09 Mac 2012

Senjata baru AS untuk Zionis

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BAITULMAQDIS: Ame - rika Syarikat menawarkan Israel senjata canggih sebagai balasan kepada rejim Zionis itu kerana tidak menyerang kemudahan nuklear Iran tahun ini.

Akhbar Israel, Maariv yang memetik sumber diplomat dan perisikan melaporkan, pentadbiran Amerika Syarikat menawar untuk membekalkan Israel dengan bom pemusnah kubu dan pesawat mengisi minyak jarak jauh ketika lawatan Perdana Menteri rejim itu, Benjamin Netanyahu ke Washington baru-baru ini.

Sebagai balasan, Israel akan bersetuju untuk menangguhkan kemungkinan menyerang Iran sehingga 2013, selepas pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada November.

Israel dan Barat mendakwa Iran berhasrat menghasilkan senjata atom menerusi program nuklearnya, tuduhan yang disangkal oleh Teheran.

Ia menjadi agenda utama dalam rundingan antara Netanyahu dengan Presiden Barack Obama awal minggu ini.

Amerika Syarikat dan Israel bercanggah pendapat mengenai ancaman Iran.

Pemimpin Zionis itu berkata Isnin lalu, usaha diplomasi untuk menyekat program nuklear Iran gagal dan ‘tidak seorang daripada kami sanggup menunggu lebih lama.’ Perbezaan utama antara Washington dan Israel ialah mengenai garis masa untuk menyerang Iran. Negara Yahudi itu menimbang kemungkinan untuk menyerang Teheran dalam masa terdekat ini. Menurut laporan itu, pentadbiran Amerika menawarkan Israel senjata canggih untuk mempengaruhi rejim berkenaan supaya menangguhkan hasratnya.

Antara yang ditawarkan ialah bom pemusnah kubu yang lebih kuat berbanding yang dimiliki rejim Zionis itu ketika ini. Ia akan membolehkan Israel menyasarkan kemudahan nuklear Iran walaupun di bawah tanah.

Laporan itu disiarkan sejurus selepas kuasa dunia yang dikenali sebagai P5+1, lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan dan Jerman, menawar untuk menyambung rundingan mengenai program nuklear Iran yang sudah sekian lama tertangguh. - Agensi

Optimis sekat kemaraan Gergasi Merah

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TIDAK resah meskipun kehilangan enam tonggak utama, pengendali Johor FC, K Devan sebaliknya segera memastikan persiapan rapi terutama apabila menanti kunjungan Selangor pada pusi­ngan kedua Piala FA malam esok.

Mengakui pemain prolifiknya, Khairi Kiman, Shafizan Hashim, Shahrizal Saad, Mohd Zambri Chin, Ismail Suboh dan Eddy Helmi Abdul Manan masih belum cergas sepe­nuhnya untuk bersama pasukan, Devan tetap yakin dengan barisan pemain simpanannya dan percaya mereka mampu memberi tentangan sengit kepada anak buah Irfan Bakti Abu Salim.

“Persiapan berdepan Selangor telah dilaksanakan lebih awal. Malah kehilangan beberapa pemain bukanlah alasan untuk kami menyerah sebelum berjuang.

“Saya mahu mereka manfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dengan memastikan kemenangan kerana pasukan lawan pastinya tidak akan memberi laluan mudah,” katanya.

Turut memuji peningkatan yang dilakukan oleh pasukan Selangor, bekas pengendali Gergasi Merah ini juga mengakui banyak transformasi dilakukan, lebih-lebih lagi dengan memiliki barisan pemain terbaik peringkat kebangsaan serta import berbisa seperti K Gurusamy, Norazlan Razali dan Bosko Balaban.

“Mereka bukan lagi pasukan yang mudah untuk dijinakkan memandangkan Selangor kini lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.

Sinar Harian

Kijang tagih penyudah Mat Yo

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

DERETAN peluang terhidang di depan gawang pasukan kelab Vietnam, Navibank Saigon yang gagal disempurnakan penyerang trio import membuktikan Kelantan sememangnya menagih bisa penyerang prolifiknya, Norshahrul Idlan Talaha.

Ketiadaan penjaring terbanyak Kelantan musim lalu itu, sememangnya dirasai peminat setia The Red Warriors (TRW) yang seolah-olah kecewa dengan persembahan trio import, Mohamad Ghaddar, Nwoha Onyekachi dan Dennis Antwi.

Norshahrul yang mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan ketika beraksi menentang Sarawak dalam perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu tempoh hari sememangnya tidak pernah menghampakan peminat apabila tidak pernah mensiakan peluang terhidang.

Dalam aksi sulung kumpulan H bertemu kelab Vietnam, Navibank Saigon 2012 malam kelmarin, Kelantan yang menurunkan semua empat importnya sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan.

Hujan semakin lebat pada penghujung separuh masa pertama menyebabkan aksi babak kedua berlangsung dalam keadaan kurang lancar apabila hampir separuh bahagian padang ditakungi air.

Menyedari jentera sera­ngan perlu diperkuat, Bojan mengeluarkan Antwi dan memasukan S Chanturu pada minit ke-72 serta Nor Farhan Muhammad menggantikan Nurul Azwan Roya minit ke-80, namun segala usaha tetap gagal menembusi kekebalan penjaga dari Brazil, Phan Van Santos.

Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, pemain gementar pada 15 hingga 20 minit pertama, tetapi selepas rehat mereka lebih yakin apabila menguasai permainan.

Sinar Harian

Gara-gara panik, tiga lelaki nekad terjun sungai

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA PERLIS – Gara-gara panik, tiga lelaki melompat dari sebuah rumah ke dalam sungai kerana digemparkan mengenai operasi narkotik di Kampung Baru Tandiap, petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.10 petang itu bertambah cemas apabila seorang daripada mereka, Mat Yunus Mohamad, 32, gagal naik ke daratan semula.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada petang kelmarin sehingga semalam setelah mangsa gagal dikesan.

“Ketiga-tiga lelaki terbabit telah digemparkan rakanya yang memaklumkan polis mengadakan operasi narkotik di kawasan berhampiran.

“Mungkin kerana panik, mereka mengambil keputusan untuk terjun sungai tanpa memastikan kesahihan khabar itu sehingga salah seorang daripada mereka tenggelam,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Mat Yunus dipercayai gagal ke daratan kerana kakinya pernah dimasukkan besi setelah mengalami kemalangan beberapa tahun lalu.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam bermula jam 7 malam selepas menerima aduan orang kampung dan keluarga Mat Yunus yang membuat laporan mengenai kehilangannya.

“Operasi masih diteruskan sehingga tengah hari ini dan kami percaya Mat Yunus mungkin dibawa arus deras sehingga ke laut,” katanya.

Menurutnya, beliau menolak dakwaan operasi narkotik menyebabkan tiga lelaki berkenaan bertindak terjun sungai, kerana operasi hanya dilakukan dua kilometer dari tempat kejadian.

Sementara itu, saksi kejadian Abidin Othman, 55, berkata, dia melihat ketiga-tiga lelaki terbabit melompat dari rumah yang berada bertentangan dengan rumahnya ke dalam sungai sebelum salah seorang daripada mereka tenggelam timbul.

“Ketiga-tiga mereka ketika itu seolah-olah cuba melarikan diri daripada sesuatu dan terus melompat ke dalam sungai, salah seorang daripada mereka tenggelam timbul dan dua lagi rakannya berjaya naik ke daratan,” katanya.

Abidin berkata, dia kemudiannya menelefon polis untuk memaklumkan kejadian itu di samping memanggil orang yang berada di sekitar kawasan itu untuk menyelamatkannya.

Dalam perkembangan yang sama, bapa mangsa Mohamad Hamzah, 67, berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya selepas Asar sebelum Mat Yunus keluar dari rumah dengan motosikalnya.

“Selepas itu, sehingga ke hari ini saya tidak berjumpanya, saya berharap dia selamat,” katanya.

Difahamkan, mangsa adalah anak keempat daripada lima adik beradik dan kerja sambilan sebagai nelayan serta menetap bersama orang tuanya di Penempatan Sementara Bukit Tok Poh, di sini, yang jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi tempat kejadian.

Sinar Harian

Kaki ajaib!

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MENJARINGKAN lima daripada tujuh gol buat pasukannya, Lionel Messi mencipta rekod sebagai pemain pertama berjaya melakukannya ketika perlawanan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Bayer Leverkusen, 7-1 di Stadium Nou Camp, kelmarin.

Berada sebaris dengan lagenda Real Madrid, Alfredo Di Stefano dalam senarai penjaring terbanyak dengan 49 jaringan, Messi turut memperbaiki rekod empat gol yang dicatatnya ketika menentang Arsenal, tahun lalu.

Pemain terbaik dunia tiga tahun berturut-turut itu berjaya meledak dua gol pada separuh masa pertama dengan melakukan hatrik pada separuh masa kedua dan turut dibantu rakan sepasukannya, Cristian Tello yang menghadiahkan dua gol buat Barca.

Meskipun tidak berjaya meletakkan pasukannya di tangga teratas La Liga apabila ketinggalan 10 mata di belakang Real Madrid, kehebatan Messi menjadikan pasukannya sebagai pasukan terbaik dunia wajar diiktiraf setiap pemain dan peminat bola sepak dunia.

Selain menerima pujian daripada pengurus Bayern Leverkusen, Rudi Voller dan pemain Manchester United, Wayne Rooney, Messi turut menjadi kebanggaan rakan sepasukan yang menganggapnya sebagai pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.

Sinar Harian

Padah keluar secara melulu

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SENALING – Tindakan seorang penunggang motosikal yang keluar secara melulu di kawasan simpang mengundang padah apabila bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga BLM di Jalan Senaling-Tampin, semalam.

Kejadian berlaku jam 9 pagi itu menyebabkan lelaki berusia 40-an tercampak ke bahu jalan sehingga menyebabkan kaki kirinya patah dan tulang buku lali tersembul keluar manakala pemandu kereta berkenaan yang juga seorang wanita­ tidak cedera.

Petugas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Majeran Lon berkata, pihak JPAM menerima panggilan kira-kira 9.03 minit dan bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kami melihat seorang lelaki sedang mengerang kesakitan berikutan kakinya patah hingga menyebabkan tulang buku lali terkeluar. Dia masih dalam keadaan sedar dan berada di tepi jalan,” katanya.

Majeran berkata, kejadian itu berlaku apabila­ lelaki tersebut keluar dari simpang Bemban arah ke Senaling secara melulu.

“Dipercayai kereta tersebut dari arah Melaka menuju ke Kuala Pilah. Namun apabila tiba di simpang Bemban–Senaling, sebuah motosikal keluar secara mengejut menyebabkan pemandunya tidak dapat mengelak lalu merempuh lelaki berkenaan. Akibat rempuhan itu, lelaki berkenaan tercampak dan kepala terhantuk di atas jalan. Dia cedera di kepala, dahi dan kaki,” katanya.

Katanya, pihaknya yang tiba awal di tempat kejadian menghulurkan bantuan kecemasan sebelum menunggu ketibaan ambulans dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

“Saya bersama kakitangan hospital memberi­ rawatan awal sebelum mangsa dibawa untuk rawatan susulan. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu turut memberikan bantuan dengan mengangkat mangsa ke tempat selamat,” katanya.

Sementara itu, difahamkan, bahagian sisi motosikal mangsa remuk dan lampu depan pecah manakala kereta berkenaan rosak sedikit di bahagian depan.

Sinar Harian

Kepala arwah tersepit pintu

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TANAH MERAH – “Saya terlalu dekat dengannya dan cuba menarik tangannya tetapi tidak berjaya kerana kepala arwah tersepit pada pintu,” kata bapa Raja Muhammad Irfan, 13, yang maut tertimbus dalam kejadian dekat kuarters polis di Jalan Belfield berhampiran Kampung Attap, jam 9.30 malam semalam.

Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu Methodist Boy School, Kuala Lumpur berada di belakang rumahnya apabila tiba-tiba tebing setinggi lima meter runtuh dan menimbusnya.

Bapa mangsa, Raja Hazlan Raja Husin, 46, berkata, ekoran hujan lebat berserta ribut melanda membuatkan runtuhan tanah berlaku sekelip mata walaupun benteng penghalang sudah dibina.

Menurutnya, pada malam tersebut dia dan anak ketiga daripada lima beradik itu sedang mengangkat kain di ampaian belakang rumah berikutan hujan lebat dan ribut melanda pada malam tersebut menyebabkan satu runtuhan kecil berlaku dekat belakang rumah.

“Apabila siap mengangkat kain, dia kembali semula ke dapur dan saya hanya berada beberapa kaki sahaja darinya, dalam sekelip mata tidak sampai dua minit terdengar satu bunyi kuat diikuti air lumpur dan tanah menghempap pintu dapur menyebabkan arwah tersepit dari paras dada hingga kepala.

“Saya cuba untuk tarik tangan tetapi tidak mampu apabila kepalanya tertimbus dengan tanah, selama 10 minit dengan pertolongan jiran-jiran usaha untuk mengeluarkan mangsa tidak berjaya.

“Operasi menyelamat dilakukan pihak bomba akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan, namun arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 10 malam semalam,” katanya ketika ditemui dekat rumahnya di Kampung Padang Bongor, Bukit Merah, semalam.

Menurutnya, kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguruskan perjalanan membawa pulang jenazah mangsa ke kampung halaman amat dihargai.

Jenazahnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Belimbing jam 11.30 pagi semalam.

Ibu mangsa, Rohani Che Yusuf, 41, yang masih bersedih ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia bersama dua lagi anaknya sedang tidur dan tidak menyangka kejadian tanah runtuh berlaku dekat kawasan rumahnya.

Menurutnya, dua tahun lalu runtuhan kecil sudah berlaku dan faktor hujan lebat dan ribut membuatkan rumahnya dihempap timbunan tanah bersama air lumpur.

“Arwah amat rapat dengan saya, kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga. Tiada perubahan ketara berlaku pada dirinya cuma sehari sebelum kejadian dia suka menyakat dan bergurau dengan adik beradiknya yang lain terutamanya adik bongsu yang berumur setahun lebih.

“Arwah ada juga menyatakan hasratnya untuk menyambung pelajaran di sekolah agama di Kelantan namun tidak kesampaian,” katanya.

Sinar Harian

Penyerang Norway didakwa

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

OSL0 - Pelampau anti-Islam, Anders Behring Breivik, 33, yang melancarkan serangan berkembar di dua tempat berasingan pada tahun lalu didakwa melakukan tindakan keganasan dan pembunuhan terancang oleh pendakwa raya di Norway, kelmarin.

Sebelum ini, Breivik mengaku bertanggungjawab melancarkan kedua-dua serangan itu sehingga menyebabkan 77 orang terkorban pada 22 Julai lalu, namun menafikan dia melakukan sebarang kesalahan jenayah semasa insiden pengeboman di Oslo dan serangan di sebuah kem musim panas di Pulau Utoeya tersebut

“Tertuduh telah melakukan kesalahan jenayah yang serius dan pertama di Norway pada era ini namun ia tidak diletakkan sebagai jenayah kemanusiaan di bawah undang-undang kerajaan,” menurut pendakwa raya, Svein Holden.

Dua psikiatri yang memeriksa Breivik sebelum ini mendapati dia mengalami gangguan mental melampau semasa melancarkan serangan menggemparkan itu tetapi pendakwa raya menegaskan penilaian tersebut mungkin boleh berubah dengan pemeriksaan susulan sebelum perbicaraan seterusnya pada 16 April depan.

Difahamkan, individu yang didakwa melakukan keganasan dan pembunuhan di negara tersebut akan dipenjara 21 tahun, namun mahkamah berhak untuk melanjutkan tempoh hukuman jika banduan itu dilihat berpotensi mengulangi jenayah sama.

Sinar Harian

Bekas pramugari ditahan edar dadah bersama kekasih

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI – Bekas pramugari sebuah syarikat penerbangan tempatan ditahan bersama kekasihnya kerana memiliki dadah disyaki ganja seberat 13.19 kilogram ketika menginap di sebuah bilik di Kelab Cinta Sayang Sungai Petani tiga hari lalu.

Serbuan pada jam 11.15 pagi dilakukan oleh pegawai dan 13 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, polis menemui 14 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 13.19 kilogram di bawah tilam dan satu bekas plastik disyaki candu seberat 910 gram dalam beg suspek.

“Nilai rampasan berdasarkan harga pasaran dianggarkan RM44,200.

“Turut dirampas adalah wang tunai RM5,150 dan sebuah kereta Perodua MyVi,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, wanita berusia 28 tahun itu dipercayai bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah kilang di Juru, Pulau Pinang manakala kekasihnya, seorang juruteknik elektrik berumur 31 tahun.

“Hasil siasatan mendapati bilik penginapan itu dijadikan stor menyimpan ganja sebelum dijual kepada pembeli sejak empat hari lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sinar Harian

All England: Chong Wei, Daren mara ke suku akhir

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PEMAIN perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mara ke suku akhir Kejohanan All-England selepas menundukkan pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus di Birmingham, England awal pagi ini (waktu Malaysia).

Hans-Kristian yang mengalami kecederaan pada lengan kanannya tetap kelihatan agresif ketika menentang Chong Wei namun terpaksa akur dengan kekalahan 'straight set' pada Chong Wei dalam perlawanan yang berlangsung selama 45 minit itu.

Pemain berusia 29 tahun dari Malaysia itu nyata perlu berhempas-pulas untuk menundukkan Hans-Kristian pada set pertama perlawanan, 23-21 sebelum mengungguli set set kedua 21-18.

Chong Wei yang juga juara bertahan All England itu akan bertemu perseorangan Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka pada peringkat suku akhir kejohanan itu.

Kempen dua beregu negara iaitu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada kejohanan All England itu bagaimanapun berakhir hari ini selepas masing-masing gagal di pusingan kedua.

Koo/Tan tewas pada beregu dari China, Hong Wei/Shen Ye, 21-12, 17-21 dan 20-22 manakala Mohd Zakry/Mohd Fairuzizuan kalah kepada pilihan ketujuh kejohanan dari Indonesia, Mohammad Ahsan/Bona Septano, 22-24 dan 13-21.

Sementara itu, beregu campuran negara Goh Liu Ying/Chan Peng Soon turut mara ke suku akhir selepas menewaskan lawannya dari Jepun, Shoji Sato/Shizuka Matsuo, 21-18 21-9 dalam masa 34 minit pada pusingan kedua awal pagi ini.

Beregu campuran nombor sembilan dunia itu akan bertemu dengan pencabar mereka, gandingan pemain dari England/Scotland, Chris Adcock(ENG)/Imogen Bankier(SCO) di peringkat suku akhir.

Perseorangan lelaki negara, Liew Daren pula nyata terus cemerlang menumpaskan lawannya dari England, Rajiv Ouseph, 21-15 dan 21-10 sekali gus menempah slot di peringkat suku akhir pada kejohanan berprestij itu.

Prestasi Daren terus diuji apabila dijadual bertemu dengan pemain perseorangan nombor tujuh dunia dari Korea Selatan, Lee Hyun Ill untuk mara ke peringkat seterusnya.

Bagi seorang lagi perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng nyata bukan mudah buatnya menentang perseorangan kedua dunia, Lin Dan apabila tewas 13-21 dan 16-21. - Bernama

Sinar Harian

Tiga sekeluarga terperangkap

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TAIPING – Tiga sekeluarga termasuk ibu sedang berpantang terperangkap di dalam sebuah rumah di Kampung Relang, Batu Kurau, di sini selepas terlibat dalam kejadian banjir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Bomba M Mahandran berkata, pihaknya menerima panggi­lan kecemasan kira-kira jam 4.54 petang sebelum tiba di kawasan kejadian pada jam 5.25 petang.

Menurutnya, sebuah jentera, dua van utiliti bomba dengan sembilan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan tiga sekeluarga yang terperangkap dalam sebuah rumah.

“Rumah itu dinaiki air setinggi 1.5 meter menyebabkan pasukan bomba bergegas ke lokasi baru di tepi Sungai Jelai.

“Setiba di lokasi, kawasan tebing sudah dilimpahi air sungai dan kelihatan seorang lelaki melambai-lambai meminta pertolongan,”katanya.

Beliau berkata, rumah itu terletak hampir 300 meter dari tepi jalan utama, empat anggota yang memakai jaket keselamatan dengan tali telah merentas aliran air deras untuk menyelmatkan mangsa berkenaan.

Katanya, seorang wanita yang berada dalam pantang lingkungan usia 20-an berjaya diselamatkan dengan memikulnya menggunakan ‘stretcher’ manakala bayi berusia 18 hari didukung oleh anggota bomba.

“Bagaimanapun, bapa bayi tersebut enggan keluar dari rumah walaupun telah dinasihatkan oleh pegawai bomba.

“Kedua-dua mangsa ditempatkan di Balai Raya Jelai atas nasihat Penghulu Batu Kurau, Mohamat Nawawi Mohamad Noor yang turut serta dalam operasi menyelamat ini,” katanya.

Tambahnya, operasi itu dibantu oleh penduduk dan Bomba Sukarela Batu Kurau sementara mangsa berjaya diselamatkan pada jam 6.05 petang.

Sinar Harian

Surendran: Hukuman penjara imam Hoslan 'keterlaluan'

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Naib Presiden PKR, N Surendran menganggap hukuman setahun penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan bagi kesalahan menghina mahkamah ke atas imam yang membaling selipar itu, sebagai keterlaluan dan tidak sesuai.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Hoslan Hussin atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakan imam itu melemparkan seliparnya ke arah panel hakim.

Dalam mempertahankan Hoslan (kanan), Surendran berkata
dalam satu kenyataan bahawa Mahkamah Persekutuan tidak mengambilkira persekitaran yang timbul daripada kes itu dan telah gagal untuk mengimbangkan keadilan dengan belas kasihan.

Menurutnya, imam Hoslan tidak diwakili peguam dan sangat emosi ketika dia melakukan perbuatan tersebut.

Dia juga, tegas Surendran, adalah seorang bapa yang bergelut untuk membesarkan tujuh orang anaknya dan kesnya telah tertangguh sejak tahun 1999.

"Tegurankeras atau denda sudah mencukupi dalam kes ini," katanya.

Menurut Surendran (bawah) yang merupakan seorang peguam, mahkamah perlu memelihara maruahnya dengan kekuatan autoriti moral, bukan dengan memenjarakan orang.

Beliau menggesa badan kehakiman melihat pada diri mereka ketika
keyakinan orang ramai merosot kerana persepsi bahawa hakim-hakim tidak bebas dan telah gagal melindungi hak asasi rakyat Malaysia.

"Kekurangan keyakinan dan rasa hormat ini boleh membawa kepada berulangnya kejadian seperti kes membaling selipar," katanya.

MALAYSIAKINI/-

Vikki ada 94 anak, tapi anak patung

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

VIKKI bersama sebahagian daripada anak patung yang memenuhi bilik tidurnya.

LONDON: Gara-gara ditakdirkan tidak mampu hamil dan melahirkan anak, seorang remaja menghabiskan wang sehingga RM100,000 bagi membeli anak patung sebagai koleksinya.

Menderita penyakit sindrom ovari polycystic (PCOS), Vikki Andrews, 19, mula membeli anak patung tiga tahun lalu.

Media semalam melaporkan, Vikki disahkan doktor menghidap PCOS selepas dia menjalani pemeriksaan ketika dia berusia 16 tahun.

Tindakannya mengumpul pelbagai jenis dan bentuk anak patung menyebabkan bilik tidurnya kini dipenuhi objek berkenaan.

Digelar “anak patung kelahiran semula”, mainan itu diperbuat daripada plastik tetapi menggunakan rambut manusia.

Menurut Vikki, anak patung pertamanya bernilai RM1,000 dan diberi nama Charlotte.

Masih belajar dan bekerja sambilan di sebuah bar, Vikki berkata, dia menggunakan wang simpanannya yang dikumpul sejak berusia 14 tahun bagi menambah koleksinya. “Dalam tempoh seminggu selepas membeli Charlotte, saya membeli anak patung kedua sebagai ‘adik’ untuknya,” katanya.

Sejak itu, kata Vikki, dia semakin ghairah mahu mengumpul anak patung.

PCOS dianggap satu daripada masalah paling meluas dihadapi wanita di dunia.

Walaupun ia bersifat kompleks, ada bukti kukuh menunjukkan PCOS boleh dianggap sebagai antara penyakit genetik.

PCOS dianggap satu daripada punca utama gangguan kesuburan.

Sementara itu, tunang Vikki, Warren Bone, 19, tidak berminat dengan koleksi berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, ibu bapa Vikki juga melarang dia membawa anak patung berkenaan ke ruang tamu rumah mereka di Newbury, Berkshire.

Namun, kata Vikki, kadang-kadang dia melanggar arahan itu.

“Sesekali saya membawanya ke tempat kerja untuk bermanja,” katanya. - TS

Netanyahu tidak seuntung Najib

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikira pemimpin dunia yang cukup kejam. Dia boleh buat apa saja kezaliman terhadap Arab dan Islam Arab, dia, regimnya dan wilayah yang dirampasnya tidak akan dikenakan apa-apa hukuman dan tindakan.

Melalui perisainya, Amerika Syariat, PBB akan melindunginya.

Begitulah kebalnya setiap kekejanam pemimpin Israel.

Tetapi di dalam negeri mereka tidak ada taring. Ramai presiden dan perdana menterinya didakwa di mahkamah dan ada yang dihukum. Amat malang mereka dibandingkan dengan mana-mana Perdana Menteri Malaysia.

Kesian saya pada Benjamin Netanyahu yang sekali lagi menjadi Perdana Menteri sedang dalam siasatan pihak berwajib regimnya kerana dia dan isterinya dikatakan menerima layanan istimewa yang lumayan dalam satu acara rehat.

Difahamkan bukan kejadian itu merupakah kejadian menjolok mata yang biasa baginya dan isterinya. Tiada laporan tentang dia bermewah ke sana sini. Tidak ada cerita isterinya membelanjakan semahu-mahunya kekayaan negara seperti isteri Ben Ali, bekas Presiden Tunisia yang digulingkan dan pula bermewah-mewah seperti Imelda Marcos semasa menjadi Wanita Perdana Filipina beberapa dasawarsa dulu.

Tidak ada cerita semasa Netanyahu menjadi Perdana Menteri, isterinya membuat iklan mahal di Amerika tentang kehadiran dan kegiatannya di negara yang menjadi pelindung Israel itu. Atau tidak cerita pasangan suami isteri itu menginap di hotel beribu USA semalam Paris atau Geneva.

Tidak ada kastam Israel menemui cincin bepuluh juta untuk isterinya dibawa dari luar negeri.

Mungkin dapat diterima bahawa cara berbelanja keluarga Netanyahu tidak seberapa dibandingkan dengan kemudahan yang dinikmati oleh Perdana Menteri Najib dan Wanita Pertamanya.

Tentang Najib berbelanja? Yahoo! Alangkah mewahnya. Manakala isterinya, tiada lagi wanita di Asia yang diceritakan dapat menyamainya. Mungkin ada tetapi tiada dipublisitikan. Maka orang pun tidak tahu. Maka berbelanja boros yang luar biasa itu satu pertandingan di alam ini, maka juranya rasanya tidak lain melainkan isteri Perdana Menteri Najib yang satu itu.

Tidak keterlaluan dan tidak salah membuat andaian itu.

Apa pun Najib tidaklah nampak garang sangat. Mukanya tidak nampak cengis. Malah banyak senyum dari wajah menggerunkan. Dibandingkan wajah Netanyahu, nampak cengisnya pemimpin Yahudi itu. Bahkan semua wajah pemimpin Yahudi dulu dan sekarang menakutkan, apa lagi bagi umat Palestin.

Segerun mana pun muka pemimpin Yahudi itu tidak sedikit pun menakutkan rakyat Israil untuk menyoal dan menyiasatnya apabila ada sedikit perbuatannya yang boleh dikira menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

Kita tidak tahu sebesar mana belanja yang dikeluarkan oleh penaja acara rehat pasangan Netanyahu yang menyebabkan mereka disiasat oleh kerajaan? Rehat mereka yang lumayan itu rasanya tidak menggunakan dana kerajaan. Regim tidak berbelanja apa-apa. Ia ditaja oleh pihak lain.

Tetapi pentadbiran haram itu menjaga ketelusan penjawat awamnya. Walaupun pemimpin tidak menggunakan harta negara untuk berehat atau apa-apa jua, tetapi apa sebab orang boleh berbelanja mewah untuk pemimpin berehat? Apa motif orang lain mengeluarkan belanja untuknya?

Orang tidak berbelanja besar jika tiada apa faedah yang boleh didapatinya. Begitulah sensitifnya regim haram dan pemimpin kejam itu terhadap harta dan keselamatannya dan orang-orangnya.

Pemimpin tidak boleh sebarang menggunakan kemudahan negara dan kedudukan untuk kepentingan diri. Setiap sen kerajaan yang digunakan adalah sen rakyat dan rakyat mahu sennya digunakan pada tempat dan perkara yang betul.

Ada pemimpin regim yang tidak bertanggungjawab menyelewengkan harta kerajaan, maka mereka disiasat dan didakwa. Ada presidennya dipenjara dan ada Perdana Menteri yang dilucutkan.

Tidak ada bebas dan keistewaan menjadi pemimin Israel. Bila-bila saja mereka menghadapi risiko didakwa. Amat malang nasib Netanyahu dibandingkan dengan perdana menteri Malaysia khususnya Najib. Apa pun Najib dan isterinya buat, tiada siapa peduli. Gunalah apa saja dan untuk apa saja. Mereka tidak dilihat garang tetapi nasibnya jauh lebih baik dari nasib Netanyahu.

Harakah Daily

Kelantan: PAS mampu kekal tapi jangan selesa

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 9 Mac: PAS dijangka dapat mengekalkan kerajaan di Kelantan pada Pilihan raya Umum ke-13 akan datang, memandangkan parti itu memegang kerajaan negeri sekarang.

Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak, berkata bagaimanapun PAS tidak boleh menjadikannya sebagai ‘tiket’ untuk berasa selesa.

Menurutnya, menjaga kemenangan, tidak semudah untuk mencapai kemenangan.

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan ll ketika Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kedudukan PAS dan Umno BN pada pilihan raya umum akan datang di negeri ini.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 7.25 malam kelmarin dari Kuala Lumpur.

Kebetulan beliau satu penerbangan dengan artis Indonesia, Oki Sentiana Dewi yang akan menyertai Bicara Selebriti di Kelantan Trade Cantre, jam 9.00 malam ini.

Menurutnya lagi, kerajaan PAS Kelantan dijangka akan menghadapi tentangan sengit dari Umno dan BN Kelantan pada pilihan raya umum nanti.

“Umno dan BN juga kuat bekerja dan berbagai program, strategi yang mereka atur, begitu juga PAS,” ujarnya.

Tegasnya, PAS perlu berhati-hati kerana mereka telah lama memerintah hingga memasuki tahun ke-22.

“Jadi andai silap langkah, ada perkara yang tidak selari serta sebulu antara satu sama lain, ianya akan menjeratkan parti itu sendiri.

“Saya berharap jangan berlaku seperti Kedah, berbaik sangka dan sama bekerja untuk rakyat, jangan wujudkan sengketa dan klip sesama sendiri,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun memuji program kebajikan yang dibuat oleh kerajaan negeri dan berharap ianya dapat dikekalkan demi untuk kepentingan rakyat.

Tambahnya, walaupun Kelantan dituduh sebagai sebuah negeri yang miskin, namun yang jelas pelbagai pembangunan dan kebajikan untuk rakyat sentiasa dilakukan oleh pentadbir kerajaan negeri.

“Namun yang pasti tentangan untuk PAS begitu hebat, kerana pihak lawan tidak akan berdiam diri selepas gagal merampas negeri itu sejak 22 tahun lalu,” ujarnya.

Harakah Daily