09 Mac 2012

Kaki ajaib!

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MENJARINGKAN lima daripada tujuh gol buat pasukannya, Lionel Messi mencipta rekod sebagai pemain pertama berjaya melakukannya ketika perlawanan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Bayer Leverkusen, 7-1 di Stadium Nou Camp, kelmarin.

Berada sebaris dengan lagenda Real Madrid, Alfredo Di Stefano dalam senarai penjaring terbanyak dengan 49 jaringan, Messi turut memperbaiki rekod empat gol yang dicatatnya ketika menentang Arsenal, tahun lalu.

Pemain terbaik dunia tiga tahun berturut-turut itu berjaya meledak dua gol pada separuh masa pertama dengan melakukan hatrik pada separuh masa kedua dan turut dibantu rakan sepasukannya, Cristian Tello yang menghadiahkan dua gol buat Barca.

Meskipun tidak berjaya meletakkan pasukannya di tangga teratas La Liga apabila ketinggalan 10 mata di belakang Real Madrid, kehebatan Messi menjadikan pasukannya sebagai pasukan terbaik dunia wajar diiktiraf setiap pemain dan peminat bola sepak dunia.

Selain menerima pujian daripada pengurus Bayern Leverkusen, Rudi Voller dan pemain Manchester United, Wayne Rooney, Messi turut menjadi kebanggaan rakan sepasukan yang menganggapnya sebagai pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.

Sinar Harian

Tiada ulasan: