13 Februari 2012

Taktik tiga premis berselindung perniagaan lain dibongkar

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

AMPANG JAYA - Berselindung di sebalik perniagaan lain untuk mengaburi pihak berkuasa, bagaimanapun taktik yang tiga premis yang dikesan menjalankan aktiviti tanpa lesen, di sini berjaya dibongkar Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melalui satu Operasi Pusat Siber dan Siber Kafe.

Dalam operasi masing-masing di Taman Pandan Cahaya dan Pandan Indah itu, 30 set komputer turut dirampas.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, serbuan pertama mendapati, premis di Taman Pandan Cahaya berselindung di sebalik restoran, pelanggan yang ingin memasuki pusat siber berkenaan perlu terlebih dahulu memasuki restoran itu.

“Pintu masuk ke pusat siber ini dipantau menggunakan sistem kamera litar tertutup (CCTV), manakala semua pintu menggunakan kod rahsia sebelum dapat dibuka,” katanya kepada Sinar Harian.

Serbuan yang diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa, Mohd Rosli Jaafar bersama 15 anggota di premis kedua pula mendapati, pusat siber berkenaan berselindung dengan memaparkan iklan membekal peralatan bilik mandi, namun pemeriksaan anggota penguat kuasa mendapati, ianya merupakan pusat siber yang disyaki menjalankan aktiviti pertaruhan/perjudian berdasarkan kepada iklan-iklan yang dipamerkan dalam premis.

Norhayati berkata, serbuan premis ketiga yang terletak di Pandan Indah pula mendapati, premis berkenaan berselindung dengan memaparkan iklan menjalankan aktiviti urut kaki, bagaimanapun pemeriksaan lanjut membongkar aktiviti sebenar sebagai pusat siber.

Katanya, premis itu juga telah mengubahsuai pintu masuk dengan membina pintu di bahagian tepi premis bagi menunjukkan seolah-olah ianya tidak beroperasi.

Semua pemilik premis didapati telah melakukan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber (MPAJ) 2007.

“Orang awam juga diharap dapat memberi maklumat sekiranya terdapat aktiviti meragukan memandangkan terdapat premis siber kafe yang menawarkan cabutan bertuah iaitu sebuah kereta bagi menarik pelanggan berkunjung ke premis mereka,” katanya.

Sebarang maklumat boleh menghubungi MPAJ di talian 03-4296 8100.

Sinar Harian

Tiada ulasan: