24 Februari 2012

Kereta mewah terbakar

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MELAKA TENGAH - Sebuah kereta mewah musnah dalam kebakaran di sebuah rumah teres, dekat Taman Asean, di sini, awal pagi semalam.

Kereta jenis Nissan Skyline yang diletakkan di laman rumah seorang pengurus sebuah pusat servis kenderaan, B Murugan, 33, terbakar selepas bahagian hadapan rumah tersebut terbakar kira-kira jam 4.30 pagi.

Murugan bagaimanapun berkata, dia bersyukur ketika kejadian dia tiada di rumah kerana berada di Johor Bahru, sementara isteri dan anaknya di Seremban.

“Saya baru dua bulan bekerja di Johor Bahru dan terkejut dimaklumkan kejadian ini oleh jiran yang menghubungi saya jam 5.30 pagi.

“Walaupun kereta bernilai RM200,000 musnah namun saya bernasib baik kerana saya sekeluarga selamat,” katanya.

Sementara itu, jirannya yang hanya mahu dikenali sebagai Teh, 40, berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi salakan anjing lalu keluar dan terlihat dua lelaki bermotosikal melepasi rumah Murugan.

“Saya sangka ada pencuri selepas terdengar bunyi letu­pan. Saya segera keluar sebelum terhidu bau asap dan terkejut melihat api di baha­gian hadapan rumah mangsa.

“Saya cuba memadamkan api dengan dibantu jiran yang sempat saya kejutkan mereka selepas melihat api dan asap hitam, di rumah mangsa” katanya.

Teh berkata, mereka kemudian berhenti memadamkan api pada kereta yang dipercayai bermula dari ba­hagian hadapan selepas mendengar bunyi beberapa letupan.

“Bagaimanapun kami bernasib baik kerana api tidak merebak ke rumah lain dan bomba tiba 15 minit kemu­dian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Me­laka Tengah, Asisten Komi­sioner Salehhudin Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

“Pemeriksaan awal, kami percaya terdapat unsur khianat. Justeru, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: