13 Februari 2012

Orang yang bijak

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

tazkirah/-

Gaji RM450 habis diragut

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Seorang wanita di sini, bukan sahaja cedera akibat diragut, malah kesemua wang gaji hasil kerja sebagai pembantu kantin, habis setelah diragut, pada jam 4.30 petang, kelmarin.

Mangsa, Wan Maheran Abdul Razak, 46, menerima lima jahitan di bahagian kening, bengkak di muka, kepala dan kaki setelah dicederakan­ seorang lelaki tidak dikenali.

“Hari itu, saya nak ke bank, tetapi tidak sempat kerana bank tutup, jadi saya ingat akan ke bank semula esok.

“Saya berhajat, hendak ke bank semula esok untuk menyimpan wang itu tetapi tidak kesampaian apabila wang gaji saya dilarikan peragut berkenaan,” katanya, semalam.

Wan Maheran berkata, kejadian bermula ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah, dengan menunggang motosikal secara bersendirian.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, pandangannya tiba-tiba menjadi kabur dan berasa sakit akibat dihentak dengan objek keras.

“Akibat hentakan yang kuat, saya terjatuh ke dalam parit dan hanya sedarkan diri beberapa jam setelah menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.

“Saya mendapati beg hilang, malah kesemua wang gaji sebanyak RM450 juga hilang.

“Loket emas dan pelbagai dokumen penting juga hilang dipercayai diragut oleh lelaki yang menyerang saya itu,” katanya.

Katanya, selepas menyedari kejadian­ itu, penduduk setempat membantunya dan menghubungi pihak polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Tengku Azman Tengku Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung­ kejadian itu.

Sinar Harian

Sekalipun Kelantan Dizalimi Kerajaan Pusat, Kelantan Tetap Bina Lebuhraya

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Kelantan bina lebuh raya tanpa bantuan Putrajaya

Kerajaan negeri Kelantan akan meneruskan projek pembinaan lebuhraya Kota Bharu- Kuala Krai yang diluluskan oleh kerajaan pusat di bawah Rancangan Malaysia ke-5 (1986-1990) tetapi belum dimulakan sehingga ke hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa berkata tender untuk projek berkenaan dibuka pada 2 Januari lalu dan ditutup pada 9 Februari. Hasilnya, pihak kerajaan negeri telah menerima tawaran dan kertas cadangan dari limayarikat.

“Pembinaan lebuhraya sepanjang 73 kilometer yang bertaraf R5 dengansembilan persimpangan bertingkat serta dua buah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dengan tawaran kos sebanyak RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion.

“Pemilihan syarikat yang berjaya akan diputuskan oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri Kelantan selepas jawatankuasa teknikal dan kewangan menilai cadangan-cadangan tersebut dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut Husam, projek yang dicadangkan oleh kerajaan persekutuan tetapi tidak dilaksanakan itu, sekali lagi diluluskan pada Rancangan Malaysia Kesembilan (2006 -2010).

Walaupun, kerajaan BN telah melantik pemaju bagi menguruskan projek berkenaan namun sehingga kini tiada kerja-kerja yang dilakukan.

“Memandangkan laluan ini adalah sangat penting bagi kemajuan negeri Kelantan serta kemudahan untuk pengguna terutama sekali pada musim perayaan, kerajaan negeri memutuskan untuk mengambil langkah untuk melaksanakan pembinaan lebuh raya ini melalui inisiatif kerajaan negeri, kata Husam.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS seringkali mendakwa kerajaan pusat mengabaikan ekonomi negeri itu sejak parti Islam itu mengambil pemerintahan negeri ini pada tahun 1990.

Bantuan pusat diperincikan

Husam berkata beliau berharap dengan tindakan kerajaan negeri harapan rakyat Kelantan untuk mempunyai jaringan pengangkutan yang moden dan selesa akan dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat.

Sementara itu, di Kota Bharu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan pusat akan memperincikan setiap peruntukan yang diberi kepada kerajaan Kelantan itu sejak beberapa tahun lepas agar rakyat mengetahui sejelas-jelasnya mengenai perkara berkenaan.

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata mengikut kajian yang dilakukan, rakyat Kelantan masih belum mendapat gambaran jelas apa sumbangan kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS itu dalam membangunkan negeri tersebut selama ini.

"Rakyat Kelantan masih tidak mengetahui secara terperinci peruntukan kerajaan Pusat kepada Kelantan selama ini. Ini perkara utama yang kita akan perjelaskan dalam tempoh terdekat.

"Untuk pengetahuan setiap tahun lebih 30 peratus peruntukan itu digunakan bagi tujuan perbelanjaan tadbir urus kerajaan negeri dan 70 peratus lagi bagi peruntukan perbelanjaan pembangunan kerajaan negeri dan ini perlu rakyat tahu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan negeri Kelantan di Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kota Bharu, hari ini.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata rakyat negeri itu juga perlu mengetahui kerajaan pusat telah membina sebuah loji air di Pintu Geng di Kota Bharu dengan kos sebanyak RM52 juta.

"Bila siapnya loji ini nanti akan diserahkan kepada Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan hasilnya akan diperolehi syarikat itu yang dibina demi untuk rakyat mendapatkan bekalan air bersih," katanya.

Beliau berkata selain itu sebanyak RM100 juta lagi diperuntukkan kerajaan pusat untuk membina jalan-jalan negeri.

Menurutnya tindakan memperincikan peruntukan tersebut bukan untuk membangga diri sebaliknya untuk menafikan tohmahan pembangkang kononnya kerajaan pusat berlaku zalim terhadap Kelantan dengan menganaktirikan mereka.

Mustapa juga menafikan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa kerajaan pusat telah gagal melaksanakan beberapa projek di Kelantan sebaliknya projek berkenaan seperti Jambatan Kedua Sultan Ismail Petra hanya lewat disiapkan dan bukannya gagal.

"Kerajaan Pusat sendiri akan pastikan setiap projek yang kita laksanakan tidak gagal tetapi kelewatan yang berlaku ada sebab yang munasabah," katanya. -mk

Bisnes replika pedang filem Hollywood

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

FILOMENO DE GUZMAN memegang replika pedang dalam filem Braveheart di bengkelnya di bandar Pozorrubio di Filipina pada 19 Januari lalu.

POZORRUBIO, Filipina - Seorang tukang besi, Filomeno de Guzman bersama 15 orang petani yang menanam padi menghasilkan replika pedang seperti yang pernah digunakan dalam filem-filem Bollywood seperti Braveheart, Conan the Barbarian dan Rambo.

De Guzman yang juga seorang bekas sarjan tentera Filipina tidak pernah pergi ke universiti namun dia menghasilkan pedang tersebut selepas menonton filem.

Dia bersara daripada tentera pada 1980 dan mengambil kursus kemahiran kerja-kerja pertukangan logam anjuran pemerintah secara percuma.

Kilangnya terletak di bandar tanaman padi di sini, 180 kilometer ke utara Manila.

Apabila seorang rakannya membawa beberapa pedang buatannya pada satu pameran di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1990-an, de Guzman kemudian mempunyai hubungan dengan seorang pengedar menyebabkan perniagaan antarabangsanya bermula.

Menurut de Guzman, 63, dia menjual lebih 1,000 replika pedang Excalibur.

Pedang Excalibur terkenal di dunia kerana ia milik pemerintah England, Raja Arthur.

De Guzman berkata, dia memberikan nama salah satu pisau yang dihasilkannya, Rambo III.

"Saya mendapat sepucuk surat daripada para penerbit filem Rambo yang memberitahu saya supaya jangan menggunakan nama Rambo atau kami akan menyaman anda," katanya.

Namun, selepas pisau itu dinamakan The Stallone sempena nama aktor Sylvester Stallone, tiada lagi surat ancaman saman yang diterimanya, kata de Guzman. - AFP

Transformasi atau Reformasi?

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Sewaktu sambutan Tahun Baru Cina yang lalu, ahli-ahli politik BN dan Umno telah banyak memberikan pujian yang luarbiasa yang jarang kita dengar sebelum ini, khususnya kenyataan daripada menteri perdagangan antarabangsa dan industri Datuk Mustahpa Mohamad yang juga ketua perhubungan Umno Kelantan.

Ketika ditemuramah oleh beberapa wartawan sebelum ini, Mustapha telah mengakui bahawa kalangan ahli-ahli perniagaan berbangsa Cina di negara ini masih percaya bahawa dasar ekonomi dan perdagangan di negara selama ini memihak kepada orang-orang Melayu dan berlaku tidak adil terhadap masyarakat Cina pada keseluruhannya setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970.

Keluhan tersebut tidak sepatutnya bertumpu pada hanya pendapat daripada masyarakat Cina terhadap dasar tersebut, bahkan ianya juga patut dilihat melalui pelbagai sudut, pendapat kaum-kaum yang lain, para pelabur asing dan masyarakat antarabangsa. Sememangnya ketelusan dan liberalisasi ekonomi juga dapat memanfaatkan negara dan rakyat pada keseluruhannya daripada dasar yang hanya boleh memuaskan dan menguntungkan satu kaum dan agama sahaja.

Implikasi daripada kenyataan Mustapha adalah negara ini sedang menuju ke arah liberalisasi dan keterbukaan pasaran di mana banyak rancangan transformasi telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Oleh itu, marilah kita mengkaji beberapa siri transformasi tersebut untuk menentukan sama ada rancangan tersebut telah benar-benar berjaya atau sebaliknya.

Subsidi dan dasar perlindungan

Pada umumnya, kita semua sememangnya telah mengetahui bahawa rakyat jelata dan negara telah banyak membantu membayar subsidi kepada Proton sejak ianya dilancarkan dan kereta buatannya mula dipasarkan pada tahun 1985.

Bagi melindungi Proton daripada saingan, kereta-kereta import dikenakan cukai 100% yang mengakibatkan bebanan yang terpaksa dipikul oleh rakyat jelata lebih 20 tahun. Sejumlah 106,000 orang telahpun diisytiharkan bankrap daripada tahun 2005 sehinggalah September 2011 di mana 25% adalah disebabkan ole kerana peminjam untuk membayar balik pinjaman sewabeli kereta.

Selain daripada itu, DRB-Hicom juga telah mengambil-alih Proton. Dan kenapa pula sesebuah syarikat korporat yang besar ini dibenarkan untuk terus menikmati faedah subsidi tersebut daripada kerajaan?

