13 Februari 2012

Israel bedil kandang lembu

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KANDANG lembu yang musnah akibat terkena bedilan peluru berpandu pesawat tentera Israel di bandar Gaza semalam.

GENTING GAZA - Satu serangan tentera udara Israel semalam membedil kandang lembu milik seorang penduduk Palestin di sini.

Beberapa ekor haiwan itu cedera dan terbunuh akibat serangan berkenaan.

Dalam serangan itu, seorang penduduk Palestin dilaporkan terbunuh.

Tentera Israel menyatakan serangan tersebut dilancarkan bagi membalas dendam terhadap satu serangan roket yang dilakukan para pejuang Palestin.

Pertubuhan Pusat Palestin Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di bandar Gaza menyatakan, penduduk yang maut itu ialah seorang petani, Wyad Abdul Hadi Rajab yang berusia 71 tahun.

Menurut pertubuhan itu, dia merupakan pemilik kandang lembu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sempadan Israel.

Kandang lembu itu diserang dengan peluru berpandu.

Menurut pertubuhan tersebut, semasa serangan, petani itu berada di dalam biliknya yang musnah.

Seorang anak lelakinya mengalami luka.

Beberapa ekor haiwan ternakan lain turut terbunuh manakala beberapa peralatan lain juga musnah.

Pada Sabtu lalu, satu serangan roket yang dilancarkan para pejuang Palestin mengenai bandar Ashkelon, selatan Israel menyebabkan seorang wanita negara itu cedera ringan. - Agensi

Tiada ulasan: