08 Mac 2012

Peniaga uptown dakwa tertipu

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Peniaga Up­town Ba­zar Heritage Puchong di sini, mendakwa tertipu dengan janji manis syarikat yang menguruskan perniagaan itu kerana gagal mendapatkan lesen seperti dijanjikan ketika memulakan operasi premis berkenaan Julai tahun lalu.

Wakil peniaga, Sariffah Mat Nor Rashid berkata, apa yang dikecewakan ialah jawapan berdolak-dalik pihak pengurusan menyebabkan hampir kesemua peniaga kini bimbang masa depan mereka kerana diibaratkan seperti menjalankan perniagaan secara haram.

Menurutnya, lebih mengecewakan bayaran lesen perniagaan berkelompok yang dibuat setiap bulan kepada pihak pengurusan didakwa sudah digunakan untuk menaiktarafkan tempat letak kereta premis perniagaan itu.

“Dahulu peniaga di sini pernah disaman dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), meskipun pihak pengurusan membayarnya bagi pihak peniaga namun kami kecewa kerana lesen masih gagal diperoleh sehingga kini,” katanya.

Sariffah berkata, apabila dirujuk kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pihak itu memaklumkan bangunan perniagaan yang dibina dan menempatkan kira-kira 150 peniaga itu bila-bila masa sahaja boleh dirobohkan.

“Kami sudah mengeluarkan modal besar mengubah­suai lot, jika diruntuhkan bagai­mana jami­nan kepada kami.

“Apabila ditanya kepada pengurusan mengenai lesen, mereka kata lesen sudah ada, namun apabila diminta, mereka kata lesen masih dalam proses,” katanya.

Menurutnya, apabila dirujuk kepada MPSJ, pihak itu mengatakan lesen tidak akan dikeluarkan kerana bangunan tidak mendapat kelulusan.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya ketika menerima aduan daripada 15 peniaga berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi pada 28 Februari lalu untuk meneliti masalah dihadapi peniaga.

Menurutnya, peniaga mengadu tidak tahu status tanah sama ada dimiliki MPSJ atau tanah persendirian.

Beliau berkata, peniaga turut gusar mengenai bekalan elektrik disediakan kerana tidak tahu sama ada ia diiktiraf atau tidak kerana sumber pembekalannya dari tempat yang kurang pasti.

“Peniaga dijanjikan kemudahan lesen premis, elektrik, penyelenggaraan dan promosi sedangkan semua itu tidak ditunaikan,” katanya.

Sinar Harian

Hujan lebat, laluan ke pusat bandar KL sesak

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Trafik mengalami kesesakan di plaza tol Sungai Besi Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke pusat bandar pagi ini berikutan penutupan terowong SMART sejak pukul 8 malam tadi.

Jurucakap PLUS ketika dihubungi memaklumkan kesesakan tersebut dikesan sejak 6.30 pagi tadi namun laluan menghala ke Seremban berjalan lancar.

Sementara itu Stormwater Management And Road Tunnel (SMART) dalam satu kenyataan hari ini berkata laluan terowong itu ditutup kepada lalu lintas mulai 8 malam berikutan hujan lebat di samping membolehkan operasi banjir SMART dijalankan.

"Kami merayu pemandu kenderaan bersabar dan bekerjasama selain mematuhi arahan mengenai penutupan terowong melalui pengumuman media, pelbagai papan tanda arahan, laman sesawang Smart Tunnel www.smarttunnel.com.my; twitter @smarttunnel atau melalui Facebook Smart Tunnel Facebook," kata kenyataan itu.

Bilik Gerakan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi memberitahu beberapa kawasan mengalami kesesakan dipercayai berpunca daripada hujan lebat.

Antara kawasan yang sesak ialah di Lebuhraya NKVE dari Shah Alam menuju Subang dan Lebuhraya ELITE dari Putrajaya menuju ke Seafield. – Bernama

Sinar Harian

PKR sambut baik batal SBPA, syor 5 langkah

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - PKR mengalu-alukan keputusan kerajaan memansuhkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan pagi tadi, tetapi mendakwa perkembangan itu menunjukkan kegagalan berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mengambil kira pendapat golongan sebelum merangka dan mengumumkan sesuatu dasar yang penting.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, kegagalan kerajaan pusat untuk prihatin akan kewujudan jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah iaitu antara gred 1 hingga 54, benar-benar mempamerkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah.

"Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam satu pengumuman di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib tun Razak mengumumkan pembatalan SBPA dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan

peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh

peratus.

Najib turut menyatakan persetujuan kerajaan supaya Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan

bagi kawasan C, dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150.

Selain itu kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji

secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja

melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan

yang diperlukan negara.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR) beserta wakil-wakil pekerja Cuepacs, "barulah tindakan seraya sudah terhantuk baru terngadah diambil oleh Perdana Menteri hari ini."

Sehubungan itu, Nurul Izzah mahu kerajaan mewujudkan SSM yang lebih adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan.

Katanya, kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah harus membolehkan mereka menerima gaji "sara hidup", dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan dalam Belanjawan PR 2012.

"SSM yang mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti, tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam," katanya.

Selain itu kata beliau, SSM yang lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya.

Malah menurut Nurul Izzah, SSM yang hendak ditambah baiki perlu mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan dalam kerajaan.

Wakil rakyat penggal pertama ini juga mengesyorkan agar SSM disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap 10 tahun.

"Semakan harus melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan," katanya lagi.

sinar harian/-

Pemandu degil dikompaun

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEGAMAT - Lebih 115 kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Majlis Daerah Segamat sepanjang sehari pemeriksaan dilakukan di sekitar bandar Segamat.

Yang Dipertuanya, Ismail Abu berkata, pihaknya melakukan sentiasa pemeriksaan secara berkala yang lebih tertumpu di bahagian bandar.

Antara kesalahan dilakukan adalah seperti tidak mempamerkan kupon meletak kenderaan; meletakkan kenderaan di kawasan larangan; mengganggu lalu lintas; meletakkan kenderaan di lorong belakang dan sebagainya.

“Kebanyakan kesalahan dilakukan adalah kesalahan berulang yang sering dipantau oleh pihak MDS. Namun ianya masih berlaku walaupun kita mengeluarkan kompaun atas kesalahan berkenaan.

“Pengusaha premis perniagaan seperti aksesori kereta, kedai tayar dan membaik pulih kenderaan perlu peka terhadap penggunaan kotak meletak kenderaan di bahagian hadapan premis mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, masih ramai pengusaha perniagaan gagal memohon permit untuk dirizabkan kepada pelanggan walaupun bayaran yang dikenakan MDS hanya RM100 untuk sebulan bagi satu petak kenderaan.

“Pihak kita akan melakukan operasi seperti ini secara berterusan dan mengikut aduan yang diterima. Ini kerana masih banyak pemandu meletakkan kenderaan mereka secara yang mengganggu lalu lintas.

“Pada masa sama juga, kita mengharapkan masyarakat akan lebih berdisiplin dan mengikut mengikut petak yang disediakan sebagai alternatif mengelakkan kesesakan di laluan utama bandar,” katanya.

Sinar Harian

Chong Wei mara ke pusingan kedua

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan melepasi pusingan pertama kejohanan All England menundukkan pemain China, Wang Zheming, di Birmingham, England awal pagi ini (waktu Malaysia).

Perlawanan mudah bagi pemain berusia 29 tahun itu dengan hanya mengambil masa 38 minit mengalahkan pemain nombor 16 dunia itu straight set, 21-16 dan 21-11.

Chong Wei akan bertemu pemain perseorangan Denmark, Hans-Kristian Vittinghus pada pusingan kedua kejohanan itu esok.

Beregu lelaki utama negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong turut mara ke pusingan kedua dengan menewaskan beregu Jepun, Naoki Kawamae/Shoji Sato di pusingan pertama juga awal pagi ini.

Beregu nombor enam dunia dari Malaysia itu mengalahkan Naoki/Shoji dengan mata 21-11 dan 21-18 mengambil masa 32 minit.

Mereka dijadualkan bertemu sama ada beregu China, Hong Wei/Shen Ye atau beregu dari Poland, Adam Cwalina/Michal Logosz di pusingan kedua esok.

Pemain perseorangan ketiga negara, Liew Daren turut melangkah ke pusingan kedua menewaskan pencabarnya dari Thailand, Boonsak Ponsana straight set 21-19 dan 23-21.

Liew akan bertemu pemenang perlawanan di antara perseorangan nombor empat dunia, Peter Hoeg Gade dengan pemain perseorangan England, Ouseph Rajiv esok.

Seorang lagi perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng juga cemerlang menundukkan pemain dari Sepanyol, Pablo Abian 21-14 dan 21-18 untuk layak ke peringkat kedua kejohanan.

Chong akan menemui pemain nombor dua dunia, Lin Dan pada pusingan kedua kejohanan esok.

Beregu negara Goh V Shem/Teo Kok Siang bagaimanapun kandas tewas di tangan beregu nombor dua dunia Jung Jae Sung/Lee Yong Dae, 10-21 dan 11-21 manakala beregu campuran negara, Ong Jian Guo/Lim Yin Loo juga dikalahkan pencabar dari Indonesia, Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir, 21-18 8-21 19-21 di pusingan pertama. - Bernama

Sinar Harian

Terjun dari bumbung rumah

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ANAK BUKIT - “Tiba-tiba badan saya terasa panas dan berbahang. Saya lantas bangun dan melihat api marak di bahagian siling,” kata seorang penghuni rumah yang terlibat dengan kebakaran yang melibatkan lima rumah di Kampung Belakang Sekolah Tamil, Batu Lima kira-kira jam 6 pagi, semalam.

Begitulah detik cemas yang dilalui G Ramasami, 63, seorang daripada lima keluarga yang terlibat dengan kebakaran.

Dia yang sedang tidur di bilik utama tingkat bawah rumah dua tingkat itu tinggal bersama isteri serta seorang anak lelaki.

Ramasami berkata, apabila bangun, dia mendapati api sedang marak di bahagian siling rumahnya lalu lantas mengejutkan isteri.

“Apabila saya keluar rumah melalui pintu hadapan, saya dapati hampir keseluruhan bahagian bumbung rumah jiran terbakar dan api marak. Kejadian itu berlaku begitu pantas sehingga saya tidak sempat untuk menyelamatkan barang dan harta benda di dalam rumah termasuk barang kemas, motosikal dan basikal,” katanya.

Ramasami yang panik sewaktu kejadian tidak mampu untuk melakukan apa-apa dan hanya meminta bantuan daripada jiran berhampiran.

Bagi anak Ramasami, Baladevan, 22, berkata, dia yang tidur di tingkat atas rumah terjaga setelah terdengar ibunya menjerit.

Menurutnya, tindakan berani diambil untuk menyelamatkan diri dengan terjun dari bumbung rumah jirannya.

“Pada waktu itu, jalan untuk saya menyelamatkan diri yang saya nampak hanyalah terjun dari tingkat atas walaupun terpaksa berdepan risiko. Mujurlah saya hanya mengalami cedera ringan di bahagian tangan kanan dan bahagian pinggang sebelah kiri,” katanya. Seorang lagi penghuni rumah, M Manyarasoo, 57, berkata, sewaktu kejadian, dia bersama keluarga dalam perjalanan pulang dari kuil Jalan Putra.

Katanya, kejadian itu disedari setelah menerima panggilan telefon dari anak saudaranya yang dalam perjalanan ke Jitra dan memaklumkan beberapa jentera bomba berada di hadapan rumahnya.

“Apabila tiba di rumah, saya mendapati rumah musnah dalam kebakaran dan tidak sempat menyelamatkan harta benda,” katanya.

Agency

Wanita maut dalam kereta

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) – Seorang wanita berusia 50 tahun ditemui maut dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara di lorong belakang sebuah bank, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, wanita berkenaan dikenali sebagai Leong Lai Ha, dan pemilik kereta adalah seorang kakitangan bank.

Menurutnya, wanita itu dipercayai memasuki kereta terbabit, yang di parkir di tempat kejadian untuk mencuri wang.

“Daripada maklumat yang diperoleh, kita percaya wanita berkenaan mempunyai masalah mental.

“Polis turut difahamkan wanita itu suka menyelinap masuk ke dalam kereta yang ditinggalkan tidak berkunci untuk menggeledah dan mencuri wang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, pemilik kenderaan yang ingin pulang dari kerja terkejut apabila mendapati wanita itu berada dalam keadaan tersandar di tempat duduk penumpang bahagian hadapan keretanya pada jam 7.45 petang.

“Bimbang melihat wanita itu tidak bergerak, pemilik kereta telah menghubungi dan memaklumkan polis berhubung kejadian.

“Setelah diperiksa polis, wanita berkenaan didapati telah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke hospital untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, wanita yang fahamkan berasal dari Kampung Sungai Buloh, di sini, disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung.

Sinar Harian

Beberapa kawasan di Kedah dinaiki air

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR -- Sebanyak tujuh buah kampung yang melibatkan 150 buah rumah di kawasan Changlun dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Kampung berkenaan ialah kampung Paya Nongmi, Belakang Pasar Changlun, Padang Pasir, Masjid, Paya Lantau, Titi Kerbau, Kubang Hamid, Taman Sayang, Pasar Changlun serta sekitar pekan Changlun lama, yang dinaiki air hampir satu meter.

Zakaria Ahmad, 77, dari Kampung Paya Nongmi berkata rumahnya mula dinaiki air sejak 7 pagi tadi.

"Saya sudah mula kemas barang sejak semalam. Selalunya kalau hujan lebat macam ini, air akan naik," katanya.

Zakaria berkata sejak banjir besar melanda Kedah pada hujung tahun 2010, kawasan kampungnya tidak pernah dinaiki air sehingga sekarang.

Rokiah Hashim, 64, juga berkata dia sudah mengemaskan barang-barang di dalam rumahnya sejak hujan turun mulai petang semalam.

Pengerusi Bencana Alam Daerah Kubang Pasu, Ahmad Fisol Md Nor berkata buat sementara waktu pihaknya belum membuka pusat pemindahan.

"Kita akan memantau dan bersiap sedia dari semasa ke semasa dan jika ia hujan berlarutan, barulah kita buka pusat pemindahan," katanya.

Di Padang Terap, sebanyak 19 rumah di Kampung Perik, Kuala Nerang turut dinaiki air berpunca daripada limpahan air sungai.

Tiga keluarga telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai selepas rumah mereka dimasuki air melebihi paras pinggang selepas hujan turun bermula 6.30 petang hingga 8.30 malam tadi.

Mohd Risham Abdul Rahman, 28, berkata hujan lebat turun sejak tiga hari lalu dan semalam adalah yang terburuk.

"Pada pukul 8.30 malam tadi, hujan mula berhenti dan air mula naik dalam masa 15 minit sudah memenuhi kawasan rumah," katanya.

Anggota Dewan Undangan Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid melawat dan menyampaikan bekalan makanan kepada penduduk.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Padang Terap berkata pasukan bertindak seramai 20 orang telah dikerah untuk membantu mangsa banjir. -Bernama

Hujan berlarutan, banjir kilat jejaskan warga Lembah Klang

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku sejak semalam menjejaskan urusan harian warga Lembah Klang hari ini berikutan kesesakan lalu lintas luar biasa yang berlaku di laluan utama menuju ke bandar raya.

Tinjauan Bernama pagi ini mendapati keadaan lalu lintas sesak teruk di laluan masuk ke ibu negara terutama di Lebuhraya Maju Expressway, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari arah Seremban ke Kuala Lumpur.

Jurucakap Plus berkata trafik dilaporkan mengalami kesesakan di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke pusat bandar pagi ini disebabkan penutupan terowong SMART dan kesesakan itu berlaku sejak pukul 6.30 pagi lagi.

Sementara itu, Penguasa Bomba dan Penyelamat Hulu Langat Rafie Sapar berkata seramai 413 mangsa yang dipindahkan ke Surau Kampung Belacan berikutan air naik malam tadi masih berada di sana.

"Sehingga hari ini mereka masih lagi berada di kawasan surau menunggu air surut," katanya ketika dihubungi Bernama pagi ini.

Rafie berkata sebanyak 150 buah rumah ditenggelami air di Kampung Belacan dengan kedalaman dua meter.

Katanya pihak bomba menyediakan dua buah bot dalam keadaan berjaga-jaga di kampung berkenaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata banjir juga berlaku di Batu 12 Hulu Langat dengan 661 penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai dan Balai Raya Sungai Serai. Sesi persekolahan di sekolah itu ditutup sementara.

"Seramai 82 anggota bomba masih bertugas dan tujuh buah bot ditempatkan di situ untuk membantu mangsa banjir dan sehingga kini air masih berada sedalam satu setengah meter," katanya.

Seorang penduduk mangsa banjir Farid Rosle, 22, berkata hujan lebat sejak pukul 7 malam semalam menyebabkan air naik mendadak tanpa diduga penduduk sehingga lebih dari satu meter pada 10 malam tadi.

"Saya dan keluarga saya kini terpaksa berteduh di rumah saudara saya di Kajang selepas air naik. Pagi ini, air masih lagi di paras yang sama," katanya. - BERNAMA

Bekas pengurus 'kebas' duit pelanggan dipenjara

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Seorang bekas eksekutif Citibank di Indonesia dikenakan hukuman penjara lapan tahun setelah didapati bersalah mencuri RM12 juta (AS$4 juta) dari akaun pelanggan untuk hidup mewah dan menjalani pembedahan kosmetik.

Mahkamah Daerah Jakarta Selatan memutuskan pengurus perhubungan pelanggan, Malinda Dee, 49, bersalah atas tuduhan memindahkan wang dari akaun pelanggan.

Malinda ditangkap pada Mac tahun lalu.

Wang itu digunakan untuk hidup mewah termasuk membeli kereta dan menjalani pembedahan kosmetik.

Agensi kawal selia Indonesia mengenakan sekatan ke atas Citibank ekoran kes itu.

Pendakwa raya menuduh Malinda mengarahkan 117 pemindahan dana dengan setiap satu berjumlah dua bilion rupiah (RM674,786) daripada akaun pelanggannya atau akaun beberapa kenalannya antara tahun 2007 dan 2011.

Laporan media sebelum ini menyebut wang tersebut digunakan untuk membeli kereta Ferrari, Porsche, Mercedes dan Hummer selain beberapa buah rumah dan apartmen mewah.

Mahkamah juga memerintahkan agar dua kereta Ferrari, sebuah Hummer dan sebuah trak pikap Toyota selain wang tunai berjumlah RM676,056 dikembalikan kepada Citibank.

Citibank yang merupakan bank ketiga terbesar di Amerika Syarikat mengarahkan satu siasatan dalaman dilakukan selepas seorang pelanggannya mengesan dan melaporkan pemindahan wang dilakukan tanpa kebenarannya.

Suami Malinda, adik perempuan dan juga adik iparnya telah pun dikenakan hukuman penjara empat tahun berhubung kesalahan pengubahan wang haram.

sinar harian

Pecah Rekod Dunia Imbangi 23 Bangku Kayu

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Li Hongxiao yang berusia 30 tahun mampu mengimbangi objek dalam mulutnya sejak beliau masih kanak-kanak lagi. Li hanya menggunakan gigi untuk memegang 23 bangku kayu dengan jumlah berat 69 kilogram.

"Stuntman" China ini telah melepasi semua pencapaian beliau sebelum ini dengan berjaya mengimbangi beban luar biasa selama 11 saat, sebagaimana penonton di daerah Dazu barat daya China seperti tidak percaya apa yang mereka lihat.

Dengan setiap bangku berukuran 1 meter panjang, 45 sentimeter tinggi dan berat pada 3kg, gabungan berat tersebut mencecah 69kg sehingga hampir menyamai berat badan beliau iaitu 75kg.

Li yang berasal dari kampung Tianqiao di Chongqing, mula melakukan 'tarian singa' pada usia lapan untuk mendapatkan wang untuk menyara keluarga beliau. Selepas bertahun-tahun berkerja keras dengan penuh dedikasi, "Stuntman" ini mula untuk memperbaiki prestasi beliau dan pada tahun 2000, beliau mula memegang tiang buluh, tangga dan bangku dengan gigi.

Tetapi ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah bagi Li. Kali pertama beliau cuba untuk mengimbangi 12 bangku, Li terselamat dengan 18 jahitan pada bibir bawah beliau.

Pemegang Rekod Dunia Guinness sebelum ini hanya mampu menguasai hanya 14 bangku jauh berbeza dari catatan terbaru tidak rasmi Li.

Sumber: http://majalahbiarbetul.blogspot.com/2012/02/pecah-rekod-dunia-imbangi-23-kerusi.html#ixzz1oUxkeY96

16 maut serangan pemberontak di Iraq

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BAGHDAD 8 Mac – Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam serangan pemberontak di Iraq, semalam, termasuk 13 orang yang maut akibat dua serangan bom di utara bandar Tal Afar.

Kejadian yang turut menyebabkan 24 orang cedera itu berlaku dua hari selepas suspek al-Qaeda menembak mati 27 anggota polis dalam satu serang hendap di selatan Iraq.

Iraq yang bakal menjadi tuan rumah sidang Arab yang bakal dihadiri Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 29 Mac ini bagaimanapun bertegas, mereka telah bersedia untuk mengendalikan persidangan itu. – AFP

Pucuk paku rahsia dapat 18 anak

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Mek Jah jaga pantang selepas bersalin, banyak makan ulam untuk kekal sihat

KOTA BHARU: Amalan mengambil pucuk paku, bunga nipah dan akar kayu serta mengelak minum air batu, membolehkan pasangan suami isteri dari Kampung Pantai Pulau Kundor, di sini, mampu mempunyai 18 anak, tiga daripadanya sudah meninggal dunia.
Mek Jah Yusof, 52, dan suaminya, Isa Hassan, 56, berkahwin ketika usia muda 15 dan 17 tahun, dikurniakan cahaya mata pertama selepas tiga tahun berumah tangga.
Mek Jah berkata, sepanjang perkahwinannya beliau sentiasa patuh kepada suaminya termasuk tidak pernah menolak ajakan suaminya untuk bersama walaupun penat menguruskan anak yang ramai.

“Tiada rahsia khusus membolehkan saya mempunyai anak ramai, hanya berpantang dan menjaga pemakanan, seperti hanya makan nasi dengan ulam segar, serta mengelak minum air batu.

“Sepanjang pantang selepas melahirkan pula, saya memang patuh terhadap nasihat ibu yang mempunyai sembilan anak, manakala suami pula ada 15 adik-beradik, namun keluarga kami tidak pernah mengenali sebarang vitamin atau ubat moden untuk sihat berbanding pasangan sekarang.

“Saya dan suami juga kuat bekerja bagi membesarkan anak yang ramai, seawal jam 7 pagi, Isa perlu turun sungai di Kampung Pulau Kundor, untuk memotong pokok nipah sebagai sumber pendapatan keluarga.
“Saya pula membantunya dengan memilih batang nipah dan memotongnya untuk mendapatkan bahagian bunga yang akan dihiris nipis untuk dijual kepada pelanggan sekitar kampung ini, ” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Pantai Pulau Kundor di sini.

Katanya, anak pertama lelaki, Zulkifli, yang kini berusia 34 tahun dan sudah berumah tangga serta mempunyai empat anak berusia antara dua hingga enam tahun.

“Daripada 18 anak makcik itu, tiga daripadanya meninggal dunia sebaik dilahirkan beberapa bulan iaitu anak yang ketiga, kelima dan yang ke-16, manakala selebihnya yang sulung hingga yang bongsu kini berusia lapan tahun hidup sihat dan tinggal bersama makcik di rumah usang ini,” katanya.

Katanya, 12 daripada 15 anaknya sudah tidak bersekolah dan hanya mampu bersekolah setakat tingkatan tiga malah ada yang hanya setakat sekolah rendah.

“Kami hidup miskin, namun sepanjang perkahwinan hampir 40 tahun lalu, tidak pernah bergaduh besar, melainkan hanya satu kali ketika berdepan masalah kewangan yang kritikal,” katanya.

Sukma: Terengganu sasar lima emas acara berbasikal

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MENYASARKAN sekurang-kurangnya lima emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) Pahang, Julai depan, skuad berbasikal Terengganu menyenaraikan barisan pelumba terbaik menggalas cabaran tersebut.

Jurulatih pasukan, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, 10 dari 24 pelumba dipilih adalah pelumba lama, termasuklah Mohammad Adiq Husaini Othman, Mohd Zulhilmi Nafiz Aamri, Nor Amirul Fakharuddin, Mohd Khairul Azizi Abdullah dan Saufian Naibih Umar Bakti.

“Lima lagi adalah pelumba wanita terdiri daripada pelumba yang mewakili negara dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), Umi Hamimah Ahmad, Zaharah Anuar, Norain Mahmud, Nor Suhada Zainal dan Liana Atirah Zailani.

“Kita membuat pemilihan pelumba lebih awal supaya mudah mengatur persiapan menjelang Sukma ini,” katanya yang sedang merangka beberapa kejohanan di luar negara bagi pelumba menjalani latihan intensif.

Kembali menjalani latihan selepas perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, pelumba turut menjalani latihan tiga sesi dari awal pagi hingga petang bermula bulan depan sebelum menyambung latihan seterusnya di Temerloh, Pahang pada Mei nanti.

“Latihan di Temerloh supaya mereka dapat membiasakan diri dengan laluan yang akan digunakan di Sukma nanti,” katanya.

Sinar Harian

Terlantar sakit selepas bersalin

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SITIAWAN - Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini hanya terlantar di katil sejak setahun lalu selepas 43 hari melahirkan anak sulungnya.

Nurul Azwa Md Nor, 28, dikategorikan sebagai koma kerana otaknya tidak dapat berfungsi seperti biasa.

Ibunya, Hanisah Aziz, 51, berkata, menurut doktor yang merawat anaknya, Nurul Azwa menghidap penyakit sawan.

Menurutnya, pada mulanya kepala Nurul Azwa membengkak dan menyebabkan dia koma sehingga kini.

“Saya dan suami perlu menyediakan RM1,000 setiap bulan bagi menampung perbelanjaan untuk Nurul Azwa termasuk kos perubatan, susu khas dan lampin pakai buang.

“Sejak dia koma, kami menggunakan tiub khas untuk memberikan susu kepadanya dan memerlukan bantuan kami bagi mengurus diri,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Kiara Kampung Koh.

Kata Hanisah, anak sulung dari tiga beradik itu juga perlu membuat susulan rawatan tiga bulan sekali di Hospital TLDM Lumut.

Jelasnya, setiap tiga bulan dia akan membawanya ke hospital untuk rawatan susulan dan bernasib baik kerana TLDM masih lagi membayar gaji Nurul Azwa walaupun dia sudah setahun lebih tidak bertugas.

“Saya teringin untuk melihat Nurul Azwa kembali sihat seperti dahulu dan berharap ada sesiapa yang sudi membantu kami,” katanya.

Bagi bapa Nurul Azwa, Md Nor Md Rejab, 53, pelbagai usaha dia lakukan untuk melihat anaknya pulih.

Katanya, kini ada sedikit peningkatan berlaku pada anaknya apabila Nurul Azwa mampu mengerakkan kakinya sedikit.

“Besar harapan kami untuk melihat Nurul Azwa kembali seperti dahulu kerana kami amat merindui keadaannya sebelum sakit,” katanya.

Sementara itu, masalah keluarga berkenaan menarik perhatian pihak Al-Jabbar yang tampil untuk membantu.

Pengurus Rania Al-Jabbar Manjung, Rostam Affandi Abdul Rahman berkata, pihaknya akan cuba mencari jalan untuk membantu Nurul Azwa.

Katanya, pihaknya akan mencari kaedah sesuai dengan keadaan pesakit berpandukan reaksi yang diberikan.

“Kaedah yang digunakan walaupun menggunakan elektrik tetapi tidak akan mencederakan pesakit sebaliknya membantu melancarkan peredaran darah,” katanya.

Sinar Harian