Dan walaupun pengeluar kereta nasional itu telah lama menikmati kemudahan subsidi dan dilindungi, ianya masih mengalami kerugian yang begitu kritikal dah yang paling terbaru, berdasar laporan prestasi untuk tahun berakhir 2011, Proton telah mengalami kerugian yang paling teruk sekali, mencecah sehingga RM3.4 billion.

Jadi adakah dasar tersebut berkesan dan jika sekiranya dasar perlindungan itu ditarikbalik, apakah implikasinya dan daya saing dapat membangunkan semula Proton yang kini sedang tenat.

Ketelusan dan pengisytiharan harta

Pengisytiharan harta yang dilaksanakan oleh ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan (Exco) negeri Pulau Pinang baru-baru ini telah membuka mata banyak pihak dan mengejutkan ramai pemimpin BN, khususnya daripada Umno yang kini serba salah sama ada perlu mengikuti jejak langkah Pulau Pinang ataupun sebaliknya.

Reaksi spontan beberapa pemimpin BN adalah pengisytiharan harta oleh menteri-menteri kabinet ini boleh mendedahkan mereka kepada risiko-risiko diancam penjenayah, kemungkinan diculik sebagai tebusan serta terperangkap dengan pelbagai tuduhan rasuah atau salahguna kuasa.

Walaubagaimanapun, pengisytiharan harta ini bukannya sesuatu yang baru di kebanyakan negara. Di Amerika misalannya, telahpun melaksanakan sistem tersebut sejak tahun 1978 dan daripada pengisytiharan itu didapati 11% daripada ahli kongresnya adalah terdiri daripada jutawan dan mereka yang kaya-raya.

Sementara di Taiwan pula, terdapat satu rang undang-undang yang mewajibkan para penjawat awamnya untuk mengisytiharkan harta mereka melalui internet portal kerajaan republik tersebut.

Kenapa pula para pemimpin Umno dan BN ini begitu takut? Kebimbangan mengenai rompakan dan penculikan ini haruslah pertanggungjawabkan kepada pihak polis dan tidak sepatutnya digunakan sebagai suatu alasan untuk tidak mengisytiharkan harta mereka.

Dan nampaknya, mereka ini sememang tidak berniat untuk berbuat demikian, apatah lagi melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) secara menyeluruh.

Kredibiliti terjejas

Baru-baru ini, kementerian dalam negeri telah menetapkan 15hb Februari ini sebagai tarikh akhir untuk pendaftaran dan pemutihan para pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di negara ini secara haram. Tarikh tutup asalnya adalah pada 10hb Januari yang lalu.

Sebelum ini, kerajaan telah menegaskan bahawa tarikh akhir pendaftaran dan pemutihan PATI itu tidak akan dilanjutkan lagi, namum masih ramai yang mengagak bahawa tarikh tersebut masih boleh dilanjutkan dan ternyata kerajaan telah sekali lagi berlembut dengan melanjukan tarikh akhir tersebut kepada sebulan lagi.

Kerajaan telah berkali-kali melanjutkan tarikh tutup tersebut dan perbuatan ini juga telah mengakibatkan kelewatan yang begitu ketara sekali untuk mengesahkan para pekerja asiing ini. Hasilnya, kredibiliti kerajaan di dalam menangani masalah tersebut terjejas.

Perdana menteri dan presiden Umno Datuk Najib Razak telah memperkenalkan beberapa rancangan transformasi kerajaan, politik dan ekonomi bagi menjana semula pendapatan negara dan rakyat, namum rancangan tersebut tidak menampakkan perlaksanaan yang menyeluruh di mana di sesetengah sektor ianya dilaksanakan serentak, manakala di kebanyakan sektor pula,

perlaksanaannya agak lembab dan ridak mendapat sambutan atau langsung tidak diberikan perhatian dengan sepenuhnya. Pemikiran dan budaya kerja yang lembap di beberapa jabatan dan agensi masih subur di mata umum, menjadikan sebarang pencapaian adalah begitu mustahil sekali.

Bagi meraih semula sokongan dan undi daripada rakyat jelata, kerajaan perlulah memastikan transformasi tersebut dilansanakan secara menyeluruh atau tidak ada sebarang pencapaian yang akan berlaku.

Jadi, yang manakah lebih berkesan? Transformasi ataupun Reformasi? Penentu kini berada di tangan rakyat.

Malaysia Chronicle

Ego Dan Dendam

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD]
Oleh: Mohd Fadly Samsudin

Pernahkah kita sampai ke tahap langsung tidak merasa bersalah dan menyesal melakukan dosa atau jenayah?

Jika itu yang berlaku, awas kerana semua itu adalah tanda hati terlalu 'berkarat' dan mati.

Hati yang mati itu sama seperti jasad yang tidak bernyawa. Jika dipukul, ditepuk dan dicubit berkali-kali pun, ia tidak akan mendatangkan kesan.

Perjalanan hidup yang diatur hanya mengikut kemahuan syahwat sendiri. Orang yang mati hatinya tidak dapat membezakan perbuatan baik dan buruk.

Bahkan, ada berbangga mereka bercerita perbuatan maksiat yang mereka lakukan seperti rogol-bunuh-bakar, berzina, menipu, rasuah dan berbuat zalim kepada orang lain.

Tidak hairanlah jika ada golongan yang sanggup membunuh sesama manusia, ayah menodai anak kandungnya sendiri, ibu mendera anak sehingga mati serta pelbagai perbuatan terkutuk lain tanpa rasa berdosa.

Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: Ingatlah! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika baik, baiklah seluruh jasadnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ingat! Itulah hati.

Setiap dosa dan maksiat yang dilakukan maka akan tumbuh satu titik hitam dalam hati mereka.

Perkara itu jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Jelas sekali perwatakan golongan yang hati mati itu melalui sikapnya yang kejam, kasar dan tidak berperikemanusiaan.

Abdullah bin Abbas berkata: "Kebaikan itu mendatangkan sinar pada wajah, cahaya di hati, kelapangan dalam rezeki, kekuatan badan dan perasaan cinta di hati.

"Sedangkan dosa itu mendatangkan kesuraman pada wajah, kegelapan di hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan kebencian di hati manusia".

Sifat pendendam antara punca kepada masalah hati. Mereka sentiasa tidak puas hati ibarat meminum air di lautan; walau banyak yang diminum, ia tetap tidak habis.

Sikap ego yang bersarang dalam hati menjadi ibu sifat mazmumah yang membuatkan seseorang tidak tenang.

Begitu juga dengan rakan atau orang di sekeliling kita. Jika kita berkawan dengan orang soleh, pasti dia membawa kita mengingati Allah manakala orang jahil kepada kesesatan.

'Kematian' hati juga boleh dilihat apabila seseorang itu sedih orang lain mengatasi kehebatannya.

Mereka akan memastikan tidak ada yang boleh lebih daripadanya. Ini menambah sifat dendam yang memalapkan cahaya imannya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati. (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).

Jangan menjadikan ketawa keterlaluan sebagai cara menzahirkan perasaan gembira kerana boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Jika hati mati, syaitan mudah membawa kita ke lembah hina.

Sementara itu, antara mazmumah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah sifat pemarah.

Ego pula membuatkan golongan seperti ini memiliki sifat pantang dicabar. Allah mengunci mati hati dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka ditutup.

Pemilik hati mati pasti menolak kebenaran dari Allah dan suka melakukan kezaliman terhadap sesama makhluk.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah). Mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda kekuasaan Allah). Mereka mempunyai telinga, tetapi tidak gunakan untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah al-Araaf ayat 179).

Ketahuilah apabila hati menjadi keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan.

Perunding Motivasi dan penceramah, Mohd Zawawi Yusoh, berkata hati yang mati akan menghilangkan rasa ketuhanan dalam diri seseorang.

"Sebab itu, mereka tergamak melakukan pelbagai jenayah dan salah laku yang bertentangan dengan agama akibat hati yang tidak ada tindak balas terhadap kebaikan.

"Jika terus membiarkan diri bergelumang dengan maksiat ia akan menjadi penghalang utama amalan tidak diterima Allah," katanya.

Mohd Zawawi berkata hati juga mempunyai beberapa sifat antaranya hati keras, degil dan berat untuk melakukan amal kebaikan.

"Hati mati paling dahsyat kerana membuatkan manusia hilang sifat kemanusiaan dan belas ihsan. Tidak hairan ada sanggup merogol anak atau adik sendiri, membunuh dengan kejam atau mendera isteri dan kanak-kanak.

"Rezeki haram menyumbang 'kematian' hati. Ia juga melahirkan individu yang berpenyakit," katanya.

Beliau berkata, makanan hati adalah ilmu. Imam al-Ghazali menyatakan apabila seseorang itu tidak mendengar majlis ilmu selama tujuh hari, hatinya menjadi keras.

"Justeru, didiklah diri supaya cintakan majlis ilmu, istiqamah membaca al-Quran, mengamalkan zikir setiap solat selain berkawan dengan orang beragama yang dapat mendorong kita berada di landasan agama yang benar," katanya.

Beliau berkata, orang yang banyak dosa doa mereka tidak diterima malah akan merosakkan.

"Hati orang yang banyak dosa pasti merasa sempit selain segala masalah yang dihadapi tidak dapat diselesaikan," katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22).

Mohd Zawawi berkata, bagi meleburkan hati yang keras, sentiasa bertaubat, bersolat lima waktu secara berjemaah dan kerap melakukan qiamulail.

"Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan," katanya.

TERKINI! NAZRI ARAH SHARIZAT BAYAR BALIK RM250 JUTA. JIKA TAK SILA LETAK JAWATAN!!

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA KANGSAR – Menteri Pembangunan Wa­nita, Keluarga dan Masya­rakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dinasihatkan supaya membayar balik RM250 juta yang dipinjamkan kepada syarikat milik keluarganya untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz yang menasihatkan demikian berkata, itu adalah penyelesaian terbaik bagi masalah berkenaan tanpa perlu Shahrizat meletak jawatan.

“Beliau tak perlu letak jawatan. Apa yang paling utama, kembalikan semula wang itu kepada kerajaan,” katanya.

Nazri berkata, dengan penyelesaian seperti itu, kerajaan masih boleh meneruskan projek NFC.

“Tetapi selepas ini, adalah lebih baik dijalankan secara tender terbuka bagi mengelak masalah hal yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Larian Ria di pekarangan pejabat Umno Bahagian Padang Rengas di sini, semalam.

penccai semalaysia/-

Penghalang Doa

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DOA merupakan senjata bagi orang Islam. Ini sebenarnya adalah hadiah Allah untuk kita. Allah Maha Mendengar, Maha Pengasih, Maha Pemurah. Ada kalanya kita rasa kita telah berkali-kali berdoa tapi Allah belum memperkenankannya.

Selain itu adalah ujian dari Allah ingin menguji keikhlasan dan keimanan kita; kita juga perlu mengkaji di mana silapnya kita. Sebenarnya banyak perkara yang boleh menjadi hijab atau penghalang kepada doa-doa kita itu.

Biasanya terhijab doa adalah kerana dosa-dosa besar yang pernah kita lakukan dan salah satu cara untuk mengatasinya dengan bertaubat nasuha yakni taubat yang sungguh-sungguh.

Di sini dibentangkan lapan belas perkara yang menjadi hijab atau penghalang doa:

1. Orang yang membunuh orang lain tanpa tujuan.

2. Orang yang menaburkan cerita yang belum tentu sahih

3. Orang yang melakukan pekerjaan yang serupa binatang.

4. Orang yang mengekalkan minum arak atau benda-benda lain yang boleh memabukkan.

ALLAH telah berfirman: ”Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu dan menghalangi kamu dari mengingati ALLAH dan sembahyang, maka berhentilah kamu dari mengerjakan pekerjaan itu. ” (AI Maidah: 91).

Keterangan di atas sesuai dengan Hadis Rasulullah SA W yang bermaksud ’Semua minuman yang memabukkan adalah arak dan semua arak adalah haram. ” Riwayat Muslim

5. Orang yang mengekalkan zina, iaitu dosa besar yang tidak akan diampunkan selama-lamanya.

6. Orang yang menderhakai ibubapanya atau salah seorang daripadanya. ALLAH telah berfirman; ”Dan Tuhanmu telah mnnerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dari-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. Jika seseorang di antara keduanya atau kedua-duanya telah tua jangan kamu keluarkan perkataan kasar terhadap keduanya dan hendaklah kamu ucapkan perkataan yang mulia (lemah-lembut). Rendahkanlah sayap kehinaan kerana cinta kepadanya dan hendaklah engkau katakan

”Wahai Tuhan kasihilah kedua ibubapa kami dan berilah Rahmat-Mu. Biasanya terhijab doa adalah kerana dosa-dosa besar.....Untuk mengatasinya bertaubatlah dengan taubat nasuha; taubat yang sungguh-sungguh kepada keduanya, sebagaimana mereka mendidik kami di waktu kecil.”
Al Israk: 23-24

7. Orang yang mengerjakan suatu pekerjaan yang menyalahi syariat seperti bermain silap mata.

8. Ahli nujum yang mengkhabarkan nasib orang lain sedangkan kehidupan kita dari alam roh hingga ke akhir hayat telahpun ALLAH tetapkan sejak azali lagi.

9. Orang yang hasad dengki sesama umat Islam. Dia suka orang lain ALLAH timpakan bala malah mencemburui seandainya orang lain yang dikurniakan nikmat Tuhan.

10. Orang yang suka mengadu domba, memukul canang kepada orang lainsupaya timbul pecah-belah antara kedua belah pihak. Kadangkala mengakibatkan kedua-dua pihak itu tidak bertegur sapa selama lebih dari tiga hari tanpa keuzuran syarie.

11. Orang yang suka mengumpat hal orang lain terutama terhadap orang-orang alim yang cinta dengan ALLAH

12. Orang yang mengambil cukai dari harta manusia tanpa redha mereka. Inilah perkara yang paling ditakutikerana ketika di dalamkubur lagi akan ditimpakan azab yang pedih.

13. Orang yang menjual barang dengan cara yang haram, mengangkat jual beli dengan sumpah yang dusta, contohnya menaikkan harga barang-barang dua tiga kali gandanya dari harga asal. Menipu dalam sukatan dan timbangan dan memakan harta riba.

14. Orang yang membenci para sahabat Rasulullah SAW.

15. Orang yang menunjuk-nunjuk diri dengan gayanya yang lemah-longlai seperti mayang di depan orang lain supaya mereka merasa kagum dengan kecantikkannya.

16. Orang yang bermain catur dan judi.

17. Orang yang bermain gendang yang kecil di tengahnya, luas di kedua tepinya tetapi tepi yang ada kulit itu lebih luas daripada yang tiada berkulit. Kalau di zaman sekarang ini kompang dan gendang yang dibubuh lingkaran rotan di dalamnya supaya terdengar bunyi gentanya yang mengasyikkan.

18. Orang yang bermain rebab, biola dan seruling (serunai). Oleh itu sebagai nasihat kepada kita bersama, jika kedapatan perkara-perkara yang dibentangkan itu pada diri kita, bertaubatlah segera dengan taubat nasuha. Agar kita mendapat falah (kemenangan) di Akhirat sebelum datangnya maut.

Tinggalkanlah perkara-perkara yang boleh melalaikan kita dari mengingati ALLAH juga perkara-perkara yang menjauhkan diri kita dari-Nya. Semuga ALLAH SWT menggantikan dengan sebesar-besar kurnia dan RahmatNya sebagai penutup segala perbuatan jahat yang lampau. Allah telah berfirman; ”Sesungguhnya segala amal yang baik menghapuskan akan segala perbuatan yang jahat. ”

"Siapalah aku di sisi MU ya Allah"

http://penjagakubur96.blogspot.com

Benarkah Felda dan Sime Darby jual sawit ke Israel?

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Syarikat berkaitan kerajaan, Sime Darby dan Felda diminta memberikan penjelasan apakah benar mereka menjual minyak sawit mereka ke Israel.

Penjelasan ini dipohon Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SMMM), Badrul Hisham Shaharin atau che'GuBard melalui satu kenyataan terbuka hari ini.

Terbaru, kata che'GuBard, ialah dokumen di perolehi dari "Index Mundi" dan IMF yang cukup mudah dicari melalui internet.

Link yang ini menunjukkan bagaimana penjualan minyak sawit Malaysia dalam matawang New Israeli Syeqel dan harga minyak sawit Malaysia telah di senaraikan dalam futures trading (harga masa depan) sehingga Januari 2012 juga dalam New Israeli Sheqel.

Tertera dengan jelas, katanya, adalah nama Sime Darby dari Malaysia.

"Kini rakyat Malaysia harus mendapatkan penjelasan dari pihak Felda dan Sime Darby samada mereka ada terlibat dalam apa-apa penjualan minyak sawit Malaysia kepada Israel," kata beliau dalam kenyataannya.

Sebelum ini, SAMM telah membuat pendedahan awal mengenai wujudnya dagangan Sawit terus oleh syarikat tempatan dan penghantaran secara terus dilakukan dari Johor ke Israel.

Namun regim terus mendiamkan dari memberikan jawapan rasmi, katanya.

Hari ini, kata che'GuBard, satu surat rasmi dari SAMM telah dihantar kepada Kemneterian Perdagangan Antarabangsa dengan dihantar salinan ke Perdana Menteri Malaysia serta pihak media untuk memberikan respon mengenai perkara ini.

Namun dalam media baru ramai 'pemain cyber upahan' cuba memberikan penafian lemah, katanya.

Bagi beliau, rakyat harus membuka mata dengan fakta ini kerana di depan rakyat tempatan regim menuduh orang itu dan orang ini sebagai 'agen Amerika' dan sebagainya tetapi hakikat sebenarnya Malaysia terus menerus menjadi pembantu ekenomi Israel.

Pada 8 Febuari lepas, SAMM telah menunjukkan kepada pihak wartawan mengenai beberapa dokumen perniagaan termasuk dokumen rasmi kerajaan yang menunjukkan dua buah syarikat yang menghantar terus minyak sawit ke Israel.

Dua syarikat tersebut ialah Mewaholeo Industries Sdn. Bhd dan IOI Croklaan Sdn Bhd yang mana kedua dua syarikat tempatan tersebut punya alamat beroperasi di Johor.

Bagi beliau, kenyataan sebelum ini yang menyatakan kononya Malaysia tidak mampu menghalang perdagangan terus Malaysia dan Israel kerana ia melibatkan syarikat asing yang melabur di Malaysia ialah bertujuan menipu dan mengelirukan.

"Sudahlah kenyataan tersebut menunjukkan kelemahan negara hanya kerana untuk menarik pelaburan asing maka kita gadaikan prinsip membela Palestin dan usaha pembebasan kiblat pertama umat Islam.

"Malang lebih dari itu regim menyelindungkan urusan bahawa wujud juga perdagangan terus libatkan syarikat tempatan," dakwa beliau.

Harakah Daily

Hari Valentine Hanya Haram Untuk Islam

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Setiap hari kita perlu menunjukkan perasaan kasih sayang antara satu
sama lain tanpa perlu menunggu hari-hari tertentu. Sikap sesetengah
pihak yang cuba membuat fitnah terhadap saranan PAS melarang penganut
agama Islam dari menyambut Hari Valentine telah disalah ertikan dengan
mengatakan PAS menyekat kebebasan hak orang ramai.

Mereka memberi gambaran seolah-olah PAS cuba menyekat kepercayaan
agama lain dari menyambut Hari Valentine dengan menuduh PAS tidak
sepatutnya menyekat mereka yang hendak meraikan Hari Valentine
tersebut.

Akibat salah faham, mereka ini menuduh PAS sudah menyimpang dari
perjuangan mereka selama ini iaitu memberi kebebasan beragama kepada
semua penganut agama di negara ini.

Sebenarnya tiada Isu PAS melarang penganut agama lain untuk meraikan
Hari Valentine. Kalau penganut yang bukan beragama Islam hendak
meraikannya terserah kepada kepercayaan masing-masing dan mereka bebas
melakukannya.

Apa dilarang oleh PAS ada bersesuaian dengan larangan agama Islam
sendiri kepada penganut agama Islam bukannya melarang penganut agama
lain dari melakukannya.

Jadi jelas, PAS tidak pernah mengatakan Hari Valentine mesti dilarang
kepada semua. Mungkin ada sesetengah pihak tidak faham atau sengaja
buat tidak faham maksud PAS melarang menyambut Hari Valentine.

Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh-tokoh agama telah
menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini
adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA)
dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan
ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Maka bagi orang Islam sudah jelas meraikan Hari Valentine adalah
bertentangan dengan akidah Islam dan bagi yang bukan Islam terserah
kepada kepercayaan masing-masing.

Diharap perkara sebegini tidak akan menimbulkan salah faham, antara
penganut Islam dan bukan Islam dalam Negara ini sebab kita kena
menghormati kepercayaan agama masing-masing.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

ABU akan dilancar seluruh negara

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Asal Bukan Umno (ABU) akan dilancarkan seluruh negara mulai 17 Februari ini di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ia akan dilancarkan di Madrasah Ehsaniah Taman Bukit Anggerik @ METBA (Bersebelahan Padang), Bandar Tun Razak, Cheras.

Antara pemidato yang akan menyertai program ini adalah Haji Mohamd Sabu (Timbalan Presiden PAS), Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard (Ketua Penyelaras SAMM), Tan Sri Samad Said (Sasterawan Negara), Adam Adli (Aktivis Mahasiswa).

Pada 23 Februari pula pelancaran ABU peringkat negeri Selangor akan diadakan di Semenyih iaitu di Dewan Orangramai Beranang, Selangor.

Pada majlis ini, pemidatonya adalah Arulchelvan (PSM), Khalid Samad (PAS), Haris Ibrahim (NGI) dan Adam Adli (Aktivis Mahasiswa).

Selepas itu, ABU Melaka akan dilancarkan di Masjid Tanah pada 24 Februari manakala ABU Perak pula akan dilancarkan di Ipoh pada 25 Februari.

Pada 26 Februari pula, ABU Johor akan dilancarkan di Pasir Gudang dengan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub akan mengetuai pemidatonya.

Pada 3 Mac pula, pelancaran ABU Terengganu akan disempurnakan di Kuala Terengganu manakala pada 4 Mac akan dilancar ABU Kelantan iaitu di perkarangan Stadium Sultan Mohamad ke 1V di Kota Bharu.

Pelancaran pentas ABU seterusnya adalah Negeri Sembilan - Rantau 6hb Mac, WP Kuala Lumpur - Wangsa Maju 9hb Mac, Pahang - Bera 10hb Mac, Penang - Balik Pulau 14hb Mac, dan Kedah- Alor Star 20 Mac.

Harakah Daily

Israel bedil kandang lembu

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KANDANG lembu yang musnah akibat terkena bedilan peluru berpandu pesawat tentera Israel di bandar Gaza semalam.

GENTING GAZA - Satu serangan tentera udara Israel semalam membedil kandang lembu milik seorang penduduk Palestin di sini.

Beberapa ekor haiwan itu cedera dan terbunuh akibat serangan berkenaan.

Dalam serangan itu, seorang penduduk Palestin dilaporkan terbunuh.

Tentera Israel menyatakan serangan tersebut dilancarkan bagi membalas dendam terhadap satu serangan roket yang dilakukan para pejuang Palestin.

Pertubuhan Pusat Palestin Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di bandar Gaza menyatakan, penduduk yang maut itu ialah seorang petani, Wyad Abdul Hadi Rajab yang berusia 71 tahun.

Menurut pertubuhan itu, dia merupakan pemilik kandang lembu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sempadan Israel.

Kandang lembu itu diserang dengan peluru berpandu.

Menurut pertubuhan tersebut, semasa serangan, petani itu berada di dalam biliknya yang musnah.

Seorang anak lelakinya mengalami luka.

Beberapa ekor haiwan ternakan lain turut terbunuh manakala beberapa peralatan lain juga musnah.

Pada Sabtu lalu, satu serangan roket yang dilancarkan para pejuang Palestin mengenai bandar Ashkelon, selatan Israel menyebabkan seorang wanita negara itu cedera ringan. - Agensi

Malaysia dicadangkan panggil Duta Syria

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mencadangkan kerajaan Malaysia memanggil Duta Syria ke Malaysia di samping mendesak OIC bertindak tegas terhadap kekejaman Syria terhadap rakyatnya.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam kenyataannya berkata, OIC perlu menempatkan pemerhati dan tentera bagi memantau situasi di Syria.

Tekanan perlu dibuat kepada Kerajaan Syria bagi patuh kepada norma-norma Islam dan antarabangsa dalam menghormati hak rakyat Syria.

PPMM juga menyeru Kerajaan Malaysia memanggil Duta Syria menzahirkan kebimbangan Malaysia terhadap keadaan di Syria dan memberi kata dua kepada Kerajaan Syria mengembalikan keamanan di Syria.

Kezaliman bukan merupakan suatu pilihan bagi menanhani isu perjuangan rakyat, katanya.

"PPMM yakin Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati masyarakat antarabangsa mampu memainkan peranan dan menggerakkan usaha bermuafakat dengan negara Islam yang lain mencari jalan penyelesaian isu kekejaman di Syria ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PPMM amat prihatin dengan suasana yang berlaku di Syria ketika ini. Pembunuhan beramai-ramai yang semakin berleluasa oleh Kerajaan dan tentera Syria perlu dihentikan serta merta.

Sehingga kini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan serai 6000 orang telah dibunuh sejak kebangkitan rakyat Syria pada bulan Mac 2011.

Kejadian ini adalah ulangan kekejaman yang dilakukan oleh bapa Bashar Al Assad iaitu Hafez al Assad yang telah membunuh 40,000 rakyat Syria di Hama pada tahun 1982 dalam tempoh 27 hari mengikut perangkaan Syrian Human Rights yang dipimpin oleh adik Hafez iaitu Rifaat Al Assad dari puak Syiah Alawi.

Pembunuhan pula dikatakan terarah kepada masyarakat Sunnah yang mahukan kebebasan di Syria.

Adalah amat malang bagi masyarakat dunia yang bertamadun PBB telah gagal menangani kezaliman ini secara tuntas, kata Zainul.

"PBB sebagaimana yang kita ketahui tetap menjaga anggota tetap Majlis Keselamatan dan sekutunya.
Struktur PBB yang memberikan kuasa veto kepada anggota-anggota tetap Majlis Keselamatan sering menggagalkan usaha meningkatkan keamanan dunia khususnya di Timur Tengah," jelasnya.

Ekoran itu, katanya, dalam banyak keadaan umat Islam telah punah kepercayaannya kepada PBB yang sering dilihat tidaka berupaya mengambil sebarang tindakan yang tuntas dalam menyelesaikan polemik yang dihadapi umat Islam kerana dibayangi kuasa-kuasa besar dunia.

Oleh itu, katanya, PPMM menyeru Pertubuhan Negara Islam (OIC) mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap Syria yang merupakan salah sebuah anggota OIC.

"Jika PBB gagal menangani isu ini, janganlah OIC juga melepaskan tangan dengan hanya memandang sahaja pembunuhan demi pembunuhan di bumi Syam itu," tegas beliau.

PPMM juga menyeru Kerajaan Malaysia supaya mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Kerajaan Syria bagi menegaskan penghormatan Malaysia terhadap hak asasi rakyat Syria.

PPMM akhirnya menyeru Kerajaan Syria mengembalikan keamanan di Syria dan menghormati hak-hak masyarakat tanpa mengira samada mereka pengikut Syiah ataupun Sunnah.

Lebih penting lagi perjuangan untuk melaksanakan demokrasi di Syria perlu diberi ruang agar keadilan akan menjadi tunjang kepada sistem perundangan di Syria.

Kezaliman yang dilakukan oleh tentera Syria akan hanya meningkatkan pemberontakan di Syria dan akhirnya rakyat keseluruhan akan bangkit melawan kezaliman sebagaimana yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.

PPMM mengajak Kerajaan Syria mengambil iktibar dari situasi yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah beberapa tahun ini.

Pilihan yang tepat bagi menyelesaikan isu ini adalah berunding dengan rakyat tanpa mengira mazhab serta memberikan lebih hak kepada rakyat melaksanakan demokrasi di Syria, katanya.

Harakah Daily

Laluan tambahan LRT siap 2014

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menyasarkan projek penyambungan landasan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) bagi aliran Kelana Jaya dan Ampang siap sepenuhnya pada tahun 2014.

Pengarah Kumpulan Divisyen Infrastruktur Prasarana, Zulkifli Mohd. Yusoff (gambar kecil) berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kemajuan projek terbabit yang kini mencecah 20 peratus.

“Projek ini berjalan dengan lancar dan kita menjangkakan perkhidmatan LRT Aliran Ampang dapat digunakan orang ramai pada Oktober 2014 manakala aliran Kelana Jaya pada Disember 2014,” katanya pada Majlis Penerangan Projek Penyambungan Landasan Sistem LRT kepada media di sini semalam.

Zulkifli berkata, sebanyak 90 peratus daripada kontrak kerja penyambungan landasan sistem LRT telah dianugerahkan kepada kontraktor terpilih.

Menurutnya, nilai kontrak yang dianugerahkan kepada kontraktor bagi aliran Ampang bernilai RM2 bilion manakala aliran Kelana Jaya sebanyak RM2.5 bilion.

Jelas beliau, beberapa lagi kontrak masih dalam proses tender dan baki kontrak itu dijangka selesai dianugerahkan kepada para kontraktor yang layak pada April depan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan sebenar kontrak yang telah diberi, sebaliknya memberitahu jumlah keseluruhan kontrak berkenaan antara 40 hingga 50 kontrak.

Kosmo

Ugut bunuh adik, abang dijel sehari

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Abang yang diharap dapat melindungi keluarga, sanggup bertindak luar kawalan sehingga sanggup mengugut bunuh adik-beradiknya sendiri.

Bagaimanapun, tindakan si abang itu tidak berbaloi apabila kedua-duanya, iaitu Mohd Noor Yusof, 40, dan Mohd Dahan @ Mohd Amran Yusof, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh menghadapi pertuduhan bersama iaitu telah mengeluarkan kata-kata ugutan membunuh kepada ahli keluarganya iaitu Mohd Rosli Yusof, 28, dan Muhammad Fauzi Yusof, 19, pada 6 Februari lalu, kira-kira jam 7.30 malam di belakang Taman Koperasi, Padang Midin, di sini.

Dengan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebaik pertuduhan dibacakan, Mohd Noor mengaku bersalah di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, yang kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama sehari dan denda RM3,000. Jika gagal membayar denda, hukuman penjara tiga bulan akan dikenakan.

Manakala Mohd Dahan pula mengaku tidak bersalah dan Abdul Hayyi kemudiannya menetapkan tarikh 18 Mac depan sebagai tarikh sebut semula dan menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,000.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Sinar Harian