24 Februari 2012

Muslimat jangan bimbang sertai Himpunan Hijau 2.0

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Feb: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyeru seluruh wanita Malaysia agar tidak bimbang dengan tindakan Kerajaan Negeri Pahang yang dilihat seolah-olah cuba menyekat Hiimpunan Hijau 2.0 di Padang MPK, Kuantan, Ahad ini.

Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al-Jundi sebaliknya berkata, wanita dari seluruh negara harus tetap dengan pendirian menyokong himpunan tersebut sebagai tanda membantah projek nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (Lamp).

"Tindakan kerajaan negeri memagar padang dan sebagainya merupakan aksi biasa seperti yang berlaku menjelang perhimpunan-perhimpunan sebelum ini.

"Agenda mereka memang untuk menakut-nakutkan rakyat dan agenda kita pula memberi maklumat dan kesedaran kepada rakyat. Jadi wanita jangan takut," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Justeru beliau menyeru seluruh wanita di seluruh negara turun beramai-ramai sebagai solidariti bersama rakyat Pahang.

"Dewan Muslimat PAS Pusat menyeru seluruh warga wanita Malaysia yang prihatin khususnya Muslimat PAS di seluruh negara untuk turun ke Kuantan Pahang bagi menyertai Himpunan Hijau 2.0 sebagai solidariti kita bersama rakyat Pahang khususnya di Gebeng Kuantan yang kini dijangka akan berhadapan dengan ancaman radiasi selepas bermulanya operasi Kilang Lynas menjelang September 2012 ini," katanya.

Athirah menambah, solidariti ini tentunya akan membantu rakyat di Pahang untuk berani bangkit menolak pentadbiran yang tidak peka terhadap kehendak dan kekhuatiran rakyatnya sendiri.

"Sekarang berbangkit isu keselamatan dan kesihatan rakayt untuk jangka masa panjang, bukan kepada rakyat Kuantan sahaja tapi melibatkan rakyat seluruh negara.

"Contohnya peristiwa Bukit Merah dahulu, ramai yang menjadi mangsa kesa radiasai. Kita tidak mahu perkara sedih ini berulang," katanya.

Semalam, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bertindak memagar padang yang menjadi lokasi perhimpunan yang dijadualkan bermula jam 9.30 pagi dan berakhir secara aman jam 12 tengahari.

Tiga hari lalu, notis memaklumkan MPK akan menganjurkan perlawan Futsal di padang tersebut.

Harakah Daily

Tiada ulasan: