09 Mac 2012

Angau sampai kebas duit atuk

16 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LIPIS: Hanya kerana ingin memiliki sebuah kereta serta berkahwin dengan wanita pujaan, seorang penganggur berusia 40-an sanggup mengeluarkan wang milik datuknya berjumlah RM21,760 menerusi 19 pengeluaran bemenggunakan kad ATM di sekitar bandar ini tanpa pengetahuan warga emas yang juga pesara polis itu.

Kejadian terbabit disedari pesara berusia 74 tahun berasal dari Kampung Kuala Kechau, di sini, pada 1 Februari lalu ketika dia mahu mengeluarkan wang apabila mendapati jumlah simpanannya berkurangan.

Hairan dengan kekurangan jumlah wang simpanannya hasil daripada penjualan tanah, mangsa meminta kakitangan bank membuat semakan sebelum dimaklumkan terdapat 19 kali pengeluaran wang menerusi kad ATM sejak Januari lalu.

Difahamkan, pada 12 Januari lalu, mangsa pernah didesak cucunya membuat kad ATM dengan alasan kasihan melihat datuknya itu menunggu lama setiap kali mahu mengeluarkan wang menggunakan buku simpanan.

Mangsa bersetuju membuat kad ATM itu dan tidak sedar nombor identiti peribadi (PIN) yang sepatutnya menjadi rahsia sudah ditukar cucunya yang memegang kad berkenaan.

Selepas menghantar mangsa pulang ke rumah, lelaki berkenaan membuat pengeluaran wang sedikit demi sedikit di beberapa buah bank sehingga mencecah jumlah RM21,760 sebelum melarikan diri dan gagal dihubungi datuknya.

Mangsa kebingungan selepas wang itu hilang, mengambil masa hampir seminggu mengesan suspek, namun gagal menemui cucunya itu yang dipercayai sudah melarikan diri.

Berikutan itu, warga emas berkenaan membuat laporan di Balai Polis Lipis, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan yang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit berkata, sehingga kini, suspek masih gagal dikesan, namun polis percaya penganggur terbabit masih berada di daerah ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa mula mengetahui kehilangan wang berkenaan ketika mahu membuat pengeluaran wang sebanyak RM500 di bank untuk kegunaan keluarga.

Katanya, mangsa terpaksa mengeluarkan wang menggunakan buku simpanan kerana cucunya tidak menyerahkan kad ATM sebelum mendapati baki akaun tidak sampai RM200.

“Bagaimanapun, pada masa sama kami percaya lelaki terbabit bertindak demikian kerana tidak bekerja dan memerlukan wang. Siasatan awal mendapati lelaki itu ada membeli Perodua Myvi terpakai serta berkahwin dengan teman wanitanya, baru-baru ini.

“Mangsa turut mengesahkan dia tidak pernah mengeluarkan wang sebelum ini dan polis masih meneruskan gerakan memburu penganggur terbabit yang dikatakan sudah melarikan diri,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan kejadian terbabit dan mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.

METRO/-

Tiada ulasan: