24 Februari 2012

Sepatutnya Isa keluar dewan - Tangam

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 24 Feb: Pemegang saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang diusir oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dalam program taklimat di Dewan Perdana Felda kelmarin, meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan tersebut.

R. Tangam, 50, dalam sidang medianya bersama Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman semalam, berkata insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana beliau merupakan perwakilan KPF dan dijemput untuk berdialog.

“Saya kesal dengan tindakan seorang Pengerusi Felda seperti itu dan ekoran daripada berlaku kekecohan sehingga ada yang meneriakkan bahasa yang kasar dan kesat seperti ‘keling’ dan ‘paria’ yang boleh membangkitkan perkauman.

“Saya percaya sebahagian daripada mereka bukan pemegang saham KPF tetapi samseng upahan yang sengaja didatangkan untuk buat kecoh.

“Saya bangun untuk bertanyakan jaminan aset Felda yang saya juga miliki sahamnya, tapi kenapa saya dimalukan sehingga begitu,” katanya di pejabat PAS Pahang di sini hari ini.

Tangam merupakan peneroka dan anak peneroka Felda Sendayan, Negeri Sembilan dan memiliki saham maksima RM250,000 dalam KPF.

Menceritakan semula insiden yang berlaku betul-betul pada sambutan hari jadinya yang ke 50 kelmarin, Tangam berkata pada ketika itu ada kira-kira 2,000 orang memenuhi dewan bagi majlis taklimat menggantikan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas yang dibatalkan.

Katanya, selepas Isa berucap dan membuka majlis untuk dialog, beliau bangun bertanya apa jaminannya kepada aset Felda sama ada daripada Suruhanjaya Koperasi (SKM) atau Koperasi Permodalan Felda KPF jika disenarai ke bursa saham.

"Isa kata jaminan telah diberi oleh PM (Perdana Menteri). Saya jawap, hari ini PM boleh jamin tapi esok bila dia dah tak jadi PM macam mana sebab PM boleh bertukar tangan?

"Lepas itu dia (Isa) kata, kalau kamu tak percaya PM kamu keluar dewan," ceritanya.

Jelas Tangam, beliau memberitahu Isa bahawa beliau sudah 50 tahun berada dalam Felda, sedangkan Isa cap jarinya pun belum kering dengan hanya memiliki RM200 saham dan sepatut Isa yang keluar dewan.

Menurutnya, suasana ketika itu bertukar kecoh dan ketika itu keluar bahasa yang kasar dan kesat daripada samseng upahan seperti “keling”, “paria” dan sebagainya.

Walau bagaimanapun ramai juga yang hadir turut keluar bersamanya kerana tidak puas hati dengan sikap Isa yang begitu emosional ketika menjawap pertanyaan ahli KPF.

Sementara itu Tangam turut membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun Razak, Sentul kelmarin bagi keselamatan dirinya dan keluarga.

Harakah Daily

Tiada ulasan: