13 Februari 2012

15,000 masih tunggu kenaikan pangkat

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Hampir 15,000 guru berijazah masih belum ditawarkan kenaikan gred DG41, walaupun sebahagian besar daripada mereka telah ditemu duga.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, mereka terpaksa menunggu tawaran dua tahun berbanding satu tahun sebelum ini.

“Keadaan ini perlu segera ditangani kerana setiap tahun, ramai guru di peringkat ijazah bakal menamatkan pengajian.

“Tidak sewajarnya mereka perlu menunggu lama kerana peruntukan pihak kementerian untuk guru yang melanjutkan pelajaran ini telah ada,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mereka perlu ditawarkan gred tersebut kerana telah menjalani temu duga, namun masih ramai belum menerima tawaran pelantikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Yim Pheng berkata, NUTP merayu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran kepada guru yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk menikmati kenaikan pangkat, walaupun sistem penilaian itu telah dihapuskan awal tahun lalu.

“Adalah tidak adil jika tidak diberi kenaikan kepada guru terbabit kerana mereka telah berhempas pulas untuk lulus dalam peperiksaan tersebut.

“Terdapat ribuan lulusan PTK dalam kalangan guru yang belum menikmati kenaikan gaji walaupun mereka layak,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, NUTP juga telah mengumpul semua maklum balas daripada guru mengenai Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Sinar Harian

Tiada ulasan: