilibas menggunakan senjata tajam.

“Polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10.50 pagi.

“Lelaki tersebut terbaring di atas jalan ketika polis tiba sebelum di bawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan, polis masih menunggu laporan perubatan dan me­nyiasat motif kejadian,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian yang melihat detik cemas berkenaan, Hamsah Samiri, 54, berkata, dia segera pulang ke rumah apabila salah seorang penduduk menghubunginya memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Saya mendapati beberapa orang bersenjatakan pedang samurai dan kapak sedang bertempur, salah seorang daripadanya berlumuran darah akibat ditetak di kepala, kemudian melarikan diri bersama rakannya,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an turut bermandi darah akibat terkena libasan pedang samurai.

“Lelaki itu cuba menyelamatkan diri dengan berlari sejauh 30 meter ke kediaman di tingkat dua flat berkenaan bagi meminta bantuan, saya segera menghubungi ambulans apabila dua kumpulan terbabit beredar dari kawasan itu.

“Mujurlah suasana kecoh itu tidak mengganggu persiapan majlis perkahwinan tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Sinar Harian

Pelacur asing dominasi KL

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Dua pusat hiburan dan sebuah res­toran yang menjalankan kegiatan pelacuran dan dimonopoli wanita warga asing, diserbu polis awal pagi kelmarin menerusi Ops Noda yang dijalankan di Serdang, Jalan Pudu serta Bukit Bintang.

Seramai 103 pelacur warga asing dicekup dalam ser­buan serentak bermula jam 1 pagi, melibatkan 25 pegawai dan 50 anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

Dalam serbuan di sebuah restoran di Jalan Pudu, seramai 39 wanita warga China ditahan kerana menawarkan khidmat seks kepada pelanggan yang datang makan di premis terbabit.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di sebuah pub di Serdang, seramai 22 wanita Vietnam termasuk seorang warga Uganda dicekup, manakala 42 wanita Thailand yang menjadi penari dan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan ditahan di se­buah kelab malam di Jalan Bukit Bintang.

Semua pelacur ditahan berusia lingkungan 16 hingga 35 tahun itu dikesan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan kebanyakan mereka gagal me­nunjukkan dokumen pe­ngenalan diri masing-masing ketika diperiksa.

Ketua Penolong Pengarah D7, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya melakukan operasi besar-besaran itu selepas memperoleh maklumat berhubung aktiviti haram di ketiga-tiga premis terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan wujudnya pembahagian kawasan bagi aktiviti tidak bermoral itu yang hanya dimonopoli oleh pelacur dari negara tertentu.

“Pelacur dari Thailand dilihat mendominasi aktiviti pelacuran di kawasan Bukit Bintang, manakala wanita China dan Vietnam, masing-masing banyak menguasai di kawasan Pudu dan Serdang Perdana.

“Hasil soal siasat mendapati wanita asing ini mengenakan bayaran serendah RM150 hingga RM300 kepada pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks daripada mereka,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan disiasat di bawah Peraturan 39 (b) Akta Imigresen 1963 kerana bekerja tanpa sebarang dokumen sah dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Sinar Harian

Hebat berpolitik, Melayu liat daftar jadi pemilih

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Sikap tidak ambil peduli dan memandang remeh kepentingan mendaftar sebagai pemilih, walaupun layak berbuat demikian antara alasan ramai orang Melayu gagal melaksanakan hak dan tanggungjawab pada pilihan raya umum.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, tinjauan pihaknya mendapati orang Melayu dan Bumiputera berusia 21 tahun ke atas di negara ini, lebih sibuk dengan urusan sendiri sehingga tidak ambil peduli mengenai pendaftaran sebagai pemilih.

“Perkara ini membabitkan 2.1 juta membabitkan orang Melayu dan Bumiputera. Mereka mengatakan itu dan ini berkaitan pilihan raya.

“Mereka bercerita soal demokrasi dan sebagainya, tetapi jika dilihat kepada jumlah yang dikenal pasti SPR ini, ternyata ramai tidak ambil peduli , sedangkan SPR banyak melakukan hebahan supaya mendaftar sebagai pemilih,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, menerusi kajian sikap pada 2006, mereka berusia 21 tahun ke atas lebih lebih sibuk dengan urusan peribadi termasuk hal kerjaya.

“Berdasarkan tinjauan, jawapan maklum balas paling tinggi diperoleh daripada responden ialah, mereka tiada masa untuk mendaftar kerana sibuk dengan karier.

“Daripada hasil tinjauan tersebut, kita sudah tahu masalah utama adalah berpunca daripada sikap mereka sendiri,“ katanya.

Selain sikap, Wan Ahmad berkata, kajian menunjukkan ramai memberikan alasan tidak tahu cara dan tempat untuk membuat pendaftaran.

“Hasil kajian sikap yang dibuat pada 2006 itu, masih relevan walaupun sudah lebih lima tahun berlalu. Ini kerana, SPR telah melaksanakan sistem mendaftar yang mudah tetapi mengapa masih ramai belum mendaftar. Oleh itu, kita kembali kepada budaya sikap tadi,” ujar beliau.

Menurutnya, sehingga Disem ber 2011, jumlah penolong pendaftar bagi wakil parti politik berjumlah 5,720, wakil jabatan 3,321, wakil pertubuhan 910, wakil universiti 253 dan pejabat pos 702 di seluruh negara.

“Banyak saluran mendaftar disediakan dan SPR sendiri bergerak di setiap tempat strategik bagi memudahkan orang ramai mendaftar.

"Dengan keadaan politik semasa, senario itu sepatutnya mampu memberi kesedaran untuk mengundi, tetapi golongan muda pula masih ramai belum mendaftar. Saya tegaskan, majoriti atau 60 peratus yang tidak mendaftar ini adalah mereka yang di bawah 40 tahun,” katanya.

Beliau menegaskan, tidak guna bercakap soal politik sekiranya mereka yang layak untuk mendaftar pemilih tidak berbuat demikian dan akhirnya menjadi pemerhati pada pilihan raya kerana tidak layak membuang undi.

“Kita memang tidak boleh membuat pendaftaran secara automatik kerana kita perlu kembali kepada syarat kelayakan mengundi. Kaedah automatik tidak praktikal kerana SPR perlu cari mereka yang tidak layak antaranya seperti gila, muflis, dan syarat lain, termasuk individu yang meninggal dunia,” katanya.

Sinar Harian

Nazri nasihat Shahrizat bayar RM250j

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA KANGSAR – Menteri Pembangunan Wa­nita, Keluarga dan Masya­rakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dinasihatkan supaya membayar balik RM250 juta yang dipinjamkan kepada syarikat milik keluarganya untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz yang menasihatkan demikian berkata, itu adalah penyelesaian terbaik bagi masalah berkenaan tanpa perlu Shahrizat meletak jawatan.

“Beliau tak perlu letak jawatan. Apa yang paling utama, kembalikan semula wang itu kepada kerajaan,” katanya.

Nazri berkata, dengan penyelesaian seperti itu, kerajaan masih boleh meneruskan projek NFC.

“Tetapi selepas ini, adalah lebih baik dijalankan secara tender terbuka bagi mengelak masalah hal yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita.

Agency

Rumah terbuka: Isa enggan layan Anak

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Isa Abdul Samad menyifatkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hanya mahu berpolitik, apabila mendakwanya berbelanja besar menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri pada 10 September 2011.

“Dia nak berpolitik, lebih utamakan politik. Saya tak mahu layan dan tak nak layan Anak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Isa berkata demikian berhubung kenyataan Pengerusi Anak, Mazlan Aliman mendakwa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, berbelanja RM353,375 untuk menganjurkan majlis tersebut di mana, 10 kali lebih tinggi daripada kos penganjuran bagi tahun sebelumnya.

Sementara itu, Mazlan berkata, faktor peningkatan itu disebabkan lokasi majlis diadakan di Port Dickson.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sinar Harian

15,000 masih tunggu kenaikan pangkat

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Hampir 15,000 guru berijazah masih belum ditawarkan kenaikan gred DG41, walaupun sebahagian besar daripada mereka telah ditemu duga.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, mereka terpaksa menunggu tawaran dua tahun berbanding satu tahun sebelum ini.

“Keadaan ini perlu segera ditangani kerana setiap tahun, ramai guru di peringkat ijazah bakal menamatkan pengajian.

“Tidak sewajarnya mereka perlu menunggu lama kerana peruntukan pihak kementerian untuk guru yang melanjutkan pelajaran ini telah ada,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mereka perlu ditawarkan gred tersebut kerana telah menjalani temu duga, namun masih ramai belum menerima tawaran pelantikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Yim Pheng berkata, NUTP merayu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran kepada guru yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk menikmati kenaikan pangkat, walaupun sistem penilaian itu telah dihapuskan awal tahun lalu.

“Adalah tidak adil jika tidak diberi kenaikan kepada guru terbabit kerana mereka telah berhempas pulas untuk lulus dalam peperiksaan tersebut.

“Terdapat ribuan lulusan PTK dalam kalangan guru yang belum menikmati kenaikan gaji walaupun mereka layak,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, NUTP juga telah mengumpul semua maklum balas daripada guru mengenai Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Sinar Harian

Bumbung runtuh: Jiran selamatkan pelajar Malaysia

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Jiran-jiran membantu memecahkan tingkap bilik bahagian belakang rumah sewa yang didiami pelajar Malaysia di Grogol, Jakarta Utara tengah malam kelmarin untuk mengeluarkan mereka setelah bumbung bahagian depan rumah itu runtuh.

Salah seorang pelajar Malaysia berkenaan Nor Ubudiah Seti berkata semua pelajar yang menghuni rumah itu hanya sempat mengambil barang peribadi dan dokumen penting semasa menyelamatkan diri.

"Kejadian berlaku selepas hujan renyai, ketika itu saya bersama lapan pelajar Malaysia yang lain sedang berehat.

"Tiba-tiba kami terdengar suatu bunyi yang sangat kuat dari luar rumah seperti bunyi lori simen terbalik," kata pelajar tahun empat jurusan perubatan Universiti Trisakti itu di sini, semalam.

Apabila meninjau ke luar rumah, mereka terkejut melihat jiran-jiran kecoh dan menjerit melihat runtuhan yang berlonggok di depan rumah itu hingga menghalang pintu keluar di bahagian depan di tingkat bawah, rumah dua tingkat itu.

Kira-kira 30 mahasiswi Universiti Trisakti, termasuk 11 mahasiswi dari Malaysia mendiami rumah itu, yang terletak tidak begitu jauh dari kampus universiti itu. Penghuni lain ialah mahasiswi dari Indonesia.

Kesemua 11 pelajar Malaysia itu kini menumpang rumah rakan-rakan pelajar Malaysia yang lain di sekitar kawasan itu kerana bimbang keselamatan struktur bangunan rumah itu selepas kejadian tersebut.

Atase Pendidikan merangkap Setiausaha I (Pendidikan) Education Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Ludinata Misnun berkata pihaknya dengan kerjasama kedutaan telah menyiapkan tempat untuk pelajar terbabit tinggal sementara di Malaysia Hall Jakarta.
Bagaimanapun, pelajar terbabit lebih cenderung untuk tinggal sementara di rumah rakan-rakan di sekitar kawasan itu kerana Malaysia Hall yang terletak di

Jakarta Selatan agak jauh dari kampus Universiti Trisakti di Jakarta Utara.

Ini akan menyulitkan mereka untuk berulang alik ke kampus, lebih-lebih lagi mereka akan menghadapi peperiksaan pada hujung minggu ini, kata beliau.

Sinar Harian

142 Lagi Kes Jangkitan AGE Dikesan Di Perak

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH: Sebanyak 142 lagi kes jangkitan akut gastroenteritis (AGE) dikesan di Perak pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhannya 2,686 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata daripada jumlah itu, 94 kes dikesan di Hilir Perak manakala 48 kes di Batang Padang.

“Setakat ini jumlah keseluruhan kes di Hilir Perak sebanyak 1,730 manakala di Batang Padang sebanyak 956 kes,” katanya ketika dihubungi, Ahad.

Jumaat lepas, dua bayi masing-masing berusia dua bulan dan 10 bulan meninggal dunia di daerah Hilir Perak dan Batang Padang dipercayai akibat dijangkiti sejenis virus dikenali ‘Rotavirus’ yang menyebabkan kes AGE.

Sementara itu, kerajaan negeri Perak mengarahkan semua agensi dan jabatan terutamanya Kementerian Kesihatan untuk terus memantau dan mengenal pasti punca kematian dua bayi berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Francais 1Malaysia Peringkat Negeri Perak di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung pada Ahad, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri akan mengambil apa sahaja tindakan perlu bagi memastikan kes tersebut tidak berulang.

“Laporan awal dari Kementerian Kesihatan mendapati jangkitan akut AGE atau penyakit berjangkit bawaan air dan makanan mengakibatkan dua bayi maut di Perak baru-baru ini dipercayai berpunca daripada paip air yang tercemar.

“Bagaimanapun, punca sebenar kes tersebut masih lagi dalam siasatan. Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai diminta memasak air terlebih dahulu sebelum diminum,” katanya. – BERNAMA

PAS tegas tentang umat Islam sambut hari Valentine

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PAS tetap dengan pendirian menentang umat Islam menyambut Hari Kekasih (Valentine's Day), kata presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

hadi awang pc 060609 02Beliau dipetik Bernama sebagai berkata PAS tidak akan menarik balik pendirian parti itu seperti yang didesak DAP kerana penentangan itu hanya ditujukan untuk orang Islam sahaja.

"Orang bukan Islam (sambutan) itu hak dia, kita tidak boleh ganggu. Kita nak gesa orang Islam kerana ini tanggungjawab agama.

"Di Kelantan dan Terengganu kita haramkan arak bagi orang Islam tetapi pengharaman itu tidak membabitkan orang bukan Islam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan di Klang petang semalam.

Abdul Hadi diminta mengulas kenyataan pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh semalam yang menggesa PAS menarik balik pendirian parti itu yang menentang sambutan Hari Kekasih yang untuk tahun ini, akan disambut Selasa ini.

Cegah kemungkaran

muktamar pas youth 020611 nik abduhDAP berpendapat pendirian PAS itu sangat bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan di Malaysia, kata Karpal.

Sementara itu, timbalan ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz (kanan) di laman sosial Facebooknya menyelar Karpal yang tidak bersetuju dengan pendirian parti Islam itu yang menentang sambutan Hari Kekasih.

Katanya, keputusan itu bukan hanya pendirian PAS, tetapi juga adalah pendirian semua umat Islam.

Sambil meminta Karpal belajar menghormati agama lain, Nik Abduh turut menegaskan peguam itu sepatutnya tidak memaksa pandangannya diterima oleh orang lain.

“Karpal kena belajar walau sudah tua untuk menghormati agama lain, bukan memaksa pandangan sendiri ke atas orang lain. Politik bukan mahkamah.

valentines day 200209 01“Mencegah kemungkaran adalah kebaikan yang dipromosi agama secara unggul. Dalam diri umat Islam ada agama. Ia hak tertinggi. Justeru, mendidik umat agar menghormati ajaran agama adalah hak asasi umat Islam,” katanya.

7 Februari lalu Pemuda PAS menggesa kerajaan melancarkan kempen menentang sambutan Hari Kekasih termasuk menyiarkan iklan anti sambutan bagi mencegah umat Islam menyambutnya.

harakahdaily/-

12 Februari 2012

Rakyat berpendatan lebih RM3 ribu akan tolak BN pada PRU13 ini !

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - Kebelakangan ini, galak sungguh pihak kerajaan pemerintah pimpinan Barisan Nasional memperkenalkan pelbagai inisiatif mudah, mesra kepada golongan yang pendapatan isi rumah mereka kurang daripada RM3000.

Saya tidak mempersoalkan tindakan tersebut malah menyokong segala inisiatif yang diadakan kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah apabila diberi undi oleh rakyat, iaitu untuk memakmurkan kehidupan rakyat yang memilihnya.

Namun, apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, dalam keghairahan kerajaan pemerintah pimpinan Barisah Nasional memberi segala bagai kebendaan dan wang kepada golongan ini, pihak kerajaan telah tidak langsung meminggirkan golongan pertengahan tinggi yang merupakan golongan yang paling banyak membayar cukai pendapatan, cukai perkhidmatan dan merupakan pencarum kepada Skim Kumpulan Simpanan Pekerja yang wang simpanannya digunakan oleh kerajaan sewenang- wenangnya tanpa kebenaran mereka.

Golongan pertengahan tinggi ini dikategorikan oleh kerajaan sebagai golongan mampu tetapi mereka sebenarnya terpaksa membayar segala bentuk perkhidmatan yang diperlukan seperti yuran asrama anak yang tinggi, kos makanan anak di asrama, bayaran bulanan pembelian rumah, tol, minyak, kenderaan, Astro, khidmat internet, khidmat kesihatan hatta cukai perkhidmatan yang dikenakan kerajaan di restoran- restoran.

Meraka ini adalah pembayar cukai yang tinggi sehingga gaji bulanan yang dikategorikan sebagai tinggi dan mampu oleh kerajaan sebenarnya adalah rendah dan menyesakkan.

Namun, apa yang golongan ini dapat daripada pelbagai inisiatif kerajaan pemerintah pimpinan Barisan Nasional sekarang? Boleh dikatakan tidak ada langsung. Yang ada mungkin hanya wang RM100 untuk bantuan persekolahan anak dan baucer buku bernilai RM200 bagi anak- anak mereka yang belajar di universiti.

Perkhidmatan asas seperti bantuan penuh untuk anak-anak di asrama, pengecualian cukai perkhidmatan di restoran- restoran, diskaun tol dan diskaun perkhidmatan kesihatan patut diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan pertengahan tinggi ini dalam memastikan mereka juga patut menikmati hidup yang lebih makmur.

Kerajaan permerintah pimpinan Barisan Nasional patut sedar bahawa golongan pertengahan tengah inilah merupakan golongan pengundi yang celik hak dan mereka berupaya melakukan perubahan pemerintahan dalam PRU13 yang akan datang ini. Mereka patut diberi perhatian! Mkini

Wartawan suami isteri ditemui mati ditikam dengan kejam

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - DHAKA 12 Feb. - Sepasang suami isteri yang bekerja sebagai wartawan di dua stesen televisyen di Bangladesh, ditemui mati ditikam dengan kejam di apartmen mereka di ibu negara Dhaka, semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis, Imam Hossain, pasangan tersebut dikenali sebagai Sagar Sarwar, 35 dan isterinya, Meherun Runi, 33, ditemui mati pada awal pagi semalam dengan beberapa kesan tikaman di seluruh badan mereka.

Katanya, motif pembunuhan pasangan tersebut masih tidak diketahui.

Runi, 33, merupakan seorang wartawan di stesen televisyen ATN Bangla manakala Sarwar, 35, bekerja sebagai editor berita bagi televisyen Maasranga. - AFP

Jualan Lot Wakaf Bangunan Kompleks Pendidikan Darul Anwar

19 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - Bagi meneruskan usaha untuk merealisasikan pembinaan dan pembangunan Kompleks Pendidikan Darul Anwar (KPDA), maka pihak Idham Care memulakan langkah berikutnya dengan membuka peluang kepada sesiapa sahaja berwakafkan dengan tujuan pembinaaan bangunan KPDA.

Pakej Wakaf Bangunan ini terdiri dari dua Pakej d imana Pakaj 1 bernilai RM 300 .Melalui pakej ini setiap pewakaf akan dihadiahkan satu set Al Quran Digital .


Pakej 2 pula berharga RM 500 dan pewakaf akan dihadiahkan 2 set Digital Al Quran.

Sasaran naskah Al Quran yang akan dihabiskan sebelum 31 Mei 2012 ialah sebanyak 10,000 Naskah Set Al Quran Digital model terbaru M10.

Iklan di atas akan terbit pada Harakah cetak sebanyak 5 kali bermula Khamis ini.(Harakah Edisi Ahad (hari ini) - seperti yang dimaklumkan sebelum ini, iklan tak sempat diterbitkan kerana masalah teknikel, kami memohon maaf )

Pihak pengurusan Idham Care dan KPDA yakin skim wakaf yang dilancarkan ini akan mendapat sambutan hangat dari seluruh umat Islam .

Selain itu kami masih berhasrat untuk memulakan pembangunan fasa pertama KPDA bermula pada penghujung Mei akan datang.

Bagi mereka yang berminat bolehlah menghubungi kami pada talian 016-4951221.

Hamas tak akan iktiraf Israel

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - TEHRAN: Hamas tidak akan sama sekali mengiktiraf Israel, tegas Perdana Menteri pergerakan itu di Gaza, Ismail Haniya, semalam dalam ucapan di Iran yang dilihat menyukarkan usaha Palestin membentuk kerajaan perpaduan berikutan bantahan wilayah Yahudi itu.

“Mereka mahu kami mengiktiraf pencerobohan Israel dan menghentikan tentangan tetapi sebagai wakil penduduk Palestin dan dengan nama kebebasan, saya mengumumkan dari Dataran Azadi di Tehran yang kami tidak akan mengiktiraf Israel.

“Tentangan akan diteruskan sehingga semua tanah Palestin termasuk Baitulmaqdis dibebaskan dan semua pelarian kembali,” katanya.
Penegasan Haniya mengenai pendirian Hamas itu dibuat dalam satu majlis memperingati revolusi Islam di Iran pada tahun 1979.

Pemimpin Gaza itu bercakap kepada anggaran 30,000 hadirin dari atas pentas bersama-sama Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

“Rakyat Iran adalah rakan dalam kejayaan ini. Insya-Allah, kami akan bertemu anda bersama-sama rakyat Palestin lain dalam negara bebas Palestin, di ibu negara, Baitulmaqdis,” katanya.

Israel menolak usaha Hamas untuk bekerjasama dengan Fatah, parti lebih sekular pimpinan Presiden Mahmud Abbas yang mentadbir Tebing Barat, untuk membentuk kerajaan perpaduan. Ia menganggap Hamas sebagai pertubuhan pengganas dan Iran sebagai penyokong dan pembekal senjata.
Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, memberitahu wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Khamis lalu perjanjian Hamas dan Fatah yang ditandatangani minggu ini untuk berganding bahu dalam kerajaan baru tidak menyumbang kepada lanjutan rundingan damai atau kebajikan penduduk Palestin.

Blok yang bertanggungjawab dalam proses damai Asia Barat itu iaitu Kesatuan Eropah, Russia, PBB dan Amerika Syarikat sudah lama mendesak supaya kerajaan Palestin termasuk Hamas memenuhi syarat tertentu untuk menyertai rundingan iaitu menghentikan keganasan dan mengiktiraf Israel dan perjanjian masa lalu dengan wilayah Yahudi itu. – AFP

Penganut Hindu pun rasa tersinggung..

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - Pada saat-saat umat Islam menyambut Maulidur Rasul memperingati hari keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, mereka dikejutkan dengan berita serta gambar Perdana Menteri menyambut Thaipusam di Batu Caves.

Sejarah perkembangan Islam di negara ini yang dibawa oleh Parameswara yang kemudiannya memeluk Islam dan menggunakan nama Muzaffar Shah, seolah-olah diterbalikkan oleh seorang pemimpin penganut Islam untuk kembali ke agama Hindu.

Melalui rakaman gambar-gambar yang tersebar, kelihatan seolah-olah pemimpin yang mengakui dirinya Islam ini sudah mengambil-alih peranan dewa agama Hindu. Bak kata SS Mufti Negeri Perak, Najib sudah menggadai akidah. (pautan di akhir artikel ini) ~~

Perayaan Thaipusam, sejak tiga tahun yang lalu telah diambil-alih oleh seorang pemimpin yang seronok membiarkan dirinya dilayan dan dijadikan seumpama dewa. Malah, lebih hebat daripada dewa yang disembah oleh penganut agama Hindu sendiri. Kita ikuti tulisan J. D. Lovrenclear yang menyentuh mengenai perayaan keagamaan masyarakat Hindu yang telah menjadi perayaan mendewakan pemimpin.

Perdana Menteri Malaysia dan isterinya difotografkan di mana mereka dikalungkan dengan kalungan bunga yang amat besar di Batu Caves semasa perayaan Thaipusam berlangsung.

Saiz kalaungan itu adalah antara isu yang telah menimbul seribu tanda tanya.

Kenapa pihak Kuil membiarkan ahli politik mengambil kesempatan ke atas perayaan yang sedang diadakan? Adakah kita begitu terdesak sehinggakan erti perayaan dan maknanya digunakan untuk tujuan politik semata-mata?

Jangan merendah-rendahkan Thaipusam

Pertama sekali, kenapa ada kalungan bunga yang besar dipakaikan kepada PM dan isteri seolah-olah merekalah yang sepatutnya diraikan. Bukankah tumpuan perayaan adalah untuk penganut-penganut menyembah tuhan sebagai tanda kesucian, keabdian dan penyerahan diri?

Bukankah prinsip dan makna Thaipusam sepatutnya diraikan dan dijadikan tumpuan?

Kalungan bunga sebesar itu sudah semestinya mahal dan memakan masa yang lama untuk disiapkan. Kenapa wang itu tidak digunakan sahaja untuk keperluan perayaan dan korban yang merupakan tujuan utama Thaipusam?

Adakah PM atau isteri beliau tidak mempunyai rasa rendah diri dan peka untuk menasihati pihak kuil yang cuba membodek ahli politik sekali gus menunjukkan kebodohan mereka dengan persembahan yang melibatkan kalungan gergasi itu?

Tiada rasa malu dan sensitif

Mengapa Perdana Menteri bercakap pula tentang 'nambikai' - tentang saling mempercayai di antara satu sama lain di tempat lelaki dan wanita berkumpul dari jauh dan dekat untuk melakukan penebusan dosa dan melakukan pemberian kepada dewa-dewa masing-masing?

Dan kenapa menggunakan Thaipusan untuk berpolitik dengan mengumumkan peruntukan berjuta-juta ringgit bagi pembinaan pusat baru di Batu Caves?Jika niat itu benar-benar ikhlas ia boleh diumumkan pada bila-bila masa atau hari lain dan bukankah ini akan memberi makna yang lebih positif?

Semua yang terus bersubahat, membiarkan sahaja dan menyokong penodaan perayaan keagamaan seperti Thaipusam dengan berpolitik secara kotor sepatutnya malu. Jangan cuba untuk menjustifikasikan perbuatan itu. Apakah komen ahli politik India? Apa pula kata pemimpin agama Hindu?

Oleh J. D. Lovrenclear - pembaca Malaysia Chronicle

Gempa bumi sederhana gegar tengah Chile

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - WASHINGTON: Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 skala Ritcher menggegarkan wilayah tengah Chile, lewat malam tadi.

Menurut Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa tersebut berlaku pada jam 11.58 malam (waktu tempatan), kira-kira 52 kilometer di barat daya bandar Concepcion. Tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan setakat ini. - AFP