24 Februari 2012

Pemilik Kedai Gambar Ditahan Berhubung Penjualan Sijil Cuti Sakit Palsu

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHARU: Polis berjaya membongkar kegiatan penjualan sijil cuti sakit palsu di bandar raya ini selepas menahan seorang pemilik kedai gambar di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berumur 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 petang selepas polis bertindak atas satu maklumat berhubung kegiatan itu.

"Pemeriksaan di dalam premis itu menemui 10 keping sijil cuti sakit yang disyaki palsu dalam poket seluar suspek, 162 keping sijil cuti sakit yang disyaki palsu dalam pejabat kedai itu dan 13 cop getah atas nama 13 orang doktor hospital kerajaan.

"Turut ditemui beberapa peralatan yang dipercayai diguna untuk membuat sijil cuti itu termasuk tiga komputer, satu komputer riba, mesin cetak, pemotong kertas dan kertas bersaiz A4 berwarna kuning," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Khamis.

Mohd Mokhtar berkata siasatan mendapati kegiatan membuat sijil cuti sakit itu dilakukan sejak setahun lepas dengan menjualnya pada harga RM25 sekeping termasuk kepada rakyat negara ini yang berkerja di Singapura.

Beliau berkata lelaki terbabit hanya menyediakan sijil cuti sakit berserta cop doktor itu manakala butiran maklumat pesakit serta tarikh cuti diisi sendiri oleh mereka yang membelinya.

"Semakan terhadap 13 cop itu mendapati enam daripadanya adalah nama pegawai perubatan yang masih bertugas di hospital kerajaan di sekitar bandar raya ini manakala tujuh lagi sudah berpindah ke hospital lain.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan surat bagi tujuan menipu dan Seksyen 471 kanun yang sama kerana menggunakan suratan pemalsuan sebagai tulen," katanya.

Sementara itu, Mohd Mokhtar mengesahkan pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kegiatan menjual perlawanan bola sepak ketika Johor FC menentang Perlis pada saingan Piala Presiden, di Stadium Pasir Gudang, Khamis lepas.

Beliau berkata laporan polis dibuat Setiausaha Kelab Johor FC, Sabtu lepas dengan mendakwa perlawanan terbabit telah diatur.

"Polis menyerahkan kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor untuk tindakan susulan dan dalam masa yang sama polis sedang mengenalpasti dalang yang terlibat dalam kegiatan itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM JOhor Simi Abdul Ghani ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan itu, namun enggan mengulas lanjut. - BERNAMA

Tiada ulasan: