13 Februari 2012

Tiga kilang beroperasi di bawah kabel bervoltan tinggi

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI BULOH - Operasi tiga kilang yang dibina di bawah kabel bervoltan tinggi di Kampung Desa Aman, di sini menimbulkan kebimbangan penduduk.

Penduduk mendakwa, masalah yang berlarutan sejak lebih lima tahun itu perlu diberi perhatian sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Penduduk, Sin Ching Seong, 53, berkata, penduduk kini menuntut penjelasan dari pihak berwajib bagaimana kilang memproses bahan buangan itu diberi kebenaran beroperasi di kawasan hampir dengan penempatan penduduk.

“Kami mahu tahu, bagaimana kilang seumpama ini boleh mendapat kebenaran beroperasi di bawah kabel sedang risikonya sangat besar,” katanya.

Ching Seong berkata, meskipun aduan mengenai masalah itu pernah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun kilang itu masih tetap beroperasi.

Seorang lagi penduduk, R Vicky, 40, berkata, bukan sahaja faktor keselamatan, operasi kilang yang mengumpul bahan buangan itu juga dikatakan mengancam kesihatan penduduk.

Menurutnya, tidak mustahil, dengan keadaan sisa sampah yang banyak setiap hari, ia menjadi salah satu lokasi pembiakan nyamuk.

“Malah, kedudukan lokasi pusat ini yang terletak di jalan utama mengundang pelbagai persepsi buruk kalangan penduduk,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, terdapat tiga kilang memproses bahan kitar semula berada di bawah kabel berkenaan.

Kewujudan papan tanda larangan­ mengukuhkan lagi dakwaan penduduk bahawa semua kilang berkenaan tidak boleh beroperasi di situ.

Keadaan itu menyebabkan penduduk mahu, pihak berwajib memantau dan menyelaras semula kawasan kabel bervoltan tinggi itu.

Penduduk, Ah Fat, 49, berkata, sekiranya kebakaran berlaku, ianya boleh menjejaskan rumah lain yang berada di kawasan berhampiran.

Sinar Harian

Tiada ulasan: