24 Februari 2012

Pengeboman cubaan lagakan Syiah, Sunnah

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

60 terbunuh serangan waktu sibuk gegarkan Iraq

BAGHDAD: Beratus-ratus maut dan cedera di Iraq dalam beberapa serangan awal pagi di seluruh negara Teluk itu dipercayai cubaan pihak tertentu melaga-lagakan masyarakat Syiah dan Sunnah.

Laporan menyatakan 60 terbunuh dan hampir 230 lagi cedera dalam serangan yang banyak membabitkan kawasan penduduk Syiah, antara keganasan terburuk sejak tentera Amerika Syarikat berundur pertengahan Disember lalu.

Ramai orang di sekeliling dan cebisan tubuh manusia di merata tempat. - Ahmed Kadhim, Anggota polis.

Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dalam beberapa letupan di Baghdad, 10 daripada letupan yang memusnahkan kawasan penduduk Syiah ketika waktu sibuk manakala serangan lain menyasarkan pasukan peronda polis dan orang ramai yang berada dekat kawasan membeli-belah.

“Kami sedang menjamu sup ketika bersarapan di sebuah restoran apabila letupan berlaku. Saya pengsan dan apabila sedar nampak asap serta keadaan berdebu.

“Ramai orang di sekeliling dan cebisan tubuh manusia di merata tempat,” kata anggota polis, Ahmed Kadhim yang cedera terkena serpihan bom di kakinya dan belakang badan.

Dalam kejadian itu, letupan bom kereta yang meletup dekat restoran berkenaan menyebabkan enam maut dan 18 lagi cedera di daerah Kadhimiya, utara Baghdad.

Letupan itu berlaku beberapa minggu sebelum Baghdad menjadi tuan rumah sidang kemuncak Liga Arab yang ditangguhkan kerana krisis serantau selain permusuhan antara kerajaan Iraq dan beberapa negara Teluk.

“Serangan itu bertujuan mencetuskan pergaduhan di kalangan penduduk dan menghalang sidang Liga Arab diadakan di sini,” kata Speaker Parlimen, Osama al-Nujaifi.

Berpuluh-puluh letupan dan serangan lain melanda beberapa bandar dari Mosul di utara hingga ke Hilla di selatan Baghdad, kebanyakannya menyasarkan anggota polis.

Di daerah mewah Karrada, letupan bom kereta membunuh sembilan orang dan mencederakan 27 lagi. Kaca pecah di bangunan berdekatan terkena serpihan letupan.

Saksi juga nampak empat kereta musnah sama sekali selain kesan darah dekat sebuah kedai ais krim yang menjadi lokasi satu lagi pengeboman.

Dalam serangan di tiga kawasan Syiah di Baghdad, sembilan anggota polis terbunuh manakala dalam serangan terbesar di luar ibu negara, tujuh lagi maut dan 33 cedera akibat letupan bom kereta di bandar Balad, utara Baghdad. – Reuters/Agensi

Tiada ulasan: