09 Mac 2012

Terkejut dengar jeritan ibu

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TAIPING – “Jeritan ibu mengejutkan saya dari tidur sebelum mendapati rumah kami terbakar dan terus berusaha memadamkan kebakaran,” kata mangsa kebakaran sebuah rumah di Kampung Tupai Mas, S Poobalan, 33, semalam.

Poobalan berkata, malangnya usaha itu tidak berhasil apabila api semakin marak dan bertindak menyelamatkan diri.

Menurutnya, rumah papan peninggalan bapanya yang dibina sejak 50 tahun lalu musnah sekelip mata.

“Ibu masih bersedih kerana tiada barang yang dapat diselamatkan, tetapi saya bersyukur kerana kami semua selamat.

“Motosikal, barangan kemas, perabot dan dua anak anjing turut mati dalam kebakaran ini. Bukan mudah untuk membina semula rumah yang telah musnah sebegini,” katanya.
Katanya, buat sementara waktu, mereka mungkin tinggal di rumah jiran atau menyewa.

“Terima kasih kepada semua yang membantu memberikan bantuan kewangan dan keperluan,” katanya.

Sementara itu, kakaknya, S Kogilawani, 34, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut kerana masih bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.

“Petang kelmarin kawasan rumah kami tiada bekalan elektrik, bagaimanapun setelah jam 7 malam, rumah jiran yang lain sudah terang, hanya rumah kami sahaja yang masih tiada bekalan elektrik.

“Sebelum pergi kerja, saya telefon TNB tetapi pihak mereka memberitahu akan datang pagi ini,”katanya.

Kogilawani berkata, dia bersyukur kerana ibu dan adiknya selamat walaupun terpaksa membina semula rumah baru.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, mereka menerima panggilan pada jam 6.54 pagi dan tiba bersama tiga jentera serta 13 anggota.

Katanya, ketika tiba di lokasi, rumah papan dengan tiga bilik itu telah musnah 100 peratus dan pihaknya berjaya mengawal kebakaran 15 minit kemudian.

“Mangsa ketika itu berjaya menyelamatkan diri dan berada di tepi jalan. Api mula merebak melalui bilik nombor dua rumah berkenaan.

“Kerugian dianggarkan RM60,000 dan puncanya masih dalam siasatan,” katanya.

Agency

Tiada ulasan: