24 Februari 2012

Enam pemain Piala Presiden Johor digantung

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SERAMAI enam pemain skuad Piala Presiden Johor FC digantung khidmat apabila disyaki mengatur perlawanan Piala Presiden membabitkan Johor FC-Perlis pada 17 Februari lalu.

Setiausaha Kehormat Johor FC, Mohd Tahir Hamdan berkata, esemua pemain berusia lingkungan awal 20an itu turut dikenakan tindakan penahanan gaji dan elaun lain selepas pemeriksaan mengejut yang dilakukan pihak pengurusan kelab terhadap telefon bimbit pemain berkenaan mendapati mereka cuba mengatur perlawanan

Menurutnya,pihaknya terpaksa mengambil tindakan pergantungan terhadap enam pemain terbabit sehingga selasai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Seramai 18 pemain diperiksa sejurus selepas perlawanan antara Johor FC dengan Perlis selepas didapati terdapat unsur-unsur rasuah ketika perlawanan berlangsung di Stadium Pasir Gudang.

“Daripada jumlah terbabit, enam pemain disyaki terbabit dengan aktiviti mengatur perlawanan hingga memaksa pihak pengurusan mengambil tindakan dengan membuat laporan polis terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Pada perlawanan itu, skuad Piala Presiden Johor FC menang 3-0 keatas perlis. Perlawanan tersebut merupakan satu-satunya kemenangan buat Johor FC selepas tewas beberapa perlawanan dengan Perak (2-0), ATM (1-0), Mp Muar (1-0), Terengganu (3-1).

Tahir berkata, pihak pengurusan Johor FC memandang serius membabitkan gejala rasuah terutama di kalangan pemainnya dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain yang didapati terbabit dengan gejala berkenaan.

Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani, berkata pihaknya sudah memanggil individu terbabit bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengatur perlawanan antara kedua-dua pasukan itu.

“Perkara ini masih belum dapat disahkan kerana siasatan masih dijalankan mengikut Akta SPRM 2009,” katanya enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya sudah menyerahkan kes terbabit kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

“Polis menerima laporan daripada pihak Johor FC dan terus menjalankan siasatan sebelum diserahkan kepada SPRM. Saya berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes ini masih berjalan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: