24 Februari 2012

Menunaikan Sunnah Rasul

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Menikah atau hidup berumah tangga itu menunaikan Sunnah Rasul bagi yang sudah mampu. Dalam kehidupan berumah tangga terkandung banyak sekali keutamaan yang bernilai ibadah, menyangkut aktualisasi diri sebagai suami/isteri, sebagai ayah/ibu dan sebagainya. Bagi yang belum mampu disuruh bersabar dan berpuasa,

tetapi jika dorongan nikah sudah tidak terkendali padahal ekonomi belum siap, sementara ia takut terjerumus pada perzinaan, maka agama menyuruh agar ia menikah saja, Insya Allah rizki akan datang entah dari mana datangnya (min haitsu la yahtasib).

Sahabatku, Bahwa tingkatan ekonomi keluarga itu berhubungan dengan kesungguhan berusaha, kemampuan mengelola (manajemen) dan berkah dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Ada keluarga yang ekonominya pas-pasan tetapi hidupnya bahagia dan anak-anaknya bisa sekolah sampai ke jenjang tinggi,

sementara ada keluarga yang serba berkecukupan materi tetapi suasananya gersang dan banyak urusan keluarga dan pendidikan anak terbengkalai. Berkah artinya terkumpulnya kebaikan ilahiyyah pada seseorang/keluarga/masyarakat. Tidak takut bila ekonomi merasa belum siap, yakinlah pada Allah. Maka segera tunaikan Sunnah Rasul. Segeralah menikah!

posted by :agussyafii

Maut diseret 200 meter

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA MUDA – Seorang penunggang dan pembonceng motosikal maut dalam kemalangan di kilometer 50 Jalan Alor Setar- Butterworth selepas menikmati makan malam dalam kejadian 11 malam kelmarin.

Mangsa, Said Akbar Said Farid, 20, (penunggang) dan Norfatihah Ismail, 18, dikatakan sedang dalam perjalanan dari Bedong ke Sungai Lalang selepas selesai makan malam di rumah Said Akbar di Kampung Sungai Toh Pawang.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa bergesel dengan sebuah kenderaan lain dari arah sama.

“Kedua-dua mangsa terjatuh dari motosikal di laluan asal namun kehadiran sebuah kenderaan lain yang datang dari arah belakang pula mengheret pembonceng sejauh kira-kira 200 meter ke hadapan.

“Kedua-dua mangsa yang cedera parah maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua remaja itu adalah pekerja kilang di kawasan perindustrian Bukit Makmur baru selesai shif bekerja singgah ke Kampung Sungai Toh Pawang untuk makan malam.

“Mereka dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah Norfatihah di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang sebelum terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Difahamkan, pemandu kedua-dua kereta yang terlibat dalam kemalangan itu juga mengalami kecederaan tetapi masih belum membuat laporan polis (sehingga berita ini ditulis) berhubung kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan dua maut dalam kejadian itu.

Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Ibu pilu anak menderita sakit misteri

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – Seorang ibu tunggal warga emas di sini tidak mampu lagi menanggung rasa pilu melihat anak perempuannya menderita sakit misteri selama hampir dua tahun, walaupun telah puas berusaha untuk berubat.

Sainon Misni, 76, mendakwa, anaknya, Fauziah Mohd Saad, 46, atau lebih dikenali sebagai Fuji menghidap penyakit misteri selepas dua minggu mendirikan rumah tangga dengan seorang duda di Perak, dua tahun lepas.

“Saya menyesal kahwinkan Fuji dengan lelaki itu. Kalau tahu nak jadi macam ni, saya rela Fuji menjanda asalkan dia sihat walafiat,” katanya kepada Sinar Harian dengan nada sedih ketika ditemui di sini, kelmarin.

Menurutnya, Fuji yang merupakan anak keenam daripada 10 beradik, sebelum ini seorang yang aktif dan mampu menyara kehidupan sebagai operator pengeluaran selepas perkahwinan pertama gagal.

“Pada awalnya, ketika baru sahaja berkahwin dengan duda tersebut, Fuji pernah bermimpi ada orang yang berwajah hodoh menamparnya.

“Sejak itu, beginilah keadaan Fuji. Menjelang senja, wajahnya akan bertukar menjadi kehitam-hitaman, dengan badan yang bergoyang-goyang dan tidak mampu berjalan,” kata Sainon.

Bukan setakat itu, menurut Sainon, badan Fuji juga mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan walaupun sesudah mandi.

Lebih menyedihkan, menurut Sainon, doktor juga tidak mampu mengesahkan penyakit yang dihidapi Fuji, malah menasihatkannya mendapatkan khidmat perubatan tradisional.

“Fuji sebelum ini sudah dibawa ke merata negeri untuk mendapatkan rawatan tradisional, namun masih belum berhasil,” katanya.

Sainon berkata, harapannya hanya satu, iaitu untuk melihat Fuji sembuh seperti sedia kala dan meneruskan hidup seperti wanita lain sebelum dia menutup mata.

“Saya rayu jika ada mana-mana pihak yang boleh tampil untuk membantu memulihkan Fuji kembali tanpa sebarang bayaran agar datang menemui kami di sini.

“Kalau saya sudah tiada lagi di dunia ini, saya pun tidak tahu Fuji hendak tinggal dengan siapa," ujarnya sebelum menutup bicara.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Sinar Harian menerusi talian 019-7906796.

Sinar Harian

Mayat nelayan bawah sampan

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BUKIT MERAH – Kehilangan seorang nelayan, Mat Dan Yahya, 71, di sini, membawa kepada penemuan mayat mangsa di bawah sampannya, di Sungai Kurau oleh penduduk kampung, kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Nor Hasan berkata, sekitar jam 4 petang, seorang penduduk menemui motosikal dan pakaian mangsa di atas tebing sungai.

Menurutnya, sampan mangsa turut ditemui di sungai itu menyebabkan penduduk berkenaan berasa hairan sebelum bertindak memanggilnya dan beberapa penduduk lain untuk mencari mangsa.

“Bimbang kejadian tidak dingini berlaku, kami kemudiannya, mencari di sekitar kawasan ini, namun mangsa tak dijumpai.

“Dalam usaha mencari ini, seorang penduduk menghubungi pihak polis,” katanya.

Mohamad berkata, penduduk kemudiannya meneruskan operasi mencari dan menyelam ke dalam sungai, sebelum menjumpai mangsa terapung di bawah sampannya.

“Mat Dan dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai.

“Berkemungkinan arwah terkena serangan jantung dan tidak sempat berenang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah membuat laporan polis selepas menjumpai mayat mangsa dan dibawa ke Hospital Parit Buntar.

“Sekitar jam 11 pagi tadi (semalam) Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bukit Merah,” katanya.

Tambahnya, kali terakhir dia melihat arwah beberapa hari sebelum kejadian dan arwah kelihatan lesu seolah-olah tidak sihat.

“Arwah merupakan antara pekebun kecil kelapa sawit di sini yang mesra dengan semua penduduk selain menjalankan aktiviti sampingan sebagai nelayan sungai,” katanya

Hadir sama ke tempat kejadian, Penyelaras Parlimen Bagan Serai, Datuk Zaili Cha.

Sementara itu, pihak polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Sinar Harian

Maut peluk kabel elektrik

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik, dipercayai mahu mencuri kabel elektrik di sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Munawir, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 46 tahun itu ditemui maut dalam keadaan memeluk kabel elektrik oleh orang ramai.

Menurut saksi kejadian, Hee Kok Kit, 28, yang bekerja sebagai buruh binaan di pasar raya yang dalam proses pembaikan akibat terbakar seminggu lalu, dia terperanjat melihat kenderaan bomba dan polis di hadapan premis berkenaan.

“Orang ramai memenuhi kawasan belakang pasar raya. Saya dimaklumkan, ada orang maut terkena renjatan elektrik.

“Saya masuk ke bilik pendingin hawa dan mendapati seorang lelaki yang hanya berseluar tanpa memakai baju dan kasut dalam keadaan memeluk kabel elektrik,” katanya.

Kok Kit berkata, insiden itu pertama kali berlaku di pasar raya berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, mangsa yang berasal dari Labu itu, dipercayai seorang penagih dadah dan menganggur.

“Mangsa dipercayai mahu mencuri kabel elektrik pasar raya berkenaan tetapi terkena renjatan elektrik ketika kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat, sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sinar Harian

‘Penjenayah itu memang kejam’

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – “Tidak! Saya tidak akan maafkan penjenayah itu. Dia sanggup memperlakukan anak saya begini...” wajah Idrus Mat Noh, 54, kelihatan sedih. Namun hatinya keras. Tidak mahu memaafkan si penyimbah asid.

“Siapa yang boleh tutup mata bila melihat keadaan anak yang menderita? Siapa yang boleh berlapang hati memikir masa depan anak yang musnah sekelip mata?”

Keengganan Idrus memberi maaf ada asasnya. Dalam kejadian jam 5.10 pagi pada 20 Februari di Padang Merchang, Marang, mengakibatkan muka, tangan, badan dan kedua-dua belah kaki anaknya Mohd Fazil Hanafi melecur selepas disimbah asid dari arah luar tingkap oleh individu tidak dikenali.

“Kalau dia bergaduh, mungkin saya boleh terima dan memaafkan. Tapi ini secara tiba-tiba. Penjenayah itu memang kejam!” Idrus sebak.

“Selain rupa dan fizikal Fazil berubah, tragedi hitam itu turut mengakibatkan anak keenam saya ini terpaksa menghabiskan masa di hospital untuk rawatan susulan. Dua bulan bukan tempoh sekejap...

“Apa pun saya bersyukur kerana pembedahan membuang sel kulit mati di kawasan terkena simbahan asid sudah selesai jam 12.30 tengah hari tadi (semalam). Alhamdulillah Fazil selamat menjalani pembedahan.

“Kini saya hanya mampu berharap Fazli akan pulih seperti dahulu,” katanya.

Bagaimanapun kata Idrus, dia sebak apabila Fazil sering bertanyakan keadaan dirinya kepada ibunya, Zaleha Ishak, 44, yang setia menemani Fazil di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak selepas kejadian hingga sekarang.
“Dia tanya mak dia, rambut dia boleh tumbuh balik atau tidak sebab kepalanya sudah botak (kesan terkena asid).

“Walaupun sedar hakikat sebenar mak dia jawab ‘boleh’ untuk beri semangat kepadanya.

“Fazil juga nampaknya masih trauma dengan kejadian. Dia tidak mampu tidur lena. Bila tidur asyik tersentak dan lepas itu sukar untuk kembali melelapkan mata.

“Kami sekeluarga memang sedih dengan kejadian ini. Kami berharap individu yang bertanggungjawab dapat ditangkap segera. Biar dia dapat hukuman setimpal atas apa yang dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Idrus turut mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang memberi sokongan untuk dia sekeluarga termasuk pengurusan Surau Taman Perdana, Puchong yang mengadakan majlis doa selamat untuk anak­nya, malam kelmarin.

Sinar Harian melaporkan seorang remaja yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Mohd Fazil Hanapi Idrus, parah disimbah cecair dipercayai asid ketika tidur.

Turut cedera pada muka dan badan dalam kejadian itu adalah rakannya, Sharul Zaman Salim, 38, yang tidur di sebelahnya.

Sinar Harian

Medan selera atas kubur

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

CHENOR - Tindakan meluluskan projek pembinaan premis perniagaan bagi mewujudkan Medan Info Desa Kampung Jengka Batu 13 di sini mendapat bantahan segelintir penduduk apabila kerja infrastruktur itu dilakukan atas tapak dipercayai tanah perkuburan lama.

Seorang penduduk, Mohd Shariff Abdullah, 39, berkata, kubur lama itu dipercayai wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan dengan menggunakan batu sungai sebagai batu nisan.

Menurutnya, orang lama dan penduduk veteran me­ngetahui sejarah kewujudan enam kawasan kubur lama di sekitar kampung berkenaan.

“Kami terkejut apabila mendapati kerja pembinaan premis perniagaan dilakukan di tapak berkenaan.

“Malah turut mendukacitakan apabila kewujudan kubur lama ini tidak diendahkan apabila beberapa batu nisan ditolak jentera untuk membersihkan kawasan pembinaan.

“Saya menafikan dakwaan sesetengah pihak mengatakan ia bukan kubur lama dan baru sungai ini hanya batu biasa,” katanya kepada Sinar Harian.


Wartakan tapak kubur lama

Mohd Shariff berkata, tapak kubur lama itu bukan kawasan yang mempunyai batu sungai bersaiz besar malah batu sungai di kubur lama tersebut berada dalam kedudukan menghadap kiblat secara berpasangan.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu mewartakan kawasan kubur lama ini dan beberapa tapak lain agar ia terpelihara.

“Terdapat kubur lama di kawasan berasingan turut menempatkan sebuah kubur dikatakan waris kerabat.

“Kubur ini dipagar pada 14 Ogos 1981 oleh pihak Muzium Negara namun penjagaannya dihentikan pada 1992,” katanya.


Paid sahkan sebagai kubur lama

Pegawai Agama Islam Daerah (Paid) Chenor, Abdul Zaki Md Zain berkata, hasil siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi dan penduduk, pihaknya mengesahkan kesahihan kewujudan kubur lama itu selain berdasarkan kedudukan batu nisan ditanda dengan batu
sungai.

Menurutnya, kubur lama itu dipercayai wujud sebelum zaman penjajahan komunis dan usaha mewartakan ia sebagai tapak warisan akan dilakukan.

“Pihak jawatankuasa masjid diminta untuk mengemukakan permohonan bagi tujuan tersebut melalui Pejabat Agama Islam Chenor sebelum dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).

“Ia termasuk bagi kawasan lain yang dipercayai menempatkan beberapa kubur lama,” katanya.

Abdul Zaki berkata, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran turut meminta pihaknya mendapatkan hitam putih daripada Muzium Negara mengenai sebuah kubur lama dipercayai kubur kerabat untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, ia ekoran tanah yang menempatkan kubur lama itu adalah hak milik persendirian.


Kerja pembinaan dihentikan serta-merta

Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh berkata, sebarang kerja pembinaan premis perniagaan itu dihentikan serta-merta sebaik mendapat aduan berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, projek berkenaan akan dipindahkan ke satu tapak baru yang sudah dikenalpasti dan perkara itu berjaya diselesaikan secara baik membabitkan semua pihak terlibat.

Sinar Harian

Duda parah angkara dendam adik tiri

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Angkara dendam lama, seorang duda cedera parah dipercayai dihentak dengan ulu lesung batu bertubi-tubi oleh adik tirinya dalam kejadian di rumahnya di Kampung Bagus, Rantau Panjang, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa Mukhtar Alwi Che Ismail, 43, cedera parah di kepala dan muka serta menerima 23 jahitan di kepala kanan akibat hentakan tersebut.

Mukhtar yang tidak bekerja itu menerima rawatan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan kini masih dalam keadaan separuh sedar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam bilik air di rumahnya untuk mengambil wuduk sebelum didatangi adik tirinya yang dipercayai kurang siuman.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihentak bertubi-tubi dengan ulu lesung batu sebelum pengsan dalam keadaan berlumuran darah.

“Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, polis menahan suspek yang juga bekas anggota polis komando 69 untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata merbahaya.

Sementara itu, adik mangsa, Nafsiah, 39, berkata, sebelum kejadian adik tirinya yang berusia 20-an itu datang ke rumah mangsa dan bertindak memukul abang kandungnya sehingga berlumuran darah.

Katanya, kejadian itu diketahui selepas ibunya, Asmah Abdullah, 60, menghubunginya setelah terkejut apabila mendengar jeritan Mukhtar meminta tolong.

“Sebaik selesai menunaikan solat Mahgrib, emak yang tinggal di rumah bersebelahan bergegas untuk melihat kejadian sebenar dan terkejut apabila mendapati abang berlumuran darah sambil mengerang kesakitan,” katanya ketika ditemui di HRPZ II semalam.

Nafsiah berkata, kejadian berkenaan kemungkinan berpunca perselisihan faham yang lama antara kedua-duanya yang sebelum ini pernah bergaduh.

Dia berkata, berikutan kecederaan yang dialaminya itu abangnya menerima beberapa jahitan di kepala dan mulut.

Sinar Harian

Wook lapor polis dakwa diperdaya Din

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG – Seorang warga emas yang pernah menggemparkan rakyat Malaysia kerana berkahwin dengan seorang lelaki lebih muda tiga kali ganda daripada usianya daripadanya dilaporkan tertipu dengan helah anak saudaranya sendiri.

Warga emas, Wook Kondor, 109, yang lebih dikenal sebagai Wook dikatakan tidak tahan dengan perangai anak saudaranya, Din kerana memperdayakannya sehingga tanah miliknya tergadai sedangkan satu sen pun wang penjualan tanah tidak diperolehnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, warga emas dari Kampung Bukit Tok Bat didatangi anak saudaranya pada 2004 untuk meminta geran tanah miliknya.

“Menurut laporan, suspek meminta geran berkenaan kononnya untuk disimpan tetapi kepercayaan yang diberikan Wook bertukar tragedi apabila tiga tahun kemudian, Din kembali berjumpanya dan mengajak ke suatu lokasi untuk mendapatkan cap jarinya.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa menurunkan cap jari di atas kertas yang dia sendiri tidak memahaminya,” katanya.

Namun pada Disember 2011, seorang lelaki datang ke rumahnya di kampung berkenaan dan menyuruhnya berpindah serta-merta kerana menurut lelaki itu, tanah yang diduduki sudah dijual dan bukan lagi miliknya.

Sekian lama memikirkan kesulitan yang terpaksa dilalui, akhirnya Wook datang ke Balai Polis Kuala berang semalam kira-kira jam 9 pagi untuk melaporkan perkara berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Wook membuat laporan itu dengan ditemani suaminya, Mohd Nor Musa, 39.

Sinar Harian

Enam pemain Piala Presiden Johor digantung

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SERAMAI enam pemain skuad Piala Presiden Johor FC digantung khidmat apabila disyaki mengatur perlawanan Piala Presiden membabitkan Johor FC-Perlis pada 17 Februari lalu.

Setiausaha Kehormat Johor FC, Mohd Tahir Hamdan berkata, esemua pemain berusia lingkungan awal 20an itu turut dikenakan tindakan penahanan gaji dan elaun lain selepas pemeriksaan mengejut yang dilakukan pihak pengurusan kelab terhadap telefon bimbit pemain berkenaan mendapati mereka cuba mengatur perlawanan

Menurutnya,pihaknya terpaksa mengambil tindakan pergantungan terhadap enam pemain terbabit sehingga selasai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Seramai 18 pemain diperiksa sejurus selepas perlawanan antara Johor FC dengan Perlis selepas didapati terdapat unsur-unsur rasuah ketika perlawanan berlangsung di Stadium Pasir Gudang.

“Daripada jumlah terbabit, enam pemain disyaki terbabit dengan aktiviti mengatur perlawanan hingga memaksa pihak pengurusan mengambil tindakan dengan membuat laporan polis terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Pada perlawanan itu, skuad Piala Presiden Johor FC menang 3-0 keatas perlis. Perlawanan tersebut merupakan satu-satunya kemenangan buat Johor FC selepas tewas beberapa perlawanan dengan Perak (2-0), ATM (1-0), Mp Muar (1-0), Terengganu (3-1).

Tahir berkata, pihak pengurusan Johor FC memandang serius membabitkan gejala rasuah terutama di kalangan pemainnya dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain yang didapati terbabit dengan gejala berkenaan.

Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani, berkata pihaknya sudah memanggil individu terbabit bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengatur perlawanan antara kedua-dua pasukan itu.

“Perkara ini masih belum dapat disahkan kerana siasatan masih dijalankan mengikut Akta SPRM 2009,” katanya enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya sudah menyerahkan kes terbabit kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

“Polis menerima laporan daripada pihak Johor FC dan terus menjalankan siasatan sebelum diserahkan kepada SPRM. Saya berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes ini masih berjalan,” katanya.

Sinar Harian

Saya tetap cinta walau dia jahat

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Dungun – “Biarpun dia jadi buruan polis dan seorang pe­nge­dar dadah, saya tetap menyintainya malah sanggup jadi isteri jika dia sudi terima saya.”

Demikian luah seorang penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA), di sini ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Lebih mengejutkan apabila penuntut tahun pertama jurusan teknologi maklumat itu sanggup kahwin lari sekiranya ibu bapanya menghalang.

“Buat masa ini ibu bapa saya tidak mengetahui mengenai hubungan kami, namun saya akan maklumkan kepada mereka apabila tiba masanya kelak,” katanya.

Kata penuntut yang hanya mahu dikenal sebagai Dila ini, dia tidak kesal menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki terbabit biarpun tahu jenayah yang dilakukan.

Gadis berasal dari Temerloh, Pahang itu juga mengakui, sebelum ini dia tidak tahu bahawa teman lelakinya seorang kaki dadah sehinggalah dihubungi polis kerana komputer riba miliknya berada dalam simpanan lelaki berkenaan.

Dila memberitahu, dia dihubungi polis setelah teman lelakinya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan di sebuah rumah dekat Jalan Bunga Raya.

“Saya kenal dia dua bulan lalu, kami berkenalan di sebuah kedai makan dan mula bertukar nombor telefon.

“Sejak itu kami makin rapat dan sering bertemu,” katanya yang hadir di balai polis untuk menuntut komputer riba miliknya,

Dila berkata, biarpun tahu teman lelaki itu bakal dihadapkan ke mahkamah, cintanya tetap tidak berubah.

“Biarpun baru tahu jenayah yang dilakukan tetapi saya tetap tidak dapat melupakannya,” katanya.

Demi cinta, dia sanggup menunggup teman lelakinya itu menjalani hukuman asalkan dapat menjadi suri dalam hidup suspek.

Buat masa ini, kata Dila, dia merahsiakan hubungan mereka kerana dia masih belum habis belajar manakala teman lelakinya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Suspek, 21, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik setelah mendapati remaja yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu disyaki menjadi dalang utama membekalkan dadah jenis pil kuda kepada penagih tempatan.

Penemuan 10 biji pil kemerahan disyaki dadah jenis methamphethamine dalam poket seluar suspek menguatkan dakwaan dia terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut selain turut menasihati golongan remaja agar lebih berhati-hati jika ada hubungan cinta dengan lelaki tidak dikenali untuk mengelakkan diri terbabit dengan perkara menyalahi undang-undang.

Sinar Harian

Dirempuh ketika berjemaah

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang bapa dan anaknya, nyaris maut apabila rumah mereka di Taman Tiroi, Labu, di sini, dirempuh sebuah kereta, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, Ahmad Yusof, 48, dan anak perempuannya, Khairul Baiyinah, 11, baru sahaja selesai solat Isyak berjemaah.

Menceritakan detik kejadian, Ahmad berkata, jantungnya bagaikan mahu berhenti tatkala mendengar dentuman kuat sehingga menyebabkan rumahnya bergegar.

“Saya terus memeluk anak sejurus mendengar dentuman kuat. Saya hanya bimbangkan keselamatan Khairul Baiyinah.

“Bagaimanapun, alhamdulillah kami berdua selamat,” katanya, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, hanya dia dan anak bongsunya sahaja berada di rumah, sementara empat lagi anaknya tinggal di asrama universiti.

“Sejurus keluar bilik, saya melihat rumah rosak teruk. Dinding dan tiang tiada, sebaliknya sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna putih berada dalam rumah dengan keadaan empat tayar ke atas.

“Beberapa penduduk taman ini segera memberikan pertolongan untuk mengeluarkan pemandu lelaki berusia 40-an yang terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, dia segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ja’afar bagi menerima rawatan lanjut.

Ahmad berkata, beberapa penduduk melihat kejadian itu mendakwa, kereta tersebut dipandu laju dari arah Seremban dan terus meluncur masuk ke dalam rumah.

“Meskipun saya kerugian hampir RM50,000 apabila sebahagian besar peralatan rumah, dua buah motosikal dan empat basikal rosak teruk, saya tetap bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan anak saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap punca kejadian itu.

Sinar Harian

Liga Eropah: Ajax menang, tapi MU mara

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GOL Javier Hernandez yang ke-10 musim ini membantu Manchester United (MU) mengatasi Ajax untuk menempah satu tiket dalam senarai 16 pasukan terakhir Liga Eropah.

Pasukan tuan rumah berjaya mara meskipun kemenangan pusingan kedua memihak kepada Ajax yang menjaringkan dua gol berbalas satu.

MU, yang menang 2-0 dalam pusingan pertama, juga melalui detik-detik mencemaskan memandangkan ia gagal untuk menang di tempat sendiri dalam persaingan Eropah buat kali ketiga dalam empat perlawanan.

Dalam perlawanan awal pagi tadi (waktu Malaysia), Ajax menyamakan kedudukan menerusi jaringan Aras Ozbiliz pada minit ke-37 dan satu lagi gol 50 minit kemudian.

Sinar Harian

‘Pinjam’ ayah untuk harta

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

AMBIL BERAT...Norijah melayan Wak di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Kempas.

JOHOR BAHRU: Amat menyedihkan apabila lima anak seorang warga emas hanya ‘meminjam’ ayah mereka beberapa jam bagi menyelesaikan urusan pembahagian harta sebelum lelaki berusia 75 tahun itu dipulangkan semula ke rumah kebajikan.

Ketika mahu mengambil ayah mereka dari Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Kempas, di sini, pertengahan bulan lalu, dua anaknya bersungguh-sungguh memberitahu mereka dan adik-beradik lain sudah insaf.

Justeru, mereka meyakinkan pengurus pusat kebajikan itu, Norijah Bidin, bahawa warga emas yang mesra dengan panggilan Wak itu mereka jaga dengan baik.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila kerana selepas beberapa jam, mereka datang dan menyerahkan semula Wak kepada kami untuk dijaga.

“Apabila ditanya, kelima-lima mereka memberi alasan konon kehadiran bapa mereka mencetuskan pelbagai masalah dalam keluarga,” kata Norijah.

metro/-

50 maut letupan bom di Iraq

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEORANG anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah kereta di lokasi kejadian letupan bom di bandar Kirkuk semalam.

BAGHDAD - Sekurang-kurangnya 50 orang maut semalam ekoran satu siri serangan bom bertubi-tubi di sebuah wilayah di Iraq dengan sasaran terhadap pasukan keselamatan yang kemungkinan dilakukan oleh militan Al-Qaeda untuk menghuru-harakan negara.

Pengeboman yang terancang dan tembakan secara terbuka yang berlaku lebih dua jam setengah di Baghdad yang menyebabkan berlaku banyak kematian selain di 11 buah bandar lain.

Para militan itu telah menyerang pejabat-pejabat pentadbiran, restoran dan satu serangan di pekan Musayyib berdekatan sebuah sekolah mengakibatkan lebih 200 orang cedera.

"Apa yang berlaku pada hari ini bukan pelanggaran keselamatan yang mudah, ia merupakan kegagalan keselamatan dan bencana yang besar," kata seorang pekerja sebuah pejabat Kementerian Pelajaran di Shiite, Ahmed al-Tamimi.

Ahmed turut menggambarkan situasi itu sangat buruk yang melibatkan cebisan daging manusia dan tompokan darah di tempat kejadian.

"Kami mahu tahu apa yang dilakukan oleh beribu-ribu anggota polis dan tentera di Baghdad pada hari ini ketika pengganas-pengganas berkeliaran di bandar dan melakukan keganasan," katanya.

Siri serangan besar-besaran oleh para pembrontak berlaku sejak tentera Amerika Syarikat meninggalkan Iraq pada pertengahan Disember lalu setelah peperangan hampir 10 tahun berakhir di negara ini. - Agensi