13 Februari 2012

Presiden Myanmar rayu sokongan

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ORANG ramai berhimpun di hadapan ibu pejabat parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) bagi memperingati ulang tahun ke-65 Hari penyatuan Myanmar di Yangon, semalam. Gambar kecil, Thein Sein, Presiden Myanmar

Bekas jeneral ikrar tamatkan konflik, wujudkan keamanan berpanjangan

YANGON: Presiden Myanmar berikrar mewujudkan keamanan berpanjangan dengan pemberontak bersenjata dan merayu sokongan rakyat semalam, ketika ketegangan etnik terus menjejaskan pembaharuan di negara itu.

Thein Sein, bekas jeneral yang memegang kuasa tahun lalu selepas pemerintahan tentera berakhir, melancarkan usaha menamatkan konflik etnik selama berdekad sebagai sebahagian daripada pembaharuan sejak beberapa bulan lalu.

Rejim awam Myanmar mencapai perjanjian damai dengan beberapa kumpulan pemberontak termasuk etnik Karen di timur dan Shan tetapi pertempuran di Kachin yang bersempadan dengan China di utara mencetuskan ketidaktentuan berhubung perjalanan usaha perpaduan.

“Pembabitan keseluruhan rakyat amat diperlukan untuk menamatkan konflik bersenjata dalaman dan membina keamanan berpanjangan,” kata Thein Sein.
Ucapan sempena Hari Kesatuan, yang meraikan tandatangan perjanjian bersejarah dengan kumpulan etnik minoriti negara itu pada tahun 1947, menyebut kerajaan berusaha untuk terus mempromosikan demokrasi secara aman.

Dia berkata, rakyat gembira untuk melihat pilihan raya demokratik diadakan dan pembabitan sama rata, sambil mengulangi ikrar untuk memberi tumpuan kepada pentadbiran yang baik dan memperbaiki peraturan undang-undang.

Rejim itu diberi pujian dan beberapa sekatan Barat ditarik balik kerana mengadakan pembaharuan termasuk membebaskan tahanan politik.

Ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi, kini berkempen untuk memasuki Parlimen dalam pilihan raya kecil 1 April ini, perkembangan yang berkemungkinan tinggi memberikan kesahihan kepada Parlimen selepas pilihan raya kontroversi pada November 2010.

Disember lalu, Thein Sein mengeluarkan arahan kepada tentera supaya menghentikan serangan ke atas gerila Tentera Pembebasan Kachin tetapi tindakan itu gagal menghentikan ketegangan.

Salah satu kumpulan pemberontak utama Myanmar, Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) memberi amaran perjanjian damai itu rapuh kerana pertempuran di kawasan etnik lain berterusan kerana hilang kepercayaan kepada kerajaan. – AFP

Tiada ulasan: