13 Februari 2012

Hebat berpolitik, Melayu liat daftar jadi pemilih

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Sikap tidak ambil peduli dan memandang remeh kepentingan mendaftar sebagai pemilih, walaupun layak berbuat demikian antara alasan ramai orang Melayu gagal melaksanakan hak dan tanggungjawab pada pilihan raya umum.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, tinjauan pihaknya mendapati orang Melayu dan Bumiputera berusia 21 tahun ke atas di negara ini, lebih sibuk dengan urusan sendiri sehingga tidak ambil peduli mengenai pendaftaran sebagai pemilih.

“Perkara ini membabitkan 2.1 juta membabitkan orang Melayu dan Bumiputera. Mereka mengatakan itu dan ini berkaitan pilihan raya.

“Mereka bercerita soal demokrasi dan sebagainya, tetapi jika dilihat kepada jumlah yang dikenal pasti SPR ini, ternyata ramai tidak ambil peduli , sedangkan SPR banyak melakukan hebahan supaya mendaftar sebagai pemilih,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, menerusi kajian sikap pada 2006, mereka berusia 21 tahun ke atas lebih lebih sibuk dengan urusan peribadi termasuk hal kerjaya.

“Berdasarkan tinjauan, jawapan maklum balas paling tinggi diperoleh daripada responden ialah, mereka tiada masa untuk mendaftar kerana sibuk dengan karier.

“Daripada hasil tinjauan tersebut, kita sudah tahu masalah utama adalah berpunca daripada sikap mereka sendiri,“ katanya.

Selain sikap, Wan Ahmad berkata, kajian menunjukkan ramai memberikan alasan tidak tahu cara dan tempat untuk membuat pendaftaran.

“Hasil kajian sikap yang dibuat pada 2006 itu, masih relevan walaupun sudah lebih lima tahun berlalu. Ini kerana, SPR telah melaksanakan sistem mendaftar yang mudah tetapi mengapa masih ramai belum mendaftar. Oleh itu, kita kembali kepada budaya sikap tadi,” ujar beliau.

Menurutnya, sehingga Disem ber 2011, jumlah penolong pendaftar bagi wakil parti politik berjumlah 5,720, wakil jabatan 3,321, wakil pertubuhan 910, wakil universiti 253 dan pejabat pos 702 di seluruh negara.

“Banyak saluran mendaftar disediakan dan SPR sendiri bergerak di setiap tempat strategik bagi memudahkan orang ramai mendaftar.

"Dengan keadaan politik semasa, senario itu sepatutnya mampu memberi kesedaran untuk mengundi, tetapi golongan muda pula masih ramai belum mendaftar. Saya tegaskan, majoriti atau 60 peratus yang tidak mendaftar ini adalah mereka yang di bawah 40 tahun,” katanya.

Beliau menegaskan, tidak guna bercakap soal politik sekiranya mereka yang layak untuk mendaftar pemilih tidak berbuat demikian dan akhirnya menjadi pemerhati pada pilihan raya kerana tidak layak membuang undi.

“Kita memang tidak boleh membuat pendaftaran secara automatik kerana kita perlu kembali kepada syarat kelayakan mengundi. Kaedah automatik tidak praktikal kerana SPR perlu cari mereka yang tidak layak antaranya seperti gila, muflis, dan syarat lain, termasuk individu yang meninggal dunia,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: