13 Februari 2012

Hari Valentine Hanya Haram Untuk Islam

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Setiap hari kita perlu menunjukkan perasaan kasih sayang antara satu
sama lain tanpa perlu menunggu hari-hari tertentu. Sikap sesetengah
pihak yang cuba membuat fitnah terhadap saranan PAS melarang penganut
agama Islam dari menyambut Hari Valentine telah disalah ertikan dengan
mengatakan PAS menyekat kebebasan hak orang ramai.

Mereka memberi gambaran seolah-olah PAS cuba menyekat kepercayaan
agama lain dari menyambut Hari Valentine dengan menuduh PAS tidak
sepatutnya menyekat mereka yang hendak meraikan Hari Valentine
tersebut.

Akibat salah faham, mereka ini menuduh PAS sudah menyimpang dari
perjuangan mereka selama ini iaitu memberi kebebasan beragama kepada
semua penganut agama di negara ini.

Sebenarnya tiada Isu PAS melarang penganut agama lain untuk meraikan
Hari Valentine. Kalau penganut yang bukan beragama Islam hendak
meraikannya terserah kepada kepercayaan masing-masing dan mereka bebas
melakukannya.

Apa dilarang oleh PAS ada bersesuaian dengan larangan agama Islam
sendiri kepada penganut agama Islam bukannya melarang penganut agama
lain dari melakukannya.

Jadi jelas, PAS tidak pernah mengatakan Hari Valentine mesti dilarang
kepada semua. Mungkin ada sesetengah pihak tidak faham atau sengaja
buat tidak faham maksud PAS melarang menyambut Hari Valentine.

Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh-tokoh agama telah
menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini
adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA)
dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan
ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Maka bagi orang Islam sudah jelas meraikan Hari Valentine adalah
bertentangan dengan akidah Islam dan bagi yang bukan Islam terserah
kepada kepercayaan masing-masing.

Diharap perkara sebegini tidak akan menimbulkan salah faham, antara
penganut Islam dan bukan Islam dalam Negara ini sebab kita kena
menghormati kepercayaan agama masing-masing.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: