13 Februari 2012

Jeneral tentera Syria dibunuh

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DAMSYIK - Ketegangan di Syria semakin memuncak selepas seorang jeneral askar ditembak mati kumpulan lelaki bersenjata di Damsyik, kelmarin dalam kejadian pembunuhan pertama melibatkan anggota tertinggi angkatan tentera di negara itu.

Agensi berita SANA melaporkan tiga lelaki dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah Jeneral Issa al-Khawli semasa beliau meninggalkan kediamannya di kawasan kejiranan Rukn-Eddine.

Dalam satu kenyataan, Kapten Ammar al-Wawi berkata, kumpulan pemberontak yang mahu menjatuhkan rejim dengan cara kekerasan menafikan penglibatan mereka dalam insiden tersebut.

Sementara itu, akhbar McClatchy mendedahkan kononnya kumpulan militan Al-Qaeda berpusat di Iraq bertanggungjawab melancarkan serangan pengeboman berani mati berkembar di Aleppo sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 28 terbunuh manakala ratusan lagi cedera pada Jumaat lalu.

Difahamkan, akhbar tersebut memetik kenyataan seorang perisik Amerika Syarikat (AS) yang mengesahkan dakwaan Presiden Bashar al-Assad bahawa ‘orang luar’ adalah dalang sebenar mencetuskan kekacauan dan huru-hara di Syria.

Akhbar itu mendakwa kewujudan rangkaian Al-Qaeda di negara tersebut juga menunjukkan kemungkinan kumpulan pelampau akan melancarkan pemberontakan lebih buruk untuk menggulingkan rejim Assad.

“Perisik AS memaklumkan kejadian pengeboman di Syria baru-baru ini dilancarkan selepas menerima arahan pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri,” menurut kenyataan akhbar tersebut lagi.

sinar harian/-

Tiada ulasan: