13 Februari 2012

Sesat: Kenyataan Ahmad Said pecah belah rakyat

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) memandang serius kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bahawa PAS sebuah 'parti ajaran sesat'.


Setiausahanya, Suhaimi Embong berkata, ini kerana ia seolah-olah menyamakan PAS yang diiktiraf sebagai satu-satunya parti politik Islam di negara ini sebaris dengan kumpulan-kumpulan ajaran sesat lain yang difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan serta majlis-majlis fatwa negeri.

Katanya, kenyataan itu adalah sangat keterlaluan dan bakal mengundang perpecahan yang lebih ketara di kalangan umat Islam khususnya di Terengganu ekoran Ahmad menyifatkan bahawa PAS sebagai "parti ajaran sesat"ketika berucap pada majlis menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kijal pada 8 Februari lepas.

“Sebagai pemimpin sebuah kerajaan negeri, menteri besar wajar berhati-hati membuat kenyataan yang boleh memecah-belahkan masyarakat dan merujuk kepada pihak berkuasa agama terlebih dahulu sebelum menghukum sesuatu pihak sebagai sesat dan menyeru Ahmad Said segera menarik balik kenyataan tersebut serta memohon maaf kepada seluruh ahli dan pimpinan PAS yang telah dilabelkannya sebagai sesat,” katanya kepada Harakahdaily.

Mengenai kenyataan cabar mencabar atau debat antara Ahmad dengan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah berhubung tuduhan sesat itu yang dibalas pula Adun Bukit Payong itu dengan UMNO sebagai United Musyrik National Organization, kata Suhaimi tidak akan memberikan apa-apa faedah kepada rakyat Terengganu.

Beliau seterusnya menyarankan kepada pemimpin Umno dan PAS Terengganu segera menghentikan politik caci mencaci atau kata mengata antara satu sama lain, sebaliknya terus bekerja membangun dan memajukan rakyat negeri Terengganu yang jauh ketinggalan berbanding dengan jirannya Kelantan yang diperintah PAS dan Pahang yang diperintah Umno.

“Rakyat Terengganu tidak suka pemimpin politik yang keterlaluan dan mereka akan menentukan sikapnya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: