24 Februari 2012

Nilai Minyak Ekstrak Gaharu Mampu Cecah Ribuan Ringgit - Pakar

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN: Bahan daripada pokok gaharu di mana minyaknya diekstrakkan itu mendapat permintaan tinggi di Timur Tengah dengan harga yang lumayan sehingga mencecah RM20,000 per kilogram, menurut seorang ahli akademik universiti.

Pensyarah Fakuliti Sains Biologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Baharuddin Salleh berkata, minyak yang diekstrakkan menggunakan bahan daripada pokok dengan nama saintifiknya aquilaria malaccensis mampu memberi hasil ribuan ringgit, bergantung pada kualiti dan grednya.

“Kenapa nilainya begitu tinggi? Saya tidak dapat menjawabnya.

“Ia adalah sama apabila orang bertanya kenapa nilai emas tinggi,” katanya pada Khamis.

Beliau menambah, ekstrak minyak pokok itu biasanya digunakan dalam minyak wangi, ubat-ubatan dan kadang-kala sebagai bahan untuk mencuci pakaian dan bahan linen oleh orang kaya Arab.

“Bahagian-bahagian lain di pokok gaharu turut berguna seperti daunnya digunakan dalam minuman teh manakala sisa-sisa kayu dapat dijadikan sebagai colok,” katanya.

Beliau menjelaskan negara-negara Timur Tengah mengimport kayu dan minyak gaharu dari Vietnam, Thailand, Myanmar, Indonesia termasuk Malaysia.

Baharuddin mengulas mengenai laporan bersiri akhbar The Star berhubung kegiatan penebangan haram pokok gaharu di Pulau Pinang dan indisen terbaru berlaku di Bukit Gambier.

Kerajaan negeri telah mengisytiharkan akan mengenakan tindakan keras terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti penebangan haram itu.

Kegiatan haram itu didakwa melibatkan sindiket tempatan yang bekerjasama dengan pihak asing menebang pokok gaharu yang amat bernilai di hutan hujan berhampiran Botanic Gardens serta beberapa kawasan lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang memandang serius terhadap perkara itu berkata, operasi akan diadakan bersama pihak polis untuk membanteras kegiatan tersebut.

Baharuddin berkata, pokok Aquilaria malaccensis boleh didapati dengan meluas di Malaysia, tetapi kurangnya kesedaran mengenai potensi pokok berkenaan.

“Malaysia sebenarnya ketinggalan di belakang berbanding dengan negara-negara jiran yang lebih maju dalam industri gaharu.

“Tidak banyak perladangan pokok gaharu di Malaysia kerana ia masih di baru tetapi masa depan gaharu begitu cerah,” kata beliau.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk M Samarajoo berkata, pihaknya akan memulakan siasatan sekiranya terdapat maklumat atau laporan mengenai rasuah yang berkaitan dengan kegiatan penebangan haram.

Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Perhutanan negeri bagi membuat laporan mengenai penebangan haram di talian 04-826 2716, 04-650 5250, 017-590 9909 atau 016-931 8059.

mstar/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sudahlah sprm.... cakap je lebih....banyak lagi rasuah depan mata yang dilakukan oleh pemimpin politik yang tak di siasat. Ini menyibuk nak siasat rasuah gaharu yang tak seberapa nih...mengapalah mereka mereka yang tak de telo.. ni di lantik jadi ketua untuk cegah rasuah ??