13 Februari 2012

Bimbang kesan radiasi kilang Lynas

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD]

KUANTAN – Kebanyakan penduduk di sini bimbang terhadap keselamatan dan masa depan mereka berikutan khabar angin mengenai kewujudan bahan radioaktif di kilang Lynas di Gebeng.

Penduduk, Keow Ching Lin, 32, berkata, dia mengetahui mengenai kewujudan bahan radioaktif itu menerusi internet.

Menurutnya, kilang itu dipercayai mempunyai bahan radioaktif yang boleh memudaratkan bukan sahaja persekitaran, malahan kesihatan penduduk berhampiran.

Seorang lagi penduduk, Chow Ah Cai, 63 berkata, pembinaan kilang itu mengecewakan penduduk dan dia berharap ia tidak diteruskan.

“Saya sedih dan bimbang mengenai kesan pembinaan kilang itu terutama terhadap masyarakat sekeliling pada masa hadapan.

“Saya juga diberitahu kilang itu boleh membawa pelbagai masalah kesihatan terutama penyakit berbahaya kepada penduduk,” katanya.

Selain itu, Leong See Keong, 32 berkata, dia terpaksa membatalkan hasrat untuk membeli rumah di daerah ini bagi mengelakkan sebarang risiko membabitkan pembinaan kilang itu.

“Saya harap kilang itu akan dipindahkan ke tempat lain. Sebagai penduduk, saya bimbang jika berlaku sesuatu perkara tidak diingini jika terus tinggal di sini,” katanya.

Sementara itu, Kalidass, 34 berkata, kerajaan diminta membuat keputusan tepat berhubung tahap keselamatan kilang itu.

“Pencemaran akan berlaku jika pembinaannya diteruskan kerana sisa toksik dari kilang itu mungkin boleh mengakibatkan sungai dan alam sekitar tercemar.

“Sehubungan itu, penduduk merayu kerajaan mempertimbangkan semula mengenai risiko pembinaan kilang ini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: