13 Februari 2012

Bekas pegawai KFA didakwa seleweng gaji

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang bekas Pegawai Akaun Persatuan Bolasepak Negeri Kedah (KFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan penipuan membabitkan wang berjumlah RM76,026 lima tahun lepas.

Izhan Abdullah Sani, 45, minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Rosli Osman.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Izhan didakwa memalsukan baucar bayaran gaji dan elaun 14 pemain Liga Super Kedah Musim 2006-2007, bagi bulan Julai dan Ogos 2007 yang dilampirkan bersama sekeping cek dan penyata kredit gaji bagi dua bulan itu, di pejabat KFA di sini.

Setelah dokumen itu ditandatangani oleh KFA, dia kemudiannya menyediakan penyata kredit gaji yang lain dengan memasukkan namanya sebagai salah seorang pemain sebelum menghantarnya ke bank dan dia menerima gaji berjumlah RM5,817 bagi bulan Julai dan Ogos 2007.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa sengaja membuat bayaran gaji sekali lagi bagi tiga pemain import berjumlah RM64,392, bagi September 2007 sedangkan gaji mereka bagi bulan itu telah dibayar lebih awal.

Setelah baucar bayaran gaji tiga pemain import itu ditandatangani KFA, Izhan kemudiannya sekali lagi menyediakan penyata kredit gaji yang lain dan memasukkan namanya sebagai pemain bola sepak Liga Super Kedah dengan niat untuk memperoleh wang RM64,392 itu.

Izhan yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir di sebuah institusi pengajian tinggi awam di negeri ini, dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang jika sabit boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fieza Fazlin Fandi turut menawarkan pertuduhan pilihan terhadap Izhan iaitu melakukan tiga pemalsuan kira-kira bagi maksud hendak menipu KFA dan dengan itu akan didakwa menurut Seksyen 477A Kanun Keseksaan (Akta 575) yang jika sabit boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Hakim menetapkan jaminan RM17,000 dengan seorang penjamin dan 18 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes serta menasihati Izhan mendapatkan khidmat peguam sebelum tarikh berkenaan.- Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: